Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Friday, March 20, 2009

Dunia laki kita... (untuk perempuan sahaja)

Adakah kita miliki sepenuhnya suami kita?, bersama dunianya sekali?... Atau sebahagian cuma? Dalam agama islam apabila si suami melangkah keluar daripada rumah ia adalah milik masyarakat. Seorang lelaki yang baligh mempunyai tanggungjawab besar terhadap dunia yang luas, menjadi khalifah di muka bumi allah.

Berbeza dengan fitrah kewujudan kita, apabila mahu keluar rumah kita diwajibkan memberitahu dan minta izin daripada suami. Ini bukannya ketidakadilan kerana tiadanya kesaksamaan tetapi islam mempunyai makanisme tersendiri untuk melindungi kita dalam meletakkan wanita di tempat yang khusus, khas dan istimewa. Janganlah kerana terlalu taksub dengan agenda barat seperti womeng right atau islam libral, kita terlupa batasan kita. Dalam islam sudah terletak cantik kedudukan wanitanya.

Oleh itu isteri yang solehah harus tahu letak duduknya di dalam sebuah rumahtangga dan sekaligus dalam masyarakat amnya. Jika selalu ada perasaan mahu hak yang sama, mahu sentiasa bersaing, bimbang ia akan mendatangkan kemudaratan. Jika kita sebagai seorang isteri menyirami benih ketidakpuasan itu, bersukarialah syaitan mencari peluang menyusup masuk ke dalam hati dan akal fikiran, lantas senang sekali menjadi derhaka terhadap suami kita.

Perbezaan yang ada hikmah

Dunia zahir dan batin lelaki berbeza, fitrah kejadiannya berbeza. Kefahaman ini sangat penting kerana ia menjadi asas kepada kefahaman-kefahaman lain dalam alam rumahtangga yang sekaligus membawa kepada keutuhan dan kekekalan sesebuah rumahtangga. Suami-isteri saling memainkan peranan yang utama tetapi berbeza dalam kelangsungan kebahagian sesebuah rumahtangga. Jika suatu tanggungjawab dirasakan sebagai suatu bebanan atau ketidakadilan, ia adalah suatu yang tidak disukai allah di dalam sesebuah rumahtangga.

Sebagai seorang isteri kita merupakan tanggunjawab besar kepada suami kita. Pernah tak kita terfikir? Suami kita bertanggungjawab hatta ke atas keselamatan nyawa kita. Contohnya kita memang bimbangkan keselamatan suami kita apabila mereka berada di luar rumah tetapi sebenarnya kita sudah tidak bertanggungjawab kepadanya apabila mereka berada di luar. Namun bagi suami kita di mana saja kita berada keselamatan dan kehormatan diri kita adalah menjadi tanggungjawabnya seratus peratus.

Janganlah kita selalu merasa tercabar dan hendak bersaing kerana dunia lelaki berbeza berbanding dunia kita, bagi pihak lelaki tentulah janggal untuk menerima banyak pertanyaan daripada isterinya mengenai segala tindakan dan apa yang dia lakukan. Pada setiap ketika jika si isteri selalu bertanya hendak ke mana, nak buat apa dengan sapa, tentulah ia menimbulkan ketidak selesaan kepada si suami seolah-olah dirinya dicurigai atau tidak dipercayai. Namun suami yang baik akan memaklumkan kepada isterinya ke mana mereka hendak pergi, agar isteri tidaklah risau.

Seperti kita, dunia zahir batin lelaki juga kompleks dan ditambah lagi dengan ruang lingkupnya yang berbeza. Dan kekompleksan dan perbezaan ini sering disalah anggap. Dan kita sebagai perempuan yang diciptakan dengan hati nurani yang lembut dan tulus mungkin terpengaruh dengan suasana sekeliling atau cerita-cerita di sekeliling yang menakutkan. Contohnya orang lelaki apabila berkahwin semakin `bahaya’ dan tidak boleh` dipercayai’.

Dunia kawan-kawannya...

Perlukah kita berkawan dengan semua kawan laki kita? Cukupkah dengan hanya mengetahui sahaja? Bagi saya walaupun terpulang pada diri isteri masing-masing, perkara ini harus diperhalusi kerana sebagaimana apa yang telah diutarakan tadi ia mungkin akan menimbulkan fitnah jika disalah rencanakan. Bayangkan tentu tentu kita rimas jika suami kita masuk bertenggek dalam kumpulan kita (apatah lagi kawan kita yang paling muda tu lebih gebu, lebih `inknya’, lebih bulat, mantap dan compact daripada kita...).

Memang sebagai seorang isteri kita seharusnya tahu dengan siapa suami kita berkawan. Namun berilah sedikit ruang istimewa kepada suami kita supaya dia seronok berkawan dengan kawan-kawannya. Tidak ada mana-mana kitab atau majalah wanita yang menyatakan kita mesti berkawan dengan semua kawan-kawan suami kita, ambil tahu segala hal.

Seperkara lagi, janganlah kita asyik mengikut je suami kita ke sana-sini dia pergi. Selain merimaskan kawan-kawan lelakinya saya percaya ia juga akan merimaskan suami kita (ia juga memalukan suami kita sebenarnya, naauzubillah...). Dalam situasi begini kita kurang arif dan memahami kerana kita adalah perempuan. Malah kita mungkin kembang atas bawah sebab merasakan masyarakat akan pandang kita seperti `loving couple' kononnya tetapi sebenarnya mungkin `meluat couple' pada serongan mata masyarakat.

Namun janganlah pula menolak ajakan suami kita jika dia benar-benar mahu kita menemaninya. Perlu kita ingat jika tidak benar-benar penting dan perlu dia tidak akan mengajak kita. Itulah salah satu perilaku dunia lelaki sebenarnya. Dunia yang sukar untuk kita fahami sebagai seorang perempuan (dunia kita nak beli sabun pun kalau boleh nak ajak suami…)

Pun begitu juga kalau ada kesempatan kita boleh berkawan dengan isteri-isteri kepada kawan laki kita supaya ukhwah terbentuk, lagi pun tak manis lah kita berkawan rapat dengan kawan laki kita sahaja, lainlah kawan laki kita tu memang dah kawan kita. Ataupun kita kenal kawan laki kita tu lebih lama daripada laki kita sendiri.... Tapi bila dah kahwin adalah molek kita renggangkan sedikit persahabatan dari beberapa segi kerana kita sudah menjadi tanggung jawab suami kita, tidak manis kita masih mahu bertepuk tampar kerana kita sudah menjadi hak orang.

Perkahwinan adalah suatu penyatuan, tetapi tidaklah pulak semuanya harus bersatu kan? kan? Masing-masing ada dunia sendiri juga, ada berhubung dengan persekitaran sendiri.

Kacau daun...

Janganlah kerana kita mahu mengawal suami kita maka, 24 jam kita harus berada di sisinya. Dalam hati kecil kononnya kita bimbang disambar orang sebab kita percaya sangat perempuan era kini laparkan lelaki orang… (padahal hakikatnya mungkin kita saja yang sudi ambil dia sebagai suami, perempuan lain tengok mungkin meluat, no komen…).

Janganlah kita terlalu cuba mencampuri urusan suami termasuk juga dengan kegemarannya. Kita boleh memberi sokongan tetapi tidak perlulah kelihatan berlebihan pula. Contohnya, dia mungkin suka memancing atau memelihara bongsai atau suka pergi berkhemah dengan kawan-kawannya. Tak kanlah tiba-tiba kita minat jugak hobi yang suami ada (kalau sememengnya minat tak apalah, kalau buat-buat minat itu bodoh rasanya, tetapi terpulanglah...). Maka kita ikut juga suami kita pergi berkhemah, bimbang suami kita melencong ke tempat lain.

Atau apabila Laki kita hobinya memancing, oleh itu terus kita pegang batang kail sedangkan sebelum ini kita asyik pegang batang lain (contohnya batang penyapu). Atau contoh lain, kita terus jugak tiba-tiba minat pelihara ikan kelisa sebab suami kita minat. Dan apabila geng ikan kelisanya datang bertandang ke rumah, kita pulak lebih-lebih cakap pasal ikan kelisa (sebab kita dah print dan hafal daripada internet ..) sambil duduk sama-sama bersila depan akuarium (sehingga suami terpaksa masuk dapur menyediakan minuman…).

Begitu juga dengan sifat suka mengekori suami tadi mungkin menimbulkan kesusahan kepada orang lain. Cuba bayangkan kita sahaja seorang perempuan tercongok di suatu kumpulan sedangkan semua orang lelaki. Lelaki ni dunianya banyak berkisar mengenai `man talks' juga. Ala macam kita juga pun ada `hal perempuannya'…

Namun bukanlah maksud saya kita tidak boleh ikut langsung suami kita, mungkin ada suasana, majlis dan tempat-tempat tertentu yang bersesuaian untuk kita hadir. Sebagai isteri yang bijaksana kita seharusnya tahu majlis mana atau tempat mana kita sepatutnya muncul bersama suami kita. Biarlah kita menjadi isteri yang memberi `value added’ kepada suami kita, jangan kita yang memberikan `depreciation’ (susutnilai) kepadanya.

Kita harus menerima hakikat kita tidak boleh mendapatkan hak yang sama dengan lelaki di dalam beberapa hal. Jangan pulak berkelakuan seolah mencabar allah. Pernah tak cuba bayangkan berapa kali dalam satu hari kita ceraikan laki kita jika kuasa talak ada di tangan kita? Ayah saya ada berseloroh kalau talak ada pada mak saya…katanya dalam satu hari mungkin 4 kali dia diceraikan.

Kita sebagai isteri…

Memang saya akui hendak menjaga laki seorang lebih sukar daripada menjaga kerbau sekandang. Nampak sahaja simple tetapi meletihkan luar dalam. Banyak kerja hendak dibuat termasuk mengurus rumahtangga juga adalah element menjaga laki. Cuma kadang-kadang saya percaya ada di antara kita merasakan seolah-olah tidak diberi perhatian atas pengorbanan kita. Seolah apa yang kita lakukan itu adalah kerana tanggungjawab kita sebagai isteri... Namun percayalah suami kita tahu dan dia faham cuma dalam bab-bab pamirkan perasaan ini kebanyakan lelaki fail, bukan semua lelaki macam Mankisue... allahualam.

Sebagai isteri tugas kita ialah menyenangkan hati suami, zahir batin. Jangan sesekali menderhaka atau meninggikan suara, naulzubillah. Sebagai isteri kita seolah menjadi pelengkap kepada dunia-dunianya, beri perangsang dan galakan. Janganlah pula kita yang menimbulkan keresahan di hatinya. Agar apabila suami melihat wajah kita, terasa ringan bebanan hidup atau masalah yang digalasnya.

Sebagai seorang isteri kita tidak boleh tamak akan kepada hak-hak yang ditetapkan dan diberikan oleh allah kepada mereka. Saya akui bukannya mudah untuk menjadi seorang isteri solehah, namun isteri yang solehah dicemburui bidadari disayangi allah dan nabi. Suami itu diberikan oleh allah untuk menguji dan mengajar kita, dan seharusnyalah cinta kasih sayang kita kepada allah melebihi segalanya.

Jan: Suami itu ujian besar daripada allah kepada seorang perempuan… ( tak ada suami pun, juga satu ujian besar...)

2 comments:

Eja said...

ni...Mr Jan ke yg menulis. tggi sggh empathy Mr Jan ya..

Jankaulu said...

-ya, sya yg tulis sratus pratus, kalau tersilap tulis harap perbetulkan...

-Bimbang pula, sebab ada sedikit unsur agama. Beginilah sedikit sebanyak kefahaman saya yg cetek ni.

-sekali lagi, kalau tersilap harap perbetulkan...

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home