Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Showing posts with label SHARIFAH AINI. Show all posts
Showing posts with label SHARIFAH AINI. Show all posts

Tuesday, April 12, 2022

Sharifah Aini : Bulan puasa bukan cinta biasa

 



17 tahun lepas (2005), sebaik sahaja album ini keluar, saya terus membelinya. Rugi jika tidak beli. Album Kak Pah adalah item dalam katogeri khazanah negara. Ramai orang tidak sedar...

Menjelang ramadhan, ketika saya keluarkan album-album raya, saya keluarkan juga album-album Kak Pah yang saya rasakan sesuai untuk `mood' raya. 

Seawal pukul 5 pagi, album `Bukan Cinta Biasa' ini sayup-sayup saya perdengarkan. Dan saya mula sibuk di dapur. Bukan sibuk memasak tetapi sinuk memanaskan makanan dan berkemas dapur. 

Sedikit ulasan album: 

Album ini istimewa dan unik kerana terdapat 4 surah yang diperdengarkan oleh Kak Pah (bersama terjemahannya). Ya allah merdunya bacaan Kak Pah.

Album ini mengingatkan kita kepada kasih sayang antara manusia menjadi jambatan kepada balasan agama kita di akhirat nanti. Juga kasih sayang tuhan terhadap kita.

Tidak satupun kejadian dalam hidup kita ini tidak dihitung, semuanya dihitung. Berbuat baiklah sesama kita. jangan aniaya orang demi kepentingan diri.

Saya amat suka lagu ke 10 dan 11 iaitu bertajuk "Inikah balasannya' dan `Inikah Manusia'. Rasa sedih dan insaf pula apabila mendengarnya. Rasa kerdil...teringat liku-liku hidup yang dilalui... Pastilah setiap orang ada cubaan hidup. Patah hati, jatuh-bangun. tergolek.

Saya tujukan lagu ini kepada peminat Kak Pah, dengan doa semoga tabah hadapi kehidupan ini, cubaan menguatkan kata, insyaalah. Kita hadap jea.





Kita sebagai manusia harus sedar cinta sepatutnya fokuskan kepada pencipta kita. Kita asyik berharap dan mendambarkan kasih sayang dan perhatian manusia. 

Namun kita manusia, selalu salah dan sesat...dalam kelakuan dan niat. Sebab itulah agama menjadi pedoman dan panduan.

Kak Pah nama besar dalam bidang seni suara negara kita. Pelbagai rentak dan tema lagu telah didendangkan.  Lagunya bukan semata-mata berbentuk hiburan, ia juga meliputi nasihat dan pedoman.  Lagu-lagunya membawa kita kepada hakiki kehidupan. Mengingatkan pencipta kita.

Semoga Kak Pah tenang di sana dan tergolong dalam kalangan yang diberkati. Amin.

Al fatihah...





Thursday, September 12, 2019

SHARIFAH AINI Bersama Orkestra RTM (2014)






Notes

The CD was accompanied with a DVD of the recorded show with all the songs were the same songs except for 1 song which was not included in the CD.
Track No 9 Smile..was not included in the CD.It was a song featuring Datuk Mokhzani on piano.

Konsert pada tahun 2012


Sedutan Artikal: 

Album konsert terakhir Kak Pah


Kepulangan secara mengejut Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ke rahmatullah pada 5 Julai lalu masih lagi dirasai jutaan peminatnya. Sesudah lebih empat bulan pemergian beliau, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengorak langkah memasarkan album konsert solo penyanyi Seri Dewi Malam itu bersama Orkestra RTM dalam satu acara khas di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam esok (Sabtu).
Konsert Eksklusif Datuk Sharifah Aini Bersama Orkestra RTM diterbitkan stesen penyiaran itu pada April 2012 dan rakamannya turut berlangsung di Angkasapuri. Ia diterbitkan khas oleh RTM ketika itu bagi mengenang perjuangan empat dekad beliau dalam dunia nyanyian.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:02 AMOleh Roslen Fadzil .
oslen@mediaprima.com.my

Buah tangan terakhir



Pegawai Perhubungan Awam Life Records, Sariah Idris berkata, rakaman Konsert Eksklusif Datuk Sharifah Aini bersama Orkestra RTM berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur di bawah Pemimpin ORTM Ahmad Ali@Jimmy Ali dan Pengarah Muzik ORTM, Datuk Mokhzani Ismail.
"Ini adalah impian dan permintaan terakhir Allahyarham yang teringin melihat lagu-lagunya dihasilkan dalam sebuah album untuk diberikan khusus kepada peminat.
"Jika diikutkan perbincangan bersama Datuk Mokhzani sudah lama dilakukan, namun ia tergendala sementara apabila arwah sakit dan terlantar.
"Tidak lama kemudian, selepas pemergian arwah ketika pihak kami berbincang dengan Mokhzani, timbul semula perancangan ini untuk menghasilkannya dan alhamdulillah pada
17 November lalu ia sudah pun dipasarkan dan kami turut melancarkannya pada 22 November lalu ketika Mokhzani sedang mengadakan sesi rakaman konsert live bersama Datuk M Daud Kilau," katanya.
Pun begitu, apa yang menyedihkan mereka, belum pun sempat album ini menjengah pasaran, Sharifah Aini terlebih dulu pergi menghadap Ilahi pada 5 Julai lalu.
"Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada Industri hiburan negara dan sangat dirasai semua terutama peminat setianya.



Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:00 AM
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my 
Bila saya tengok VCD ini saya sedih...saya sedih dengar lagu `sayang Musalmah'...

Wednesday, January 4, 2017

Takkan Melayu Hilang di Dunia : Sharifah Aini (1999)




Lagu asli tidak mudah untuk dinyanyikan dan amat payah pula untuk dikomersialkan...

Oleh sebab itulah apabila ada penyanyi yang berupaya membawa lagu asli dengan baik, ia adalah suatu nilai tambah yang besar bukan sahaja kepada penyanyi tersebut tetapi juga kepada kesinambungan grene lagu Melayu asli Malaysia.

Malaysia ada memiliki penyanyi yang boleh menyanyi lagu Melayu yang baik. Contohnya Datuk Sharifah Aini, Tan Sri S.M Salim, Zaleha Hamid (walaupun lebih terkenal dalam irama dangdut), Kamariah Noor, dan Dato Siti Nurhaliza. Mereka  telah memberikan sumbangan besar kerana beliau yang begitu diminati secara tidak langsung membawa para peminatnya meminati lagu asli.


Perlahan, sayu dan lembut...

Kebanyakan lagu asli membawa tema muzik dan perasaan yang perlahan, sayu, syahdu, dan lembut (yang memerlukan penguasaan penggunaan suara dan teknik nyanyian dan pernafasan yang rendah dan mencabar). Dan pada pendapat saya semua ciri tersebut dilahirkan oleh arwah dalam album `Lela Manja' (1979) dan terbaru `Takkan Melayu Hilang di Dunia' terbitan EMI yang dikeluarkan pada tahun 1999.

Dari Brunei


'Tak kan Melayu hilang di dunia" adalah album Kak Pah yang baru saja saya miliki dua minggu lepas. Album ini menjadikan koleksi album Kak Pah saya terjumlah sebanyak 44 album. Album Kak pah melebihi 100 buah, entah bila saya dapat mencapai jumlah tersebut...



Saya mendapatkannya album dari seorang pemuda Brunei. Rasa hati sangat gembira apabila beliau mahu menjualkan album tersebut. Gembira sungguh saya menerimanya sehingga tidak sabar saya mahu pulang ke rumah, untuk mendengarkannya.


Keistimewaan `Tak kan Melayu Hilang di Dunia'

Album "Tak kan melayu hilang di dunia' banyak keistimeawaannya. Contohnya Sharifah Aini rakamkan semula lagu `Takkan Melayu Hilang di Dunia' untuk album ini. Sebelum itu lagu ini dirakamkan pada tahun 1998 untuk album OST animasi filem Silat Lagenda'.







Senarai lagu...


Album Kak Pah, air nescafe dan sofa L

Semalaman saya mendengar lagu ini, iramanya mendayu pilu dan lembut. Sambil menghirup nescafe panas (walaupun doktor marah), saya duduk mewah atas sofa L (yang saya hutang, bayar bulan). Saya rasa amat bersyukur kerana album ini akhirnya jatuh ke tangan saya. Terima kasih Qawi kerana sudi menjualnya kepada saya.

Album ini memang berjaya membawa kenyaman jiwa asli. Boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa sebab bentukrupa yang sangat berseni dan ada jati diri. Tidak seperti lagu zaman sekarang yang entah kemana, ke tepi ke tengah kedudukan iramanya.

Aci kerat ibu (jari jiran) saya bahawa album ini akan menjadi khazanah yang tidak ternilai puluhan tahun lagi. Dengan melihat senario kemunculan penyanyi sekarang, (yang suka  menjerit, mengerang dan mengetarkan suara). hampir mustahil akan lahir penyanyi yang bersuara lunak yang boleh menyanyikan lagu Melayu asli  dengan baik. .


Keistimewaan lagu `Pujaan hatiku...,

Namun ada juga lagu yang bukan lagu Melayu asli tetapi telah di`Melayuasli'kan oleh Sharifah Aini dengan keluarbiasaan lontaran dan alunan suaranya. Kalau DJ Dave menyanyi lagu Hindustan kita akan tahu iramanya adalah irama Hindustan, namun dalam album ini ada lagu Hindustan yang `dijadikan' lagu Melayu Asli oleh arwah. Inilah luarbiasannya insan bernama Sharifah Aini... Tiada tolong banding dalam kefahaman jiwa sesebuah lagu.

Syahdu sangat saya menikmati lagu ini sambil sekali-sekala cicah biskut kering jacob dengan air nescafe. Mendayu-dayu rasa. Rasa mewah dan bahagia walaupun baki duit di bank bulan ini setelah ditolak belanja bulanan tak berapa nak membanggakan. He he he.

Lagu tersebut bertajuk ` Mera Dil Ye Pukare Aja - Lata Mangeshkar, dari filem Nagin (1954). Boleh rujuk youtube. Boleh layan...

Sekian jumpa lagi. Salam buat peminat-peminat Sharifah Aini. kalau hendak menulis mengenai biduanita kita ini tujuh hari tujuh malam tak akan habis. Sebuah lagi boleh diceritakan sepanjang-panjangnya. Apatah lagi sebuah album.

Terima kasih kerana sudi membaca.

Sebenarnya kalau nak memperkatakan album ini dua hari dua malam tak akan habis... Sebab album Kak Pah bukanlah dikeluarkan  sebagai `hanya sebuah album'. 

Thursday, April 21, 2016

LELA MANJA ALBUM TERBAIK SHARIFAH AINI - Mahzan Musa



Lela Manja
Sharifah Aini & Hamzah Dolmat

Produksi: 1979 (EMI)...Album `Klasik' 70an
Label: EMI-EMGS 5533
Format: Vinyl, LP, Album
Country: Malaysia
Released: 1979
Genre: Folk, Tradisional, Malay Pop Ballad (Pop Balada), Vocal.















LELA MANJA ALBUM TERBAIK SHARIFAH AINI

Di dalam album ini termuat sebelas buah lagu dalam rentak dan irama Melayu asli. Ia merupakan satu-satunya album lagu Melayu yang diusahakan berlandaskan pola, gaya lagu Melayu asli.

Empat karyawan yang mahir dengan seni lagu-lagu Melayu asli- Hamzah Dolmat, Alfonso Soliano, Harris Harun dan Arshad Ismail bersama biduan Sharifah Aini membentuk gandingan perdana dalam penerbitan album “Lela Manja”. Gandingan perdana ini memperlihatkan Alfonso Suliano bertindak sebagai penerbit. Raja Biola Malaysia, Hamzah Dolmat menerajui seni lagu melalui gesekan biolanya yang turut juga menurunkan senikata bagi semua lagu dalam album “Lela Manja”.

Album “Lela Manja” sememangnya mengukuhkan dimensi repertoir Sharifah Aini sebagai penyanyi serba boleh. Kemerduan vokal Sharifah Aini membangkitkan semangat, nurani jiwa lagu. Lenggok, patah lagu biduan Sharifah Aini gayakan dengan penuh penghayatan dalam ketrampilan seni.

Kehebatan vokal biduan Sharifah Aini mendendangkan lagu jika diukur pada tujuh kriteria dari segi kejituan, lenggok, sebutan, kawalan suara, penghayatan, julat suara dan kelunakan memang indah lagi mempersonakan. Sebutan lirik lagu Sharifah Aini pada lagu-lagu “Lela Manja” menyuguhkan kejelasan tepat pada setiap diksi. Kejituan sebutan, serta kesinambungan nafas apungan Sharifah Aini bertahan menjadikan vokalnya kedengaran besar, mantap lagi bertenaga.

Sewaktu menyanyikan lagu-lagu “Lela Manja” Sharifah Aini kedengaran seolah bercerita mengisahkan pengalaman “psyche” Melayu sepenuh rasa. Khalayak diasyikan dengan rindu dendam kesan persona suara berlagu Sharifah Aini. Suara nyanyian Sharifah Aini seimbang antara lagu dan irama. Kurang kedengaran irama lagu menakluk suara dan/atau suara menakluk irama lagu.

Hamzah Dolmat yang menghalusi lagu-lagu “Lela Manja” turut mengindahkan irama lagu bersama biduan Sharifah Aini. Gesekan biola Hamzah Dolmat kedengaran dalam suasana nada dramatik, beralun lembut, memuncak, tinggi mencelah, menyampuk, gemalai, bersambung-sambung beriringan berkumandang menebarkan keindahan irama lagu-lagu Melayu asli “Lela Manja”. Bersama paluan rebana, tabuhan gong, petikan mata piano melaraskan pesona tempo lagu. Tiupan seruling turut menyisipkan irama lagu.

Tinjauan dari aspek tingkah laku memperlihatkan lagu-lagu dalam album “Lela Manja” ada unsur “psyche” dan pandangan alam Melayu secara berlagu. Lagu-lagu asli “Lela Manja” adalah cernaan akal, semangat Melayu. Simbol, perlambangan dan metafora Melayu terkandung menerusi gaya seni lagu dan seni kata lagu dalam album “Lela Manja”. Interaksi fizikal, psikologikal dengan persekitaran alam Melayu diringkaspadatkan oleh pencipta asal lagu-lagu asli “Lela Manja” secara berseni menerusi sebelas buah lagu. Lagu-lagu ini menyisipkan pesan, amanat, nasihat untuk dijadikan pedoman dengan memuhasabah perlakuan menerusi kaedah introspeksi ke dalam diri.

Kehebatan tradisi lisan menjelma menerusi semua lagu-lagu dari album “Lela Manja” yang mengabungkan unsur pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa, kiasan perbendaharaan Melayu yang saling berbaur dengan irama lagu.

Sebagaimana dengan tradisi lisan sastera Melayu yang tidak diketahui siapakah pencipta, pengubah asal, begitu jugalah dengan kesemua lagu-lagu asli dalam “Lela Manja”. Pencipta, pengubah misteri lagu-lagu Melayu asli ini menjadikan lagu-lagu Melayu asli berada dalam kedudukan istimewa yang boleh dikongsi bersama oleh mereka yang berada di alam Melayu. Konsep perkongsian misteri ini kiranya adalah antara ciri yang menjadikan lagu-lagu Melayu asli “Lela Manja” indah menawan.

Lagu pertama dengan judul “Lela Manja” memerihalkan keagungan keindahan seni lagu Melayu. Dalam lagu ini diceritakan betapa lagu Melayu “dari dahulu sampai sekarang kekal tak hilang”. Lagu ini mempunyai unsur anamisma yang mana “lagu lama” adalah “hidangan bistari untuk penawar dewi abadi”.

“Ratapan Kamarulzaman” memperdengarkan julat vokal tinggi rendah biduan Sharifah Aini. Lagu ini tidak berlegar pada rintihan kesedihan sebagaimana tajuk lagunya. Lagu ini memerihalkan isu moral yang secara ringkas mengingati agar berpada-pada berbuat baik jangan nanti agar “jasa yang ditabur tidak terperi” membawa kemudaratan sehingga “hilanglah akal kerana budi”. Kelangsungannya, lakukan dengan “budi bahasa” yang “sukar dicari”. 

Lagu “Pasir Roboh” berlegar pada isu “kasih tidak boleh dijual beli” dan kasih “bukanlah benda yang boleh dibuat berniaga”. Unsur motivasi, dorongan muncul dalam bentuk hasrat, kemahuan, kegigihan untuk berusaha menjadi tema lagu “Sri Tambak”. Dengan menggunakan citra “nyiur gading”, “puncak mahligai”, “ketupat berisi inti” keinginan untuk mendapatkan sesuatu mesti dilakukan dengan usaha gigih walaupun bakal berlaku “hancur daging tulang berkecai”. Laksanakan tindakan sehingga “belumku dapat belum berhenti”.

Irama inang rancak lagu “Dodoi Si Dodoi” memerihalkan tindakan zahir ibu mendodoikan anak kecilnya agar “buah hatiku” “tidur bermimpi”. Pada masa yang sama ibu yang bertindak sebagai isteri turut cuba mententeramkan dirinya dari kegelisahan yang terselindung sewaktu ditinggalkan suami yang merantau. Keasyikan lagu ini meresap.

Citra awan mendung digunakan sebagai metafora agar mereka yang mendengar lagu ini terus bekerja memajukan diri. Akan “rosak binasa” pada mereka yang selalu “termenung”. Jika sesuatu “tidak ada, jangan di tunggu”. Ini intipati lagu mendayu “Mega Mendung”.

Lagu “Bentan Telani” melafazkan petua betapa “niat yang baik mestilah dijaga”. Bila berdampingan “ilmu berkasih mestilah setia”. Sehubungan dengan lagu “Bentan Telani” nada lagu “Gambus Palembang” agak dramatik sifatnya. Ia berkisar tentang tingkah laku mereka yang merantau. “Sungguh pun jauh, di negeri satu, hilang dimata dihati jangan”. Diperingatkkan kalau hilang “tak kanlah sama dengan yang hilang”.

Tingkah laku perkasihan sememangnya perlakuan yang paling digemari didendangkan menerusi lagu. Melalui “Damakku Sayang” dinyatakan “cinta kasih bukanlah benda buat berhias”. Jika dijadikan hiasan akibatnya diri tidak orang peduli jauh sekali dipentingkan. Itu amanat lagu ini.

Dalam nada yang agak melankolik irama lagu “Sri Sarawak” menjadikan citra “perahu sempit” sebagai simbol ketidakupayaan untuk meneruskan hubungan kasih saying. Lalu dilafazkan “tinggallah intan, tinggallah junjungan”. Terkesan kehibaan, kesayuan Sharifah Aini menerusi “Sri Sarawak”.

Penelitian ke atas seni kata lagu-lagu album “Lela Manja” turut terkandung artifak-artifak tradisi Melayu yang digunakan di zaman silam. Ditemui “perahu Bugis”, “perahu mayang”, “perahu mudik”, “layar”, “kemudi”,“pura”, “gambus”. Ada juga citra “Kota Melaka”, “Bentan Telani”, “Palembang”, “pekan menyabung ayam berlaga”. Disisipkan juga “ketupat berisi inti”, “pucuk pauh”, “inderawasih”, “anak semilang” yang membayangkan suasana di zaman lalu. Itu antara kelebihan seni lagu-lagu asli “Lela Manja”. “Lela Manja” dihasilkan di luar kelaziman biasa, tidak konvensional sifatnya.

Sehingga kini masih belum kelihatan album lagu-lagu Melayu asli sehebat “Lela Manja” baik dari segi nyanyian, susunan seni lagu, laras senikata lagu seniman dan biduan yang mengusahakan “Lela Manja”. “Lela Manja” bukan sebarang album seni lagu Melayu.

“Lela Manja” adalah album berdarjat yang memperkasakan seni lagu asli Melayu di alam Melayu. “Lela Manja” memerihalkan semangat, keghairahan, keasyikan, kehebatan peribadi Melayu yang dapat dikiaskan sebagai keindahan tradisi sulaman tekad benang emas pada kain dewangga.


- Mahzan Musa, Dewan Budaya, Februari 2004

Thursday, April 7, 2016

Pukulan Seri Dewi Malam...! (Sharifah Aini pulangkan rentak Melayu)



"Tak ramai yang sedar bahawa Sharifah Aini matikan pop yeye dengan lagu ini. Rafeah Buang walaupun nyanyikan lagu 'asli' dalam filem, albumnya pada lewat tahun 60an adalah bersama kugiran The Swallows (siapa yg masih ingat lagu Playboy nyanyiannya?). Sanisah Huri pula 100% jelmaan pop yeye, lengkap dgn skirt.

Sharifah Ainilah yang pulangkan rentak Melayu pada masyarakat Melayu, hingga Rafeah Buang & Sanisah Huri ikut sama. Hinggakan hampir setiap penyanyi pada awal 70an terpaksa selitkan rentak Melayu dlm album mereka. Pengaruh ini tular hingga ke Indonesia. Kerana Sharifah Aini buktikan bahawa rentak Melayu masih ada nilai niaga.

Pencipta2 lagu handalan Ahmad Nawab & Kassim Masdor yg kemudiannya   banyak hasilkan rentak Melayu untuk ketiga penyanyi wanita ini, asalnya banyak cipta lagu rentak jazz. Peranan Sharifah Aini tak boleh dientengkan."


- Awang Belantara




Thursday, February 4, 2016

Kasih 2015 (First time issued in CD)


Saya rasa sangat gembira bila album ini pertama kalinya dikeluarkan semula (first time issued in CD format). Pertama kali album ini keluar adalah pada tahun 1987 dalam bentuk kaset dan LP. Pada masa tersebut saya ada beli kasetnya.

Album ini muncul di tengah-tengah kegilaan muzik rock. Namun Kak Pah ada peminatnya sendiri.

Edaran semula ini diusahakan oleh Universal Musoc Sdn Bhd. Terima kasih banyak-banyak. Album ini istimewa keranapenerbitnya M. Nasir. dan ada lagu Kak Pah Feat M. Nasir dalam lagu `Sabarlah sayayang'.




Sukar untuk saya katakan lagu mana yang saya paling minat. Bagi saya semuanya adalah merdu belaka. Antara lagu yang saya suka adalah lagu bertajuk `Kasih':


Kasih

Kasih sejuk sedingin salji
Kasih sepanasnya mentari
Kasih rindu hadir di ruangan waktu
Andai bersamamu
Terubat rindu dikalbu

Andai di kutub utara
Cinta itu berada
Akan aku mencarinya
Walau berbagai halangan
Tersusun kalimah indah
Kulafaz di setiap langkah
Dalam perjalanan menuju cinta satu
Kasih

Kasih walau beribu wajah
Kasih walau berjuta madah
Kasih ku tak akan berubah

Andai di gurun sahara
Cinta itu berada
Akan ku mendapatkannya
Walau kering dalam dahaga
Begitu besarnya cinta
Terbina di dalam jiwa
Tak bisa diukur
Tiada tandingannya
Kasih

Kasih walau beribu wajah
Kasih walau berjuta madah
Kasih ku tak akan berubah

Sekian.

Monday, August 10, 2015

Penutup segala suara - Sharifah Aini





Sharifah Aini - Sayang Musalmah & Gunung Banang

Bagi saya suara Kak Pah adalah penutup segala suara. Maksud saya tiada penyanyi lama dan penyanyi baru yang mempunyai suara lemak merdu seperti beliau. Dan tiada juga pada masa akan datang... Saya percaya dan yakin suara wanita Melayu sudah ada penutupnya. Beliau adalah Datuk Sharifah Aini.
Lagu sayang Musalmah dan Gunung Banang yang saya sertakan di atas ini dinyanyikan Kak Pah secara `live' bersama Okestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur... Lenggok suaranya begitu sempurna dan `besar' bersama okestra. Tidak ramai penyanyi yang bersuara `besar' yang boleh menyanyi diiringi dengan berpuluh pemain muzik.
Dua lagu sedih ini amat menyedihkan...tetapi menjadi lambang kejituan pencapaian suara penyanyi wanita Malaysia.. Lagu di atas contohnya telah membuatkan pendengar/peminat menangis... 
Layaan...suara yang ikhlas, penghayatan penuh...

DATUK SHARIFAH AINI - KONSERT EKSKLUSIF BERSAMA ORKESTRA RTM



Saya tidak lagi berkabung.

Saya hanya berkabung selama setahun tanpa suara Datuk Sharifah Aini.

Dalam pada masa tersebut saya telah membeli beberapa CD beliau dan juga satu DVD yang istimewa.





DVD ini adalah rakaman terakhir beliau bersama Orkestra RTM yang dibuat pada tahun 2012.
Pada masa tersebut beliau sebenarnya sudah sakit-sakit tetapi merahsiakannya dari pemitnya.




Suara nyanyiannya tetap merdu di telinga saya. Adakalanya saya sayu. Seolah tidak percaya beliau sudah tiada.

Allah maha besar...


Tidak ada penyanyi sehebat Kak Pah. Dan saya percaya tidak akan ada...

Patah tak tumbuh, hilang tak kan berganti...


EKSKLUSIF DATUK SHARIFAH AINI BERSAMA ORKESTRA RTM
(RTM-Life Records, 2014) 

  Seri Dewi Malam

  Burung Pungguk

  Teratai
  Empat Dara
  Kau Tinggi Di Awan Biru & Tiada Maaf Bagimu (medley)
  Hapuslah Airmatamu & Setulus Cintamu (medley)
  Biarlah Bulan Bicara
  Forever And Ever
  Ku Curah Kasih Dalam Lagu
  Di Malam Persandingan
  Surat Dari Seberang, Jangan Tinggalkan Daku & Ingatan Manis
   Di Bulan September (medley)

  Bunga Tanjung
  Irama Cintaku

Terdapat juga sebuah CD selain DVD...


Saya juga suka melihat Kak Pah sebab dari muda sehingga akhirnya beliau kelihatan cantik, menjaga penampilan diri...


Wednesday, July 8, 2015

Setahun tanpa Sharifah Aini...






1. 5 Julai lalu genap setahun pemergian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini, yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Kak Pah. 

2. Dan setahun jugalah saya tidak memainkan lagu nyanyian allahyarhamah. Penyanyi yang paling saya minati.

3. Saya tidak sangka saya boleh laluinya dan melawan perasaan untuk tidak mendengar suara merdu (yang mendamaikan) dari beliau. CD Kak Pah tersusun rapi di rak. Saya hanya melihatnya sekali-sekala. Sebelumya setiap hari saya pasang lagu Kak Pah

4. Saya juga terus menutup radio apabila terdengar nyanyian beliau. Saya rasa sedih. Namun tempoh berkabung tersebut telah tamat. Saya akan mendengar lagu beliau. Tidak mendengar lagu beliau adalah suatu yang tidak menyelesakan...

5. Setahun tanpa beliau amat memenatkan jiwa saya kerana maaf cakap, tiada suara yang merdu sepertinya yang dapat menghiburkan hati saya. 

6. Saya tidak percaya ada suara semerdu beliau walaupun saya suka suara Aisyah, Uji Rasyid, Rohayu Majid dan Nora (sekadar menyebut beberapa nama). 

7. Ada penyanyi yang dapat menyanyi dengan baik tetapi suara tidaklah sesedap mana. 

8. Saya juga tidak lagi peka dengan perkembangan seni suara tanah air. Tidak ada penyanyi baru yang berjaya kagumkan saya dengan suara yang baik. Walaupun ada banyak pogram realiti yang mencungkil bakat baru, saya tidak nampak siapa-siapa yang akan menjadi bintang yang hebat. Mutu suara sangat rendah...

9. Setelah perginya Kak Pah, tidak ada lagi bintang yang hebat dan bersinar. Yang ada hanyalah insan-insan yang menjadikan kerjaya penyanyi itu sebagai satu jenis pekerjaan yang biasa.

10. Tidak seperti kak Pah yang sehingga ke akhir hayatnya arwah sentiasa releven dalam perkembangan industri muzik dan seni suara tanah air.

11. Al Fatihah, semoga arwah Kak Pah sentiasa dilimpahi rahmat, Amin.



Thursday, April 16, 2015

Siri Bintang Pujaan: Datuk Sharifah Aini (2014): Review

Sehingga ke hari ini saya masih tidak mendengar mana-mana lagu nyanyian Datuk Sharifah Aini. Adakah saya masih berkabung? Entahlah, suatu hari ketika memandu, saya terus menutup radio jika lagu allahyarhamah diputarkan...saya rasa sedih...mungkin belum masanya saya mendengar suara beliau.
Namun begitu saya tetap membeli album baru yang dikeluarkan atas nama penyanyi Datuk Sharifah Aini. Setakat kepemergian beliau sudah lima album dikeluarkan atas nama biduanita tersohor ini. Contaohnya dalam siri Bintang Pujaan ini ada juga album Kak Pah.
  

Walaupun saya tidak suka menonton drama Melayu, bukanlah bermakna saya tidak suka element Melayu. Contohnya saya suka mendengar lagu Melayu terutama lagu lama. Lagu baru kurang sikit sebab nilai estetikanya kurang. Entah apa. Sedikit saja yang bagus, kebanyakannya dirosakan oleh orang yang hipokrit dalam industry tersebut.
  
Lagu `Seri Dewi Malam', `Seksa" dan `Hapuslah Airmatamu' merupakan lagu malarhijau Kak Pah. Lagu yang saya tidak boleh dengar sambil lalu...maksud saya lagu itu akan menguasai diri saya bila mendengarnya.

Saya bukan bias tetapi dalam siri Bintang Pujaan ini, saya dapati pilihan lagu Kak Pah adalah yang terbaik. Untuk penyanyi lain pemilihan lagunya kurang menyengat. Contohnya bagi Siri Bintang Pujaan CD Rafeah Buang, banyak lagu arwah yang sedap tidak dibubuh dalam album tersebut. Begitu juga CD  Siri Bintang Pujaan Allycats, lagu-lagu tersebut diambil hanya daripada tiga album! Penipu betul. Huh!

Kalau nak buat pakage `Bintang Pujaan', kena laaa pilih lagu yang meletop yang membuatkan penyanyi tersebut tersohor dan dipuja. Pemilihan lagu-lagu dalam album boleh rujuk kepopularan lagu di TV atau radio. Kena la buar kajian sikit... Bukan tangkap muat.

Saya harap pihak terbabit lebih peka dan bertanggungjawab dalam memilih lagu untuk dibuat album kompilasi, bersesuaian dengan tema album tersebut. Bintang Pujaan.

Memang bagi penyanyi tersohor seperti arwah Kak Pah ini agak sukar memilik lagu yang menjadikan beliau `bintang' sebab Kak Pah mempunyai ratusan lagu malar segar yang menjadikan beliau bintang pujaan atau Superstar. Tetapi bagi Siri ini saya berpuas hati di atas pemilihan lagu-lagunya.

Album yang saya beli di Shah alam ini telah saya pinjamkan kepada salah seorang sahabat saya. Sampai ke hari ini beliau masih belum memulangkannya, mungkin dia suka album ini. Jadi saya berhajat untuk berikan saja album tersebut kepada beliau sebagai tanda menghargai persahabatan kami.

Saya akan beli yang lain...

Sekian...

P/s: Kepada hati yang pernah dihancurkan...jangan lupa dengar lagu nombor tiga, Disk dua... "Inikah Balasannya." Sia sediakan tisu...lap air hidung. he he he.





Friday, August 15, 2014

Datuk Sharifah aini: Antara bunga Tanjung dan 1000 Mawar

Saya masih lagi tidak `berani' untuk mendengar lagu allahyarhamah Biduanita Negara Datuk Sharifah Ani. Maka sehingga ke hari ini saya masih lagi tidak berniat untuk memutarkan lagu-lagunya. Biasanya saya mendengar lagu-lagunya hampir setiap hari. Saya hanya mampu memandang CD-Cd Kak Pah tersusun rapi di rak. Sekali sekala saya melihat cover CDnya.
Bagaimanakah perasaan saya nanti ya? Maksud saya perasaan yang akan lahir apabila pertama kali mendengar lagu Kak Pah setelah beliau tiada...
Tentu saya akan rasa sedih.
Saya juga tidak tahu untuk memilih lagu mana sebagai lagu pertama yang saya ingin dengar setelah Kak Pah tiada. Dengan rakaman lagu yang berjumlah 700 lebih dan terdapatnya lagu malar segar yang banyak. Sukar untuk saya pilih.
Banyak lagu yang merdu. Sesungguhnya beliau membekalkan kita banyak lagu-lagu yang indah di sepanjang zaman. Mana ada penyanyi yang dapat bertahan sepanjang zaman dan terus releven dengan dunia seni suara (terlibat dengan AF)? Hanya Kak Pah.
Saya suka semua lagu Kak Pah. Namun ada dua lagu yang saya selalu dengar. Lagu tersebut adalah lagu Bunga Tanjung. Lagu bunga Tanjung ini sangat luarbiasa bukan sahaja dari susuanan muzik worldview Melayunya tetapi juga kerana ia dibawakan dengan cara Kak Pah sendiri. Saya sudah mendengar lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi lain. Bunyinya amat janggal di telinga saya. Maaf cakap. 

Saya berani kata lagu bunga Tanjung adalah antara lagu yang sukar. Kak Pah sendiri pernah mengakuinya. Lagu bunga Tanjung telah dinyanyikan dengan merdu dan telah mencapai satu standard yang tinggi. Sukar bagi penyanyi lain untuk mencapai pada tahap itu. Apabila saya mendengar lagu tersebut, saya terasa saya seolah berada di istana sambil main buaian...sambil berwasap.

Tentang lagu Seribu Mawar pula...saya tidak akan ulas. Ia adalah kisah cinta saya. Runtun hati apabila mendengarnya. Ya allah ya tuhanku tunjukanlah kebenaran, lepaskanlah aku dari siksa ini...
Titik.

Tuesday, July 8, 2014

Siapa Sharifah Aini dalam hidup saya...?

Asalamualaikum,

Dan salam sejahtera buat pembaca blog saya. Semoga berada di dalam keadaan sihat sejahtera bersama keluarga tersayang, saudara mara dan sahabat-sahabat tersayang. Semoga sentiasa dilindungi dan diberkati  olehNYA

Saya merasa sangat aneh dan dipenuhi perasaan sayu untuk menulis posting ini... Namun sedikit sebanyak posting ini dapat menjawap mengapa saya sangat menghargai kehadiran Datuk Sharifah Aini dalam hidup saya... Allah maha besar.

Kadang-kadang kita sebagai manusia tidak memerlukan pertalian dalam bentuk pertalian darah atau saudara untuk merasakan adanya suatu hubungan. Suatu hubungan atau pertalian yang mendalam, terjalin dengan erat. Namun saya antara insan yang bertuah kerana Allah telah memberi kesempatan untuk merasai perasaan kasih sayang dalam suatu hubungan yang amat istimewa, ikhlas, menenangkan dan mendamaikan. Kasih sayang dari seorang yang bernama Datuk Sharifah Aini.

Saya rasa mungkin perasaan sebeginilah yang dirasai juga oleh ribuan peminat-peminat setia arwah. Kini saya semakin faham kenapa beliau sangat disayangi ramai... Beliau berjaya melahirkan perasaan saling menyanyangi di kalangan peminatnya. Allah maha besar.

Sukar untuk menulis di sini apa yang saya rasa apabila berhadapan dengan berita kepermegiannya... Tentulah saya tidak percaya... Saya berharap sangat berita yang saya dapati di media internat itu suatu penipuan.

Bagaimanakah Datuk Sharifah Aini menjadi sangat istimewa di kalangan peminatnya?

Jawapan yang paling ringkas dan tepat ialah Datuk Sharifah Aini bukanlah seorang penyanyi biasa...
 
Saya tidak pernah berjumpa atau bercakap dengan Datuk Sharifah Aini. Saya mungkin antara ribuan peminat beliau yang pemalu. Saya terdiri daripada kalangan orang biasa. Malah terlalu biasa. Tidak ada nama, rupa dan harta.
 
Selain daripada keluarga saya, Datuk Sharifah Ainilah memberikan kesan yang besar kepada kejayaan dan pencapaian saya. Saya bukan sahaja membesar dengan lagu-lagu Sharifah Aini secara tidak langsung, malah secara langsung. Lagu-lagunya mengiringi kehidupan saya dalam mengharungi tawa dan tangis hidup, gembira dan duka perjalanan ini. Beliau begitu setia pada saya. Sentiasa ada di mana-mana saya berada. lagu-lagunya seolah latar belakang muzik perjalanan hidup saya. (Dengan 700 buah lagu yang dirakamkannya ia mewakili 700 lebih perasaan. Dan sebenarnya dalam sesebuah lagu terkadang mewakili banyak perasaan sekaligus. Bayangkanlah...)

Saya peminat tegar dan setia...

Ketika saya rasa gembira dan rasa bersedih ada lagunya mengiringi perasaan saya. Ketika saya jatuh cinta dan bahagia, ada lagu-lagunya yang bersesuaian dengan perasaan saya. Dan ketika saya rasa kecewa (bagai langit runtuh di atas bahu), ada lagu-lagunya memberi inspirasi dan semangat yang kuat untuk harungi hidup ini... Beginilah kaedahnya bagaimana meresapnya lagu-lagu arwah dalam kehidupan saya dan juga peminatnya.

Hampir setiap hari saya mendengar lagu-lagu beliau.  Beliau sentiasa ada di hati para peminatnya...

Ketika saya menitiskan air mata, memandu seorang diri beratus-ratus kilometer (saya tidak tahu hendak ke mana walaupun dunia ini luas... Pada waktu itu saya rasa nak mati saja...). Lagunyalah yang memberi inspirasi supaya saya berpatah balik `ke belakang'. Mulakan hidup yang baru, hadapi hidup ini...kerana hidup adalah ujian bagi yang berfikir.

Tidak sukar untuk menjawab mengapa Datuk Sharifah Aini dan bukannya penyanyi lain?. Jawapannya suaranya yang lunak merdu dan sentiasa jelas mewakili perasaan yang ikhlas dan penuh kasih sayang.

Saya sering menunggu album barunya... Kini nampaknya saya sudah tidak menunggu album baru dari sesiapa lagi... Ianya agak malang bagi industri muzik Malaysia.

Lagu-lagunya memberi saya semangat dan inspirasi, yang sentiasa berada di hati saya, di sisi kehidupan saya... dengan penuh setia dan ikhlas...

"Kak Pah, semoga rohmu dicucuri rahmat olehNya, amin..."




 

Thursday, July 3, 2014

Kelebihan suara biduanita negara Datuk Sharifah Aini

Dewasa ini untuk muncul sebagai seorang penyanyi yang berjaya, suara bukanlah satu-satunya ukuran yang paling penting. Dalam banyak keadaan, faktor-faktor lain turut memberi kesan yang mendalam dalam membantu kerjaya mereka.

Tidak ada seorang pun mengakui Anita Sarawak mempunyai suara yang lemak merdu. Malah agak janggal jika suara beliau dikategorikan sebagai lemak merdu. Ada kemungkinan Anita Sarawak sedar akan kelemahan yang ada pada suaranya berbanding dengan kemerduan biduanita Sharifah Aini (Kak Pah) atau biduanita Saloma. Namun sebagai penghibur yang mempunyai wawasan, beliau terus berusaha keras mengorak langkah dalam bidang seni suara. Dan akhirnya Anita Sarawak muncul terkenal bukan sahaja sebagai penyanyi yang Berjaya tetapi juga penghibur.

Kekurangan dari segi suara tidak menjadi halangan bagi sesetengah penyanyi. Setelah kerja kuat, berdidikasi dan berdisiplin, Anita Sarawak muncul antara penyanyi wanita Melayu yang istimewa, juga sebuah nama besar industri. 

Kesimpulannya, suara bukanlah suatu yang utama untuk berjaya dalam bidang seni suara Malaysia. Ramai juga penyanyi kita yang bersuara bagus tetapi sekarang di mana mereka dalam peta industri seni suara kita?. Contohnya, Azian Mazuan Sapun, Azlina Aziz, dan Bob AF. Sekadar menyebut beberapa nama.

Walaupun suara Kak Nita, Anuar Zain dan Datuk Sheila Majid tidaklah merdu ditellinga saya. Namun saya tetap membeli CD mereka kerana mereka miliki lagu yang hebat dan dinyanyikan dengan penghayatan yang baik sekali. Sesuai dengan personaliti. Sedap didengar.

Seperti Datuk Sheila Majid, Anuar Zain juga termasuk dalam katogeri Anita Sarawak. Sedap mata memandang, unik dan ada imej tersendiri. Pun begitu mutu vokalnya masih rendah dan tidak setanding dengan penyanyi Aisyah, Liza Hanim (saya berpendapat suara Liza Hanim lebih merdu berbanding Siti Nurhaliza, cuma nasib Liza Hanim agak berbeza) atau Bob AF, suara mereka masih sedap didengar.

Maka siapakah penyanyi Malaysia yang berjaya mencipta nama kerana mempunyai bukan sahaja kesungguhan, kecantikan dan pandai membawa diri...malah bersuara merdu?. Memiliki pakage yang selengkap?

Lemak merdu



BERCAKAP mengenai mutu suara Datuk Sharifah Aini pula, pada zaman kemuncak popularitinya, media massa negara terpaksa mencipta satu perkataan baru untuk menerangkannya. Perkataan tersebut ialah `lemak merdu' (nasib baik tak lemak berkrim, he he he). Dan sampai sekarang masih tidak kedengaran lagi panggilan ini untuk penyanyi lain sama ada di teleysiaon, radio atau majlis2 lain. Sebabnya? Sebabnya memang tak ada. Mungkin ada yang merdu tetapi tidak berlemak. (pulak dah).

Saya tidak berpeluang mendengar Kak Pah menyanyi secara langsung di hadapan saya. Namun melalui dvd dan internate saya pernah melihat dan mendengar suaranya bila beliau membuat persembahan. Bukan mahu berbombastik, namun mendengar suaranya bercakap pun kita tahu suara nyanyiannya sedap (macam kueh pulak, maksud saya suaranya merdu).

Dan apabila suara tersebut dilenggang- lenggukan ia sangat membuai perasan, sangat mengasyikan... Dan kita tidak hairanlah di zaman popularitinya ada ustad yang pergi laungkan azan di hadapan pintu pagar rumahnya...Suara itu amat mengasyikan...

Patah perkataannya jelas, bersih dan terang. Sebutan `d', `t', dan `s'nya jelas. Kita tidak perlu melihat lirik lagu untuk merujuk patah sebutannya. Bukan sahaja jelas dan terang, kak Pah tahu untuk wujudkan penekanan pada patah diksi yang tertentu. Ini penting untuk penjelasan maksud yang menjurus kepada perasaan yang timbul di telinga pendengar dan perasan yang di rasai hati bagi tuntutan penciptaan lagui tersebut.

Patah sebutan



SEORANG kawan saya Adnan pernah memberitahu bahawa Kak Pah telah meletakkan lagu nyanyiannya pada satu tahap di mana sukar untuk orang lain nyanyikan. Menurut beliau, contohnya perkataan `maaf' dalam lagu Tiada Maaf Bagimu dibunyikan dengan gaya yang tersendiri, unik dan mencapai tahap perasaan yang mendalam. Melambangkan perasaan hati sayu sedih penceritaan kisah dalam lagunya.

Suara nyanyian kak Pah membuatkan saya dibuai. Sebab itulah saya tidak akan menanda kertas pelajar saya sambil mendengar suara Kak Pah. Bimbang nanti semua dapat A. Saya pasang lagu dari suara lain sebagai latar belakang supaya saya tidak boring. Sekadar tidak sunyi.

Mutu suara Kak Pah dari segi kejituan sebutan dan kesinambungan nafas apungannya memang teratas sekali. Tidak ada yang boleh menandingi beliau. Bagi saya yang paling hampir adalah Kartina Dahari (seorang biduanita Singapura).

Lagu Melayu Kak Pah



Secara peribadi suara apungan Kak Pah dalam lagu pop agak sederhana berbanding dengan penyanyi zaman kini, namun hasil nyanyian lagunya sangat berkesan. Suara apungannya sedikit terkawal bila nyanyi lagu pop. Sama seperti sukarnya bagi biduanita negara Saloma mahu menyanyikan lagu bernada tinggi.

Namun ia bukanlah menjadi suatu masalah kepada Datuk Sharifah Aini. Ini adalah kerana pada zaman kegemilangan lagu-lagu popnya yang meletup kerana dicipta khas untuknya oleh Ahmad Nawab. Tentulah Ahmad Nawab mengetahui kelebihan dan kekurangan suara Kak Pah.

Kak Pah memang boleh bawak lagu Melayu dengan baik, tiada masalah langsung kepadanya. Begitu juga dengan lagu inggeris yang dinyanyikan dengan caranya sendiri (18 buah album inggeris|)

Pada zaman 70an, lagu-lagu dicipta ada unsur kemelayuan bercampur unsur timur tengah sekali. Terasa sangat kenusantaranya. Kak Pah Berjaya menyanyiaknnya dengan baik. (Keadaan sekarang mula berubah apabila banyak lagu dilahirkan secara ala barat). 

Namun Kak Pah terus menyanyi lagu Melayu yang membawa worldview Melayu. Pada pertengahan tahun 1980an, apabila berlaku perubahan aliran muzik, Kak Pah turut sama berusaha melahirkan lagu Melayu yang agak modern tetapi masih padat dengan unsur Melayu, contohnya album Kasih (1987).



Suara Kak Pah sekarang


SEIRING dengan usia melebihi 60 tahun, suara Kak Pah sudah berubah. Sebagai peminat setia saya mengaku adanya perubahan berlaku. Pada satu-satu ketika suara livenya kedengaran kasar dan serak. Ini diakui sendiri oleh beliau yang sentiasa merendah diri. Namun kalau difikir secara logik memang begitulah disebabkan faktor umur. Dan jika dibuat pada tahap pengukuran umur, memang pada tahap ini Kak Pah masih lagi berjaya menyanyikan lagu dan membuktikan beliau bersuara merdu. Ramai penyanyi seangkatan dengannya juga telah berubah suara. Connyohnya saya berpendapat suara merdu Uji Rasyid sudah banyak berubah.

Faktor usia boleh merubah suara, tidak adil membandingkan suara penyanyi lama dan baru secara langsung. Sedangkan Ziana Zain dan Aisyah juga sudah kedengaran beberapa kekenduran, keserakan dan kesemputan. He he he.

Pun begitu secara purata Kak Pah masih berada teratas sekali di carta hati saya. Suaranya boleh ditujukan menjadi begitu besar dan bertenaga. Dua perkara ini penting bagi penyanyi yang mahu menyanyi bersama okestra. Namun untuk menyanyi secara besar dan bertenaga selama 3 jam berturut turut selama 3 malam bukanlah suatu yang senang untuk dilakukan.  Kak Pah telah membuktikannya di dalam dan di luar negara...beliau mampu.


Sekian sahaja, saya tidak boleh menulis mengenai Kak Pah kerana ia akan menyebabkan saya tidak mahu berhenti menulis. Terlalu banyak  kisah yang boleh memberi inspirasi kepada kita dan penyanyi-penyanyi baru. Dari seorang budak yang menjual kueh beliau muncul sebagai seorang biduanita negara. Satu kisah yang sangat boleh dijadikan semangat dalam mengharungi kehidupan kita.

Saya doakan biduanita negara kita ini cepat sembuh, amin.

Abang Jan: Tengah giat mendengar lagu-lagu raya Kak Pah yang belum didengar lagi. Kak Pah ada berpuluh-puluh lagu raya lain yang jarang diputarkan di radio...



Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home

Labels