Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Showing posts with label PENDIDIKAN. Show all posts
Showing posts with label PENDIDIKAN. Show all posts

Wednesday, May 16, 2012

Batu jemala guru Malaysia

Saya berpendapat pekerjaan guru bukanlah cita-cita ramai pelajar di negara kita (Malaysia). Aci kerat ibu jari jiran saya (atau bunuh haiwan peliharaannya), ramai pelajar di negara kita tidak bercita-cita untuk menjadi guru. Guru bukanlah pilihan utama, mengejar hasrat untuk menjadi guru tidak sama ghairahnya seperti cita-cita mahu menjurai program realiti (yang boleh membawa kekayaan). Ya, menjadi guru bukannya boleh buat duit.

Bukan calang orang boleh menjadi guru kerana cabarannya luas. Maksud saya menjadi guru yang baik/bagus.

Tidak seperti dahulu, pekerjaan seorang guru sudah banyak berbeza. Contohnya, guru tidak lagi balik awal. Kerap-kali terpaksa balik lewat petang dan hari sabtu asyik ada mesyuarat (terutama jika pengetua sekolah bujang tua atau andartu tentu ada-ada jea program nak buat supaya dapat membentuk sahsiah diri pelajar). Dan perkara paling jelek ialah guru menerima tomahan apabila pelajar tidak berjaya/menjadi jahat. Guru dikatakan tidak pandai mendidik. Masyarakat menyalahkan guru, guru dan guru.

Dan bila anak berjaya, ibu bapanya terkembang hidung kata " Saya antar anak ke tuiseng, harapkan cikgu kat sekolah alamatnya teruk la resut anak saya". Haaa... Terasa hati jika guru mendengarnya kan?.

Saya pernah menjadi guru. Walaupun saya kini bergelar pensyarah, saya lebih senang ber`bahasa'kan perkerjaan saya sebagai guru sebab guru adalah selamanya.

Saya tahu cabaran  yang ada di sekolah, di kantin, di surau apatah lagi di dalam kelas. Saya tahu juga apa  maknanya peribahasa menjadi guru ibarat menjadi lilin. Saya ada banyak menyimpang kisah guru yang jika saya ceritakan tidak masuk akal. Tetapi itulah pengorbanan guru...

Bukan senang mendidik orang menjadi orang (yang berguna dan berilmu). Ada ilmu tapi salah guna juga tak berguna kan? 

Cabaran untuk melahirkan bangsa yang berwawasan dan bervisi menjadi tunggak kekuatan negara ada di bahu guru. Pembangunan ekonomi dan rohani pada setiap warga negara terpikul di atas batu jemala guru. Guru bertanggungjawab besar mencurahkan ilmu, mendidik dan mengajar. Ya, juga mengajar di luar silibus, maksud saya menerap `soft skill' gitu dan cerita-cerita nabi (atau cerita-cerita moral).

Kalau kita hendak menjadi negara maju, mestilah rakyatnya terdidik berilmu, kalau kita nak anak kita maju, kita kena la kenal guru. (Kenali laaa guru anak kita.He he he.).




Jan: Selamat hari guru.

Tuesday, May 8, 2012

Why STPM?...Why not?

Saya tahu benar perasaan pelajar yang keputusan SPMnya yang `sedang-sedang' rasai sekarang. Bila kawan-kawan lain galok dapat sambung pelajaran, tunjuk surat tawaran sana-sini... (galok bak Mak Cik Kiah dapat tandatangan Aron Aziz).

Dan pada masa tu kita hanya mungkin dapat naik tingkatan 6 yang tak glamour, tak segar dan di pandang sebelah mata. Mak bapak pun suam-suam kuku je nak cerita pada jiran...yang anaknya dapat tingkatan 6 rendah. 

Tetapi jangan  begitu! Jangan!. Saya produk STPM. Sampai ke hari ini saya kembang hidung (bangga) kerana melaluinya. Bukan semua orang boleh melalui tingkatan 6. Bukan. 

" Ala nak ambik STPM, SPM pun lingkup" Itulak kata-kata `semangat' ibu saudara saya yang setahu saya juga lingkup dengan cemerlang dalam SPMnya. 

Saya tiada pilihan, bila kawan saya bercuti semester balik kampung, saya `menyembunyikan' diri. Kerana saya hanya sambung ke tingkatan 6. Saya malu pada masa tersebut (tetapi kini bangga).

Tingkatan 6 sangat `keras' laluannya. Kalau setakat belajar sambil lalu, ataun macam biskut yang sekajap ada sekajap tak ada sahlah akan dapat STP juga tapi Sijil Tunggu Pinangan bagi perempuan  atau bagi lelaki Sah Tentunya Penganggur.

Bagi adik-adik yang gagal ke mana-mana tetapi layak dan mahu mengambil STP, abang Jan (pak cik jan sebenarnya, he he he. Saja nak rasa muda) terlebih dahulu ucapkan selamat berjaya dan berbanggalah.


Teringat kata-kata cikgu Alias "STPM  peperiksaannya paling sukar di Malaysia dan antara yang paling sukar di dunia". 

Jan: Saya setuju...

Monday, April 27, 2009

TINGKATAN 6 VS DIPLOMA: Suatu renungan...

Penulisan ini adalah tindakbalas daripada penulisan yang berjudul ` TINGKATAN 6 VS DIPLOMA’ yang dihasilkan oleh `asmadiabdulrahman.blogspot.com', (Monday, April 20, 2009). Pada hemat saya, penulisan beliau mempunyai nilai yang baik dalam membuka minda kita untuk menyoroti perubahan dan hakikat dalam sistem pembelajaran terkini yang kita ada, yang kita terlibat secara langsung.

RASA BERTUAH

Sebagai bekas pelajar tingkatan enam (selama 2 tahun) dan bekas guru tingkatan 6 (selama 5 tahun di Pusat Pendidikan Yayasan Islam Terengganu, Cawangan Besut), saya terpanggil untuk membuat sedikit komentar secara peribadi mengenai kedudukan tingkatan 6 sebagai suatu rantaian yang rapuh dan juga galak tumbuhnya pengajian peringkat diploma di kolej-kolej swasta.

Saya berasa bertuah kerana berpeluang dan berjaya melepasi `tangga-tangga’ ke menara dengan melalui sistem ini, iaitu sistem bertingkatan 6. Bertambah bertuah saya kerana mempunyai pengalaman selama lebih 5 tahun menjadi pensyarah di sebuah kolej yang terkenal dan cemerlangnya iaitu Kolej Shahputra, yang pada masa itu rata-rata mengendalikan program di peringkat diploma.

SAYA PECAHKAN

Untuk mengupas secara lebih lanjut saya pecahkan pernyataan yang dikeluarkan oleh Azam Md Atan (Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia) kepada beberapa bahagian:
1. Pelajar di tingkatan 6 bertuah malah sebelah kaki terjamin ke IPTA.
2. Mereka juga lebih bersedia sebelum meneruskan pengajian di universiti kerana sudah mendapat pendedahan awal di tingkatan 6.
3. Pelajar yang memilih mengikuti pengajian peringkat diploma di Ipts berbanding tingkatan 6 itulah merugikan masa belajar mereka.

Pernyataan yang dibuat boleh dipertikaikan, saya hairan seolah-olah beliau tidak mendasari falsafah pendidikan dan inovasi perubahan cabang-cabangannya dewasa ini. Secara purata kedudukan sistem bertingkatan 6 masih ditakluk lama, dan mungkin pupus melalui masa. Tiada pembaharuan yang dijalankan, tidak glamour dan tercicir. Fokus tidak diberi oleh Kementerian Pendidikan, setelah berpuluh tahun tiada pembaharuan walaupun sebenarnya ia dianggap utama dan lebih berprestage berbanding dengan sistem bertingkatan 5 (SPM).


TIDAKLAH BERTUAH MANA…

Semasa bertugas sebagai guru tingkatan 6, penglibatan saya dalam mata pelajaran Pengajian Am membawa saya bermusyuarat sehingga ke peringkat daerah. Sebelum sesuatu mesyuarat dijalankan secara tak langsung ramai guru-guru di tingkatan 6 semasa itu khuatir akan STPM tidak dapat dilalui pelajar untuk menerpa kejayaan kerana ramai pelajar tidak mempunyai kelayakan yang tinggi untuk menghadapinya.




Kelayakan untuk menempatkan diri ke tingkatan 6 rendah adalah minima sahaja, sedangkan pengajian di tingkatan 6 adalah sukar dan sangat menyeluruh asasnya (malah peperiksaan STPM adalah diiktiraf antara peperiksaan paling sukar di dunia). Dengan kata lain STPM terlalu sukar untuk mereka. Maka tidaklah dikira bertuah sangat apabila seseorang pelajar tersebut mengambil STPM.

DUNIA POSITIF

Semasa bekerja di Kolej Shahputralah pemikiran saya telah berubah, iaitu saya lebih positif terhadap dunia pendidikan yang diswastakan. Malah acapkali saya fikirkan jika kawan-kawan saya memasuki IPTS dan membuat diploma kemungkinan besar mereka akan berjaya di dalam pelajaran. Semasa di tingkatan 6, hanya 6 orang daripada kawan-kawan saya yang berjaya memasuki IPTA dengan menggunakan STPM (IPTS pada tahun-tahun 1980 an masih lagi asing bagi kami di kawasan pantai timur).

Ramai kawan-kawan merupakan pelajar yang tekun dan rajin, namun mereka gagal mendapat 5P. Saya terfikir, kalaulah kerajinan tersebut dilakukan di peringkat diploma tentulah mereka akan berjaya, apatahlagi pensyarah-pensyarah kolej Shahputra sangat mengambil tahu dan mengambil berat mengenai pembangunan pelajaran pelajarnya. Itulah bisikan hati saya.


TIDAK MERUGIKAN MASA
Belajar dalam mana-mana bentuk atau sistem tidak merugikan, begitu juga umur bukan halangan. Rezeki dan daya penakulan terhadap pembelajaran berbeza, oleh itu adalah suatu pernyataan yang negatif jika menyatakan pembelajaran di IPTS melalui diploma ataupun sijil adalah membuang masa. Pembelajaran adalah proses sepanjang hayat…dan proses yang dipilih itu mestilah yang terbaik dan terdaya mengikut faktor dalaman dan luaran pelajar masing-masing.


Dan dewasa ini faktor luaran seperti adanya tanggungjawab pihak swasta untuk pembangunan negara melalui pendidikan, maka kita haruslah memahami penglibatan pihak swasta dalam dunia pendidikan bukanlah objektif wang semata tetapi seakan mengambilalih/menerima sedikit tanggungjawab yang dipikul oleh kerajaan.

Kenyataan yang dibuat oleh seorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi ini dikhuatiri akan memberi impak yang lebih jauh terutama dari segi merapatkan jurang pengetahuan dan pendapatan antara kaum. Satu Malaysia tidak akan tercapai jika kita tumpukan kepada suatu saluran sahaja. Jika rata-rata yang memasuki sistem pembelajaran tingkatan 6 terdiri daripada Melayu yang cukup makan, dan akhirnya gagal…(kejadian yang saya rasa banyak berlaku di seluaruh kawasan pendalaman di Malaysia…Kementerian Pendidikan sila buat kajian!) maka kesannya lebih parah kepada perpaduan kaum dan keamanan negara.

PENDAKIAN YANG LEBIH TERANG

Adalah lebih baik mereka mengikuti pembelajaran yang lebih berstruktur, lebih fokus dan pelbagaian yang dijalankan oleh kolej yang memahami dasar pendidikan negara. Contohnya pembelajaran diploma melalui kolej Shahputra yang diusahasama dengan UITM. Para pelajar memang belajar silibus yang sama dan peperiksaan sama. Mutu pembelajaran tidak dapat dipertikaikan kerana diawasi dan dipandu dengan berskala dan berjadual.

Pendedahan awal untuk memasuki universiti juga boleh didapati di peringkat diploma, malah lebih terbuka dan terkini, lebih luas liputan disiplin pembelajarannya berbanding dengan proses pembelajarn di tingkatan 6. Pelajar yang mahu menyambung pelajaran di peringkat ijazah amat dialu-alukan oleh pihak UITM. Oleh itu saya juga keliru dengan pernyataan yang dibuat oleh Yang diPertua tersebut.
TIADA YANG TERBAIK?


Namun begitu saya juga tidaklah menyatakan tingkatan enam adalah tidak berdaya saing secara total. Tingkatan 6 juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri dan unik, salah satu contohnya perbelanjaan yang termurah untuk ke universiti.


Dan jika pelajar tersebut betul-betul mempunyai daya penakulan yang tinggi (betul-betul power bak kata blog tersebut)), ia memang menyenangkan pelajar untuk belajar di universiti kerana hampir keseluruhan asas telah diajar dengan mendalam (saya rujuk kes pelajar ekonomi yang nak sambung ekonomi di peringkat izajah…). Contohnya semasa saya belajar ekonomi di Universiti Malaya dulu pelajar daripada sistem tingkatan 6 jarang yang kena `tendang' berbanding dengan yang melaluinya dengan diploma.
Tetapi sekali lagi kita kena kembali kepada keadaan dan siapa yang berada di dalam sistem itu, Jika pelajar tersebut merupakan seorang pemalas, letak di mana-mana pun sistem pun mereka tidak akan mencapai kejayaan dan jauh sekali mahu memenuhi falsafah pendidikan negara...

Jan: Teringat bekas kekasihku semasa di tingkatan 6... Bahagiakah kau sekarang? atau dah bercerai berai?

Thursday, March 5, 2009

Pra persekolahan...




Semalam adik yang tinggal di Ulu Yam Selangor sms, dia beritahu Sarah deman. Budak-budak kalau deman kesian kita tengok/menengoknya kan. Walaupun bukan anak hasilan sendiri tetapi risau jugak.

Namun penulisan kali ini bukan pasal deman atau anak saudara yang deman. Ia berkaitan dengan pendidikan di pra sekolah. Rasanya dah disentuh topik ini bulan lalu. Bak kata Lokman zaman riang kanak-kanaklah zaman penerimaan input galak berlaku. Katanya: `mengikut kajian pakar, 85% sikap manusia tu terbentuk seawal usia 4-5 tahun.... Lagi 10% sehingga umur 7tahun. Baki lg 5% adalah di antara 7 tahun hingga kita mati..'
Sebab tulah kita yang ada anak ni (anak saudara pun boleh diambil kira kot) mesti menunjukkan dan menyediakan contoh atau peluang yang terbaik di peringkat kecil. Pembentukan sikap yang positif bermula daripada kecil.
Hentikanlah daripada selalu berfikir `Ah budak kecil mereka tahu apa...'. Jangan sesekali kita fikir begitu sebab mereka menerima input di depan mereka secara senyap dan halus tanpa kita sedarinya. Mereka mudah menyerap perangai kita atau apa-apa yang ada di persekitarannya dengan cepat tapi senyap.
Contohnya (pulak dah). Jika kita tidak menanam sikap makan molek di meja makan daripada kecil, bila mereka besar begitulah pembawaannya. Tetapi jika kita sebagai ibubapa tidak menunjukkan tata cara makan yang betul di meja makan, maka di mana pulak anak-anak nak serap ilmu seperti itu? Nak harapkan sekolah? kerajaan? parti pembangkang? media masa?
Contoh 2. Saya pernah pergi ke rumah kawan kepada kawan baik saya. Anaknya yang umur 3 tahun menyebut perkataan `buri...', beberapa kali depan saya (masa tu tu tiba-tiba je dia datang ke tengah ruang tamu dan ambik pisang di tangan saya!). Dia menyebutnya beberapa kali sambil tersengeh dan begitu selesa sekali seperti menyebut anggota lain seperti tangan atau kepala.
Terkejut beruang saya, hampir terkeluar keropok gotel dalam mulut saya. Hampir tersembur. Kawan saya yang membawa saya ke rumah kawannya itu memandang ke arah saya. Saya memandang ke arah dia... kami panic sekejap. Semasa balik di dalam perjalanan dalam kereta kawan saya bertanya `agaknya anaknya dengar dari mana ya?... Saya jawab `Dari jiran sebelah kot, he he he' Saya jawab nada bergurau. Tapi kawan saya tak gelak.
Kita kembali kepada cerita Sarah sekejap ya. Sarah ni nakal dan degil sedikit berbanding dendan kakaknya Aisyah. Semenjak dia kena basuh pinggan di sekolah tadika memang dia tak mahu ke sekolah tadika lagi. Bila adik perempuan saya beritahu Sarah malas ke tadika. saya susah hati juga, saya rasa nak heret dia masuk pagar sekolah tu. Saya risau sebab pendedahan awal mestilah dibuat kerana dunia hari ini memerlukan pendedahan yang lebih daripada peringkat awal. Kalau tak jadi macam saya ni, jumud pemikiran dan lambat pikat.
Namun selepas beberapa minggu kemudian saya gembira sebab Sarah kembali ke tadika, itu pun pengasuhnya kena tunggu daripada pagi hingga tengahari...huh. Namun tak apalah tak kan adik saya nak tunggu pulak sebab dia kenalah gi cari rezeki...

Teringak lagi minggu lepas jumpa Ustad Madi (masa dia nak cari air kelapa, dia nak minum kerana tak berapa sihat katanya). Ustad beritahu ada kesan ke atas anak-anak kalu kita tidak cukup komitmen dan buat yang terbaik. Tidak cukup komitmen terhadap anak boleh menimbulkan kesan yang berpanjangan terutama pembentukan sikap antara hubungan anak dan kita (sama ada ibu atau bapa). Sebab itulah dia sebolehnya tidak membawa kerja pejabat ke rumah katanya.

Jan: kononnya sampai sekarang saya jadi pemalu sebab tak ada pendedahan awal masa di tadika...(nak jugak...)

Wednesday, November 26, 2008

PPSMI

Bukan semua perlaksanaan yang kerajaan jalankan kita sokong atau terima bulat-bulat, kadang-kadang kita juga mempunyai pendapat tersendiri mengenainya. Pendapat yang sama sekali bertentangan dengan dasar atau kehendak mereka. Saya memang kalau boleh mintak sangatlah kerajaan mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ni.


Memang betul kadang-kadang ada perkara yang kita tidak perlu banyak menyoal kerana kerajaanlah yang lebih tahu mengenai sesuatu perkara tersebut. Contohnya mengenai dasar perdagangan antarabangsa kita. Kita yang jarang membaca ni tak layaklah nak komen. Ruangan atau bahagian ekonomi di suratkhabar pun kita tak jamah, kita tak cicah. Kita asyik makan ruangan sukan, hiburan dan politik. Orang macam kita ke yang hendak beri pendapat tentang polisi ekonomi luar tu?. He he he.
Namun ni dalam kes lain, kes yang saya rasa saya nak komen sebab terkilan sangat. Penulisan peribadi ini berkaitan dengan apa yang saya nampak daripada perlaksanaan PPSMI yang saya katogerikan sebagai tidak betul. Dulu saya dah ada sentuh perkara ini rujuk `English is important BUT...he he he' (jankaulu.blogsport.com, Monday, July 7, 2008) dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik? (jankaulu.blogspot.com, Wenesday September 17, 2008).
Ini kira kali ke tigalah saya sentuh mengenai isu ini. saya cuba beri beberapa sebab musabab. Kalau mengikut kebiasaan kurangnya minat pelajar terhadap sesuatu subjek adalah kerana tahap kesukaran yang dimiliki oleh sesuatu subjek itu. Sesuatu subjek yang sukar untuk difahami tidak mendapat sambutan hangat, begitu jugalah dengan perkara-perkara lain. Jikalau ia sukar ramai orang akan menjauhinya. So cubalah fikir kalau 2 subjek ini diajar pulak dalam bahasa inggeris!.
saya berpendapat ia akan mengakibatkan kemunduran pelajar Melayu kita. Sebab itulah saya katogerikan kepada satu dasar atau jenis dasar yang tidak menjamin masa depan rakyat! (baca dengan nada tegas dan marah-marah sikit, jangan pulak marah-marah manja mengada).
Selain faktor tersebut kita juga dapat membayangkan bagaimana sibuknya cikgu-cikgu di kawasan pendalaman belajar mengajar dalam bahasa inggeris. Ke mana nahunya atau ilmu tatabahasanya di mana, cikgu pulak tak sampai mana-mana... (he he he jangan marah cikgu, saya faham ini bukan salah cikgu). Maka bila terdapat kesukaran dalam memberikan kefahaman kepada para pelajar, cikgu kena berkursus pulak dah (kursus-kursus yang sedia ada pun sudah tak terkursus, he he he). Kenalah berkursus kan, supaya berupaya menyampaikan pengajaran dengan berkesan.
Mengapa ya kerajaan terus meminggirkan bahasa Melayu? tak standard ke? Padahal kalau mengajar menggunakan bahasa Melayu pun belum tentu pandai dalam matematik dan sains...he he he. Tetapi bukan pasal standard atau pun tidak, ia pasal perpaduan juga. Pasal suatu gagasan yang lebih besar iaitu bahasa Malaysialah yang sepatutnya menjadi tali perpaduan kaum kepada rakyat Malaysia, bukan bahasa inggeris! (baca bahagian `bukan bahasa inggeris!' itu dengan nada menyampah dan tegas, sila fahami fungsi tanda seruan).
Seperti penulisan yang terdahulu saya masih berpendapat perlaksanaannya merugikan pelajar Melayu terutama di luar bandar, jangan buat perkara yang merugikan bak membawa budu ke Kelantan atau ibarat membawa keropok ke Terengganu. Malah perkara yang saya khuatir ialah kesannya kepada sesuatu yang lebih besar iaitu mungkin merupakan satu penghinaan secara langsung kepada bangsa Melayu. Namun pasti terdapat segolongan berpendapat saya menolak kemajuan dan pesimis. Saya terima... (nada sedih pulak dah...)
Leni tamadun Melayu pun dah semakin hilang identitinya, janganlah pulak Bahasa Melayu mengalami nasib yang sama...






Mengenang nasib dek kerana PPSMI kononnya...tapi adik kenalah belajar jugak, jangan pulak cari alasan...




Jan: Din oii... alahai tau la dulu u belajar oversea, tapi jgn la pulak `oversee' identiti jati diri kita gitu.

Monday, October 20, 2008

Guru ke mahkamah...




1. Menjadi guru bukanlah cita-cita paling glamour di kalangan manusia di atas muka bumi ni (apatah lagi sekarang, kalau silap langkah kena saman, naik turun mahkamah, masuk surat khabar).



2. Entah di mana silapnya kerja yang semulia ini terpinggir daripada kerongsang cita-cita pemuda dan pemudi kita. Ianya suatu pekerjaan yang tidak dianggap hebat, tidak vouge dan tidak dapat menarik perhatian mereka.



3. Sepatutnya para-pemuda ini ingin menjadi guru, ingin melakukan perubahan kepada percapaian bangsa dan ketamadunannya. Mahu merubah lakar corak bangsa agar maju dan terbilang, tidak terhalang.

4. Namun tidak ramai yang berminat dengan bidang perguruan kalau nak dibanding dengan yang bercita-cita jadi penyanyi, nak masuk AF nak terkenal, dan seangkatan dengannya.

5. Dan pernah statu ketika dulu (terutama bila ekonomi merosot), barulah profesion ini menjadi pilihan (setelah tak ada pilihan, he he he). Dan bidang perguruan juga menjadi batu loncotan sementara mendapat pekerjaan lain.

6. Guru kita ke mahkamah kerana sikap dan nilai masyarakat kita yang sudah berubah, sekali lagi guru yang dipersalahkan, he he he (kononnya tak ada pendekatan psikologi bila berhadapan dengan murid).




Jan: Guru pun kena belajar jangan sampai jadi lilin...he.

Thursday, September 18, 2008

Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik?...



Penulisan ini lahir adalah tindakbalas kepada penulisan `berjayakah program PPSI???', (azamanazizi.blogspot.com, Saturday, Setember 13, 2008.) Penulisan beliau memberi inspirasi kepada penulisan saya kali ini. Sebelum ini saya pernah mengutarakan isu kedudukan `istimewa' bahasa Inggeris dalam negara Malaysia, rujuk `English is important BUT...he he he' (jankaulu.blogsport.com, Monday, July 7, 2008).




Sebenarnya secara purata para cendikiawan Melayu terutama di pusat-pusat pengajian tinggi menentang keputusan kerajaan berhubung dengan perkara ini, mereka menentang seawal tahun 2002 lagi apabila ura-ura ia akan dilaksanakan. Selain para cendikiawan Melayu, mak bapak yang terlibat (termasuk juga guru-guru? he he he) juga tidak setuju dengan polisi ni.




Apatah lagi pakar bahasa dan pakar pengkajian ketamadunan manusia, mereka berpendapat ia bukanlah satu kaedah yang betul untuk muncul sebagai sebuah negara maju. Mereka mengemukakan hujah bahawa negera-negara yang menggunakan bahasa inggeris terbukti gagal menjadi negara maju (juga disentuh sedikit dalam` English is important BUT... he he he.').



Menguna bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik sebagai satu kaedah menuju negara maju adalah sesuatu yang tidak kena, bagi saya seolah-olah memberi ubat kepada penyakit yang salah, he he he. Ataupun salahnya terkejar-kejar mengejar terawih berbanding solat berjemaah di masjid, atau menyuruh Mickey membaiki labu...



Teringat kata-kata Adnan ketika aktiviti `menongkat Ali' di kedai depan rumah sewa masa duduk kat Indera Mahkota... ` Terjemahkan ilmu dalam bahasa asing tu ke dalam bahasa Melayu, biar ramai orang Melayu dapat ilmu, biar mak cik pak mak cik kat kg tahu, dan jangan lupa peranan Dewan Bahasa dan Pustaka tu.' Bersungguh-sungguh beliau bersemangat mengupas isu ni.



Seingat saya pada masa tersebut pihak kerajaan mematahkan hujah para bijak bistari ini dengan mengatakan `mereka' orang yang menentang dasar ini menentang kemajuan orang Melayu. Sebabnya mereka (para cendikiawan) juga bersekolah Inggeris dan fasih berbahasa Inggeris. Hujah ini tidak betul! Ingat tak apa terjadi kepada Aznizon, Adibon, Adenon dan Sukimon? Pendapat mereka tidak ditentang tapi peribadi mereka pulak ditimbulkan, (rujuk `Geram gitu', Monday, Setember 8, 2008). Dalam kes ini peribadi para cendikiawan pulak dah ditimbulkan...




Senang-senang guna orang putih terus untuk mengajar, baru maju... he he he.



Sebenarnya banyak masalah dalam melaksanakan polisi ni, bilangan cikgu inggeris tu pun sendiri tidak mencukupi. Dan jika cikgu biasa disuruh mengajar (tentu diberi elaun, he he he) dalam bahasa inggeris, apa terjadi pada labu tu?. Eh, saya ni pesimis ke? negatif ke?



Jan: Teringat kat anak-anak saudara di kampung yang menjadi `mangsa' dasar ini...



Tuesday, July 8, 2008

English is important BUT...he he he

Susah ya kalau kita nak bercakap pasal isu bahasa. Ada setengah pihak begitu patriotik (dan begitu sensitif) ada setengah pihak begitu selamba... Macam nak kupas pasal seks, politik atau agama, ia sensitif. Takut ada yang tersinggung...
Memang kepentingan bahasa inggeris tidak nafikan sama sekali, memang penting kerana ia bahasa antarabangsa, bahasa mencari ilmu (semua orang tahu...). Namun di sini ketaksuban penggunaan bahasa tersebutlah haruslah kita teliti dengan lebih mendalam....
Saya memang mengakui saya tidak berbahasa inggeris dengan baik, bahasa inggeris bukanlah bahasa ibunda saya, dan saya percaya bukan semua orang menggunakan bahasa inggeris untuk maju dan sama sekali saya menolak jika bahasa inggeris menjadi pengukuran kualiti kerja seseorang atau terpelajarnya seseorang itu.
Namun dalam bidang pekerjaan sekarang saya dituntut bekerja, berbahasa dalam bahasa inggeris. saya bertekad untuk menguasainya dengan lebih baik dari masa ke semasa. Saya menerimanya sebagai satu proses pembelajaran seumur hidup.
Didapati orang Malaysia (golongan pertengahan) gemar berbual bersama mereka di dalam bahasa inggeris. Di mana-mana bermula di pasar-pasar mega hinggalah dalam dewan persidangan, meeting (sama-ada antarabangsa atau dalam negeri), mereka menggunakan bahasa inggeris. Malah ada laporan bangsa kita masih berbual dalam bahasa inggeris semasa di lobi-lobi kat persidangan antarabangsa, masa rehat tu mereka bercakap menggunakan bahasa inggeris tidak seperti bangsa Jepun atau Korea.... Dan ini tidaklah memeranjatkan kita kan (yang ganjil adalah pada orang luar yang melihat tabiat kita berbual sesama sendiri dalam bahasa asing, iaitu bahasa inggeris.... pernahkah kita fikir? he he he `cuba masuk dalam kasut mereka')
Bangsa Cina, Indonesia, Pakistan, negara Eropah ataupun Arab berbual dan berbincang sesama sendiri dalam bahasa mereka. Malah secara peribadi pernah melihat orang cina berbahasa mandering tanpa sepatah pun menyelit bahasa inggeris. Malaslah nak tulis pasal kekuatan kedudukan dan kedaulatan bahasa inggeris di negara Melayu ni. Memang penting dan membudayakan komunikasi.
Tulisan ini ditulis untuk menyatakan walaupun begitu, adalah salah jika kita mengukur kehebatan seseorang itu dengan melihat penguasaan bahasa inggerisnya, dan ini pun semua orang tahu...he he he.
Saya tidak anti bahasa inggeris tetapi tidak juga mencintai bahasa inggeris. Walaupun tak cinta setiap kali balik kampung selalu mengingatkan anak-anak saudara supaya belajar bahasa inggeris rajin-rajin kerana nanti ilmu dicari ada dalam bahasa inggeris dengan banyaknya, saya akui kepentingan bahasa inggeris dalam mencari ilmu, sesaat pun tak nafi...
Bagi orang Jerman, Francis, Korea dan lain-lain, bahasa inggeris berguna sebagai bahasa antarabangsa tetapi tidak penting dalam negara mereka (mereka memberi peluang sama rata), malah kalu melihat kemajuan mereka tidaklah serendah kemajuan negara berbahasa inggeris, he he he.
Kalu kita tengok bangsa yang pernah dijajah contoh India dan Pakistan (juga bangsa kita dan lain-lain) inilah yang menganggap bahasa inggeris penting. Namun berapa banyak negara bekas komenwell ini maju dan membangun? he he he, kalau adapun bukan sebab guna bahasa inggeris tapi atas faktor-faktor lain...
Bangsa Thai tidak dijajah, mereka tidak mementingkan bahasa inggeris dalam urusan perniagaan dan ekonomi negaranya, pun begitu mereka mencapai pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan (adakala mcapai 12% berbanding dengan negara-negara bekas tanah jajahan inggeris yang mendaulatkan bahasa inggeris).
Maaflah bila bercakap pasal bahasa ni asyik nak tergelak je, hairan dan lucu... he he he.
Jan: Pernah hadiri persidangan yang semuanya orang Melayu tapi semuanya guna bahasa inggeris...he he he he.

Friday, July 4, 2008

Nak sumat kat mana ya...

1hb, 2hb dan 3hb pergi ke Seremban buat marketing. Buat marketing ni letih juga...namun best juga g jalan kenal tempat orang.
Paling best menjejaki kaki ke kawasan sekolah, teringat masa ngajar di sekolah dulu, jadi cikgu bukan tugas yang ringan dan selamba. Melangkah saja ke dalam nampak cikgu-cikgu yang berpakaian kemas dan kelihatan tak cukup waktu. he he he. Mesti ada saja benda yang nak dibuat, nak difikir. Dan SPM lebih kurang 3 bulan lagi kan...cikgu-cikgu dok melatih tubi sekarang...
5 buah sekolah semuanya, sambutan yang diberi nyaman dan mesra. Malah siap bagi sijil dan hadiah pulak, baju T'shirt dan mug pun dapat.
Ramai ya budak ambik SPM kat Malaysia ni...Katanya tahun lepas seramai lebih kurang 447,000 pelajar. Tahun ni diramal setengah juta pelajar ambil SPM. Emmm nak sumat kat mana ya mereka tu? U kat IPTA ada lebih kurang 20 je... campur U kat IPTS pun, masih tak banyak...
Namun katanya hanya 5% je yang berjaya, 5% tu banyak mana? pelajar yang macam mana ya cikgu?
harapan seorang ayah: anak menjadi anak yang baik dan rajin-rajin belajar.
harapan seorang cikgu: menjadi manusia yang berguna dan rajin-rajin belajar (lebih kurang....)
Jan: ...tapi yang tercicir tu nak sumat kat mana ya?....

Tuesday, June 24, 2008

Cabaran Mahasiswa Menganggur IV

Tidak semua orang beruntung dan bernasib baik, kerja terus menjemput di depan pintu sebaik sahaja menamatkan pengajian. Ramai yang mengambil masa untuk mendapat pekerjaan terutama jika mahu sealiran dengan ilmu yang digali. Malah ada yang bertahun-tahun barulah dapat kerja yang sesuai.
Kali ini saya akan membincangkan mengenai (macam stail ustad berceramah pulak he he he) masalah kewangan di ambang pengangguran. Sebagai orang yang `cerdik’ kita haruslah berfikir dan merancang untuk meminimakan kesusahan yang mungkin akan datang.*


Masalah kewangan akan muncul sama ada kita tinggal di bandar untuk mencari kerja atau terus balik ke kampung apabila telah menamatkan pengajian. Apa yang paling nyata ialah paling tidak kita perlu menyediakan sedikit wang untuk urusan potostep, membeli sampul surat, stem dan juga perbelanjaan untuk menghadiri temuduga.
Perkara ini perlu dan serius oleh itu para siswa harus memperuntukan sedikit perbelanjaan setiap sebulan untuk perkara ini. Lupakanlah dulu hendak membeli handphone baru, membeli kamera, membeli CD Rihanna (Umbrella), pergi ke Cameron Highland atau bergaya (kalau ada duit melimpah ruah tak menjadi masalah)


Sanggupkah kita? Macam mana rasa ya rasa bila meminta duit untuk urusan beli sampul surat dan stem dan untuk hadir temuduga daripada ibu bapa nanti?
Namun tidaklah menghairankan, masuk universiti bukanlah bermakna sudah dapat berfikir dengan baik dalam segala hal. (Kalau begitu cerdiklah semua yang dah masuk universiti dan tak cerdiklah yang tidak masuk universiti). Sekali lagi kita harus fikirkan perkara ini daripada sekarang. Mempunyai pelajaran dan ilmu tidak akan membuatkan kita rasa bahagia, kita rasa bebas. Ada pelajaran dan ilmu membuatkan kita tau ukuran bahagia itu dan apa itu kebebasan. Berfikir perkara yang akan datang dan memerhati di sekitar kita tentang perubahan dan cabaran yang akan berlaku setelah kita menjadi siswazah mengganggur (Berfikir tidak memerlukan duit).




Disarankan setiap mahasiswa boleh memperuntukkan sedikit wang ke dalam satu akaun untuk dibelanjakan semasa akan jadi penganggur nanti. Memang benar hidup sebagai mahasiswa cukup makan sahaja, akrab benar dengan maggie dan setia pada biskut kering tetapi tiada salahnya memperuntukan RM10 sebulan ke dalam satu akaun khas yang dipanggil ASM (akaun siswazah menganggur). Setahun sudah ada RM120, jika empat tahun dah terkumpul RM480. Maka tidak perlulah lagi hendak minta duit stem pada ibu dan ayah. Dan disarankan jika ada duit lebih tu masukkanlah dalam tabung ini.
Hidup biar merancang janganlah pula masuk universiti tetapi pemikiran sama seperti tidak masuk universiti. Namun Banyak perkara yang tidak diajar di universiti tetapi amat penting sekali di dalam kehidupan.


Kita mesti berjimat bukan saja daripada sekarang. Moga-moga proses penjimatan akan bersama kita selama-lamanya. Ketika jadi pelajar, sedang mencari pekerjaan dan juga apabila mendapat kerja.
*tekanan kewangan ini tidak timbul sama sekali atau dapat diminimakan jika terus mendapat pekerjaan, penulisan ini ditulis sebagai panduan untuk mereka mungkin meneruskan era pengangguran selepas beberapa lama menganggur.


Jan: Semoga dia bersedia selalu...semoga dia selalu tabah.


Friday, June 13, 2008

Teka-teki: Kita kena kejar cepat, takut tertinggal... bila tak kejar kita akan ditinggalkan

Samalah 6...dah berbelas tahun mengajar pun bila nak masuk kelas berdebar jugak aku ni.... Macam mana ya dengan Siti Nurhaliza? Berdebar tak setiap kali dia nak nyanyi walaupun dah lama nyanyi? Bagaimana pula dengan Tok Pah (Datuk Sharifah Aini) dan Tan Sri S. M Salim?.
Kadang-kadang selepas `Asalamualaikum dan selamat pagi semua...' pun berdebar jugak dalam beberapa minit. hehehe. Lepas tu barulah kita tenggelam dengan subjek yg nak diajar kan. Gamaknya bila gementar ni akan hilang? setelah 20 tahun mengajar?
Gaya mengajar tu memanglah tidak boleh disentuh sangat memandangkan personaliti dan bidang berbeza. Cuma dalam penggunaan `alat bantuan mengajar' tu, kena standard juga ke? atau kena nak distandardkan?
Dalam hal mencari ilmu dan membaca ni memang tak dapat lari terutama dalam bidang ilmu yang pesat berubah. Contohnya, memetik kata Roslina Mohd Nor ( IT and Science Department) utk beri kuliah dia memang kena baca banyak (dengan kadar yang kerap) kerana dalam bidang komputer, istilah ilmu tahun lalu (setahun) pun boleh bertukar definisinya. Oleh itu katanya menambah (menambah kata?) dia bukan lagi mengajar hanya isi pengajaran yang dia terima di universiti dulu.
Itu dikira dalam bidang kita, dalam bidang lain kita tidak nak tahu ke?...susah nak jawab juga nan, yang nyata ahli akademik kena up to datekan ilmu terutama dalam bidangnya.
Tektik dan teknik `Awak ni semua nak saya suap, cubalah cari sendiri...' (jawapan yg diberi bila tak dapat jawab apabila ditanya pelajar), tak boleh diamalkan selalu. Ia menunjukkan kelemahan diri, lagipun kita ahli akademik. Tetapi mustahil kita tahu semua kan, walaupun dalam bidang kita...
Jan: belajar dan mencari ilmu tak akan habis, ia proses sepanjang hayat kita...

Friday, May 30, 2008

Teknik Menyoal Pelajar : Sebaran dan kandungan soalan...

Sapa ya yang kita nak soal hari ni ya? Sapa yang akan jadi `mangsa' hari ni? Dalam soal menyoal pelajar kita juga tidak boleh pakai hentam sahaja, pastikan soalan ditujukan kepada pelajar yang tepat dan sepatutnya ditujukan. Soalan yang sukar dan mencabar haruslah ditujukan kepada pelajar yang berbakat dan cerdas.

Soalan yang lebih senang dan mudah pula kepada pelajar yang lemah dan lembap (Soalan yang sukar jika diberikan kepada pelajar yang lemah bukan sahaja membuang masa tetapi juga akan mengurangkan keyakinan pelajar tersebut terhadap dirinya) Pendek kata apabila hendak memberikan soalan, pilihlah `mangsa’ yang betul. Daya penakkulan pelajar adalah berbeza “Kalau jawapan itu diketawakan oleh pelajar lain janganlah kita pula `tumpang semangkuk’ mentertawakannya. Kita bukan berada dalam rancangan Raja Lawak, di sini sebolehnya baiki jawapan pelajar tadi, bina keyakinan diri pelajar tu.

Soalan juga tidak harus disebarkan mengikut susunan kedudukan pelajar. Kejadian ini kerap kali berlaku apabila berhadapan dengan soalan objektif. Contohnya ada sesetengah tenaga pengajar mahu membincangkan soalan objektif dimulakan dengan pelajar di barisan hadapan seterusnya barisan demi barisan. Adalah lebih baik soalan tersebut ditujukan secara rambang, tidak mengikuti kedudukan susunan tempat. Jika disoal mengikut susunan tempat, kesannya pelajar sudah dapat mengagak soalan ke berapa ( nombor berapa?) yang harus dijawab. Mereka hanya akan menumpukan kepada mencari jawapan soalan tersebut sahaja.

Jangan galakkan pelajar menjawab soalan yang dilontarkan secara beramai-ramai jika mahu melihat kebolehan pelajar, dikhuatiri nanti ada yang menggunakan teknik `miming’ bila menjawapnya.

Terdapat juga kecenderungan pada tenaga pengajar secara semulajadi atau tidak semulajadi, iaitu soalan yang diberikan terarah kepada pelajar yang sama, iaitu pelajar `kegemaran’ mereka. Banyak sebab mengapa bias ini berlaku. Mungkin ada seuatu perkara yang menarik pengajar untuk menumpukan lebih terhadap pelajar itu. Ini adalah suatu kesalahan besar, kita tidak boleh berat sebelah. kita mesti sebarkan soalan secara terpilih tapi adil dan serata....

Soalan yang mahu kita lontarkan haruslah soalan yang diketahui jawapannya. Soalan yang tidak diketahui kesahihan jawapannya jika diajukan akan menyukarkan pelajar (dan tenaga pengajar). Mereka akan bertanya kembali. Jika kita mengaku tidak dapat mencari jawapannya dengan jujur, ia mungkin boleh diterima oleh pelajar pada mulanya. Namun jika sudah kerapkali sangat mengaku, ini akan merendahkan kredibiliti seseorang tenaga pengajar tersebut. Pelajar akan membuat pelbagai andaian, mereka mungkin menganggap kita tidak bersedia. Kesannya...?

Soalan yang hendak ditanya juga janganlah terdiri daripada jenis jawapan ya atau tidak, benar atau salah. Cuba sediakan soalan-soalan yang memerlukan jawapan yang penuh. Namun soalan sebegini boleh digunakan jika mahu menarik perhatian kepada pelajar yang kelihatan `hanyut’ di dalam kelas.

Masa nak sebarkan soalan tu, pastikan juga kandungan dan bentuk soalan haruslah sempurna. Soalan itu tidak harus diubah-ubah dari segi perkataan-perkataan dan ayat-ayatnya, pastikan ia adalah sama. Tindakan selalu merubah soalan semasa mengulang soalan akan mengelirukan pelajar.


Jan: Susah juga teknik menyoal pelajar ya...

Monday, May 26, 2008

Cabaran Mahasiswa Menganggur III

Ibubapa dan saudara mara, sepupu sepapat.

Ibubapa merupakan pihak yang paling utama bergembira bila kita berjaya menamatkan pengajian, dan mereka sebolehnya mahukan kita cepat-cepat mendapat pekerjaan. Setelah menyuniversitikan kita, mereka berharap sangat kita mendapat pekerjaan yang sesuai dan boleh menjaga diri, dan slow-slow meletakkan diri dalam masyarakat.

Bagi diri mereka konsep membalas budi tidak timbul sama sekali. Ibubapa bukannya bank perdagangan yang mahu menerima interest atas pelaburan, ataupun IMF yang memberi pinjaman atas agenda yang tersembunyi. Sudah cukup bagi mereka jika kita berjaya, pandai memjaga diri dan berbudi bahasa. Untuk mendapat balasan adalah satu bonus bagi mereka, tidak lebih daripada itu.

Namun bagi ibubapa yang tidak berada, tentulah mereka akan mengharap sedikit lebih daripada kita, dapat menolong daripada segi material terutamanya. Jika tidak banyak, sedikit jadilah. Apatah lagi jika berderet adik beradik `bersusun paku' yang masih bersekolah. Mereka akan mengharap agar bebanan kewangan dapat ditampung walaupun sedikit.

Harapan yang besar tetapi nilai sedikit inilah yang akan membuatkan pengganggur siswazah itu menjadi lebih tertekan. Apatah lagi permohonan minta kerja tidak pernah dibalas atau asyik gagal di dalam temuduga. Belajar di unuiversiti adalah suatu perkara yang menyeronokakn dalam hidup tetapi berada di dalam era pengangguran berizajah adalah suatu perkara yang sangat memberi tekanan.

Adik breradik yang bersekolah pula akan selalu bertanyakan bila lagi kita hendak bekerja. Melihat ketekunan mereka belajar membuatkan kita berasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk mendapatkan kerja, terdesak sangat kita mesti mendapatkan kerja untuk memperlihatkan bahawa apabila masuk universiti dan keluar universiti hidup akan menjadi senang. Mereka perlu untuk melihat contoh yang `terdekat'.

Di sini kita mestilah memperlihatkan kesungguhan kita dalam mencari kerja secara jelas. Biar mereka nampak kita sentiasa mencuba dan bersemangat, janganlah pula memperlihatkan keputus-asaan kita, belilah stem2, sampul surat dan surat khabar, kena peka dengan berita semasa. biar nampak kita tenang dalam menghadapi cubaan, biar nampak kita tidak berputus asa, jangan sekali kita mengeluh depan mereka. (walaupun dalam hati tuhan sahaja yang tahu...).

Kita harus memperlihatkan kepada mereka kita gigih mencari kerja tanpa memberi alasan2 yang bukannya dapat menjelaskan keadaan sebenar tapi membuat kita dipandang pesimis.

Tetapi tekanan yang paling hebat datang daripada saudara mara. Lebih dekat saudara mara itu lebihlah mereka kan memberi tekanan, bukan sahaja kepada kita tetapi ibu bapa kita, adik beradik, turut akan terlibat, turut ditanya mrk. Mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut saudara mara?, di sini kepakaran memekakkan telinga penting. Cubalah untuk tersenyum walaupun bagai terasa jadam.


Jan: Banyak juga bertukar kerja tapi semuanya berkaiatan dengan dunia pendidikan...

Friday, May 23, 2008

Teknik menyoal pelajar: Suara dan gaya

Suara ketika menyoal pelajar perlu ditonasikan agar sedikit unsur dramatiknya terasa, namun ia mestilah jelas, terang dan dengan nada yang sedap didengar telinga (Jangan menyoal terlalu kuat atau nyaring, cepat atau kasar). Dan jangan pula menyoal terlalu perlahan bak angin sepoi bahasa.
Bagi tenaga pengajar perempuan yang mempunyai suara semulajadi yang `slow’ berusahalah membaiki suara tersebut. Latihan bertempik di dalam tempayan amat membantu (petua primadona Siput Serawak).

Nada suara ini penting untuk menarik minat pelajar, soalan-soalan yang diberikan hendaklah `dilagukan’dan `dramatikkan' dengan baik dan menampakkan kita ini benar-benar berharap untuk mendapatkan jawapannya.(expresi muka kena jaga juga)

TEKNIK TUNGGU SEKEJAP..

Sebaik sahaja menyoal seorang pelajar janganlah pula tergopoh gapah menyuruh pelajar terus memberikan jawapan. Berikan masa seketika untuk mereka mencari jawapannya. Jangan memberikan tekanan kepada pelajar ketika ini, biarlah pelajar tersebut bebas berfikir dulu, tunggu sekejap.

Masa untuk berfikir ini adalah perlu kerana pelajar bukanlah pandai sangat, (kalau pandai merekalah yang mengajar) tetapi janganlah pula terlalu lama membiarkan mereka berfikir kerana dikhuatiri hilang pula minat mereka untuk menjawab soalan tersebut.

Secara semulajadi dan juga akibat faktor-faktor luaran, tahap penakkulan pelajar terhadap persoalan subjek adalah berbeza. Terdapat pelajar yang memerlukan masa yang agak panjang untuk menjawab soalan dan sebaliknya.



Jan: Suaraku bukan sembarangang...

Thursday, May 22, 2008

Cabaran Mahasiswa Menganggur II

Setelah menamatkan pengajian, sementara menunggu konvoi para pelajar akan berada di dalam suatu situasi yang berhampagas. Di mana mereka memikirkan bagaimana hendak mencari kerja dgn lebih aktif. Memang mereka telah ada memikirkanya semasa mereka belajar tetapi keadaan sekarang berlainan kerana mereka telah berada di dalam keadaan yang mereka seharusnya bekerja. Ada antaranya akan balik ke kampungnya, dan ada yg segelintir menetap di bandar mencari pekerjaan.

Pada mulanya ia tidak ketara pada masa menunggu konvoi tetapi akan meningkat ketara apabila selepas mendapat izajah. Apatah lagi mendengar berita terdapatnya kawan-kawan yang telah mendapat pekerjaan. Perasaan apabila kawan baik telah mendapat pekerjaan sedangkan kita yang lebih cemerlang di universiti, sukar dihuraikan, namun ia pasti suatu keadaan yang tidak menyelesakan minda.

Di kampong, secara perlahan tekan akan muncul. Pada mulanya keadaan tidaklah seharu mana. Setelah tamat pengajian, dapat duduk di kampung merupakan suatu keseronokan. Tiada lagi tekanan untuk menelaah pelajaran dan membuat assignment. Namun keadaan keboringan akan mucul selepas itu. Bagaimanakah jika berbulan-bulan masih tidak ada kerja yang sesuai?

Terdapat pelajar yang tidak terus balik ke kampung apabila tamat pengajian, mereka akan berkampung di bandar buat seketika. Namun setelah naik-turun tangga syarikat dan duit hampir kehabisan tentulah memerlukan mereka meninggalkan bandar kembali ke kampung.

Penganggur

Pengganggur adalah manusia yang mahu sangat2 berkerja, mampu dan berupaya bekerja dan memiliki kelayakan tetapi tidak dapat peluang pekerjaan di pasaran kerja. Istilah pengangguran ini perlu difahami. Seseorang itu layak dipanggil pengganggur jika mereka aktif mencari pekerjaan tetapi tidak memperolehinya (jika tidak aktif mencari pekerjaan dipanggil pemalas). Dan setelah putus asa mencari pekerjaan tetapi tidak dapat pekerjaan, ia dikenali dengan `discourage worker’.

Menjadi seorang penganggur berizajah adalah suatu yang mengecewakan. Kecewa dari segi psikoplogi, di mana seseorang akan merasakan diri tidak berguna atau bernasib malang. Tekanan yang datang daripada persekitaran membuatkan mereka merasakan harga diri mereka rendah. Mereka merasa malu. Tekanan dari segi mental ini perlu dihadapi dengan tabah dengan menanam semangat tidak putus asa atau mencari pekerjaan apa-apa sahaja agar menampakkan kegunaan mereka iaitu berguna untuk hidup....

Suasana di sekeliling tidak akan mengembirakan kerana orang di sekeliling akan bertanyakan `bila lagi nak kerja? Dah dapat kerja ke? Mintak tak KPLI (dalam kes yang terlalu lama menganggur). di sini perkara yang penting ialah bersabar, dan meneruskan usaha mencari kerja.


Jan: Teringat lagu Sudirman, aku penganggur...

Wednesday, May 21, 2008

Cabaran Mahasiswa Menganggur I

Biasanya apabila seseorang mahasiswa baru menamatkan pengajiannya, beliau berharapan besar untuk hidup selesa kerana seringkali tergambar di fikiran dengan mempunyai ilmulah kehidupan seseorang boleh berubah dan dengan ilmulah kesenangan hidup boleh dicapai (kesenangan yang sudah semestinya difizikalkan dalam bentuk material. Memiliki kenderaan yang hebat, rumah yang besar cantik, pakaian yang berjenama dan lain-lain keperluan (yang berjenama) yang kononya melambangkan kemajuan dan kehebatan dalam kehidupan.
Anak petani tentulah tidak mahu hidup seperti ayahnya, begitu juga dengan anak seorang nelayan, hatta sorang anak guru juga mahu hidup yang lebih selesa berbanding ibubapanya. Ini merupakan suatu yang positif kerana terdapat peningkatan kualiti hidup, ia bukan suatu perkara yang salah. Namun terdapat banyak cabaran yang harus ditempuhi apabila mereka sudah berada di dalam masyarakat yang sebenar. Untuk mempunyai kehidupan yang selesa bukanlah senang. Selamat datang ke dunia nyata!

Mencari kerja

Kenyataan pertama yang harus diakui ialah sukarnya mendapat pekerjaan. Dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, pertumbuhan industri dan pertanian yang tidak membanggakan mewujudkan kedaan yang tidak membantu. Kesukaran ini bertambah-tambah apabila mahasiswa tidak mempunyai kelulusan dalam bidang yang dikehendaki oleh pasaran. Iaitu jurusan yang diambil di universiti tidak releven dengan persekitaran masyarakat dan ekonomi semasa pada masa tersebut(yang mungkin juga bertitik tolok dengan kecenderungan para pelajar memilih jurusan yang dianggap mudah). Keadaan ini lebih memparahkan, apabila mereka mempunyai keputusan yang rendah dan kurang penguasaan berbahasa inggeris dan penguasaan komputer.

Mereka harus menghadapi hakikat pekerjaan tidak begitu ada di pasaran, tidak seperti di awal-awal kemerdekaan iaitu peluang bekerja tersedia ada, hanya menunggu pelajar menamatkan pengajian sahaja.
Keadaan akan bertambah sulit jika keputusan peperiksaan mereka hanya `cukup makan’. Tentulah majikan akan mencari pekerja yang bijak dan tekun. Tekun di sini dilambangkan dengan markah yang didapati pada setiap semester. Markah yang cemerlang melambangkan ketekunan dan kecerdikan mahasiswa tersebut secara langsung dan tidak langsung.
Walaupun tiada kajian yang dijalankan secara bersistematik dan tiadanya bukti empirikal mengenai isu ini. Saya percaya dengan keadaan sekarang terdapat kolerasi yang kuat antara gread CGPA dengan kejayaan mendapat pekerjaan. Iaitu semakin tinggi gread CGPA semakin mudah dan senanglah mendapat pekerjaan dan sebaliknya semakin rendah keputusan CGPA semakin sukarlah mendapat pekerjaan (tolak ketepi faktor `anak datuk’, `orang dalam’ `family bussiness’ dan personaliti `istimewa' yang dimiliki.


Jan: Cabaran bermula...

Tuesday, May 20, 2008

Sebelum menghadiri kelas

Berdasarkan pengalaman, terdapat pelajar yang tidak membuat persediaan dengan kemas sebelum menghadiri kuliah. Mungkin bagi mereka menghadiri kuliah adalah suatu perkara yang rutin, tidak lebih daripada itu. Kesan terhadap pelajar, sukar bagi mereka memahami konsep-konsep yang diterangkan.
Jika mereka membaca terlebih dahulu setidak-tidaknya mereka dapat memahami,dan mendapatkan asas kepada kefahaman subjek yang diberikan, Malah bersedia lebih awal dapat membantu minda bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan.
Kesan terhadap pensyarah dari segi masa. Ketidakbersediaan pelajar akan membuatkan pensyarah memerlukan lebih masa dalam menerangkan sesuatu konsep yang sepatutnya diterangkan secara ringkas atau sepintas lalu. Biasanya pensyarah lebih bersedia untuk menerangkan konsep yang lebih sukar tetapi jika pelajar tidak membuat persediaan, para pensyarah terpaksa menerangkan semua konsep, secara keseluruhan. Jika sepatutnya 8 jam untuk suatu bab yang telah ditentukan, ia akan mengambil masa yang lebih lama dan menyebabkan para pensyarah terpaksa `mencuri’ masa daripada bab-bab yang lain. Tetapi bagaimana jika pelajar memang bersikap tidak bersedia pada keseluruhan bab? Di manakah pensyarah perlu mencuri masa untuk mengajar? Membuat latihan?
Di sinilah para pelajar harus pandai menyiapkan diri sebelum ke kuliah. Jika pelajar hanya bergantung untuk mencari ilmu dengan hanya menumpukan pelajaran di dalam kelas, ia adalah suatu perkara yang mengarut dan tidak memadai. Sepatutnya mereka membaca terlebih dahulu secara sepintas lalu bab atau sub topik yang akan diajarkan.
Pelajar yang lemah terutamanya eloklah membaca terlebih dahulu secara serius sebelum memasuki kelas, tindakan ini akan banyak membantu pelajar itu sendiri untuk memahami apa yang dikuliahkan.
Jan: Belajar untuk mempelajari cara belajar...

Friday, May 16, 2008

Selamat hari guru

Selamat hari guru untuk guru-guru ku yang pernah mengajar aku sehingga menjadi guru... beratus guru telah ditemui, datang dan pergi, semuanya hebat-hebat dan tersendiri, namun beberapa guru terpahat di hati... Antaranya yang ditulis namanya kali ini ialah:
Cikgu Shafie yang mengajarku di SKKR. Orangnya sangat baik dengan murid, sabar, penyayang dan ikhlas.
Juga ustad Othman yang suka cerita hal nabi-nabi yang hebat-hebat. Hebatnya pedang nabi sehingga aku tertunggu sambungan cerita esok hari...
Juga kepada Miss Lim guru tingkatan dan guru bahasa inggerisku semasa di tingkatan 5 SMTM yang sabar dengan bahasa inggerisku yang teruk ( masih lagi teruk, hehehe).
Dan juga cikgu Zaiton yang seksi dan cikgu Alias di PPYIT yang pada masa itu memberitahu aku yang mereka yakin aku akan dapat menjejaki kaki ke menara gading.
Juga Tokoh guru Terengganu, Cikgu Yusuf Kasim, mengajarku tugas guru adalah meyeluruh dan guru adalah segalanya.
Jan: Selamat hari guru untuk semua cikgu yang pernah mengajarku, semoga terus membangunkan bangsa.

Wednesday, May 14, 2008

Semuanya kena ada teknik ke? Ya!

Salah satu perkara yang penting di dalam ilmu pedagogi adalah mempelajari teknik menyoal pelajar. Pada awal-awal menjadi guru iaitu pada tahun 1996 di Pusat Pendidikan Yayasan Islam (Cawangan Besut, saya `pakai hentam’ sahaja apabila menyoal. Tiada teknik tertentu yang diamalkan. Malah ketika itu soalan yang diutarakan semata-mata untuk mengetahui adakah pelajar mengingati pelajaran yang lepas.


Lama kelamaan saya mula belajar teknik menyoal daripada kawan-kawan di bilik guru. Terutamanya daripada guru yang mempunyai diploma pendidikan, dan juga guru yang mempunyai banyak pengalaman.


Mereka berulangkali memberikan semangat dan memberitahu proses pengajaran dapat dibina sedikit demi sedikit melalui pengalaman, jangan sesekali menjadikan alasan tidak memiliki sijil atau diploma perguruan sebagai halangan menjadi pengajar yang berkualiti.


Saya difahamkan oleh mereka soalan yang dilontarkan, selain daripada bertujuan untuk menguji pelajar (ke atas pelajaran lepas atau pelajaran yang akan dia ajar), ia juga berfungi sebagai menarik perhatian pelajar di dalam kelas, iaitu di dalam suatu kelompoknya sendiri. Soalan-soalan sebegini biasanya soalan-soalan yang dapat melahirkan perasaan rasa senang dan selesa dijawab oleh pelajar. Soalan boleh berbentuk gurauan atau jenaka. Namun begitu jika soalan itu mahu menarik perhatian pelajar yang nampak `hanyut’ di dalam kelas atau suasana kelas yang bingar, eloklah mengemukakan soalan yang tegas dan jelas, agar soalan itu mencabar fikiran.


Apabila mahu mengemukakan soalan, eloklah ketika berada di tengah-tengah kelas supaya semua pelajar dapat mendengarnya dengan jelas dan memberi perhatian. Pastikan soalan itu terlebih dahulu `dibuka’ kepada selurus kelas. Soalan terbuka sebegini akan membuatkan semua pemikiran dan tumpuan pelajar berfungsi. Maknanya semua pelajar tergerak untuk berfikir.


“Okey Zahari, mengapakah inflasi dikatogorikan sebagai masalah makroekonomi ekonomi?’


Jika kita terus tujukan soalan sebegitu kepada Zahari, ia akan membuatkan pelajar lain merasa selesa dan `selamat’ kerana setidaknya jika mereka tidak dapat menjawabnya, mereka boleh menokoktambah jawapan yang diberikan oleh Zahari tadi. Di sini hanya Zahari sahaja bertukus lumus menggunakan fikirannya untuk mendapatkan jawapan, kemungkinan besar pelajar lain akan merasa `selamat’. Oleh itu `buka’ dahulu soalan tersebut kepada keseluruhan pelajar di dalam kelas.


Ketika menyoal, hindari daripada mengulangi soalan kerana dibimbangkan akan melahirkan sikap acuh tidak acuh pelajar terhadap soalan tersebut. Mereka beranggapan soalan itu tentu akan diulangi semula. Namun soalan boleh diulang atas permintaan pelajar yang nampak kurang faham kehendak soalan, tetapi jangan dijadikan suatu tabiat bagi diri pengajar mengulangi soalan. Sebagai tenaga pengajar pastikan pelajar memberi tumpuan terhadap soalan yang akan diutarakan.


Jan: Entahlah sampai sekarang pun saya masih mencari teknik yang sesuai yang boleh saya amalkan, mengikut situasi dan kesesuaian tempatnya.

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home