Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Showing posts with label FILEM. Show all posts
Showing posts with label FILEM. Show all posts

Monday, November 4, 2019

Ulasan filem Maleficent: Mistress of Evil; Kisah mertua jahat



1. Saya menonton filem ini pada minggu kedua tayangannya, namun tidak berkesempatan untuk menulis ulasan terlebih awal. Sibuk memanjang, selsema, batuk dan berair hidung.

2. Perlu difahami, ulasan filem ini bercampur aduk dengan cerita harian saya dan juga beberapa pegangan falsafah hidup saya. (Pandangan tentang kehidupan daripada kacamata saya).

3. Orang kata dapat mertua yang baik adalah rezeki dan sebaliknya... bala. (selisih malaikat 44)

4. Kisah ni bermula selepas lima tahun dari kejadian filem pertama. Sleeping beauty dan jadi anak dara dan dah gatal nak berkahwin.

5. Maknya (Maleficient) tak setuju sebab dia kenal perangai bakal birasnya itu. Namun demi anak, seorang ibu sanggup buat apa sahaja.

6. Saya terkilan apabila Arora (sleeping beauty) memberi selendang kepada Maleficient untuk tutup tanduknya apabila dia dijemput ke istana berjumpa bakal ibu mertuanya.

7. Sepatutnya terimalah seadanya mak kita. Walaupun bukan mak sebenar tetapi orang yang cara makan minum kita, keselamatan kita, takut kita lapar, sejuk tu...itulah sebenarnya mak kita. Dengan hanya melahirkan tapi tidak pelihara, ia bukannya mak. Cuma mak biologi.

8. Punyalah jahat emak Philips tersebut. watak itu dilakunkan oleh Michelle Pfeiffer, yang terkenal dengan filem cat women dulu. Jahat sama taraf dengan jahatnya Mak Dara dalam filem Ibu Mertuaku. Dia tidak suka pari-pari. Dia nak bunuh semua.

9. Ada banyak adegan, ia bermula apabila Malificient dituduh menyumpah laki birasnya, Arora ambil side belah bakal ibu mertuanya dan tinggal di istana. Dia benci kepada Maleficient.

10. Tinggal di istana barulah dia rasa ada yang tak kena dengan bakal ibu mertuanya dan mula merindui Maleficient.

11. Meleficient datang semula untuk selamatkan pari-pari yang akan dibunuh pada masa majlis perkahwinan yang dirancang. Berlaku peperangan antara Maleficient dan bakal birasnya itu.

12 Dan akhirnya ibu mertua yang jahat itu disumpah menjadi seekor kambing. Pada masa itu saya rasa puas hati sangat... Saya suka melihat orang yang jahat mendapat balasan. (jahat kah saya?)

13. Secara peribadi saya lebih suka filem pertama, Saya mampu beri 3 bintang untuk filem ini walaupun pelakon dan lakonannya hebat dan kesan khas yang gempak dan halus.

14. Sebenarnya saya tidak melihat keperluan untuk filem ini disambung tetapi kerana Angelina Joli, saya ke panggung, he he he.

15. Moral filem ini banyak, antaranya.
a) Kita mungkin boleh pilih pasangan kita tetapi bukan ibu mertua kita. Hadap jea lah...
b) Ibu mertua lebih banyak bawa masalah berbanding bapa mertua yang kebanyakannya cool jea.
c) “Love doesn’t always end well' pesan Maleficient.
d) Kalau ada banyak baju dan perhiasan yang mahal dan lawa, buat satu bilik khas untuknya.
e) Bila kita dengar cerita seseorang itu jahat, jangan terus percaya kerana biasanya ada cerita sebenar di sebaliknya.
f) Manusia memang makhluk yang menakjubkan.
g) Tidak semestinya maknya jahat, anaknya jahat.
h) Jangan rasa kita boleh hidup sorang tanpa keluarga, saudara mara dan kawan-kawan. Kita makhluk sosial.
i) Senang sahaja pemerintah/pemimpin nak kencing kita bila kita dah taksub.

16. Saya keluar panggung dengan gembira. Filem ini tetap menghiburkan... Saya berhajat mahu lihat Joker, tetapi saya sibuk sangat.

14. Sehingga kini saya masih tertanya-tanya apa yang tidak kena dengan filem ini... mungkin cerita tidak kemas, dialog longgar...

15. Sekian.


Tuesday, October 1, 2019

It chapter 2 review: it's very good, but not great





1. Sebagai peminat cerita seram saya berasa amat bertuah kerana berjaya juga ke panggung untuk menonton filem IT Chapter Two. Maklumlah jadual hujung minggu saya ketat, seketat pakaian model renang.  

2.  Saya berjaya menghabiskan masa selama 3 jam di panggung Wayang Megamool. Ia adalah hari ini dalam sejarah, inilah filem seram yang terpanjang pernah saya tonton.

3. Saya tidak merasai 3 jam itu terlalu lama kerana saya benar-benar menghayati jalan cerita dan watak dalam filem tersebut. Sehinggakan terbawa-bawa ke rumah, iaitu takut untuk buka suis lampu di dapur. Terbayang Pennywise sedang duduk dalam sinki.

4. Ceritanya bermula, setelah 27 tahun budak-budak (yang dalam filem pertama) telah dewasa kembali ke kampung halaman mereka.  

5. (Dalam kumpulan kawan mereka ada yang hanya duduk di kampong sahaja. Jadi dialah yang  hubungi kawan-kawannya supaya kembali ke kampong jika Pennywise muncul. Lagipun mereka sudah bersumpah darah masa kecil akan kembali semula ke kampong kalau Pennywise muncul semula).

Hasil carian imej untuk pennywise chapter 2

6. Saya tabik akan pemilihan para pelakon dewasa sebab bentuk muka dan perwatakan sebijik sama dengan pelakon kanak-kanak. Tak macam filem Melayu kita, masa kecil hidung pesek, lubang hidung besar dan telinga besar tapi bila dewasa tup-tup handsome macam Zul Ariffin atau saya.

7. Mereka sangat teliti dalam pemilihan dan pewarnaan watak. Memek muka, gaya berpaling dan cara jeling, cara marah, gerak tangan sama masa mereka kecil. Jadi kita dapat lihat bahawa kanak-kanak dahulu telah dewasa. 

8. Macam biasa akhirnya mereka berjaya tewaskan hantu tersebut. Malas saya nak cerita panjang sebab banyak adegan yang menyeramkan. Dalam menuju kejayaan membunuh Pennywise, banyak perkara yang ditempuh oleh individu watak yang telah dewasa. Seram...ada beberapa adegan saya tutup mata... takut darah naik. Tapi saya dah makan ubat, ada letak dalam dompet.

9. Banyak adegan `makan budak' sangat menyeramkan dan menyedihkan. Saya kesian kepada seorang budak perempuan yang kejar kunang-kunang (maknya leka tengok baseball) akhirnya kena baham dengan Pennywise. Adegan ini terbaik sekali. Seram campur sedih, campur benci kepada emaknya yang lalai.  

10. Berbanding dengan filem terdahulu, saya berpendapat ia tidaklah seseram filem pertama. Namun ia tetap berbaloi ditonton kerana jalan ceritanya tetap bagus. 

11. Perkara yang menarik dalam filem ini;
(a) Filem panjang...sepanjang 171 minit (9 minit kurang dari 3 jam).
(b) Lebih menekankan nilai persahabatan kawan-kawan sekampung.
(c) Unsur seram psikologi yang jauh menakutkan...
(d) Para pelakon yang hebat.
(e) Pengakhiran cerita yang memuaskan.
(f) Ada unsur-unsur kelakar jugak diselitkan...
(e) Buat kita terimbas waktu remaja tahun 80an dan 90an...
(f) Filem ini tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

12. Unsur moral dalam filem.
(a) Kadang-kadang bila kita ada masalah sahabatlah yang kita jemba dulu. Hargailah sahabat.
(b) Kita mungkin gemuk tak menarik masa kecil tetapi bila dewasa kita jadi menarik mengalahkan ketua murid di sekolah kita dulu. Ubatnya adalah diet dan senaman.
(c) Sesibuk mana kita dengan KPI, jenguk-jenguklah kawan-kawan di kampung.
(d) Kalau ada anak, kalau bawa ke tempat permainan atau orang ramai jaga molek anak kita. Dah banyak dah unsur didaktik ini dinyatakan dalam filem tapi masyarakat tak ambil ikhtibar. Anak sendiri terlepas pandang...
(e) Perempuan patut belajarlah ilmu pertahanan diri, mana tahu dapat suami kaki pukul.
(f) Hargailah kenangan, kenangan paling menakutkan juga ada manisnya...apa lagi kenangan manis...(baca dengan nada syahdu...)

13. Sebenarnya saya rasa rungsing kerana tidak dapat menonton filem ini pada minggu pertama tayangannya. Hujung minggu pertama tayangan tersebut saya balik kampung. Saya hanya mampu berdoa dan meminta kawan-kawan saya (saya hantar hantar wasap)  supaya berdoa agar filem ini akan dapat bertahan lebih dari seminggu di Kuantan. Sebab biasanya cerita hantu tak dapat banyak sambutan, lainlah kalau filem action...

14. Semasa saya keluar panggung wayang, kawan saya beritahu penonton depan kami ada juga buat `wayang kecil'. Saya manalah perasan sebab asyik tutut mata dengan tangan jea (atau Tshirt). Kalau pasangan di hadapan bertukar jadi monyet pun saya tak sedar. Kata kawan saya lagi pasangan tersebut bukannya datang nak tengok wayang tetapi `main wayang' dalam gelap... Saya tidak komen apa-apa atas apa yang kawan saya laporkan...cuma mungkin itulah antara sebabnya pergi menonton wayang dikatakan satu perbuatan negatif.

15. Akhir sekali saya ingin merakamkan rasa puas hati kepada semua yang terlibat dalam filem ini. Kalaulah saya tinggal di Kuantan, saya akan lihat filem ini sekali lagi. Pada masa ini kutipan filem IT Chapter Two ini sudah menghampiri $400 million (budget $79 million).

Sekian terima kasih.







Thursday, August 1, 2019

Ulasan filem Crawl (2019): Jiwa tertekan di dalam panggung



1. Plot ceritanya mudah, kisah seorang anak perempuan (Haley)  dan ayahnya yang terperangkap di bawah rumah. `Bawah rumah' bermaksud betul-betul bawah rumah yang berlantaikan tanah. Bukannya basement yang ada ruang dan kerusi meja bagai. Bawah rumah itu dipagari dengan konkrit batu bata. jadi sukar nak keluar.

2. Mereka mahu keluar dari bawah rumah kerana di bawah rumah tersebut juga terdapat dua ekor buaya besar!. (akibat banjir, buaya terlepas dari kawasan ternakan buaya)

3. Cerita bermula apabila Florida di landa ribut, Haley (yang baru sahaja habis saringan ujian kelayakan renang) bergegas ke rumah lamanya untuk mencari ayahnya. Ayahnya sepatutnya sudah berada di kawasan selamat sebelum ribut berskala 5 melanda. Air akan pasang.

4. Pertengahan cerita kita akan tahu kenapa ayah dia monyok. Kenapa ayahnya seolah asingkan diri dan duduk sorang-sorang. Dan kita akan tahu kenapa emaknya tinggalkan ayahnya dan cari laki baru.

5. Apabila sampai di rumah lamanya Haley (dengan bantuan anjingnya bernama Sugar) terus mencari ayahnya, dan akhirnya dia turun ke bawah rumah. Cari punya cari terjumpa ayahnya tergolek di tanah...dan bermulalah.

Hasil carian imej untuk crawl movie 2019

6. Sebelum kemunculan buaya, sudah ada unsur seram dan kejutan. tengoklah sendiri. Bayangkanlah sepanjang filem ini jantung saya berdegup degap bak pertama kali bercinta dan juga tertekan bak slide tak buat lagi esok lusa dah nak kuliah. Bertambah degup kerana saya terlupa telan ubat darah tinggi Zynor (yang saya kena ambil sebiji sehari). Kalau mak saya tahu saya terlupa makan ubat, tentu dia sedih. Tentulah sedih sebab anaknya dah tua bangka pun makan ubat, bersuruh!

7. Dos ubat tinggi tu dah banyak kali bertukar seiring dengan tambahan uisa, dulu 2.5 mg sahaja (masa kerja di Pekan), naik ke 5 mg  masa kerja di (Kuantan)dan kini 10 mg. Kot-kot nanti bila tua kena makan 1 kg, he he he. 

8. Filem buaya ini bukan seperti cerita biasa pasal buaya-buaya dalam filem-filem Aligator (1980), Primival (2007), siri Lake Placid (1999, 2007, 2010), filem Crocodile (2002), Crocodile 2 (2002). Filem tersebut terlalu `biasa' jika mahu dibandingkan dengan `Crawl' ni. Crawl ni jangan harap nak tengok gadis-gadis montok berbikini dan remaja-remaja segar bugar yang huha-huha. Tak ada!

9. Cerita ini `seangkatan dan sesedap' filem `Rogue' (2007). Filem Rogue ni saya syorkan tengok, best!. tetapi tentulah `Crawl' lagi best! superbest.

Hasil carian imej untuk crwal film
Add caption

10. Kita boleh beli blueray dan tengok jea di rumah, tetapi masalahnya baru kita duduk depan tv sambil makan, dan sekejap-sekejap pergi dapur buat air, tiba-tiba isteri/suami panggil, atau anak datang kacau. Kosongterik kita hilang!. Berbeza benar tengok dalam skrin wayang dengan tengok dalam Tv. Cerita yang sedap di wayang jadi tak sedap di Tv. Kejutan di wayang, tak jadi kejutan di Tv. Ya la kan buaya dalam Tv nampak besar cicak jea tetapi buaya dalam panggung wayang depan kita, besar!.

11.  Gitulah kesan wayang berbanding kesan Tv.

Hasil carian imej untuk crwal film
Add caption

12. Dua hari sebelum lihat filem Crawl ini, semasa saya sedang sibuk pilih sudu di Langkawi (HIG) yang adik saya kirim, saya terfikir kalau sempat saya mahu lihat filem Craw di Kuantan. Dan selepas itu semasa kompius nak memilih lampu di Ikea (sebab bajek ciput), sekali lagi saya berdoa agar dapat lihat filem tersebut...

13. Pelakonnya saya tidak kenal tetapi lakonannya hebat. Orang putih begitu kot. Tidak perlu jadi pelakon terkenal untuk menjamin mutu lakonan yang hebat, berbeza benar dengan kebanyakan pelakon kita yang hanya terkenal tetapi tidak berbakat. Berlakon keras macam kayu, stepler atau kepala ahli politik kita.

Hasil carian imej untuk crawl movie 2019
Air dah pasang

14. Selepas menonton walaupun tertekan, saya puas hati, terhibur dan terharu. Walaupun tiket RM16 (kawan belanja), berbaloi. Saya bagi 4.5/5 bintang. Sepatutnya 4 bintang jea tapi anjing dan buaya dalam filem ni pandai juga berlakon.

15. Boleh juga bawa keluarga sebab ada unsur moral antara hubungan anak perempuan dengan ayah. Hubungan anak perempuan dengan ayah biasanya rapat. Kadang-kadang terhindar sikit bini sendiri. he he he.

16. Seperti biasa, filem inggeris selalu ada moral dan pengajaran yang boleh diambil. Antaranya: (16.1) Ikutilah amaran yang dikeluarkan oleh kerajaan. Contohnya kat Malasyia ni kalau kawasan tu dah banjir PH suruh pindah, pindahlah. Walaupun BN sudah tiada, apa yang baik harus diikut untuk keselamatan diri dan keluarga.
(16.2) Walaupun kehidupan ini bukannya berkisarkan berapa berat badan kita tetapi mempunyai berat badan yang ideal menolong kita berenang dengan pantas apabila dikejar buaya.
(16.3) Walaupun kita mabuk kan perempuan cantik yang kurus, sebagai lelaki kita mesti tahu apa yang benar dan salah. Contohnya kerana mencuri di bawah pengaruh perempuan samalah seperti mencuri di bawah pengaruh dadah.
(16.4) Jagalah bini kita, bila-bila masa bini kita boleh lari ikut lelaki lain walaupun bini kita sudah tua.
(16.5) Dalam keadaan tertentu anjing jauh lebih baik dari manusia (atau bekas-bekas kekasih lama kita).
(16.6) Jangan bina rumah di kawasan berisiko. Cari kawasan yang bebas banjir dan bukannya bebas jiran.

17. Dan paling berkesan adalah ajaran moral untuk keluarga. Dalam setiap keluarga terdapat konflik, namun kita tetap juga sekeluarga yang seharusnya saling sayang menyanyangi memberi semangat antara satu sama lain. Perasaan anak dan perasaan ibubapa adalah unik, dan apa yang mereka lalui susah payah dahulu akan menjadi jambatan yang kukuh terhadap pembentukan perhubungan yang lebih erat pada masa hadapan....(ayat setail cikgu sivik dan moral)

18. Selepas keluar dari panggung, buat pertama kalinya dalam sejarah hidup saya, saya terus balik! tanpa makan dan minum. Macam tak percaya. He he he.

18. Thanks...


Tuesday, July 16, 2019

Ulasan filem Pet Semantary (2019): Filem paling menakutkan 2019!*

Hasil carian imej untuk pat sementary movie
Poster



1. Semalam selepas 'Fun Run, dan selepas makan banyak kolestrol di kedai X (selepas `run'), terus ke KCM tengok `Pat Sementary'. Fun Run ni bagus juga, adalah aktiviti pada hujung minggu, taklah nampak sangat saya menunggu mati. He he he.


2. Cerita seram menyeronokan (walaupun kita dikatakan membayar untuk rasa seram). Berbanding dengan megamool, harga tiket di MBO KCM juga menyeramkan!

3. Bertambah seram, termasuk saya hanya hanya dua orang tengok filem ini (saya dan sahabat saya) dalam keadaan samar bayangan... Rasa kami pula yang konon menempah seluruh panggung. He he h. Rasa mewah. Mak talipon pun boleh jawab selamba jea dalam panggung sebab tak ganggu orang lain.

Hasil carian imej untuk Pet sementary
Dia gali semula kubur anaknya untuk tanam ditanah yang boleh hidupkan balik anaknya.

4. Filem dari novel Stephen King tidak pernah mengecewakan. Sebagai pengemar cerita seram, ia berjaya menyeramkan saya.

5. Kisah satu keluarga berpindah ke tempat baru, rumah baru. Tapi bukannya rumah berhantu. jauh di belakang rumahnya ada tanah purba yang sakti. Dulu ada puak asli yang duduk tetapi mereka sudah tinggalkan tanah tersebut.

6. Tanah tersebut sebenarnya mempunyai kuasa boleh menghidupkan kembali apa-apa yang bernyawa apabila ditanam di tanah tersebut.

7. Bila anak kucing anaknya mati, kucing itu ditanam di tanah sakti tersebut, dan akhirnya kucing itu pulang!

8. Tetapi dalam diri kucing tu bukan kucing yang dulu...seram.


Hasil carian imej untuk Pet sementary
Kucing ini sebenarnya sudah mati...
9. Dan selepas itu anak perempunnya pula mati berlanggar depan rumahnya. Isteri sangat sedih. Dia sangat sedih. hantar isteri balik kampong dan mula mahu hidupkan anaknya balik.

10. Dia gali balik kubur anaknya dan tanam di tanah purba tersebut. Anaknya memang balik selepas pukul 12 malam. seram sangat adegan itu di mana dia menunggu kepulangan anaknya dari kubur. Dia siap mandikan sebab ada tanah di badan anaknya itu. Kesian pun ada.

11. Anaknya siap tanya tadi dia ke mana? anak itu tak tahu dia telah mati...

12. Banyak pengajaran kita boleh dapati dari filem ini. Selain jangan percayakan jiran, dan kita kena bina pagar bila rumah terlalu dekat dengan jalan besar, pengajaran utama ialah tak payahlah kita hidupkan kembali orang yang telah mati (walaupun kita sayang).

Hasil carian imej untuk Pet sementary
Kucing ini jadi ganas sebab dalam tubuhnya ada kuasa iblis yang jahat.

13. Dan janganlah terlalu modeng sampai tak percayakan bila mati nanti ada alam lain.(Logiknya pasti ada alam lain, tak kan orang yang curang di belakang kita terlepas begitu saja? Haaa...). dalam ceritanya ayah budak tu seorang doktor, dia tidak percaya alam selepas mati

14. Mungkin pelakon cerita ini bagus membuatkan saya rasa berkesan. Dan ceritanya digarap dengan penuh menyakinkan.

15. Kesudahannya amat mengejutkan saya!. saya tak boleh cerita. Tengoklah sendiri. Sebelum tamat keadaan jadi suspen bila isterinya balik dan lihat anaknya hidup! isterinya beritahu `itu bukan anak kita! Anak kita sudah mati!'

16. Kalau asaya tinggal di Kuantan , saya akan tengok cerita ini 3 kali. tengok dalam wayang dengan dalam Tv lain rasa keseramannya. Jauh lebih seram di panggung. Dalam tv kadang-kadang rasa lucu.

Imej yang berkaitan
Pak cik yang suka membawang hal orang lain, bila bininya mati.

17 .Selepas tengok wayang pergi ziarah Pakson, sambar baju t'shirt selai (ada sales). Terkedu sebab muat saiz XXL jea (padahal dah banyak kali berlari).

18. Sebelum balik singgah MyMama kejap rasa nasi kukus, bila berjalan-jalan jadi cepat lapar kan?.

19. Saya berharap saya tidak gemuk, tetapi apakan daya saya suka makan.

20. Sekian terima kasih.


* dah pernah post 8h lalu, edit semula, repost.


Ulasan Filem Annabelle comes home: Hantu keluar ramai-ramai usik budak-budak remaja

Yang kat bawah poster lebih menyeramkan dari annabelle...heheh



1.Annabelle (2014), Annabelle: Creation (2017) dan Annabelle Comes Home (2019). Sudah ada tiga filem Annabelle setakat ini.

Hasil carian imej untuk annabelle comes home poster




3. Minggu lepas walaupun saya sampai di Kuantan sudah pukul 1 pagi dari MRSM Perak (buat marketing), saya tetap bertekad mahu menonton Annebelle comes home. Apa yang terjadi pun saya akan tengok juga. walaupun letih giler.

4. Kisah anak patung berhantu ini asalnya hanya muncul sekejap dalam filem The Conjuring (2013), dan kemudian dibuat filem daripadanya. Filem pertama mendapat sambutan hangat walaupun banyak kritikan diberikan oleh pengkritik filem. Saya juga berpendapat Annabelle Creation (filem kedua jauh lebih bagus) berbanding filem pertama dan ke tiga Annabelle. Kutipan dia (untuk annabelle kedua Creation)  US$300juta walaupun kos hanya;ah US$15juta!

5. Dalam filem kedua itu, terjawab segala persoalan kenapa patung itu menjadi terlalu puaka... semuanya ada bersebab.

6. Saya hampir menonton filem ini seorang diri. Saya tidak mahu memaksa kawan-kawan turut menontonnya. Tidak adillah kawan-kawan saya selalu menemani saya menonton filem kesukaan saya sedangkan saya tidak menemaninya mereka untuk melihat keganasan. Rupanya ada kawan yang sudi bersama saya menontonnya. Terima kasih sangat-sangat hanya Allah s.w.t saja dapat membalas budi baik tersebut.

7. Bertahun-tahun saya selalunya pergi menonton seorang diri. Dan pernah ke panggong dengan kawan tetapi kami memilih filem yang berlainan... Dia tidak suka cerita hantu.


8. Plot filem Annebelle comes home mudah sahaja. Pasangan Ed and Loraine (pasangan pemburu hantu) meninggalkan anaknya kepada pengasuh untuk sehari. Dalam sehari itulah macam-macam terjadi di rumah tersebut. Dalam sehari itulah berlaku banyak kejutan yang mengerikan.

9. Cerita jadi menarik apabila kawan pengasuh bertandang ke rumah pasangan pemburu hantu itu. Kawan pengasuh itulah yang biroh sangat petik itu- petik ini, pegang itu-pegang ini dalam rumah tersebut. Dan bila dia masuk ke dalam bilik yang penuh dengan barang-barang berhantu...terjadilah cerita... keluarlah hantu-hantu yang ada dalam bilik tersebut yang menjadi penunggu kepada barang-barang. 

9.5 Saya menyampah betul dengan kawan kepada pemgasuh yang datang rumah orang buat macam rumah sendiri dan nak sangat jumpa hantu dalam rumah tersebut. Namun sebenarnya kawan pengasuh tersebut mahu hubungi roh ayahnya yang terlibat dalam kemalangan. Dia sengaja pergi ke rumah tersebut untuk tahu kalau-kalau ada roh yang boleh hubungi ayahnya. Dia rindu sangat. Yalahkan…hilang orang yang kita sayang ni bagai raga tak bernyawa. (sedih pulak bab ini)

10. Masyarakat kita (walaupun yang ada PHD – kawan saya) juga percaya barang-barang lama ada penunggunya. Makhluk tu jadi penunggu setia. (Sebab apa dia menunggu dan tak pergi bercuti atau jalan-jalan...saya tak tahu) 

11. Adengan yang paling menyeramlan adalah apabila patung Anabelle hilang, dan tup-tup ada di atas katil budak yang sedang tido…(rujuk gambar)!

12. Seperti biasa banyak pengajaran yang dapat kita kutip, antaranya; (1) Kalau kita buat kek, kita sendirilah kena tunggu kek itu masak sampai ke sudah, orang lain yang kita harap tak boleh harap. dalam cerita tu kek hari jadi hangus. (2) Bila kita tengok anak kita tu monyok jea bila pulang dari sekolah, tanyalah apa yang terjadi kot-kot kena buli. Ini tidak sibuk 24 jam. Kita letak handpone sekejap dan gaya anak kita. Bila kita gaya anak kita…mereka tentu akan bercerita (ewah saya macam ada anak 8) (3) Adalah biasa orang lelaki akan buat apa saja untuk perempuan (yang mungkin tak menyintainya pun) semata-mata dia menyintai perempuan itu sehingga dia sanggup kelihatan bodoh.(maaf ayat panjang). (4) Jangan berharap/berdoa untuk berjumpa lagi dengan orang yang telah mati di dunia ini (boleh harap sama-sama jumpa di syurga nanti jika bernasib baik. kalau nasib tak baik satu kat syurga, satu kat nereka. Nasib paling buruk mungkin dua-dua ke neraka…) (5) Tiada barang yang berpuaka, barang menjadi puaka kerana tindakan iblis, iblis menjadikan barang sebagai pengantaraan...sebelum iblis mahu merosakan roh.

Hasil carian imej untuk annabelle comes home



13. Adat saya, sebelum saya masuk panggung, saya bergambar dengan poster. Ada poster besar di tepi dinding tempat orang lalu lalang di tingkat atas tersebut. Saya tidak mahu halang poster tersebut maka saya terpaksa duduk berbaring menyengeng ala ikan duyung (Adnan kata ala ikan paus... ada-ada jea dia). Ada beberapa orang menengoknya... (macam la mereka tak pernah berbaring kat rumah).

14. Sebelum itu paginya saya makan nasi lemak di Watak Kopi. Kopinya sedap. kemudiannya saya mampatkannya pula dengan kek. Kek sedap tetapi terlebih easen. Lepas tu saya ke kedai sebelah pula, oder kek juga, kek keju. Sedap kek keju tapi saya bukan peminat kek keju. Saya tak ada DNA tikus. Namun selepas menonton wayang saya masih lapar. Kami terus menyemberang bangunan KCM dan ke D Apple, saya makan pula Chiken Cok bersama sejenis roti yang tidak pernah saya makan. Sedap juga. Semasa makan saya teringat pagi tadi saya timbang sudah 92.2 kg… (Ah…biarlah kerana kehidupan ini bukannya berkisarkan berapa berat badan kita, banyak lagi nilai murni lain yang mesti kita tanam. (persis kata-kata cikgu pelajaran sivik dan Tatarakyat…)

15. Saya harus cepat balik kerana mahu ke Ubai, Pekan pula. Ada majlis arwah. Dalam masa memandu, saya terpikir filem Annabelle tadi masih tidak dapat lawan cerita Annabelle Creation (Annabelle ke 2). Annabelle ke 2 ini keseramannya lebih kepada kejutan. Namun saya tertarik dengan satu cermin puaka dalam bilik tersebut yang boleh gambarkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan... Kalau ada cermin sebegitu tentu hidup saya akan berlainan. Tidak memandu Myvi tetapi mungkin Tiguang (Vokweagon).

16. Sampai di majlis tersebut, saya bersopan dengan memberi 3 kilo gula kepada tuan rumah. Nak beri duit bukannya majlis kawin, maka saya beri gula. Itu adat di tempat kelahiran saya, Besut. Saya beritahu tuan rumah saya tak boleh duduk lama sebab kena balik Muadzam... Tuan rumah suruh tunggu sekejap, dia mahu bungkuskan makanan. Saya bulatkan mata berpura-pura tidak perlu bersusah payah membungkus makanan. He he he.

17. Dalam hati saya, ya allah minta-minta la ada opor. Opor adalah masakan Pahang yang paling best!. Semasa saya menunggu saya terdengar perbualan beberapa orang mak cik. Mereka bercerita ketika arwah Datin Rafeah Buang (penyanyi tersohor) ada dulu, arwah suka sangat makan opor. “Kalau tak ada daging, kuahnya pun ok...” kata Mak Cik Saadiah yang menceritakan arwah datin Rafeah Buang pernah datang ke rumahnya. 

18. Bukan sahaja Opor, tapi ada juga ayam goreng berempah, ikan kering, ikan patin, hati masak goreng, bersama beleda, putu, dan gertas dan juga bubur kacang durian!.Semoga tuhan berkati tuan rumah.
19. Sebaik sahaja sampai muadzam saya terus makan, Saya tinggalkan sedikit untuk sahur. Saya kena puasa 6 cepat-cepat syawal dah nak habis. Tahun lepas sempat puasa 4 jea, he he he.

20. Kembali kepada Annabelle. Saya yakin akan ada lagi sambungan Anabelle ini. Anak patung yang dirasuk merupakan satu idea yang menyeramkam, tetapi seperti biasa cerita seram tidak mendapat sambutan sangat. Pelik.

21. Saya beri 6.5/10 sahaja sebab ia hanyalah seolah kisah remaja yang terperangkap di rumah hantu… tiada sesuatu yang baru.

22. Sekian.

Wednesday, July 3, 2019

Ulasan filem Men in Black 4: International (2019): Men dah jadi Women in Black.



Ulasan filem Men in Black 4: International (2019): Men dah jadi Women in Black.
Image may contain: 3 people, people standing and text
Sukiman in Black

1. Alhamdulillah sempat juga saya melihat Men in Black terbaru, Kalau kira sekarang sudah 4 filem. Filem pertama 1997, kedua 2002, ketiga 2012.
2. Kalau hendak banding dengan filem yang lepas-lepas, bagi saya filem ini kurang menarik. Saya terkilan jugak dengan jalur ceritanya tapi filem ini masih boleh menghiburkan. Ada Liam Neeson dan Emma Thompson.
3. Konsepnya juga telah berubah. Saya yakin filem ini akan dapat kutipan paling rendah...he he.
4. Tidak lagi dua orang lelaki, kini lelaki (Chris Hemsworth) dan perempuan (Tessa Thompson) bergandingan watak dalam Men in Black. Walaupun mereka berlakon dengan baik sekali saya tetap merindui Tommy Lee Jones dan Will Smith. Terbayang-bayang di ruangan mata bak orang bercinta.
5. Ceritanya bermula dengan hero baru yang ego tapi kacak. (saya kata kacak sebab makhluk asing pun ada yang mahu tidor dengannya). Haru betul...
6. Kalau kira plot, plotnya sangat biasa-biasa jea. Budak darjah 3 boleh reka plot tersebut. Ada pengkhianat dalam organisasi. Dan akhirnya terbongkar...
7. Walaupun plotnya biasa, saya tetap rasa terhibur sebab ada adegan-adegan yang pelik dan melucukan. Contohnya ada perempuan yang cantik tapi di belakangnya ada lagi satu tangan! Bila bergocoh nampak real sangat. tapi tentulah hero menang. Contoh 2, Ada makhluk asing yang badannya boleh diceraikan dan dicantumkan semula.
8. Dalam filem ini Men in Black yang perempuan lebih cerdik dari hero. Lebih berdisiplin, lebih banyak lulus periksa dan sebagainya. Dan ketua paling besar Men in Black juga adalah perempuan. Filem ini mungkin boleh tukar dah jadi Women in black.
9. Saya tidak tahu kenapa pelakon lama tidak digunakan dan apa perlunya dua watak baru kalau sekadar mahu meneruskan cerita Men in Black ni.
10. Saya suka filem makhluk asing, namun yang ini sekadar hiburan sahaja. saya akan melupakan filem ini dengan mudah.
11. Dari darjah satu lagi, hingga kini saya percaya di kalangan kita ada mahkluk asing. Keyakinan itu bertambah kuat apabila melihat perangai pelik beberapa kawan-kawan dan pelajar saya. He he he. Lagipun tuhan maha kaya...semua dia boleh buat.
12. Selepas itu macam biasa saya pergi makan-makan. Pekena Pizza. Lama tak makan Pizza.
13. Saya telah melupakan filem ini...

Wednesday, June 12, 2019

Ulasan filem Godzilla king of monster : Mana Ultraman?


1. Raya ke empat saya beraya di Megamool, tengok Godzilla bersama kawan dan anak saudara. Tak ramai orang di Megamool. lenggang jea. Dan tak ramai juga orang tengok wayang mungkin depa dok beraya lagi. Tak sebulan, tak sah. He he he. 

2. Ada banyak cerita lain yang menarik tetapi rasa nak tengok Godzila:King of the Monsters. Ada la selfi kat poster wayang tu. Tapi malu nak letak sebab saiz modelnya dah nak sama besar dengan saiz Godzila dalam poster tu.

3. Sebelum ini memang ada tengok beberapa filem Godzila, dan dari kecil ada tengok Ultraman dan Godzilla berperang. Godzilla ni dia makan elektrik dan nuklear. Pelik. Kalau kat Malaysia tentu Godzilla tu dapat bil yang tinggi dari TNB.

4. Filem ini banyak aksi pentempuran antara raksaksa2. Raksaksa2 lain saya tak berapa kenal tetapi mereka ganas juga perilakunya. Ada naga berkepala tiga, bila putus boleh tumbuh balik. Bayangkanlah huru haranya dunia jadinya.

5. Kisah bermula apabila raksaksa2 yang `dijaga' bangun dan membuat onar. Sebenarnya raksaksa-raksaksa itu dilepaskan oleh seorang ahli sains (Dr) yang patah hati sebab anaknya meninggal dalam pentempuran raksaksa yang lalu. Sini ada konflik keluarga sikit tapi parah...dan dendam.

6. Dalam filem ini rupanya makluk2 mitos ini masih wujud tetapi dirahsiakan oleh kerajaan. dengan kecanggihan teknologi moden raksaksa2 itu dapat dikawal. Kerajaan dan tentera percaya akan ahli sains mereka. Tapi kalau ada bencana, tentera dan kerajaan ambil alih.

7. Selepas itu satu persatu raksaksa itu buat onar dan di sinilah diperlukan Godzilla untuk mengawal dan memerangi raksaksa2 lain. Kira Godzila inilah raja segala raksaksa. Ada plot-plot cerita bertindih di sini. Boleh membawa ke tido...he he.

8. Boring jugak tengok raksaksa ini berperang tetapi CGI (`computer-generated imagery')nya hebat sekali. Mereka berperang berperang dan berperang tapi Ultraman tak juga muncul-muncul.

9. kebanyakan 1.30 jam dihabiskan dengan adengan berperang. Selepas tengok cerita ni rasa semacam jea. mungkin kebanyakan filem sebegini sudah tidak menjadikan kanak-kanak sebagai taget tontonan filem mereka. Temanya berat - alam sekitar- bekerja sampai tak ingat keluarga - mitos sebenarnya bukan mitos - konsep sains yang canggih (kita tak faham)- dan lain-lain. CGInya cantik tetapi itu bukanlah suatu yang diinginkan oleh kanak-kanak.

10. Persoalannya lebih kepada tema sayang bumi dan wujudnya raksaksa mitos ini sebagai pengimbang bumi supaya tidak dihancurkan oleh manusia... (Ada ke gitu?)

11. Musuh bumi adalah manusia, jadi raksaksa2 ini boleh imbangi populasi dunia. Kalau ramai sangat manusia, hancur dunia. Begitu juga kalau ramai pemimpin kita asyik berpolitik bila nak memimpin? Politik setiap hari, dasar ekonomi sepi...

12. Maaflah cerita ini tidak akan disukai oleh kanak-kanak, mereka mungkin akan buat onar di dalam panggung. Apabila bosan mereka pula jadi Godzilla dan mak mereka jadi ultraman. Nasib baik suasana ok kerana tiada budak-budak dan pengunjung yang bercakap kuat (siap ulas cerita). Terima kasih kepada tuhan.

13. Semasa cerita ini ditayangkan saya menontonnya sambil kerup kerak makan pop kong. Ada juga air miniral yang mahal dan air bergas (yang merbahaya kepada kesihatan). Masa ini juga sempat saya terfikir Quiz 1 untuk pelajar tak buat lagi...kena buat sebelum minggu depan.

14. Lepas tengok wayang saya terus balik sebab nak kemas rumah. Bimbang ada orang tersesat nak datang beraya. Kira bulan ni rumah kena kemas 24 jam.

15. Nanti tahun 2020, Godzilla lawan King kong pulak. katanya bulan Mac akan ditayangkan. Sapa menang yea?

16. Sekian, selamat hari raya, maaf zahir batin...

Tuesday, May 21, 2019

Ulasan Filem John Wick 3: Ceritanya kalah cerita Hindustan




1. Hujung minggu lepas saya menonton Jong Wik 3 bersama kawan saya. Saya mahu lihat cerita hantu, dia mahu lihat cerita John Wick 3.

2. Saya mengalah sebab dia jauh lebih tua, kurang popular(...tak ada FB dan Ista), dan baik hati.

3. Saya tak suka cerita action sebab tidak suka lihat orang bergaduh. bergaduh membosankan. Binatang bergaduh saya suka tengok.

4. Cerita dimulakan dengan tawaran harga tinggi jika dapat bunuh Jong Wik. Jadi ramai la yang nak bunuh John Wik.

5. Sadis sungguh hidup dapat duit dengan membunuh orang, tetapi itulah intipati cerita Jong Wik ini. Pembunuh upahan.

6. Dan Jong Wik dapat mengalahkan mereka satu demi satu. Kadang-kadang sepuluh sekaligus dia kalahkan. Macam cerita hindustan dah lagaknya.

7. Saya tertidor dua kali sebab bosan. Saya bosan melihat keganasan...saya cintai kedamaian dan keseramman..

8. Jong Wik dilanggar kereta (dua buah kereta) melantun dan jatuh tersembang. Jon Wik ditikam, dihentak kepala, dipukul dengan kuatnya... Jatuh dari bangunan 7 tingkat tapi tak mati-mati.

9. Tapi ada adegan yang sedih.., dia (jong Wik) kata dia pilih nak hidup sebab nak ingati kenangan manis bersama isterinya. kalau tidak dia rela mati. Wah manisnya...

10. Sukar mencari lelaki yang setia, bak mencari bara dalam air, atau bak mencari jarum dalam jerami atau mencari perempuan yang anti shopping....Jong Wik contoh lelaki sangat setia (jiwang).

11. Cerita ini kurang dialog, mungkin asyik berperang bila masa nak berdialog? Kosnya adalah $55m, kutipan dah hampir $100m.Sambutan yang menggalakan untuk keganasan...

12. Ketika Jong Wick asyik berperang, saya minta diri dari kawan saya mahu ke tandas. Di tandas saya salin baju baru (baju raya) dan seluar jeans biru (seluar raya). Tak sabai nak cuba, macam budak-budak. Saya lihat dalam cermin. Alhamdulillah masih menarik. Saya selfi dalam tandas tersebut.

13. Sebenarnya sebelum itu saya pergi beli baju dan seluar raya. Lama tak beli seluar jeans...Bila jurujual tu tanya saiz pinggang berapa? Perlahan sahaja saya jawab. Jurujual itu memang kejam.

14. Saya terus sambung tengok filem tu. Jong Wick kena potong jari, kena sepak, kena tikam, reboh terguling, dan macam-macam lagi...tapi muka dia selamba. Macam orang tak ada perasaan. 

15. Saya simpulkan cerita ini banyak action...dan plot ceritanya senang sahaja...mari bunuh membunuh. Sebab anjing (dibunuh) dan kereta (dicuri) pun boleh diolah jadi 3 filem. Rasanya ada nanti Jong Wick yang ke 4. 
16. Setakat ini, siri2 Jong Wik masih lagi tidak memperkenalkan adik beradik Jong Wick, mak dan ayahnya. Kalau cerita Melayu pasti lengkap dengan nenek dan moyang, jiran tetangga.

17. Saya nak tahu jugak Jong wik ini berasal dari kampung mana?

18. Sekian sahaja tak banyak yang boleh saya ulas. Orang pandai seni pertahankan diri mungkin boleh ulas berperang pelbagai teknik dan alatan. Filem ini tidak sesuai untuk kanak-kanak dan orang yang putus cinta. Bimbang mereka akan jadi ganas di kemudian hari.

19. Sekian, selamat berbuka puasa.

Thursday, May 2, 2019

Ulasan filem Avangers Endgame: Kisah petik jari!


Avangers Endgame: Kisah petik jari!
  
1. Sempena Hari Buruh saya berwayang lagi, kali ini bersama sahabat Adnan.
 2. Kata sahabat Adnan wayang terakhir dia nonton adalah LOTR...(

 3. Saya tidak suka cerita adiwira namun pastilah cerita ini sedap kerana kutipannya dah lebih dari $1.4billion.
   
4. Watak dalam filem Endgame ini tak ramai yang saya kenal kecuali Ironman, captain America, Hulk Hijau dan Thor. Satu lagi Sepaiderman...tapi muka dia lain pulak dalam filem ini.
   
5. Cerita dimulakan dengan seorang bapa mengajar anaknya main panah kat tepi padang, isteri layan anak-anak nak makan sos, namun kemudiannya sekeluarga hilang begitu sahaja. Dia terpingga.
  
6. Lepas tu saya lihat Ironman terkandas di angkasa tak cukup oksigen dengan perempuan robot. Tapi part Ironman kata "when i driff off.., i will dream about you....It always you...", saya rasa sedih pula. Puitis sangat kata-kata tersebut. Ada rindu yang dalam tu...kalau orang setia memang begitu.
   
7. Saya harap semua bekas kekasih saya tak bahagia...
   
8. Kemudian muncul siri ajak geng-geng supaya lawan Thanos. Masa first time lihat Thanos saya terbayang dia bercukur tak guna Gillette (pisau cukur yg saya guna). Macam cukur guna `gerak sapoh' jadinya. Lihat dagunya.
   
9. Selepas bunuh Thanos terpaksa pula cipta mesen masa untuk undur dan baiki apa yang patut. Namun harus dapatkan batu-batu hikmah yang ajaib.
  
10. Tiba-tiba "Mak sapa tu?" Kedengaran seorang budak menanya emaknya akan watak di screen. Dan maknya meriwayatkanlah siapa perempuan tu. Saya yang kat belakang naik geram...Panjang lebar maknya cerita dari filem2 lalu. Huh!
   
11. Selepas tu saya tengok Ironman sedih sebab ada budak mati, budak tu sepaiderman. Bila pulak ironman berbaik dengan sepaiderman? Rupanya ada dalam filem lain. Saya tak tengok. Yang saya tengok tu adalah spaiderman lama...
  
12. Saya tak suka hero pendek jadi saya tak tengok filem Ironman 2 dan 3. Tapi makwe dia lawa...(Gwyneth Paltrow), betisnya lawa macam pen kilometrikol. Saya ada tengok Captain America, heronya tinggi lampai tapi makwenya pulak tak lawa.(Susah nak cari pasangan bagai pinang dibelah dua, kebanyakannya bagai pinang tersalah belah).
   
13. "Jangan la berebut pok kong tu!" tiba-tiba kedengaran jeritan seorang ibu apabila anak mereka berebut pok kong. Saya rasa anak-anak itu patut masuk panggung Kecil. Panggung Kecil ini MBO khaskan untuk penggungjung yang bawa anak-anak...
  
14. Selepas tu ada adegan yang sedih lagi...kononnya nak ambik satu permata lagi kena ada seorang yang berkorban. Masa itu saya siap berdoa agar si lelaki yang mati tetapi watak perempuan (Scarlett Johansson) pula yang mati dalam gaung tu. Sedih betul!

 15. Dan rupanya bila batu-batu hikmah dah jadi sarung tangan , kita kena petik jari baru berfungsi. Tetapi siapa yang hendak pakai sarung tangan tu? thor macam tak sesui, macam mabuk jea. Hulk cuba pakai tapi gagal dengan cemerlang. Dalam filem terdahulu rupanya dah dipetik. Punyalah berperang nak rebut sarung tangan tu. Akhirnya pastilah Ironmen yang berjaya petik. Bila petik bunyi berdentung dalam panggung wayang dan orang yang jahat terus jadi abu. Tapi budak-budak bising depan saya tu tak pula jadi abu...he he he.
  
 16. Dan Ironman tu mati. Sepaideman sedih. Saya tak sedih pun. Saya hanya sedih sebab makwenya sedih bila Ironman mati. Saya lihat muka makwenya ada kedut-kedut dah. (Tapi masih lawa. orang lawa ni kalau tua pun lawa...) 
  
17." Huwaaa. Huwaaa' Tiba-tiba saya terdengar budak depan kanan saya pulak meraung menangis. Saya rasa mungkin ada yang tertidor dan bila ayah gerak nak balik, terkejut terus nangis sebab gelap dalam panggung.
   
18. Saya dan sahabat Adnan ada la tunggu sampai skrin layar habis tapi tak ada apa-apa. Ingatkan last sekali dia tunjuk Ironman hidup balik (dan duit poket kita akan terbang lagi untuk sequel yang akan datang.)
  
19. Bila sampai tempat parking ada pula kereta blok kat belakang, susah sungguh nak keluarkan kereta dari tempat parking. Rasa nak petik jari jea!
  

20. Sekian.


Wednesday, November 28, 2018

Hunter Killer (2018): Cerita yang bagus!

Hunter Killer Movie Poster


Saya tidak sangka cerita ini bagus, namun memang kadang-kadang dalam kehidupan keyakinanlah yang penting...

Overlord (2018)

Overlord Movie Poster

Saya terjahkan diri untuk menonton filem ini. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar berita mengenai kemunculan filem ini. Saya tertarik hanya kerana posternya merah, dan pastilah ia merupakan cerita hantu atau psaikologi. lagipun saya memang mahu menengok wayang.

Tak ada cerita menarik pada masa itu, hanya ada Polis EVO 2.

lari...
Apabila menontonnya barulah saya sedar ia bukanlah cerita hantu. Ia adalah sebuah cerita yang mengisahkan kejadian pada masa zaman perang Nazi dahulu. 

Ada askar-askar, ada senapang, pistol dan alatan perang lain yang saya tidak kenal. Dan ada perkampungan yang dikuasai Nazi, di mana penduduknya berada dalam ketakutan. Namun ia bukanlah filem grene perang.

Tentera Nazi menjalankan eksperiment ke atas manusia, menukarkan manusia kepada manusia yang ganas dan berupaya membunuh musuh dalam kapasiti melebihi manusia. Saya pernah dengar cerita pasal pegawai Nazi melakukan eksperiment, namun ia bukanlah dari sumber yang sah.

Make up yang real
Cerita bermula berkisarkan beberapa orang tentera yang ditembak jatuh helinya berdekatan dengan sebuah perkampungan yang ditawan oleh Nazi. Mereka berlindung di sebuah rumah. Dan beberapa lama kemudian mereka menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

Ada uncur debaran dan panik...


Lakonan pelakonnya semuanya elok, mungkin castingnya bagus, tidak seperti casting filem Pulang (2018) di mana saya lihat beberapa watak tidak sesuai dengan pembawakan watak dalam cerita. 

Seorang pun saya tidak kenal pelakonnya namun semua pelakon boleh berlakon dengan baik. Malah anjing dalam filem itu juga boleh berlakon dengan  baik.


Seperti filem-filem sebelumnya, filem ini juga mengutuk Nazi dengan eksperimentnya yang tidak berperi kemanusian. Orang-orang kampung jadi mangsa.

Jalan cerita biasa sahaja, namun kehadiran adegan-adegan tembak-menembak berjaya membuat saya cemas dan saspen. Adegan makhluk aneh menimbulkan rasa seram,... Tahniah.

Sekian sahaja.

3/5 bintang.



Monday, October 15, 2018

96 Filem Tamil: Bahayanya Reunion!


96 Movie Latest Poster


Cerita mengenai seorang jurugambar (juga seorang cikgu) yang bernama Ram dan seorang isteri yang bernama Janaki. Iannya bermula apabila satu hari, Ram, lalu di hadapan sekolah lamanya, dia singgah masuk ke sekolahnya tengok kelas, tengok padang dan sebagainya. dia juga jumpa seorang pak cik jaga sekolahnya dulu.

Dia mula menghubungi bekas rakan sekolahnya satu persatu selepas melawat sekolah mereka. Kemudian mereka buat group wasap. janji nak buat reunion.

Ram kemudian bertemu kembali dengan semua rakan sekolahnya dalam reunion tersebut. reunion itu mereka anjur sendiri. 

Akhirnya Janaki sampai. Sampai lewat sebab dia duduk di Singapura. Bawa anak sekali. 

Janaki akhirnya jumpa Ram. Mereka sudah 22 tahun tidak bertemu. Mereka ingat kisah-kisah lalu yang jadi kenangan dan ikatan kasih mereka yang kuat sehinggalah mereka berpisah. (Banyak flashback zaman persekolahan mereka dan kawan-kawan. Lucu).

Mereka tahu dalam hati masing-masing mereka masih saling mencintai. Namun, walaupun Ram masih bujang, Janaki kini sudah berkahwin dan ada anak-anak!. 

Janaki perlu membuat keputusan sama ada mahu kembali dengan Ram atau kembali kepada suaminya...


Bahasa: Tamil
Sarikata: Inggeris
Klasifikasi: P13
Tarikh Tayangan: 4 Oktober 2018
Genre: Drama
Durasi: 2 Jam 38 Minit
Pengedar: DMY Creation Sdn Bhd
Pelakon: Vijay Sethupathi, Trisha Krishnan, Varsha Bollamma
Pengarah: C. Prem Kumar




Hati kita tetap akan merindui orang yang kita cintai 
walaupun seluruh anggota lain kita serahkan kepada orang lain...

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home