"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Tuesday, April 30, 2013

... i never really grow up

Hari ini hari lahir saya yang ke 43. Saya tidak rasa apa-apa berbanding dengan hari lahir saya yang ke 40. Pada hari lahir saya yang ke 40 saya rasa tua... (Tua pun ada `rasa'? Sebenarnya saya `fikir' tua...bukan `rasa').

Saya tidak selalunya rasa tua (kecuali pabila saya lihat cermin).

Bukan suatu tradisi

Tahun ini, saya tidak menyambut hari lahir saya dengan apa-apa cara sekalipun. Ianya juga bukan kebiasaan atau menjadi tradisi di dalam keluarga saya. Cuma pada masa kecil ada la sekali dua sambut. Kini bila dewasa kami cuma mengucapkannya. Saling ucap-mengucap.

Kejutan!

Cuma di tempat kerja kawan-kawan membeli kek dan buat makan-makan sikit. Saya terkejut besar tak terkata bila buka pintu kawan-kawan sudah menunggu. Kejutan buat saya sebab saya bukannya terkenal sangat...(dulu agak terkenal).  Namun saya jamah sedikit kek sahaja. Saya tengah berdiet.

April...

Sebenarnya bulan April adalah bulan yang penting dan bermakna dalam hidup saya. Di bulan inilah saya dilahirkan dan di bulan ini jugalah Allah melahirkan manusia yang pernah saya amat sayang. Rasa sayang yang masih melekat ini adalah suatu kesalahan kerana kita tidak boleh sayangi sesuatu atau seseorang secara berlebihan dan sepatutnya kita sayangi orang yang sangat sayangi kita.

Saya selalu berharap saya sihat. Ayah saya masih sihat dan boleh bawak kereta di usia 77 tahun, dia juga masih segak dan bergaya dengan jeans birunya. Saya harap saya juga sihat pabila tua.




Saya tidak percaya

Saya tidak percaya umur mematangkan manusia sebab saya lihat ramai juga kawan saya yang tetap bangang dan bodoh walaupun umur sudah dekat nak pencen. He he he.

Umur tidak boleh buat apa-apa pada kita. Kitalah yang kena buat apa-apa pada diri kita.

Saya juga tidak percaya manusia akan semakin menjadi bijaksana apabila berusia. Saya ada banyak contoh...

Mesti

Pun begitu saya percaya manusia MESTI berlagak matang supaya keputusan kehidupan yang dilalui akan membahagia dan mendamaikan diri dan makhluk persekitaran diri...

Jadi saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari lahir pada diri sendiri, (ya macam saya lihat ada orang yang tepuk untuk diri sendiri bila ada orang kata `ok kita tepuk untuk diri sendiri', he he he.)

Jan: ... i never really grow up, i only learnt how to act in public, he he he 

Monday, April 29, 2013

Pertembungan PAS dan PKR di kerusi Kota Putra




Saya akan balik kampung hujung minggu ini untuk mengundi di Besut. Walaupun saya sudah berbelas tahun di Pahang, atas beberapa perkara (perkara tindakan politik saya) saya akan tetap mengundi di kawasan Kota Putra. Seronok juga setiap kali mengundi saya akan balik ke kampung halaman saya.

Namun sedih pula bila baju yang saya beli khas untuk hari membuang undi masih tidak muat untuk digayakan semasa hari pengundian tersebut...

Di tempat saya, PRU ke 13 ini keadaannya amat menarik sekali. Pada PRU yang lepas BN bertanding dengan PKR. Namun kali ini BN bukan sahaja berlawanan dengan PKR tetapi juga PAS. Maknanya juga ada pertembungan antara PAS dan PKR. Mereka akan berlawanan. Siapa menang yea? maksud saya antara PAS dan PKR mana yang lebih mendapat lebih undian? 

Pada PRU ke 12 nan lalu, Muhammad Pehmi Yusuf (BN) menang mengalahkan Mohd Md Amin (PKR), majoriti tiga ribu lebih. 

Mengikut pak saudara saya yang `kuat' PAS, sepatutnya pada mulanya BN melawan PKR. Tetapi PAS juga mahu meletakan calonnya. Beliau sangat kecewa dengan keadaan ini.

Saya tidak pandai dan berpengetahuan sangat dalam hal politik tetapi terdapat juga keadaan di Kota Putra ini berlaku di tempat lain di mana PAS dan PKR meletakan calon masing masing. 

Banyak yang boleh kita katakan mengenai hal pertembungan ini. Antaranya pertembungan antara dua sekutu itu menjadi satu petunjuk jelas bahawa kedua-dua parti sanggup membelakangkan kesepakatan mereka untuk mencapai matlamat dan kepentingan masing-masing. Dalam politik ada `politik'. Biasalah tu...

Jan: Tak sabar nak mengundi...

Tuesday, April 16, 2013

Pabila bukan `ahli' menjadi `ahli': Sila lompat tepuk bintang!

Antara fungsi utama ahli agama ialah menyebarkan kebenaran, menunjukajar, menyebar kemesraan dan keesaan tuhan. Namun segalanya harus dilakukan dengan penuh kelembutan persis perbuatan dan tuturcara nabi kita. Menyeru insan dengan lemah lembut, dan bermanis muka dengan saling berpesan dengan kebenaran yang disulam dengan kesabaran.  Secara lembut, bijaksana dan tidak menebeng-nebeng atau over. 

Tujuan satunya ialah supaya manusia menjadi khalifah di dunia ini. Tiada yang lebih vouge daripada orang lain kecuali sesiapa yang beramal dan berhati mulia.

Ahli agama tentulah tidak akan memburukkan orang, hatta siput babi sekali pun. Kerana siput babi juga ciptaan dan makhluk Allah. Malah perkataan `Babi' itu juga tidak merujuk kepada keharaman sentuh. 

Dalam berceramah, tone atau nada suara, mimik muka dan gaya juga tidak meninggi diri, apatah lagi memekik mekik dan menyindir-nyindir. Allah maha besar dan mulia, tentulah ia mahu perintahnya disampaikan secara mulia dan bermanis kata. Haaa...

Asalamualaikum saya ucapkan kepada pembaca blog ini, semoga Allah sentiasa mengambil tahu akan kita yang hina ini, yang juga alpa. Seseungguhnya manusia itu tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Kali ini saya mahu berbincang mengenai penglibatan orang yang bukan ahli dalam membicarakan hal agama. Sempena bahang pilihanraya yang semakin membisa ini, sama-samalah kita renungi akan kemusykilannya.

Kemunculan penceramah-penceramah bebas atau terkawal ini semakin hari semakin menjadi jadi, (ibarat perlakuan kawan-kawan saya yang rancak memakan rumpaiair yang didakwa mengandungi kologen, he he he). Kadang kala latarbelakang penceramah bukan sahaja tidak jelas malah meragukan sekali. Mereka bukan sahaja tidak ada ilmu yang mendalam malah tiba-tiba muncul di persada agama. Tetapi saya lihat rakyat Malaysia tidak begitu peka. Mereka mengalu-alukan keadaan sebegini. Saya hairan.

Betapa senangnya kita menerima seseorang yang mengaku `saya sudah berhijrah' untuk melakukan ceramah agama. Ini menunjukan taraf penceramah kita sekarang amat rendah, ia tumbuh atas dasar berlandaskan situasi semasa, berkepentingan dan bukan kepada keperluan pembangunan insan yang berpanjangan. Tidak salah untuk sesiapa pun `berhijrah' tetapi haruslah difahami ia bukan amalan atau tiket penghapus dosa secara automatik? Dok gitu?

Bila berhijrah terus jadi mulia? Boleh berceramah agama? (sama ada untuk tujuan politik atau hiburan).? Haaa...

Ramai sebenarnya lulusan agama luar negara terutama dari timur tengah yang sebenarnya merasa rendah diri untuk berceramah. Kenapa? Kerana mereka bimbang jika mereka tersalah/tersilap ketika menggunakan al quran/hadis/sunah. Tetapi tidak kita kan? Kita melihat hukum hakam secara senang dan tidak berseni, tidak bersimbolik. Kita terus hembus sahaja dengan hukum hakam mengata orang berdasarkan ilmu yang paling mendatar atau ibarat ilmu pada tahap `permukaan air' sahaja, bukan di dasarang (Read: dasaran)

Atau mereka penceramah yang ahli ini tidak sehebat penceramah yang `ahli'? Mungkin tak pandai nak berceramah agama `ala Malaysia' gitu. Iaitu bercakap besar, kitalah yang betul sebetul betulnya, mengutuk-ngutuk, perlekehkan orang, buka aib anak bini, cucu-cicit orang macamlah kita ni sempurna sangat. Khalayak pulak berdegar-degar menepuk tangan, nasib baik tidak lompak menampar bintang jea. Kalau tak tak tahulah.

Dan? dan bini kita di rumah minta beras di rumah orang? Anak tidak berbelanja sekolahnya...? Tuisyen jauh sekali!

Haaa... Kita terus melompak tepuk bintang. Lompat, lompat. Lompat lagi...selamat datang ke Malaysia.

Jan: kulompat jua walaupun akhirnya akulah yang jatuh terduduk, terkulai dan diperkosa rasa pilu... Selamat berceramah!

1000 Mawar Enhanced CD (E-CD)

enhanced CD

Album Seribu Mawar ini adalah edisi terhad gitu. Ia adalah `Enhanced CD' (E-CD). Apakah `Enhanced CD'? Haaa.... Ia adalah CD yang diformatkan untuk membolehkan CD berfungsi bersama peranti multimedia yang lain. Contohnya  pemain CD-i, atau DVD-ROM, atau CD-ROM drive.

CD ini boleh dipasang dengan pemain Cd yang biasa tetapi untuk tujuan vidieo kita kena la guna PC kita, atau PC di pejabat kita, he he he. Pendek kata Cd ini ada penambahan ruang data. Haaa. Entahlah saya tak tahu sangat pasal komputer, setakat `cut' dan `paste' jea... Tentu penerangan saya ini tidak sepenuhnya.

Sebab itulah dalam Cd ini saya boleh lihat video Kak Pah semasa ditemubual untuk  `the making of...'' Seribu Mawar ini. Ada cerita pasal hobi beliau dan juga bagaimana beliau menggunakan teknologi komputer untuk memajukan perjalanan seninya.

Kak Pah bercerita pasal hobinya...

Kak Pah disolek


Bukan saya nak mengata tetapi berbanding dengan artis kita yang lain, Kak Pah selalu mahu maju ke depan dan membuat perubahan baru demui kelangsungan kerjaya seninya. Mungkin beliau banyak membaca dan tahu akan keperluan membuat perbaharuan. Dan beredar mengikuti zaman.

Dalam Cd ini juga ada gambar-gambar Kak Pah masa muda-muda dulu. Pada pandangan saya semakin berusia Kak Pah semakin cantik. Haaa... Alhamdulilah. Kak Pah tetap cantik. Ini diakuai sendiri oleh ayah saya.

Ayah saya juga peminat Kak Pah. Semasa beliau ditemu ramah di stesyen radio RTM, bila deejey tanya apa lagu permintaan ayah saya. Ayah saya beritahu pasanglah lagu apa pun asalkan nyanyian Sharifah Aini. Sekarang pun ayah saya ada meminjam CD Kak Pah saya (alamak Kak Pah saya?).




Artis rakaman luar negara ada juga menggunakan teknologi CD E ini untuk memasukkan klip video mereka, profil artis, lirik lagu, temu bual, animasi, bahan promosi, dan juga permainan pada cakera audio. Tentulah ia melibatkan perbelanjaan yang besar. Dan kalau suara setakat  serak-serak katak tidak perlulah buat Cd-E ini. He he he.

Saya rasa sangat bertuah kerana memiliki Cd-E ini. Saya boleh lihat banyak gambar Kak Pah sepanjang perjalanan seninya. Di sini secara ekselusifnya saya persembahkan beberapa keping gambar yang saya pikul di komputer saya. Khas buat tatapan pembaca blog ini. Mungkin ada yang tidak meminati Kak Pah namun boleh dibuat sebagai pengetahuan.

Kak Pah 90 an

Kak Pah 80 an

Gambar-gambar ni kelabu sebab saya pukul dengan handphon di komputer saya.
Sekian sahaja, sebenarnya bila April menjelma, saya semakin lebat mendengar lagu-lagu dari Cd ini. Ia seolah sipi-sipi kisah perjalanan hidup saya...(pulak dah). Di bulan April inilah saya dilahirkan. Dan di bulan April juga lahirnya insan yang pernah membunuh keceriaan dan harapan hidup saya...

Jan: (Perenggan terakhir sila baca dengan perasaan ala-ala sedih dan pilu...)

1000 Mawar - Datuk Sharifah Aini


Album ini adalah album Datuk Sharifah Aini yang ke 72 yang diedarkan oleh syarikat rakaman EMI pada tahun 2000. Saya beli Cd ini di Kuantan Pahang.

Keistimewaan album ini banyak. Kak Pah tidak merakamkan album untuk `hanya sebuah lagi rakaman album'. Ia lebih daripada itu. Bukan sekadar harus buat album bila album terdahulu dikeluarkan. Ia bukan kesinambungan bilangan album tetapi kesinambungan pembangunan seni di dunia seni suara negara kita. Malaysia.

Saya berani manyatakan dengan penuh yakin, tidak ada penyanyi di dunia ini boleh membawa lagu Inggeris, Arab dan Melayu dengan sempurnanya selain Kak Pah. Album ini membuktikan bahawa Kak Pah boleh menyanyikan lagu Arab klasik dan Arab moden dengan baik. Album ini menyuntik semangat romantik dalam diri saya...(pulak dah). Gemersik membuai perasaan, silap-silap perasan! He he he.

Teringat beberapa tahun lalu semasa jiwa saya maksima kacaunya, saya telah mencampakan cd-cd saya keluar daripada kereta semasa memandu dari Muadzam-Kuantan (kira beratus ringgit jugaklah kerugian...akibat ikut perasaan, he he he). 

Semasa itu saya memandu sambil mengesat airmata dengan lengan baju. Saya rasa seolah awam gemawang menghempap ke bahu saya (macam drama pulak, mungkin drama korea kot). Namun hanya satu cd sahaja yang saya tidak campak. Ya cd Seribu Mawar Kak Pah!. (dalam kereta itu hanya ada satu sahaja cd Kak Pah, yang lain-lain saya simpan kat rumah).

Cd ini mengandungi 10 lagu:

1. Nourelains 5.27
2. Seribu Mawar 5.24
3. Resah Bersalam 5.28
4. Sampaikan Impianku 4.41
5. Ishar 5.28
6. Siapakah milikku 5.28
7. Korban percintaan 5.14
8. Aku Sayang Padamu 5.54
9.Hati yang Terluka 4.57
10. Nary (Yahabeba) 4.44
11. CERITERA Sharifah Aini 15.00 (enhanced CD - Hanya boleh dinikmati melalui komputer peribadi)

Penerbit album: Ly, Ramli M.S dan Azmeer.

Saya berterusan mainkan lagu 1000 Mawar, sambil saya pecut sangat laju (ikut standard saya 70km sejam dah kira laju pada masa tu). Dan untuk meredakan tekanan perasaan saya mainkan lagu `Siapakah miliku' ,  lirikya menyentuh hati dan memberi kekuatan pada kehidupan saya. saya bukan nak perasan tetapi liriknya kena atas batang hidung saya sendiri, haaa. liriknya:


Rindu ini
ku kunci dalam hati
Biar berabad beracun terpaksa diam...

Bila masa berlalu
semakin berat mata memandang
Tertumpah bahagia
hingga tak bisa ku membendungnya...

Hadirlah rahmat dan azimat
Serikan hati
yang sering diluka

Pencipta abadi
kau yang satu
Gemerlapkanlah hari nanti
dari sepi dan rindu yang bertamu...

Aku yang tahu
pahitnya tasik madu
Perjanjianmu karam bersama semalam
Sendirian...

Kekasih abadi
gugurkanlah segala nestapaku
Dari dugaan yang penuh siratan

Aku yang tahu
siapakah milikku
Sejauh mana sampai bila cinta dapat menahan 
kesilapan...

Andai nati
kukecap nikmat setia
Ku semaat hingga abadi
jiwa yang luhur...

Aku yang tahu
pahitnya tasik madu
Perjanjiamu karam bersama semalam

Aku yang tahu
siapakah miliku
Sejauhmana sampai bila cinta dapat menahan
kesilapan...

Aku yang tahu....


Jan: Memang terpaksa kudiam...bila semakin lama ia menjadi beracun...

Saturday, April 13, 2013

Saya telah bercerai 3 jam lalu



Semalam salah seorang sahabat baik saya bercerai. Saya terima khabar duka tersebut sebaik sahaja saya menuruni tangga masjid selepas menunaikan solat magrib. Sebelumnya, selepas sembahnyang saya berdoa solo pada tuhan agar khabar-khabar buruk tidak singgah lagi dalam hidup saya. Di dalam masjid itu saya berdoa sungguh-sungguh. Tak sangka pula bila keluar masjid, bila unsilent telefon bimbit,buka sms saya terus terima khabar buruk.

Tetapi posting ini bukan pasal nak menunjuk kononnya saya kaki masjid. Saya mengaku saya bukan kaki masjid (selain hari jumaat saya jarang ke masjid). Yang saya mahu tulis ialah rasa sayang saya pada kawan saya. Saya sayang dan kasih kepada kawan saya. Maksud saya, saya kesian jika penceraian itu akan membawa keburukan dalam hidupnya. 

Dalam sms tersebut beliau beritahu baru tiga jam beliau bercerai. Katanya juga dia tidak terasa apa-apa buat masa itu. Dan sms saya kepadanya saya tulis `selepas 2, 3 hari awak akan rasa sedih". Dan saya tidak pula sms lagi kepadanya kerana saya rasa dia perlu masa untuk bersendirian.

Sebenarnya saya telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan perkahwinan tersebut. Sebelum ini ada juga kawan saya yang bermasalah dalam rumahtangga dan menuju kehancuran bercerita pada saya tetapi saya selamba sahaja. Dan kadang-kadang terhembus juga di hati saya `memang patut bercerai pun'. Tetapi bila mereka bercerai taklah saya bertepuk tangan pula.He he he. Saya teruk tetapi tidaklah seteruk itu.

Sebenarnya saya tidak terkejut. Saya pernah cuba selamatkan perkahwinan itu sebab si suami adalah sahabat baik saya. Sebab seseorang itu tidak patut hidup sendiri. Kawan saya tersebut adalah kawan lama saya. Dia antara makhluk tuhan yang melayan saya dengan baik.Walaupun saya tidak kahwin, dia tetap melayan saya dengan baik dan tidak pernah membuatkan saya terasa. Tidak pernah tanya soalan bodoh pada saya. Kawan yang baik pastilah peka dengan perasaan kawan mereka. kan?

15 tahun dulu dia beritahu saya `hanya perempuan yang lemah lembut dan berhati halus sahaja layak menjadi isteri saya kerana saya berhati lembut' katanyalah. He he he. Dia tidak tahu sekarang saya sudah sekeras batu. Dan saya semakin teruk.

Sehingga kini masing-masing merahsiakan penceraian tersebut daripada keluarga masing-masing. Hanya saya  diberi hak ekselusif untuk mengetahuinya. Pada sebelah malamnya isteri kawan baik saya ada menelefon saya dan minta saya rahsiakan dahulu daripada kawan-kawan lain. Saya pula tidak sabar-sabar untuk menulisnya dalam blog ini. He he.

Dalam hidup saya, saya tidak pernah tanya kawan-kawan saya adakah mereka bahagia dalam perkahwinan mereka. Walaupun saya lihat ada di antara pasangan yang mukanya sudah hilang `glowing' dan kadang-kadang macam muka ayam berak kapur, saya tidak bertanya. Saya tahu itu hal peribadi. Reban masing-masing, ayam masing-masing...

Oleh kerana mulut saya ini jenis tempayan yang tidak boleh tutup, saya beritahu sahabat saya Adnan akan hal saya yang terus dapat khabar buruk sebaik sahaja berdoa pada tuhan agar tak ada khabar buruk. Kata Adnan khabar tersebut mungkin juga bukan khabar buruk kerana mungkin ianya merupakan takdir terbaik untuk pasangan tersebut. Saya terus sahaja percaya kepada Adnan sebab dia memang ala Madinah, sedangkan saya ala USA.

Kita kembali kepada tajuk posting... Saya bayangkan bagaimana mereka melaluinya. Sudah putus kasih sayang antara mereka. Apakah yang berlaku saat hilang cinta tersebut...? dan selepas itu saya terus buat-buat tidak  mahu memikirkannya. Buat apa fikir pasal orang? Kononnya. 

Namun dalam diam-diam saya berharap kawan saya itu rujuk semula atau kawin lagi. Kerana hidup seorang memarlukan kekuatan....Walaupun kasih sayang tidak akan kekal, tak ada kepastian akan kesudahannya, semua orang memerlukannya...emm.

Jan: Semoga mereka tabah...

Thursday, April 11, 2013

Aku Dia dan Youtube: `Sampai hati...'


Coretan seterusnya adalah kiriman saudara Sulaiman Isa yang bertugas sebagai seorang pensyarah di salah sebuah IPTA yang terletak di ibukota Kuala Lumpur. Beliau menyatakan semenjak beliau di bangku sekolah lagi beliau amat meminati rancangan ADIYoutube ini (iaitu sebuah rancangan radio di mana pada akhirnya pendengar terpaksa menggunakan Youtube untuk mendengar lagu dan menonton vidoenya). 

Kita hayati luahan hati dan kekecewan beliau...

(terus muzik sentimental dimainkan dan kedengaran suara hiba seorang pembaca lelaki ke udara).

"Kata orang, manusia yang sabar adalah manusia yang terbaik. Kerana itulah sebelum ini aku terus bersabar, bersabar dan bersabar. Namun sebuah hati yang manakah selamanya bersabar?. Aku coretkan penulisan ini agar ia mampu menjadi pedoman sesama kita dan juga kepada mana-mana pihak yang mungkin terlupa. Yang mungkin `keterlupaan' itu sebenarnya mampu menikam sanubari manusia lain. Sedalam-dalamnya.

Sebagai manusia biasa, aku selalu percaya takdir hidup manusia tidak semestinya sama. Skrip hidup kita adalah berlainan. Rancangan Allah dan takdir hidup seseorang manusia itu adalah berbeza sekali. Itulah sebenarnya kebesaran Allah. Kebesaran allah untuk menunjukan tidak semua pelayaran hidup manusia adalah sama. Allah maha besar.

Namun seringkali kebesaran allah itu gagal dilihat oleh manusia di sekelilingku. Malah kebesaran Allah itu dilihat sebagai suatu kelemahan dan kekurangan manusia. Umpama apabila  melihat seorang cacat sepatutnya kita melihatnya sebagai kebesaran Allah, bukannya melihat ke atas kekurangannya.

Aku sudah biasa diperli, dijadikan tidak selesa dan dijenakakan oleh manusia-manusia yang lebih sempurna daripada aku (sempurnakah mereka?). Selalunya aku anggap itu satu gurauan, namun hati siapakah yang selamanya boleh bergurau?

(di radio terus pula kedengaran lagu instrimental' `Sampai Hati' nyanyian kumpulang Spring" sebagai latar belakang. Muzik tersebut semakin membuatkan suara pembaca lelaki tersebut semakin hiba...)

Sebenarnya demi Allah aku merasa malu untuk memapaparkan rasa hatiku di ruangan yang aku minati ini. Kerana semakin dicerita semakin membuat hatiku membeku. Kerana semakin dicerita membuatkan jiwa menjadi pilu. Aku juga malu mencoretkannya di sini  kerana seolah aku gagal mengawal kesabaran aku. Namun sekali lagi aku ingin bertanya, hati yang manakah selamanya bersabar? Kejadian itu amat mengguris hatiku, manusia lelaki seperti aku. Manusia lelaki yang sudah berumur 43 tahun dan hidup bersendirian di atas muka bumi Allah ini...tetapi mempunyai hati dan perasaan.

Demi Allah aku hidup seorang. Maksud aku, aku tidak mempunyai kekasih atau pasangan yang menemani aku. Aku harungi hidup keseorangan dan dalam beberapa perkara ianya menyukarkan aku. Namun ianya tentulah adalah terlalu peribadi. Tidak semua cerita sesuai diberitahu, ada cerita hanya kita yang mengusungnya. Ada cerita iannya rahsia Allah....

Aku tidak mampu untuk berbohong bahawa hidup aku tidak sunyi. Ada kalanya hati aku sedih dan rindu sepeti juga kehidupan ini ada kalanya suka dan duka. Hanya ilahiyarabi sajalah yang maha mengetahui. Aku pernah hidup dalam berkasih sayang pada suatu masa dahulu. Apabila semuanya pergi, aku berdiri di suatu ruang dan berperang dengan kekosongan. Namun setakat ini alhamdulilah aku masih mengharunginya dengan sebaiknya. Kerana kita tidak mungkin tahu mungkin itulah sebaiknya daripada Allah.

Kadang-kadang terlintas di fikiran aku tidak sepatutnya terlalu terkesan kerana ianya hanya peristiwa dunia semata-mata...

Ceritanya begini... 

(muzik latar sengaja semakin dikuatkan untuk menimbulkan rasa syahdu...)

Ceritanya bermula di sebuah majlis di mana terdapat rakanku menyambut ulang tahun perkahwinannya. Aku memang keberatan untuk hadir kerana terus-terang aku katakan aku khuatir aku akan dibadutkan di majlis tersebut.

Memang aku tidak suka bertandang ke majlis sebegitu kerana ia membuatkan diri aku menjadi tidak selesa dan rendah diri. Apabila berkumpul-kumpul akhirnya isu status aku jualah yang timbul walhal mereka semua adalah ahli akademik. Kukira banyak lagi isu yang lebih penting selain isu statusku. Dunia ini masih mengalami pemanasan global, peratusan penduduk dunia yang melebihi peratusan penawaran makanan dan masa depan kaum Melayu di negaranya sendiri.

Demi ukwah beriring silaturahim aku paksakan diri untuk hadir kerana tuan rumah beria-ia menjemputku. Dan rakan-rakan yang lain turut mengajak aku ke majlis tersebut. Memang ada terlintas di fikiran keberangkalian aku akan terasa malu di hadapan ramai orang. Yang aku tidak terlintas ialah kesannya amat mendalam. Pada malam kejadian aku tidak dapat melelapkan mata sampai jam tiga pagi.

Aku malu untuk menceritakan atau membutirkan kata-kata yang dilemparkan kepadaku di tengah-tengah khalayak ramai. Ya Allah hanya engkaulah yang maha mengetahui perasaanku pada masa tersebut. Aku pula terkial-kial seorang diri menepis kata-kata yang dileparkan. Dan aku sebenarnya tidak pandai sangat dalam hal mempertahankan diri. Mungkin sebab itulah akulah yang akhirnya terluka...

Aku rasa biarlah peristiwa itu menjadi titik noktah untuk aku. Aku lebih harus menjaga hatiku sendiri berbanding daripada menjaga hati orang yang tidak menjaga hati aku. Gagal mengenali emosiku. Sometimes it better to be alone so that nobody can hurt you...kan? dan it better to be alone than being with others who makes you feel alone. Masih terbayang bagaimana tidak selesanya aku bila diasak dengan banyak pertanyaan yang sangat peribadi. Seolah aku ditelanjangi (tanpa rela) di depan orang ramai. Aku rasa sangat asing di tengah ruang tamu tersebut. Tiada manusia lain menolong aku semasa aku terkapar-kapar kelemasan...dan akhirnya karam.

Allah maha besar...

Kehidupan ini Allah jadikan pelbagai versi. Tetapi manusia gagal sedari... Seharusnyalah kita menerima seorang itu seadanya kerana takdir hidup kita berbeza. Amat mudah menyalahkan tuan empunya badan berbanding mencari hikmah di sebaliknya. Tiada manusia berhak menyatakan diri mereka adalah terbaik dan begitulah juga sebaliknya. Namun perjalanan hidup ini tidak semudah membaca sebuah buku atau meniti sebuah lebuhraya...

Coretan ini aku tujukan khas kepada peminat-peminat rancangan Aku, dia dan youtube. Agar ianya menjadi panduan kerana sesungguhnya kita tidak sedari bahawa tidak tanduk `ketidaksedarian' kita tersebut  mungkin memberi dosa kepada kita tanpa kita sedari. Juga semoga kita sama-sama berhati-hati kerana ada sesuatu perkara itu memang tidak perlu diperkatakan. kerana...

(tiba-tiba siaran radio tergangu kerana gelombang yang dipancarkan dari satelit gagal menemui titik fokal yang berfungsi menterjemahkan siaran kepada fungsi bunyi).

Monday, April 8, 2013

1000 mawar

cinta bukannya harta, cinta adalah jiwa...



Emak bagai oksigen... (Surat untuk Catwomen II)

Asalamualaikum,

Semoga emak dan ayah berada dalam keadaan sihat sejahtera, dilindungi dan diberkati Allah selalu. Abang alhamdulilah sihat wal-afiat. Ketika Abang menitipkan warkah ini, Abang baru sahaja pulang daripada melihat kupu-kupu besar hinggap dekat bilik kawan Abang, Nora.

Mak ingat tak Nora? Tak kan mak tak ingat?. Abang rasa mak kenal dia sebab dulu dia pernah datang jumpa mak. Dulu dia ada datang rumah kita nak kenal mak (masa mak datang jenguk Abang di Muadzam). 

Besar kupu-kupu ni

Oleh kerana bangunan tempat Abang kerja ni terletak di tengah-tengah hutan rimba, banyak kupu-kupu yang mendarat pabila malam kat Bangunan Akademik ini. Mungkin pada sebelah malamnya mereka tertarik dengan cahaya lampu. Biasanya kupu-kupu warna kelabu saja yang banyak bertaburan di waktu pagi. Namun kupu-kupu yang hinggap dekat bilik Nora istimewa kerana berwarna cantik.

Mak,

Abang nak benar mak datang jenguk Abang di Muadzam...tetapi bila ingatkan ayah akan duduk keseorangan, Abang batalkan niat nak ajak mak bertandang.

Mak,

Lama ya mak tak datang jengok Abang di Muadzam kan? Tapi mak jangan bimbang, Abang ok-ok sahaja. Sejak Abang tidak makan nasi ni, Abang rasa ringan sikit. Ada la turun beberapa kilo. He he he. Abang berniat nak pakai baju kecik-kecil berpetak yang bergaya macam baju di laman Zalora. Banyak baju yang cantik tetapi jarang ada saiz XL. Dunia ini memang kejam kepada yang gemuk. Abang ada terbaca yang pelacur gemuk juga payah cari makan sebab bayarannya murah. Entahlah...

Zaman Abang muda dulu Abang tidak jumpa baju sebegini rugged. Abang nak pakai biar nampak muda dan bergaya sikit. Biarlah orang kata tak padam dengan tua pun, biarlah orang nak kata apa pun, yang penting Abang guna duit gaji Abang sendiri, adanya. Kalau dengar orang mengata, nak berbogel pun payah.

Namun lepas pilihan raya ni Abang nak makan nasi semula. Rindu pada ayam masak pedas dan budu.  

Cakap pasal pilihanraya, tentu sekarang ayah tengah sibuk kan?. Tentu mak selalu ditinggalkan dek ayah kan? He he he. Ayah mesti balik lewat malam kerana melawat post-post. Ayah mungkin rungsing pasal pilihanraya kali ini, namun Abang rasa ayah selalu positif. Dia yakin BN akan menang.

Mak,

Sebenarnya Abang rasa sunyi di Muadzam ini. Entah bagaimana Abang hendak menerangkannya. Abang tidak mahu menulis panjang-panjang untuk menghuraikan kesunyian ini. Nanti emak akan risau. Bila mak risau tentu terus mak datang Muadzam.  He he he. Ok jugak tu... (he he he).

Minggu lepas Abang dan kawan-kawan lama dari Kolej Shahputra (kini universiti kolej) pergi jalan-jalan di bandar. Abang ambik cuti khas sehari. Seronok sungguh bila jumpa kawan-kawan lama. Banyak perkara yang kami bincang. Namun kami gagal menziarahi semua kedai yang kami mahu lawati. Sehari tidak cukup.

Mak,

Abang berhenti di sini dulu, ada orang ketuk pintu pulak dah...


.