"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Monday, July 18, 2011

Ketulahan...

Posting ini diambil daripada blog sahabat maya di http://adieachim.blogspot.com/. Blog ini antara blog yang saya mesti baca. Beliau rajin menulis. Walaupun posting ini agak panjang, saya baca sampai habis sebab ia istimewa.
Semasa saya muda (kini taklah tua sangat, he he he), saya tak percaya sangat hal-hal sebegini. Malah saya tidak fikir langsung adanya pembalasan segera daripada tuhan...cash! Namun apabila saya semakin menyenja (kata dasar `senja'), hati saya semakin lembut. saya percaya ada kalanya tuhan `berhubung' dengan kita dengan cara `hadiahkan' ketulahan. Agar kita jadi manusia...
Sama-samalah kita membacanya:


Dua minggu yang lepas, saya dihubungi seorang rakan yang baru saja berkahwin. Terkilan juga kerana tidak dapat hadir ke majlis resepsinya yang saya dengar begitu gah, segagah kosnya yang menelan sampai puluhan ribu. Sangkaan saya panggilan itu untuk menuntut hadiah tetapi dia cuma ingin berkongsi perasaan. Sesuatu yang tidak pernah dia atau kami lakukan. Menutup bicara dia berpesan "muliakanlah orang tua! jangan jadi macam saya, ketulahan..".
Semalam saya menghubunginya semula untuk meminta keizinan agar diblogkan kisah benarnya dan dia bersetuju agar cerita ini menjadi teladan. Maka saya kongsikan dengan kalian. Bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak sekadar untuk mengingatkan diri sendiri dan buat kita jadikan renungan dan pengajaran.
Saya mengenalinya sebagai seorang yang begitu perancang, malah kalau ada persamaan antara kami itulah rasanya namun dia amat berjaya dalam hidupnya. Segala yang dirancang mengikut jadual dan sentiasa dalam kawalannya. Faham sajalah dia bercitarasa tinggi maka segalanya yang standard-standard sahaja. Persiapan yang begitu rapi dan sempurna. Oleh kerana leka dengan semua itu dia jadi lupa dengan kedua nenek dan datuknya di kampung. Di sinilah bermulanya kesilapannya.
Entah bagaimana mereka terlupa menjemput nenek dan datuknya semasa rombongan merisik dan pertunangannya. Walhal kalau dihubungi lebih awal nenek dan datuknya sanggup untuk menaiki kenderaan awam namun mereka hanya mengkhabarkan pada saat-saat akhir, sekadar untuk memaklumkan sahaja. Walaupun begitu tidak ada perasaan terkilan di hati mereka malah ramai ahli keluarga yang tidak dijemput bagi menjaga kesempurnaan majlis. Maklumlah tidak semua keluarga mereka orang senang, bimbang betul mendapat aib sekiranya penampilan berpakaian mereka kurang sesuai.
Datuk dan nenek hanya memendam rasa di kampung dan memujuk hati yang mereka tidak akan terlepas untuk menyaksikan hari pernikahan satu-satunya cucu perempuan mereka. Malah mereka ada juga menyediakan baju untuk dipakai pada hari tersebut. Sehari sebelum hari pernikahan mereka bersiap untuk bertolak, anak bongsu mereka datang dengan wajah yang sugul dan serba salah menyampaikan pesanan. Akhirnya mereka dikecewakan sekali lagi apabila anak mereka sendiri iaitu bapa bakal pengantin (rakan saya tu lah) menyatakan tidak perlu hadir kerana majlis tu hanya berlangsung di masjid dan hanya sekejap sahaja.
Bapa rakan saya sebenarnya kurang selesa dengan keluarganya yang susah dan kekampungan. Dia agak rimas bersama dengan keluarganya sedangkan isterinya yang berada(kaya) tidak kisah dan hairan kenapa keluarga suaminya tidak hadir bersama. Oleh kerana isterinya asyik bertanya dia akhirnya memaksa adiknya untuk hadir ke majlis pernikahan itu. Pada hari pernikahan itu berlaku kejadian yang amat memalukan apabila makanan yang dijamu tidak sedap dan langsung tidak dapat dimakan. Pihak katering sendiri jadi bingung kerana mereka menggunakan bahan mentah yang segar tetapi setelah dimasak rasanya sangat pelik dan meloyakan. Akhirnya semua tetamu balik tanpa menajamah pun makanan.
Demikian begitu, keluarga rakan saya itu asyik menyalahkan pihak katering. Mereka berjanji akan menebus semula kejadian itu pada majlis resepsi yang akan di adakan di sebuah hotel terkemuka. Mereka begitu yakin memandangkan semua persiapan dirancang serapi-rapinya. Kali ini nenek dan datuknya sampai awal, penyambut tetamu yang memang telah dimaklumkan membawa mereka duduk di meja yang agak terpencil. Sedangkan begitu banyak meja VIP, namun mereka langsung tidak terkilan malah lebih selesa duduk di meja itu.
Kejadian aneh berlaku lagi, tiang kek hilang dan dengan itu kek tidak dapat disusun bertingkat hanya disusun atas meja. Yang hairannya tidak ada siapapun terfikir untuk pergi ke kedai kek mengambil tiang kek. Acara hampir bermula apabila baru mereka sedari tidak ramai VIPpun datang hanya memenuhi satu meja bulat. Sedangkan ramai VIP yang telah mengesahkan kehadiran tidak kelihatan. Akhirnya bagi menutup malu bapa rakan saya memaksa kedua orang tuanya duduk di meja VIP bersama beberapa orang ahli keluarganya. Tetamu mula berbisik-bisik apabila kedua orang tuanya tidak mahu berpindah tempat duduk. Akhirnya bagi mengelakkan anaknya malu mereka akur dengan permintannya.
Upacara merenjis hanya melibatkan pihak ibunya sahaja, tidak ada seorang pun keluarga bapanya dijemput ini atas arahan bapa pengantin yang malu melihat keluarganya naik ke pentas. Betapa terkilannya dan kecewanya hati keluarga bapanya yang ingin turut serta dalam upacara itu. Kemudian berlaku kekecohan apabila kumpulan zapin dan boria yang telah dibayar tidak dapat membuat persembahan atas masalah yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya majlis berlangsung dengan persembahan karaoke yang begitu membosankan. Sedar tak sedar tetamu mula balik sehingga akhirnya hanya keluarga terdekat sahaja yang masih berada di dewan.
Rakan saya menghubungi saya bukan sekadar mencurahkan rasa hati namun juga meminta pendapat dan nasihat bagaimana hendak mengembalikan semula hubungan bapa dengan keluarga yang berkecil hati kepadanya. Bapanya begitu angkuh untuk menyedari kesilapan malah menyalahkan mereka kerana majlis tidak berjalan seperti yang dirancang. Saya tidak begitu pandai menasihatkan orang kerana kurang ilmu di dada namun sempat juga saya berpesan "minta maaf kepada mereka... ya mohon maaf." dan rakan saya baru tersedar mereka belum pernah sekalipun meminta maaf terutama kepada datuk dan neneknya.
Pokok pangkalnya jangan tunda waktu: menjaga, membela, membahagiakan, memuliakan, menghormati, dan berbuat yang terbaik terhadap orang tua. Mohonkanlah maafnya atas segala kesalahan dan kelalaian kita selama ini. Kerana siapa tahu Allah akan segera menakdirkan perpisahan antara kita dengan mereka untuk selama-lamanya. Kalau keduanya sudah berada di dalam kubur, bagaimana kita dapat mencium tangannya. Kita tidak dapat mempersembahkan bakti apapun kalau mereka sudah terbujur kaku.
Jangan lupa untuk selalu mendoakan keduanya agar mendapatkan khusnul khatimah. Mudah-mudahan perjuangan kita yang ikhlas dalam memuliakan keduanya membuat Allah redha, sehingga Ia berkenan mengangkat darjat mereka berdua dan kita pun menjadi hamba yang berada dalam naungan cahaya redha-Nya. Wallahualam
.
Jan: Sama-sama kita ambik pengajaran...

1 comment:

Adie Achim said...

Saya tertarik pada tajuk entri dan sungguh tidak menyangka ia merupakan entri khas. Terima kasih!

.