"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Friday, July 8, 2011

Dubar (Istana raja)



Tanggal 13 Julai 1897, adalah tarikh perjumpaan pertama yang hanya melibatkan raja-raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu. Perjumpaan ini diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Meskipun ketika itu Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ini dipanggil ‘Durbar’, yang diambil daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja), ia juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh raja negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British di India. Apa jua maksudnya, matlamat dan hasil kesan dari Durbar itu, membawa seterusnya kepada pembentukan negara kita Malaysia.

Durbar pertama berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul’adzam Shah dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Muhammad dari Negeri Sembilan. Manakala pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak mempunyai wakil dari pihak British kerana Residen ketika itu, Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897.

Walaupun perkara-perkara yang dibincangkan dalam Durbar yang pertama itu hanya melibatkan agama Islam, adat istiadat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan orang Melayu, namun ianya merupakan titik tolak dan asas bermulanya persidangan Majlis Raja-Raja. Untuk makluman, gambar sultan-sultan, pembesar-pembesar negeri dan pegawai-pegawai British yang menghadiri Durbar pertama serta minit mesyuarat Durbar pertama disimpan sebagai khazanah eksklusif negara dan terbuka untuk rujukan semua di Arkib Negara Malaysia.

No comments:

.