"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Wednesday, June 17, 2009

Pejam Celek

Pejam celek - pejam celek, sehingga kini blog saya sudah dilawati lebih 10,000 kali. Sebagai orang `kecil’ bukan penulis, bukan penyanyi, bukan ahli politik atau seleberiti program reality, jumlah ini sudah membuatkan saya gembira.

Mengimbau kembali semasa Adnan buatkan blog ini, saya ragu-ragu. Saya tanya Adnan ``Apa aku nak tulis ni, aku bukannya pandai menulis…’’

Pada mulanya penulisan blog saya hanyalah mengenai apa saja yang terlintas difikiran. Bila saya menulis dan membacanya semula saya rasa gembira. Letak pulak gambar-gambar, saya rasa ria. Saya berblog untuk diri saya sebenarnya, tak ada tujuan politik atau nak berdakwah. Itu bukan saya…

Namun saya mendapati ada juga yang mengikutinya. Saya tahu pengikut tersebut adalah kawan-kawan saya terutamanya yang berada di Kolej Shahputra. Mereka ini kawan-kawan yang sudah bertahun-tahun bersama saya, mengenali perangai baik dan buruk saya. Maka timbullah perasaan bahawa blog ini boleh dijadikan sebagai komunikasi saya dengan kawan-kawan saya (selain saya syok sendiri menulisnya, he he he).

Namun ada juga beberapa peminat misteri yang saya tak kenal turut mengikuti blog yang ciput ini. Contohnya saya diberitahu oleh adik perempuan saya yang bertugas di Ulu Yam bahawa kawannya suka buka blog saya. Begitu juga ada kawan-kawan saya beritahu yang kawan-kawan kepada kawan-kawannya ada membacanya (siap kirim salam pulak).

Terkadang saya rasa penulisan saya mesti dikawal dan ada kalanya saya rasa tidak perlu. Maksud saya, saya menulis dipengaruhi suasana hati saya. Kalau saya agak tertekan dan sedih, penulisan saya sedikit sebanyak menggambarkannya. Kadang-kadang bila membacanya semula malu pulak, sebab itulah ada beberapa post saya delete semula. Kalau saya girang ia juga dapat dikesan melalui penulisan saya.

Saya tiada pemikiran yang hebat macam sesetengah orang disekeliling saya. Maka sebab itulah penulisan saya bersahaja sahaja, simple dan kadang-kadang rasa tertanya-tanya. Cerita pun berligar kepada perkara yang sama juga, iaitu mengenai kehidupan manusia daripada kaca mata saya. Saya memang tertarik dengan manusia dan bagaimana tingkahlakunya bila berhadapan dengan perasaan dan emosi, juga kekayaan pelbagaian pendapat dan sikap terbukanya.

Mengenai binatang pula saya tertarik pada monyet… entahlah payah nak terangkan.

Mengenai pendapat-pendapat yang saya pernah utarakan, mungkin ada juga yang kurang bersetuju dan mungkin ada yang bersetuju dengan penulisan saya. Saya tak kisah sangat sebab saya bukan mencari persetujuan atau nak paksa orang mengikut saya. Kepada saya ketidaksamaan pendapat adalah lumrah.

Tetapi setiap yang bermula pasti berakhir. Tiada yang kekal, terutama apabila kita sudah mulai selesa dan tidak lagi rasa feelnya… Itu tandanya ia mendekati suatu pemberhentiaan…pengakhiraan. Entah bila saya akan berhenti berblog saya sendiri tidak tahu…

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada sesiapa saja yang mengikuti blog ini. Sesiapa yang saya kenali dan juga sesiapa yang saya tidak kenali…

Pisang emas dibawa belayar'
Masak sebijik di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati...


Terima kasih…


Jan: banyak-banyak…

No comments:

.