"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Thursday, May 6, 2010

Misteri di rumah sewa...

Kisah ini berlaku pada tahun 1994 ketika saya menyewa di sebuah rumah banglow dua tingkat di atas bukit di Petaling Jaya, Selangor. Ia adalah rumah sewa terakhir yang saya sewai semasa menuntut di Universiti Malaya. Saya masih ingat lagi pada tahun tersebut kehidupan saya amat tidak terurus kerana sibuk menyiapkan tesis tahun akhir.
Saya memang suka menyewa di luar. Duduk asrama persekitarannya tidak sesuai bagi saya. Sebelum masuk UM saya tidak pernah tinggal di asrama seumur hidup. Tahun pertama di UM pelajar diutamakan duduk di asrama, inilah kali pertama dan terakhir saya duduk asrama dalam hidup saya. Selepas itu dari tahun kedua hingga tahun ke empat (sistem penggal 4 tahun) saya duduk menyewa di luar.
Memang pertama kali saya melangkah masuk ke rumah ini saya rasa semacam je. Rasa macam masuk sebuah muzium, suram dan sunyi. Saya juga tercium bau busuk, rupanya bau stoken dan kasut yang bersepah di luar dan dalam pintu masuk. Apabila masuk pintu besar kita di sambut oleh satu ruang yang besar. Namun ruang tersebut rupanya bukanlah ruang tamu, ia adalah sebuah ruang perantaraan ke ruang tamu yang lebih besar!.
Kawan baik sayalah yang mengajak saya tinggal di rumah tersebut, katanya bilik dia kosong dan perlukan seorang penghuni lagi. Kami duduk sebilik, senang nak berbincang atau mengumpat pasal lecturer kami yang pelik-pelik perangainya. Sebenarnya saya tidak nampak lembaga tersebut tetapi teman sebilik saya melihatnya. Mulanya saya tidak tahu apa-apa tetapi saya merasa hairan apabila menjelang malam (pagi) selepas study apabila dia mahu tidur dia angkut bantal dan tilam tidur di ruang tamu. Ruang tamu pertama menghala ke ruang tamu utama. Dia tak mahu tidur dalam bilik. Saya pelik kerana dulu dia selalu tidur di dalam bilik. Maka pada suatu malam saya bertanya mengapa sekarang dia suka tidur di luar. Mulanya dia tak mahu beritahu kenapa, akhirnya barulah dia beritahu dia ternampak sesuatu dalam bilik tersebut.
Dia beritahu saya pada suatu malam semasa dia sedang tidur.... Dia tidur di bahagian atas katil, saya tidur di bawah (saya tidur tingkat bawah sebab saya jenis gayat). Dia beritahu saya pada malam tersebut seperti biasa selepas dia membaca ayat-ayat suci al-quran, dia terlelap.... Saya pula tidur dengan walkman (dia pernah beritahu saya kalau nak tidur sepatutnya adalah lebih baik tidur dengan alunan ayat al-quran, bukannya alunan Madonna...).
Kawan saya beritahu tiba-tiba entah mengapa dia terjaga di tengah malam tersebut, sebaik sahaja terjaga dia rasa sejuk. Dia jengok kepala ke bawah dan lihat saya tidur dengan lena sambil selimut terselak paras dada. Kemudian dia memandang ke arah tingkap bilik, dia nampak sesuatu! Maklumlah rumah sewa, tingkap bilik tak ditutup 24 jam, dibiarkan begitu sahaja kerana ada gril.
Selepas dia bercerita, saya bertanya kenapa tak beritahu awal-awal kepada saya?. Sampai hati biarkan saya tidur sorang dalam bilik tersebut sedangkan dia nampak sendiri lembaga itu. Kawan saya beritahu saya tidor berbogel, hantu tak berani usik. (Saya memang selalu tidur dalam bilik sebab saya tidur berbogel. Kalau tidur di ruang tamu mungkin kawan saya ternampak apa yang patut mereka hindari...).
Kita kembali kepada cerita kawan saya. Kawan saya beritahu pada mulanya dia nampak seperti cahaya berlegar-legar di luar tingkap. Saya tanya UFO ke? Saya buat-buat kelakar. Tapi kawan saya kata `Nak dengar cerita ni ke tak?' Terus saya buat-buat minat nak dengar... seperti pelajar yang tunggu exam tips daripada lecturernya.
Sebenarnya rumah ini kalau tak ada hantu pun ianya semulajadi memang nampak menakutkan. Rumah dua tingkat ini rumah batu tetapi ada bahagian terutamanya tingkat atas dibuat daripada kayu. Kata kawan saya selaku ketua rumah (budak ingeniaring) rumah tersebut adalah rumah bekas iman besar Masjid Petaling Jaya. Rumah besar ini dibina dengan gaya tahun 70an. Ada 7 bilik dilengkapi dengan interkom. Ada tab mandi dan ada juga lampu cendeliar yang cantik di tengah ruang tamu yang besar. Saya pernah tanya kenapa barang-barang seperti pinggang mangkuk lama dan barang perhiasan lain tak diangkut ke rumah baru? Macam tergesa-gesa nak pindah je? Dia tak jawab.
Banyak juga sebenarnya kejadian supernatural yang saya sendiri alami tetapi saya tak beritahu teman serumah yang lain sebab saya tak rapat mana dengan mereka... Kebanyakan pelajar adalah daripada fakulti Ingeniaring, perubatan dan sains. Ketika saya mula menyewa rumah tersebut sudah ada 16 orang pelajar lain yang duduk menyewa rumah tersebut. Ada duduk sebilik 3 orang, ada duduk sebilik 4 orang sebab biliknya besar.
Semasa mula menyewa saya tidak pernah naik ke tingkat atas rumah sebab tingkat atas bilik-biliknya adalah terdiri daripada kkawan yang saya tidak berapa rapat. Malu nak bertandang. Nak dijadikan cerita pada suatu malam saya bermimpi saya naik ke atas rumah tersebut dan berjalan-jalan melihat keadaan di tingkat atas. Keesokan harinya bila saya bangun pagi saya tak rasa apa-apa tetapi beberapa hari kemudian secara kebetulan saya naik ke tingkat atas rumah tersebut. Saya naik untuk mencari kawan saya. Saya dapati, ruang di tigkat atas sebijik wek macam dalam mimpi saya! Saya jadi hairan... Adakah pada malam tersebut saya benar-benar naik ke atas rumah tersebut (saya berjalan dalam mimpi?).
Keadaan yang pelik juga sering terjadi semasa saya mandi di bilik air. Bila saya mandi sendirian di dalam bilik air ( ya lah tak kan nak mandi berdua pulak, he he he), saya selalu terdengar nama saya dipanggil dari luar bilik air. Bila saya jenguk ke luar tak ada orang pun, mungkin perasaan saya sahaja. Kejadian sebegini banyak kali berlaku tetapi saya tidak beritahu kepada kawan-kawan bimbang mereka cop saya ni penakut. Namun kemudiannya semasa kami mahu meninggalkan rumah tersebut, bila kawan-kawan bercerita rupanya bukan saya sahaja yang pernah dipanggil nama tetapi kawan saya yang lain pun pernah kena juga...
Saya kembali kepada apa yang kawan saya lihat dalam bilik saya tersebut. Tentu pembaca blog ini ingin tahu. Ini cerita benar, bukan cerita yang kita baca tetapi di akhir perenggang rupanya lawak. Saya bukan manusia begitu. Jenis begitu dah ramai sangat dah. Kata kawan saya cahaya yang terang itu tiba-tiba menjadi merah dan membetuk dua mata! ``Ya allah aku takut sangat masa tu" kata kawan saya. Dia beritahu terus dia tarik kain selimut, berpeluh dan tak dapat tidur sampai ke pagi dalam selimut tersebut. Semenjak hari itulah dia tak mahu lagi tidur dalam bilik tersebut. Saya terpinga pinga dengar cerita tersebut, biar betul. Mana ada hantu...
Sejak hari itu saya dalam dilema, agak bimbang hendak tidur di dalam bilik tersebut. Namun memandangkan saya tidur bogel terpaksalah jua saya tidur juga dalam bilik tersebut. Kalau hantu datang tentu hantu segan. Kawan saya beritahu hantu tersebut tidak masuk ke bilik kami pada malam tersebut mungkin kerana saya berbogel. Saya pula yakin hantu itu tidak masuk bilik kami bukan kerana faktor saya tidor berbogel tetapi kerana kawan saya itu selalu baca ayat al-quran bila nak tidor. Sehingga ke hari ini saya tak tahu siapa yang benar.
Rumah ini besar, ada 7 bilik kalau tidak silap saya, dapurnya besar ada kabinet atas bawah, keadaannya menyeramkan juga sebab terletak di hujung bahagian rumah yang besar dan panjang itu. Kadang-kadang bila saya balik dari kuliah jika tidak ada orang dalam rumah tersebut, saya duduk di dalam bilik je. Kalau kawan saya ada pun mungkin saya tidak tahu dan kalau ada pun betul ke dia `kawan' saya? Saya tidak pernah terserempak dengan apa-apa lembaga tetapi ada beberapa tempat atau laluang memang membuatkan saya naik bulu roma.
Kata ketua rumah itu, rumah itu telah dipagar oleh tok iman masjid tetapi `pagar' tersebut `runtuh'. Saya tahu banyak cerita seram yang lain tetapi nampaknya seolah-olah dirahsiakan dari senior-senior seperti saya. Mereka tak bercakap mengenai perkara yang mereka rasa tak patut dicakap....
Rumah lama dan usang bertambah nampak tak terurus bila orang bujang duduk. Dinding simen yang ditampal dengan kayu varnisnya sudah pudar. Memang menakutkan sekali. Jarang saya ke ruang tamu walaupun siang hari sebab ruang yang luas (macam balairaya) itu agak suram keadaannya. Jika saya tengok tv seorang diri saya rasakan ada orang duduk di belakang saya. Jika saya bersandar di dinding dan tengok tv, saya rasakan seperti ada orang duduk di hadapan saya...(sedang tengok TV).
Saya juga ada cerita yang agak mistik tetapi saya tak cerita pada kawan lain sebab apa yang mereka alami lebih menakutkan. Cerita terjadi semasa saya deman. Saya deman panas tetapi kipas bilik saya tak kuat tiupan anginya, saya nak tidur di ruang tamu tingkat atas. Saya takut nak tidur di ruang tamu bawah. Apabila saya tidur saya berbunyi ada orang naik tangga. Saya dengar suara perempuan ketawa-ketawa. Saya rasa pelik sebab mana ada orang perempuan kat rumah ini. Saya nak bangun tetapi badan saya sangat lemah. Saya hanya nampak kelibat tiga perempuan naik, dan saya dengar ada di antara mereka bertanya `Eh kenapa budak ni tidur di sini?" Saya dalam keadaan sangat lemah, saya nak buka mata tak terdaya tetapi saya tahu mereka bertiga tersebut lalu di sebelah saya dan masuk ke bilik. Selepas itu saya tak sedar sehinggalah kawan saya kejutkan saya daripada tidur dan tanya saya ni deman ke?
Malaslah sudah saya nak bercerita, saya pun rasa seram ni. Jam dah menunjukan pukul 7 petang. Daripada jendela bilik saya ni keadaan di luar sudah nampak gelap. Ramai kawan-kawan yang lain sudanh pulang dari kerja. Kalau ada masa saya sambung cerita ini lagi...
Jan: Banyak kenangan-kenangan dalam hidup ini akan kubawak ke mati. Aku tidak pandai menulisnya... dan ada di antara ceritanya biarlah aku, dia dan tuhan saja yang tahu... kau benar-benar kejam.

No comments:

.