Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Tuesday, November 25, 2008

Telus mata cikgu Alias...

`Sepuluh kali pun saya akan ambik STPM, cita-cita saya nak ke universiti cikgu!'. Hasnah dengan tegas dan bersemangat menjawab pertanyaan cikgu Alias sambil menepuk mejanya (meja dia bukan meja cikgu Alias...).




Saya buat-buat terkejut tetapi sebenarnya saya tidak terkejut. Saya amat mengenali Hasnah. Bagi saya Hasnah pelajar yang bermotivasi tinggi, rajin dan cerdik. Dia sebenarnya kawan baik saya sejak `darjah-darjah' lagi sehinggalah sampai ke tingkatan 6. Dia juga sestudy group dengan saya. Saya tahu sangat perangainya, setahu-tahunya. Keinginannya untuk menjejakkan kaki ke universiti mengatasi segalanya. Saya rasa cikgu Alias juga mengetahuinya, saja dia tanya.




`Kalau tahun depan awok tok masuk universiti awok nak buat gapa?'. Tanya cikgu Alias kepada Supian pula yang sedari tadi kelihatan takut-takut. Mungkin dia tahu akan tiba gilirannya pula disoal oleh cikgu Alias.




`Saya ambik lagi tahun depan' Jawab Supian selamba, tak ada bernada emosi. Supian memang selamba, masa semua orang dah kecut perut fikir pasal exam, dia tetap selamba. Dia pernah menyatakan kepada saya yang `hero tok gaduh' yang memberi makna seorang hero tak perlu bergegas, cool saja tapi result gempak.




`Jadi acara tahunanlah ambik STPM ni ya?' tanya cikgu Alias dengan suara yang agak meninggi, saya tunduk sikit takut juga tengok bola matanya dah mula tajam. Mungkin dia dah bosan dengan jawapan begitu. Ramai pelajar akan memberitahu yang mereka akan mengambil STPM sekali lagi kalau keputusan yang mereka dapat tidak melayakkan ke universiti.





Di tepi dinding berhampiran dengan pintu nako, saya tengok Rosmah senyum-senyum malu sambil memandang ke arah saya. Saya pulak berdoa agar janganlah cikgu Alias menyoal Rosmah, bukan apa takut jawapannya sama dengan jawapan yang dia berikan kepada saya beberapa hari lalu.





`Aku ni Skimea, kalau tok dapat masuk U aku tok sir doh ambik STPM. Taun depan, aku nak duduk drumoh tunggu orang masuk minang aku, he he he' Itulah jawapan yang diberikan oleh Rosmah bila saya tanya apa akan terjadi kalau tahun depan dia gagal masuk ke universiti.





`Ada ke orang nak ke mung Ros? Mungkin orang buta, he he he' Saya bertanya kembali sambil berlawak walaupun jauh di sudut hati saya memang tahu yang jawapan diberikan itu jawapan yang benar, bersungguh dan serius, bukannya lawak... sebab Rosmah pernah nak tackle cikgu sejarah yang baru saja masuk mengajar kami. Kesian cikgu muda tu.




.......................................

`Sebagai guru kelas saya tahu keupayaan setiap anak murid saya untuk menghadapi STPM, saya selalu mengikuti keupayaan awak semua dalam subjek-subjek lain, cikgu-cikgu awak yang lain pun adalah kawan-kawan saya semuanya...maka kalau saya nasihat tu tolong dengar sikit ' sambung cikgu Alias panjang lebar bersyarah depan muridnya, pada masa tersebut STPM hanya tinggal 2 bulan lagi...



Daripada tadi saya memerhatikan gelagat cikgu Alias ni, dia asyik bertanyakan soalan yang sama di dalam kelas. Masuk-masuk bagai ribut terus tanya. Mungkin dia nak menaikan motivasi muridnya, yalah kalau tidak ada cikgu menaikkan semangat, tentu tidak berkesan. Tak kanlah tugas Pak Mat (tukang kebun) pulak.




Cikgu Alias adalah guru kelas saya pada tahun 1990 semasa saya di tingkatan 6 Atas di Pusat Pendidikan Yayasan Islam Terengganu. Orangnya kecil, kurus kering, misainya rungcing dan tajam sedikit. Dia selalu tersenyum dan selalu mengambil berat tentang pelajarnya, tetapi kalau dia marah, huh! bukan main marahnya.




Dia tak ada diploma dalam mengajar, pengalaman pun setahun jagung, rasanya dia baru dua tahun keluar daripada Universiti Malaya semasa beliau mengajar saya. Namun dia selalu bersungguh-sungguh dalam mengajar, sabar dan mengambil berat pasal pelajar. Selalu memberikan nasihat, tak putus-putus.




`Saya cabar awak semua, sapa nak tahu dia akan dapat berapa P dalam STPM nanti?' Tanya cikgu Alias pula. Tadi soalan kalau tak dapat masuk universiti nak buat apa kat rumah, nak jadi apa, sekarang soalan lain pula.




`Saya cikgu, saya dapat berapa P? Tanya Sabri pelajar lelaki yang kedua handsome dalam kelas saya. Dulu ada 2 orang budak perempuan tingkatan 5 berebutkan dia sampai bergaduh-gaduh, bercakaran dalam surau. Bila saya tahu hal tersebut saya tak berani masuk campur sebab Sabri pandai bersilat. Tapi sempat saya beritahu kawan baik saya `Buta ke budak perempuan 2 orang tu?' he he he.




`Awak dapat 4P, 1R ' Selamba Cikgu Alias beritahu, macam nujum Pak Belalang pulak.




`Sapa lagi nak tahu? Cikgu Alias membukakan soalannya lagi dengan berani dan tegas.




`Saya' Jawap Ramli iaitu ketua tingkatan kami, yang setiap kali masa rehat menghilangkan diri kerana kena balik ke rumah sebab katanya kena `buka pukat' sebab ayahnya pulang dari laut. Dia tinggal di Kuala Besut.




`Awak 3P 1R 1F ' jawab cikgu Alias. Macam tok nujum lagaknya...sedap-sedap je beri nombor. Padahal manalah dia tahu kan kalau ikut logik.



`Kalau awak tak berubah dari sekarang, tulah yang awak dapat Li ' tambahnya lagi.




`Sekarang sapa nak tahu sebab apa dia tak dapat 5 P? ' Cikgu Alias menyoal lagi. Macamlah dia ada mesen masa yang boleh pergi ke masa hadapan dan tengok result pelajar.




`Saya cikgu?' jawab Sabri pelajar yang dah tahu dia dapat 4P 1R tadi, mungkin kali ini dia sangat hendak tahu apa subjek dia dapat R dan kenapa.




`Awak memang rajin belajar dan bertekad nak dapat 5P tapi awak abai subjek ekonomi so awak dapat 4P sahaja, untuk ekonomi awak dapat R sahaja jika dirujuk kepada ujian-ujian awak buat tu. Kalau awak tak start tekun untuk subjek tu, itulah result yang awak akan terima nanti...' Jawab cikgu Alias.




Saya hanya diam sahaja, saya tidak berani hendak cakap apa-apa. Saya pun tidak berani angkat tangan untuk bertanya. Lagi pun buat apa tanya kalau kita sudah tahu?, he he he. Saya memang percayakan cikgu Alias daripada dulu lagi.





Semasa saya di tingkatan 6 rendah saya ada dapat tawaran ambik diploma perguruan kat maktab, saya tolak kerana nasihat cikgu Alias. Masa tu dah akhir tahun 6 rendah saya dah nak naik tingkatan 6 atas. Masa saya isi borang dulu pun saja gatal nak cuba sebab saya lihat ramai kawan-kawan saya try mintak maktab. Saya minta jadi guru bahasa Inggeris, he he he.




`Yang paling penting sekali ialah cita-cita awak, apa yang awak nak?, awak kena la tahu apa yang awak nak. Apa yang sekarang awak kejar?.' Tanya cikgu Alias bila saya dalam dilema nak terima atau tidak tawaran masuk maktab atau teruskan pengajian ke tingkatan 6 Atas, ambil STPM.




`Saya nak masuk U cikgu, dulu SPM saya teruk. Kakak saya cabar saya masuk U, dia kata dia boleh masuk U sambil basuh pinggan mangkuk dan kemah rumah' Saya beritahu cikgu Alias.




`La... janganlah masuk U kerana kakak awak masuk U ' Kakak awak cuba beritahu kepada awak, awak mampu dan lebih berpeluang berbanding dia orang perempuan yang sibuk buat kerja rumah, masak berkemas tapi masih sempat study'. Kata cikgu Alias pulak.




`Tak.... maksud saya saya bersemangat nak masuk U, tapi kadang-kadang takut saya tak dapat 5 P'. Saya memberitahu perasaan saya dengan ikhlas kepada cikgu Alias dengan nada minta simpati dan sedikit mengada.




`Kalau begitu tolaklah tawaran tersebut, semuanya atas awak. Awak yang kena buat keputusan ' Jawab cikgu Alias.




`Tapi nanti kalau tak dapat masuk U nama saya kena black list cikgu untuk masuk maktab '. Saya melahirkan kebimbangan.




`Saya percaya awak akan dapat 5P dan masuk universiti, awak sorang budak yang rajin dan cerdik, saya tahu setiap keupayaan anak-anak murid saya, setiap kelemahannya dan dalam pelajaran mana dia lemah. Saya percaya dan yakin awak boleh dapat 5P dan masuk u'. Cikgu Alias menyuntik semangat ke otak saya. Pada masa itu saya hanya fikir ` Siapalah lagi yang kita hendak letakkan kepercayaan, jika bukan guru kita kan?. Cikgu kita memberikan kekuatan pada kita, walaupun kita sendiri tidak menyedarinya.




Keputusan STPM saya tunggu dengan hati yang berdebar-debar, bukan sahaja saya berdebar kerana hendak mengetahui berapa butir P yang saya dapat. Saya juga mahu tahu setakat mana betulnya ramalan cikgu Alias terhadap pelajarnya.




Ya, semuanya betul dan tepat sekali, sangat tepat...saya kagum dengan cikgu Alias, sampai kini saya boleh bayangkan dia tersenyum riang bila ramai pelajarnya dapat keputusan yang baik sama ada dalam ujian atau peperiksaan hujung tahun.




Moral: Kita tidak tahu kehebatan guru kita, sehinggalah kita jadi seorang guru... so apa salahnya menghormatinya daripada sekarang, bimbang takut terlambat.





Jan: Kalau dapat jumpa cikgu Alias, saya nak bersalam dan cium tangannya... dulu saya tak berkesempatan... tapi entah di mana dia sekarang, mengajar di daerah mana? terlontar ke ceruk mana? Guru itu juga ibarat bola...


No comments:

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home