"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Monday, February 17, 2014

Pengaruh emak, luang waktu dan saya pasti sunyi nanti...

Emak saya tidak berpelajaran formal yang tinggi. Ini mungkin satu keistimewaan pada dirinya di mana beliau tidak perlu luangkan waktu untuk memikirkan masalah yang besar-besar, apatahlagi masalah negara atau masalah dunia.

Dari pengamatan saya, ke atas sesuatu perkara atau isu, emak saya hanya mengambil jalan ringkas untuk berfikir. Emak tidak berfikir perkara-perkara yang berat. Seolah mak saya mahu memberitahu saya hidup ini hanya sekejap dan semua orang harus melakukan yang terbaik dengan kadar diri.
 
Saya dapati emak saya tidak pandai memutar belitkan cerita, suka mengalah dan tidak suka melihat dunia seperti orang lain. Sifat ini ada dalam diri saya.

Emak selalu percaya di atas muka bumi ini lebih banyak orang yang baik berbanding orang yang jahat dan apabila kita berbuat baik, orang akan berbuat baik pada kita (dua perkara yang saya tidak bersetuju sehingga ke hari ini). Kami berbeza dalam dua perkara tersebut.

Ayah saya beritahu emak saya `lurus bendul'.
 
Saya dapat rasakan saya banyak mewarisi sifat emak saya, berbanding ayah. Emak saya tidak suka menonjol. Saya juga begitu. Cuma kadang-kadang `keluarbiasaan' sayalah yang meme`menonjolkan saya  tanpa saya mahu atau rela. Sebenarnya saya jenis pemalu. Gugup di hadapan orang.

Saya bernasib baik kerana sebelum pukul 5 petang, emak pasti akan balik daripada kerja. Setelah beliau bekerja di Klinik Kesihatan, dia akan terus pulang. Cuma semasa saya kecil dia bekerja di hospital, kadang-kadang dia balik sekejap sahaja. Namun kami ada orang gaji.

Emak saya selalu suruh saya luang masa untuk diri dan keluarga. Mungkin atas sebab itulah saya selalu luangkan masa untuk hidup saya. Saya tidak 100% mendedikasikan ruang hidup saya untuk kerja.

Emak saya beritahu berada di samping anak-anak adalah terpenting. Rupanya saya silap, emak saya sangat cerdik dan berilmu. Dia mahu melawan ayat-ayat di bawah...

"Masa anak-anak kecil dan memerlukan kita, kita sibuk bekerja. Pada masa kita memerlukan anak-anak kita, mereka pula sibuk bekerja"...

Sekarang saya faham, emak banyak berkorban untuk luang masa bersama kami walaupun emak ada kumpulan kawan-kawan dan kehidupannya sendiri...

Saya sangat cintakan harta, duit dan kemewahan tetapi minggu lepas saya beritahu emak saya yang saya tidak akan tukarkan emak saya untuk mak yang lebih kaya dan berharta. Walaupun saya dilahirkan kembali dan diberi pilihan...

Namun pada akhirnya saya pasti sunyi nanti...

Jan: Saya mesti tersendiri...





 
 
 

No comments:

.