"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Wednesday, October 3, 2012

Pak Ungku dan bawang besar




MINGGUAN: Apa rahsia yang diamalkan Pak Ungku walaupun sudah berusia 90 tahun namun masih tetap sihat dan cergas?

UNGKU AZIZ: Bagi saya nombor satu kita kena jaga pemakanan. Perkara kedua adalah mesti mendapatkan rehat yang cukup serta selalu bersenam untuk kesihatan diri. Ia perlu dilakukan secara berdisiplin tidak bolehlah hari ini kita ingat nak ponteng, minggu depan baru nak buat balik. Kita mesti tetapkan waktu dalam jadual harian. Berapa jam kita nak bersenam dan berapa lama kita perlu tidur pada waktu malam.

Aktiviti seharian saya bermula pada awal pagi, pukul enam sudah bangun dan saya akan pastikan tidur paling lewat sebelum pukul 12 malam. Ada ketika saya tidur lewat sedikit kerana menonton filem. Tapi kebiasaannya petang saya akan tidur sekejap untuk berehat. Pada umur saya, tidur selama enam jam dan adakalanya dibahagi dua iaitu pada malam dan petang, itu sudah mencukupi.

Kemudian saya juga tetapkan waktu, bila nak buat kerja berfikir dan bila pula untuk menulis dan membaca. Kita juga perlu jaga kesihatan minda. Minda kita mesti ada masa untuk digunakan sebagai latihan untuk pemikiran dan ingatan. Setiap manusia perlu menggunakan kemahiran berfikir mereka kerana itulah anugerah Tuhan paling bermakna.

Bagaimana dengan pemakanan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Bagi saya paling penting ialah menjaga zat makanan. Kalau nak cerita semua sekali akan mengambil waktu yang panjang tetapi rahsia saya yang sebenar adalah makan bawang besar secara mentah-mentah. Tukang masak saya akan pastikan benda ini setiap hari.

Selain itu saya juga menggemari sayur ulam seperti ulam raja, salad dan juga petai. Masalah yang saya lihat sekarang kebanyakan orang tidak boleh mengurus waktu mereka, bila masa makan, tidur, rehat dan sebagainya. Hanya kerana sibuk dengan kerja waktu makan jadi tidak tentu hala.

Saya sangat bertuah kerana ketika menjadi Naib Canselor dan pensyarah di Universiti Malaya, petang-petang saya berjoging di kawasan tasik. Semasa saya muda-muda dahulu saya banyak menyertai kejohanan marathon, kalau setakat 10 kilometer saya tidak ada masalah. Namun sekarang tidak boleh lagi. Doktor tak bagi kerana ia boleh mengakibatkan lutut saya lemah. Kalau setakat berjalan laju tidak ada masalah tapi bukan berjoging.

Oleh itu saya kini hanya bersenam di gim dengan dibantu oleh pembantu di pusat gim. Satu masalah yang dihadapi bila kita tua ialah ketika kita jalan ke belakang baru dua tiga langkah sudah hilang keseimbangan.




No comments:

.