"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Tuesday, August 27, 2013

Saya boikot akhbar Utusan Malaysia!

Seperti kebanyakan ahli keluarga saya, saya adalah pembaca setia akhbar Utusan Malaysia. Sejak saya mula mengenal huruf dan mula pandai membaca, akhbar Utusan Malaysialah akhbar yang saya baca. Malah ketika saya masih merangkak-rangkak belajar membaca, akhbar itulah yang disuruh baca oleh ayah.  Saya masih lagi ingat biasanya ayah menyuruh saya membaca akhbar sebaik sahaja beliau pulang dari kerja. Ayah saya suruh saya mengeja dan membaca Utusan Malaysia sebagi latihan membaca saya. Ayah duduk di kerusi mendengar dan memerhati…

Setelah saya menerangkan hal tersebut kepada seorang kawan, beliau bertanya “Habis tu mengapa di dalam blog saya tiada link kepada akhbar Utusan Malaysia?

Ya, dalam blog saya hanya ada link untuk Berita Harian. Saya terus menerangkan sebab musababnya. Dan beliau mahu saya tuliskan sebab tersebut  di dalam blog tersebut. Saya berjanji saya akan menulisnya suatu hari. Dan suatu hari ke suatu hari saya menangguh penulisan tersebut. Sedar tidak sedar ianya telah melewati dua tahun!.

Tahun ini genap 50 tahun usia akhbar Utusan Malaysia. Saya berdoa agar akhbar ini akan terus panjang umur dan murah rezeki. Jika kita amati sejarah dan perjuangan akhbar ini bermula dari awal-awal penerbitannya, kita mungkin mengalirkan air mata… Perjuangan bangsa Melayu yang tiada titik nokhtahnya.

Akhbar ini ada bersama saya di dalam saya susah dan senang sehinggalah pada suatu hari saya telah berubah fikiran. Saya bertindak memboikot akhbar tersebut dalam ruangan pembacaan hidup saya. Saya dapati dan berfikiran akhbar ini tidak memaparkan liputan yang adil kepada penyanyi kesayangan saya. Cara penulisan dan paparan berita sangat menguriskan hati saya seolah-olah penyanyi kesayangan saya tersebut tidak pernah berjasa.

Saya sangat tidak selesa apabila penyanyi kesayangan saya diheret turun naik mahkamah seolah seorang penjenayah. Dan saya juga merasakan sebilangan wartawan hiburan di akhbar tersebut juga tidak adil dalam memaparkah berita-berita mengenai penyanyi kesayangan saya tersebut. Hati saya sangat terluka.

Saya hendak tergelak apabila hanya kerana seorang wartawan menggelarkan seorang penyanyi sebagai penyanyi nombor satu, semua wartawan lain turut terikut. Semua akhbar lain turut terikut-ikut dengan gelaran tersebut. Saya juga boleh menggelarkan penyanyi kesayangan saya sebagai penyanyi nombor satu dunia. Siapa boleh menyanyi lagi Melayu, Inggeris dan Arab dengan baik sekali? Siapa? Hanya ada seorang sahaja yang telah membuktikannya.

Namun itu cerita lama. Pada masa saya membina blog saya tersebut, saya masih lagi memboikot akhbar tersebut maka saya tidak link kepada akhbar tersebut. Ada kawan saya kata “Orang lain boikot Utusan Malaysia kerana factor politik tetapi awak kerana factor patah hati, he he he”. Namun selepas kes itu selesai dan Utusan Malaysia memaparkan berita mereka telah berbaik, terus saya kembali setia menjadi pelanggan akhbar Utusan Malaysia. 

Saya merasa sangat bahagia apabila melihat penyanyi nombor satu dunia dan penyanyi nombor satu negara bergambar bersama sambil berpelukan. Alhamdulilah.

Kawan saya kata saya pelik.  Saya terus beritahu dia “dalam soal hati dan perasaan, tiada peliknya…”


Jan: Semoga penyanyi kesayangan saya ini sentiasa sihat, panjang umur, murah rezeki dan di bawah lindungan allah selalu…

No comments:

.