Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Tuesday, July 14, 2009

Berbeza bahagia...

`Kebahagian itu berbeza definisinya’ saya teringat kepada pernyataan adik perempuan saya. Pada masa tersebut saya sedang makan buah langsat dan asyik bercerita jika saya ada banyak duit. Langsat tu daripada kebun suaminya. Banyak pulak saya makan sebab free, sampai nak lelah (asma) jadinya.
Dan tentulah selepas itu adik perempauan saya mendetailkan erti kebahagian bagi dirinya dan cuba pula membandingkan kebahagian yang dia nampak pada adik beradik lain. Dan saya bersetuju setiap orang berlainan definisi kebahagiannya. Cuba bagi RM250,000 kepada beberapa orang, dan lihat apa dan bagaimana mereka membelanjakannya atau menggunakannya.

Ada yang tersenyum riang, terus memasukan duit ke dalam bank. Dan selepas itu duduk tersenyum-senyum biri-biri sambil memikirkan duit yang berada di dalam bank tersebut, Oh bahagiannya!

Dan ada pihak yang terus bergegas ke Fella Design, sambar itu ini. Singgah pula kepamiran lap top dan apabila balik rumah beria benar mahu tukar mana yang patut (dan yang tak patut tukar pun dia tukar!). Bila dah segalanya tertukar, tersenyum girang di dalam kereta Honda Accord yang baru dibelinya, alangkah bahagia.

Dan ada juga (tapi mungkin payah) mendermakan sebahagian besar duit tersebut kepada jalan kebajikan, anak yatim dan orang susah. Orang jenis ini bahagia jika dapat menolong orang susah. Dan golongan seperti ini nak cari susah, he he he. Mereka bahagia melihat oarang lain bahagia, mereka bahagia jika dapat memberi.

Ada orang bahagia walaupun hidup sederhana selagi di dalam akuannya ada banyak duit. Orang jenis ini selalu berjimat. Jika terpaksa mengeluarkan duit simpanan terasa seperti sudah buat dosa besar. Dan ada juga orang yang tak ada duit tetapi amat mementingkan keselesaan hidup, jika kita lihat jumlah duitnya di dalam bank kita akan terperanjat bak melihat harga buku-buku akademik.
Namun kita masih lagi mengaitkan kebahagian itu dengan dengan duit ya? Tentu kita perasan sangat-sangat kononnya bila ada duit kita akan bahagia.
`Duit bukan segalanya, tak semestinya kita ada duit banyak kita kan bahagia' Terpancul kata-kata Ja semasa kami menyusuri pantai negeri Terengganu akibat kena bermarketing.
Pada masa tersebut saya cuba bayangkan kepada Ja jika saya ada duit tentu saya akan bahagia sebab pasti akan ada orang akan separuh gila, gilakan saya selamanya. Tentu saya akan bahagia bila lihat orang mabuk kepada saya. He he he, kelakar. Dan tentulah ombak yang membelai pantai itu akan jadi lebih bermakna, dan biru airnya akan jadi lebih berharga.
Saya menyiku Ja dengan mesra (tapi terkawal dan mengikut syarak), kami ketawa besar selepas saya nyatakan:
`Eh Ja, orang tak dok duit je cakap gitu'

Jankaulu: Namun kutetap percaya jika kumiliki banyak duit banyak perkara yang boleh kuselamatkan...

Monday, July 13, 2009

Terbang burung.


Selepas beberapa lama, seekor burung itu semakin menyedari bahawa dia hanya berada di dalam sebuah taman burung!

Dulu dia pernah berada di dalam sangkar burung. Semua pergerakannya terlimit sahaja. Malah daripada tempat duduk tengeknya, dia boleh nampak sejauh mana sahaja dia boleh terbang bebas, menghirup suasana semulajadi yang segar. Cantik sangkar tersebut sudah tidak dapat meraih harapan hidupnya.


Dalam diam dia berdoa suatu hari nanti tibalah `hari dia'. Suatu hari yang dia akan bebas, mendapat kebebasan...iaitu suatu yang paling mahal harganya (melebihi sofa Fella Design..., he he he)

Apabila dia melepaskan diri daripada sangkar burung tersebut dia mula meneroka banyak perkara, bertemu banyak kawan dan suasana. Dia bersyukur sangat dan bergembira. Dia gembira apabila hujan dia boleh kembali kepada sarangnya. Namun lama kelamaan keperluan dan kehendak dia menjadi semakin besar. Kerana dia bukan sebarangan burung. Dia mahu terbang lebih bebas, lebih jauh, lebih tinggi, dan mencipta episod suka duka hidup dirinya sendiri.

Dia agresif meneroka di sekelilingnya. Hinggalah pada suatu hari dia melihat ada jaringan di hadapanya dan di atas kepalanya. Dan dia cepat menyedari dia sebenarnya berada di taman burung!. Dia tersentak sedikt namun tetap menikmati suasana dan apa yang ada di tanam burung tersebut. Setidaknya makanan minum disediakan terjaga. Di luar mungkin makan minum tak tentu lagi. Maka si burung tadi gembira dengan apa yang disediakan. Dia bersyukur untuk beberapa ketika.

Namun gelodakan jiwa, harapan mengunung tinggi tak dapat ditarah. Keinginan yang tidak dapat dipendamkan sehingga selamanya. Burung cerdik itu tahu betapa alam maya ini sangat luas terbentang. Dia bercita-cita tinggi, mahu berubah. Dan alangkah bahagiannya jika dapat makanan daripada tangkapan sendiri...

Di taman burung ini semuanya disediakan seboleh mungkin untuk bersamaan dengan keadaan di luar. Namun dalam skala yang lebih kecil ini tidak dapat dibandingkan dengan berapa besarnya skala kemahuan dan harapan hidupnya...

Terbanglah kau burung, kudoakan kejayaan, keberanian dan harapanmu...

jankaulu: Pernah sesangkar...

Friday, July 10, 2009

Sofa Fella Design dan hidup keseorangan...

Kak Z pernah menyuruh saya menyenaraikan barang-barang yang saya mahu dalam hidup saya. Dia beritahu cuba senaraikan semuanya di atas sehelai kertas dan baca... Dan simpan ianya.
Maka saya pun senaraikan semuanya, antaranya sebuah rumah dan sebuah kereta, saya senaraikan semuanya dan rupanya tak banyak, tak sampai pun 20 barang. Antara yang lain ialah oven (bukannya mikroware, saya tak reti guna), set pinggang mangkuk RM3K, lukisan daripada luar negara dan lain-lain yang saya perlu rahsiakan... Pada masa tersebut saya memang tidak yakin saya akan memiliki barang-barang tersebut tetapi saya fikir apa salahnya menyenaraikannya.
Selepas senaraikannya barulah saya tahu tujuan sebenar Kak Z, dia mahu saya fikir yang impian untuk mendapatkannya tidak mustahil, jika kita berusaha untuk mendapatkannya...saya tersenyum dan rasa semacam. rasa saya boleh gapainya.
Terbaru saya singgah di Fella Design, dia sedang buat pamiran di Wisma Belia di hadapan Kolej Shahputra. Walaupun dah banyak kali dia buat pamiran, saya tak pernah singgah. Sehinggalah apabila balik daripada Kuala Terengganu, saya beritahu Ja supaya singgah sekejap kat wisma belia, saya nak tengok sofa berbentuk L.
Dan amat malang bagi saya, seperti biasa yang saya berkenan mahal harganya...tentu ramai yang akan melarang (terutama yang orang yang tiada duit). Saya pun ragu-ragu, perlukah saya membelinya? Dan untuk apa?
Rumah saya tak ada sofa. sapa yang datang duduk bawah atas tikar macam orang zaman dulu...he he he. Kalau ada sofa tu, tentu saya akan bahagia. Balik kerja bestnya lepak sambil dengar CD lagu `Seribu Mawar'...
Patutkah saya membelinya? Sebenarnya saya tiba-tiba patah hati terhadap rumah saya di Indera Sempurna. Saya sudah tidak seghairah mana nak naik rumah baru. Entahlah semuanya pergi. Rasa keghairhan itu pergi, ke semuanya..., segalanya... Saya mungkin akan menyewakannya... kot. Saya masih memikirkannya, mempertimbangkannya.
Sofa tersebut memang lembut dan bila kita duduk dia menampung berat badan kita, kita rasa `tenggelam'... dan rasa diwelcome je. Entah mengapa corak dia taklah seserabut atau sesarat corak yang sebelum ini. Pada pendapat saya corak Fella Design biasanya sarat.Tetapi yang ni agak moden.
Yang ini istimewa, lembut dan bergaya mewah. Warna pun warna tanah. Saya suka sangat2. Kalaulah sesiapa hadiahkan kepada saya, saya rela buat apa sahaja kepadanya selagi halal. Dan kata jurujual yang tak berapa peramah tu (mungkin dia tengok saya ni macam tak mampu je, atau dia betul? he he he). Sofa tu boleh ditukar fabriknya dan kos dalam RM1500 je sekali tukar. Ayat `jer' tu membuatkan saya rasa nak tergelak.
Kata kawan baik saya semasa saya belajar di UM (dia psikologi orangnya), saya akan mati tua, mewah dan bergaya tetapi sendirian... Saya gembira sangat kecuali perkara terakhir itu...he he he.
`Ah hidup mung pung tunggang langgang, nak ramal hidup orang pulak', Itulah kata-kata saya lebih kurang 20 tahun lalu kepadanya...
Jan: Tetapi saya tak mewah, dan sekarang sering tak sihat, hu hu hu. (Tapi saya dapat selalu bertahan, menahan kasih saya di sukma ini).

Di antara biru ombak Laut China Selatan...


Kalau diturutkan hati memang saya tidak mahu lagi menginjaki tanah tersebut. Segala duka akhirnya terkumpul, terhimpun, terjumlah di situ. Yang akan menjadi salah sebuah coretan hidup saya yang paling dasyat! Sebuah peta yang hitam, di dalam sebuah perjalanan hidup yang panjang...

Namun pelawaan dekan tak dapat saya tolak. Beliau baik terhadap saya, lagipun saya tak pandai beri alasan (mungkin sebab masih tak berkeluarga, he he he, jangan marah). Dekan sendiri talipon secara peribadi menanyakannya. Saya dan Ja akhirnya menuju ke Kuala Terengganu.

Banyak peristiwa yang berlaku semasa kami bermarketing ke 5 buah sekolah tersebut. sesiapa yang pernah bermarketing tentu tahu betapa sibuknya dan banyaknya kerja yang mesti dilakukan. Yang paling penting depan orang jangan tunjuk muka 14, kita kena senyum je walaupun kita letih.
Dapat saya rasai banyak juga kesilapan yang saya buat, saya tidak kemas dalam bekerja, saya tidak dapat fokus dengan tajam. Paling saya menyesal ialah dalam satu kejadian akibat nak cepat, saya cuai. Saya tertinggal lap top kat bilik di resort. Setelah sampai di sekolah yang dituju barulah saya sedar yang saya tidak bawa lap top. Saya turun selamba je daripada kereta, melenggang ambik speaker tanpa lap top!, he he he. Maka kami terus cabut kembali ke resort untuk ambik lap top. Ja memecut laju tapi penuh hemah dan santun.

Saya mesti menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin, sedaya mahu. Saya mahu antara kerja dan hal peribadi mestilah dibezakan, diasingkan. Saya tidak mahu jadi golongan apabila cakap pasal agama lebat, ambil air sembahyang berkolah tapi ada akhlak yang meragukan... Rezeki yang kita suap ke mulut haruslah dihalusi dijalankan dengan terbaik. Saya cuba buat yang terbaik (dialog yang selalu peserta program realiti Tv kita asyik kata, he he).
Namun semuanya ada pro dan kontra walaupun perkara tersebut memang ternyata salah dan tak beretika, contoh mendapatkan MC untuk diri sendiri kerana anak sakit. Sedikit keterangan mengenai MC: (keluar tajuk sikit, jangan marah...he he he)

MC dikeluarkan oleh doktor kerana kita sakit. Dan doktor mengeluarkan MC kepada kita kerana kita sakit, bukan doktor atau anak kita yang sakit... MC dikeluarkan apabila memeriksa tahap kesihatan kita, tak ok. Namun saya pernah ditempelak kerana tidak memahami kesusahan orang berkeluarga, pentingkan diri dan tak sensitif sebab kononnya saya tak bekerluarga. Saya hanya senyap tetapi saya tetap yakin MC itu untuk kita bila kita sakit, he he he.

Kembali kepada hal marketing, saya berpeluang ke sekolah sains, berasrama penuh yang pelajarnya terdiri daripada pelajar pandai. Memang betul bila kita tengok pun dah tau mereka ok. Susah nak cakap, fikirlah sendiri. Mereka bukan sahaja kelihatan bijak tetapi sopan dan berbudi bahasa. Sambutan pihak sekolah sangat memuaskan, menampakan yang cikgu-cikgu mahu sangat pelajarnya berjaya... Begitu juga sekolah di Dungun, kami hargai kerjasama yang diberikan. Nasi kerabu yang dihidangkan tu akan diingati...

Cuma kali ini walaupun ratusan kilometer saya menyusuri pantai, saya gagal menikmati pasiran yang putih, laut yang jernih membiru dan langitnya yang cerah. Kerana di antaranya ada warna seakan kelabu, yang dirasai pahit di sudut tangkai hati yang hampir punah...

Jankaulu: Huh! tak habis-habis!...

Thursday, July 9, 2009

...duit dan kasih sayang...

1. Ja duduk di dalam kereta, saya yang turun dan pergi kat kaunter untuk bertanya harga bilik.
2. Saya angkat sikit seluar saya yang terloroh, tali pingan saya tak pakai, terlupa bawak tapi pagi tadi saya ke Mydin beli tali pingan, murah je RM14.90 (harga beg duit saya RM10, tentu tak percaya kan?).


3. Resort ni cantik sangat, ala Bali.
4. Kami nak bermalam kat Dungun. Pagi esok senang kami terus ke sekolah untuk memberikan ceramah kerjaya.


5. Sampai kat meja pendaftaran saya senyumkan muka dengan tak ikhlas (sebab mengantuk sangat), pukul 1 pagi baru sampai Dungun.
6. Saya tanyalah berapa rate semalaman untuk bilik. Dia jawab selamba je RM285, bilik paling murah.
7. Cara pemuda itu jawab pun tak berapa mesra sebab saya hanya berselipar dan pakaian tidak kemas kot atau dia pun mengantuk?, atau saya bukan perempuan berbaju baruk nangka? he he he.


8. Saya terus pergi ke kereta beritahu Ja, dan kami cari resort lain...


9.`Mahal ya Ja, kita nak tidur 5 jam je kan, sebab esok kita nak balik terus. ' Saya kisahkkan kepada Ja.
10. Dan sebenarnya untuk malam kelmarin saya dah guna kad untuk bilik RM195. Nasib baik ada kad. Memang hotel tu akan dibayar oleh majikan nanti tapi kami tetap rasa mahal.


11. Rancangan kami selepas ceramah esok pagi kami akan terus keluar resort dan nak jumpa Mek P di UITM Dungun sekejap, kami bukannya berlama-lama di resort tu. Baik cari yang murah dan dekat dengan sekolah.



12. Bagi orang tua yang kaya, yang anak-anak dah besar, yang tak kerja pun duit banyak masuk masuk, RM285 semalaman bukannya mahal sangat kan?


Jan: Barulah kusedar (bertambah sedar) diri ini bukannya orang berduit... Dan kutahu kaitan kasih sayang dan duit. Dan ku kecewa melihat perkaitan itu...


Monday, July 6, 2009

Perlu lebih ramai lelaki?

Kelas saya semester ini ada 6 section, pelajarnya seramai 220. Untuk kelas pertama hari ini saya mengajar sebanyak 4 section. Saya dapati hanya ada 2 orang lelaki, dan kelas selepas tengahari ada 4 orang lelaki sahaja untuk ke empat-empat section tersebut.
Saya tertanya pula, sekarang ini sudah tidak adakah orang beranakan lelaki ke? Dan saya tidak boleh jawab tetapi memang benar fenomena ini terjadi, ramai pelajar perempuan berbanding dengan pelajar lelaki di pusat pengajian tinggi kita (Ini tidak membicarakan lagi jumlah pensyarah lelaki berbanding pensyarah perempuan...)
Atau memang ada ramai lelaki tetapi mereka malas membaca dan minat bidang teknikal (jawapan yang selalu saya dengar).
Saya tak ada masalah langsung untuk mengajar pelajar lelaki atau perempuan, mahupun mak nyah. Saya tiada masalah dengan gender. Selagi mereka rajin dan beri kerjasama, itu sudah membuatkan saya rasa gembira. Tugas saya menyampaikan ilmu.
Ya, mungkin nisbah kelahiran perempuan lebih tinggi dan ya mungkin lelaki lebih suka kepada perkara lain selain daripada menyambung pelajaran berbentuk pembelajaran bukan teknikal.
Cuma saya tertanya pulak…ada fenomena yang lelaki-lelaki ini sebenarnya tidak pula mendapat kerja yang bagus dan akhirnya berkahwin dengan perempuan yang lebih tinggi akademiknya. Dan ini bukanlah masalah kata kawan saya, selagi dia seorang bertanggungjawab. Dan kalau gaji lelaki RM5000 pun kalau tak diberikan kepada keluarga, buat apa kan? Jawab dia lagi kepada saya. Saya tersengeh sahaja dan terus mengiakannya.
Entahlah..yang penting saya akan lebih bersungguh-sungguh mengajar pada setiap semester.
Jan: Betul ke kawan saya Sam kata dunia ni perlukan lebih ramai lelaki?

Friday, July 3, 2009

Cemburu mak saya...(edit balik)

CEMBURU tidak seerti dengan dengki. Sangat berbeza bak daun dengan bunga. Pendapat saya cemburu lebih kepada kesakitan yang ada elemen kasih dan sayang. Dengki lebih kepada kesakitan hati berlandaskan hasad yang ada pada diri dan ada unsur pertandingan. ` Dia seorang yang cemburu tidak sama dengan ayat `Dia seorang yang dengki'.
Saya katogerikan emak saya sebagai seorang yang cemburu. Semenjak kecil hinggalah saat saya menulis blog ini mak saya tetap cemburu. Cemburunya terhadap ayah saya, saya gambarkannya sebesar dunia. Maya persada ini. Saya akui emak saya `melindungi' haknya dengan agrasif. Terkadang nampak melampau sikit.

Tidak tenteram, tidak tenang...
Saya dapati daripada saya kecil emak saya cemburu kepada ayah saya pada tahap `first degree'. Kini walaupun ayah saya dah berumur 70 tahun (sudah tidak bergaya sangat) emak saya masih lagi cemburu, dan dapat saya katakan dia semakin cemburu apabila semakin tua .

Pernah saya beritahu tidak elok kita sayangi seseorang melebihi daripada tuhan kerana ia akan membuatkan kita tidak tenteram. Dan saya pernah beritahu tidak elok kita tidak mempercayai pasangan kita. Namun emak saya tidak memberikan sebarang komen. Mungkin dia fikir saya masih mentah.

Resah bila berjauhan
Saya dapati semenjak emak saya berada di rumah saya (menjaga saya akibat darah tinggi), tiap-tiap hari dia risau akan ada perempuan yang akan menggoda ayah saya. Dia terkadang keluh resah dan malam-malam merayau depan padang permainan di hadapan rumah saya, persis macam orang pertama kali bercinta.
Untuk mententeramkan hatinya, saya beritahu ayah tu bukannya handsome tetapi dah tua. Segala sikap negatif ayah saya saya keluarkan untuk menggambarkan bahawa ayah saya sudah tidak ada `market' lagi, he heh he.
Namun emak saya memberikan hujahnya yang saya sebagai pensyarah tidak dapat mematahkannya. Emak saya beritahu perempuan nak kan duit ayah saya, bukannya mahukan ayah saya (pulak dah). Saya beritahu ayah manalah ada duit dan mak saya jawab balik ayah saya kelihatan seperti seorang yang banyak duit. Pening kepala jika bercakap dengan mak saya soal ni

Pasang spy!
Sepanjang mak saya berada di Muadzam, saya tahu emak saya pasang spy untuk mengintip gerak-geri ayah saya. Dia tetap mahu tahu di mana ayah saya berada pada waktu pagi, petang dan malam. Dan mak saya selalu tanya spynya, ayah saya sedang buat apa dan dengan sapa. Bayangkanlah penanggunan mak saya...

Kadang-kadang saya kesian ke emak saya sebab dia tidak dapat fokuskan kepada sesuatu perkara dengan lama dan tenteram. Sepatutnya dia sibuk mengaji al quran sahaja dan tenangkan diri tetapi hatinya selalu resah dan gelisah bila ingatkan ayah saya. Kadang-kadang dia tanya ayah saya makan apa ya? sedangkan dia tahu ayah saya makan kat kedai betul-betul sebelah umah di kampung, kedai adik dia...

Cemburu mega.
Saya dapati cemburu mak saya bukan setakat cemburu di mulut sahaja. Cemburu mak saya bukan main-main tetapi dizahirkan dalam bentuk action. contohnya pernah di zaman 80 an pernah suatu kejadian emak saya melanggar pintu pagar rumah hingga terpelenting pintu pagar besi tersebut. dia sengaja bawak kereta dengan laju dan melanggar pagar tersebut dengan kuat dan berani. Pintu pagar tu terpelenting terbuka.
Rupa-rupanya ada orang kampung beritahu kepada emak saya yang ayah saya bawak perempuan dalam kereta. Sebenarnya perempuan itu kakak saya yang ayah saya jemput balik daripada tuisyen, he he he.

Dalam hati seorang isteri, saya tak tahu...
Ayah saya pernah menyatakan, kawan-kawan baik mak saya semuanya bermadu, mungkin sebab itu mak saya jadi begitu. Namun saya tidak dapat menerima alasan tersebut bulat-bulat kerana saya tahu emak saya memang jenis cemburu mega.

Emak saya beritahu kepada saya tidak adalah suatu yang paling kecewa dalam kehidupan seorang perempauan selain bermadu. Emak saya pernah memberitahu jika duduk di istana dan `gelang mas sekerat lenggang' pun tidak bererti. Saya tidak faham sangat...

Pisau dalam beg.
Pernah emak saya membawa pisau dalam beg dan bertujuan untuk menikam perempuan yang digosipkan dengan ayah saya. Peristiwa ini ramai orang kampung tahu, dan mereka tidak hairan. Sehingga perempuan yang diragui itu bertahu berita itu kepada ayah saya, dia bimbang mak saya akan menikam dia daripada belakang. Dan ayah saya jawab mestilah perempuan bawa pisau sebab nak `siang' ikan, he he he.

Adakah kerana kita sayang sangat kepada seseorang itu kita tidak boleh berkongsi kasih? dan tak dapat berfikir dengan waras? Tidak kah bila kita sayang ke orang kita akan bahagia melihat orang itu bahagia walaupun tidak bersama kita? (amboi sedapnya soalan...he he he?)

Pinggang mangkuk mahal
Terbaru mak saya beritahu jika dia sakit tenat, dia suruh saya dan adik saya ambik semua pinggang mangkuk berjenama mahal di dapur. Dia juga beritahu kami berhentilah hadiahkannya pinggang mangkuk yang mahal. Saya tanya kenapa? Mak saya jawab, dia bimbang apabila dia mati ayah saya kahwin lain dan bawa perempuan itu tinggal di rumah, perempuan itu akan guna pinggang mangkuk mak saya. Ya allah!.
Saya beritahu secara berseloroh tak kan bila mak sakit saya sibuk mengangkat barang-barang pulak. Dan saya beritahu mak saya bila dia dah mati tak payahlah bimbang atau fikir lagi apa yang akan terjadi di dunia ini, he he he?

Pandangan mak saya tentang perangai lelaki
Namun saya kagum juga kepada emak saya kerana banyak kontraktor yang saya kenal dan ketahui kawin lebih daripada satu. Tentulah sepanjang hidup emak saya dia sentiasa resah sahaja. Dahulu setiap kali ayah saya dapat duit project emak saya selalu bimbang dan tak tenteram, takut ayah saya kahwin lain.

`Orang lelaki ni bila dah ada duit nampaklah perangai dia yang sebenar, kalau tak ada duit rela susah dengan kita' Itulah kata-kata mak saya yang apa bila saya cerminkan dan padankan dengan situasi sebenar dan isu terkini... ada kebenarannya! he he he. Laju je mak saya buat pernyataan itu tanpa buat kajian terperinci atau guna SPSS...Emak saya bimbang ayah saya jatuh hati kepada orang lain. Emak saya pernah beritahu `Perempuanlah yang sebenarnya buat orang perempuan susah" (pulak dah), mulanya saya tidak faham tetapi lama-kelamaan saya guna otak.

Saya ada berseloroh dengan mak saya, jika ayah mati dan ada perempuan yang lalu depan kubur ayah saya tentu mak saya akan marah atau setidaknya tidak sedap hati, he he he. Mak saya mahu ayah saya milik dia seorang.

SMS dalam handphone

Namun saya dapat baca juga sayang mak saya kepada ayah saya. Bila malam-malam saya buka hp secara curi-curi dan saya rasa geli pulak bila baca sms antara mereka sebab ada `i love u', dan `i miss u' dan lain-lain yang saya tak sanggup saya tulis di sini, he he he. Mungkin mak saya mencintai ayah saya selamanya.

Saya tahu jika ayah saya pergi dulu mak saya akan merana dengan dasyatnya...(tetapi saya akan jaga emak saya dengan baik, kalau saya ada isteri belum tentu dia sayang kepada emak saya sebab mak saya cerewet juga orangnya, contoh kalau makanan tak sedap dia tidak telan! )

Cinta sejati zaman terkini...

Saya tahu cinta sejati sangat sukar ada, cinta zaman sekarang pun baru tak sampai 5 tahun dah ada gempa buminya, sepanjang 40 tahun lebih perkahwinannya tentu banyak air mata mak saya mengalir kerana menjaga hak dia (ayah saya). Cinta dan air mata tak boleh dipisahkan.

Saya tahu benar kita akan banyak menangis dan susah hati bukan kerana musuh kita, tetapi datangnya daripada orang yang kita sayangi (kawan saya beritahu).

DNA cemburu?

Nasib baiklah saya tidak cemburu orangnya. DNA cemburu mak saya, saya tak mewarisinya. Dalam satu-satu hubungan saya percaya tidak perlu cemburu kerana saya percaya kepada kesetiaan. Kepercayaan atas kesetiaan adalah nadi kasih sayang. Buat apalah kita resah dan gelisah cemburukan seseorang padahal kita percayakannya kan kan?.

Tetapi saya ada sedikit kelemahannya iaitu bila kesetiaan dan kepercayaan itu dikhianati saya tidak redha. Saya tidak rela, dan saya tidak akan memaafkannya sampai akhirat. Dan saya tidak akan berpatah balik, saya akan maki, saya akan sumpah laknat tiap-tiap hari sehingga hari-hari terakhir saya berhenti bernafas!... Saya sumpah celaka dia tiap-tiap hari. Tiap-tiap hari !


Jan: Mana lebih teruk ya, mak saya ke saya? he he he.

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home