"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Sunday, September 17, 2017

40 Pantun lara di Pantai Kemasik

40 Pantun lara di Pantai Kemasik


“Apabila rasa sedih melihat pantai, ianya bukan kerana pantainya yang berubah wajah tetapi hati kita yang gundah. Pantai cermin perasaan…”

"Semua orang ada ketika-ketikanya suka melayan perasaan. Samada secara langsung atau tidak langsung. Apabila melihat laut, perasaan Abang membuak. Abang melayan perasaan...ingatkan kita"


x x x

Kini untuk balik ke kampong halaman di Besut, saya mempunyai dua pilihan, samada menggunakan Lebuhraya LPT2 atau `Jalan Pantai'. Saya biasanya menggunakan LPT2 dan jarang sekali menggunakan Jalan Pantai. Sebabnya LPT2 lebih pendek perjalanannya, lebih sunyi dan tidak ada banyak kereta. Saya tidak akan selalu berdebar.

Namun jalan Pantai juga mempunyai kelebihan. Jalan pantai ini adalah jalan yang terletak di sepanjang pantai negeri Terengganu. Kita akan melewati banyak daerah sebelum sampai ke daerah Besut yang paling ke utara.

Saya tinggal di Kampung Paya Rawa, kampong Raja. Lihat peta di bawah, sebagai rujukan.

Image result for peta negeri terengganu jalan pantai
Pantai Kemasik

Sepanjang negeri Terengganu kita akan dapat lihat banyak pantai-pantai yang indah. Awal bulan ini saya balik ke kampong menggunakan Jalan Pantai. Sepanjang jalan banyak pantai-pantai yang menarik. Namun saya selalu singgah di Pantai Kemasek.

Selepas pakir kereta saya terus berjalan-jalan di pantai ini. Namun cuaca yang terik menyebabkan saya tidak boleh berlama lama, saya terus mencari bangku tempat berteduh. Bimbang kulit saya yang hitam bertambah hitam. Bukannya salah jika kulit saya bertukar hitam tetapi saya tidak manis. Tidak akan ada orang kata saya `hitam manis’, mereka akan kata saya `hitam legam’. He he he.

Saya suka duduk berlamaan di pantai Kemasik. Malah saya boleh duduk sehari suntuk, atau selama-lamanya. Pantai adalah tempat yang indah tidak berbayar. 

Bila duduk di bangku ini saya mabuk dalam kelaraan. Kelaraan ini menghanyutkan saya dalam khayalan rasa yang jauh dari realiti. Sakit yang paling sakit adalah sakit hati kerana orang yang kita sayangi tidak sayangi kita... Malah menipu daya. Itulah sakit yang paling hebat di planet bumi. Namun anehnya dalam kesakitan ini kita terasa juga akan bahagianya. Mungkin kerana apabila hanya kesedihan yang tinggal, maka kita mahu tidak mahu, perlu rasa bahagia... Entahlah.

Pantai Kemasik, pasirnya cantik dan persekitaran dipelihara dengan baik. Jika sentiasa diadakan usaha untuk memelihara dan mengindahkan lagi persekitarannya ia akan menjadi tempat persinggahan yang lebih hebat. Juga tempat hati yang lara singgah.. Emmm...

Duduk di bangku ini serasakan saya sedang menjalani satu perjalanan yang dipenuhi hujan. 

"Kalau hujan ini akan menerbitkan pelangi..., bilakah hujan ini akan berhenti?" Detik hati saya, melayan perasaan. 

"Ah...semakin tua semakin menjadi, makin jiwa sensitif..."

Saya duduk di bangku panjang di tepi pantai. Di hadapannya terdampar Laut Cina Selatan yang luas membiru. Bunyi deraian ombak menghempas pantai seakan irama dari sekeping hati yang tidak pernah tenteram... Teringat lagu Uji Rasyid `Kuingin selalu di sampingmu". 

"Kalau kuturutkan hati lautan luas akanku semberangi..." Saya terus melayan perasaannya. Bagai anak muda berumur 17 tahun, bagai kuda liar yang galak berlari...

Dalam diam saya cemburu kepada pantai Kemasik...(pulak). Dia miliki laut yang gagah, dan ombak pantai yang setia. Walau zaman berubah, selamanya mereka bersatu. Tidak sesaat terpisah.  

Seperti laut yang ada gelombang begitulah jua hidup manusia kan?. Cuma berbeza dengan gelombang yang kadang-kala reda, ada hati yang tetap bergelora. Hingga hujung nyawa.

Ada yang berpendapat hidup ini adakalanya ibarat seorang manusia yang sudah bertahun-tahun diiringi hujan yang tidak berhenti... Dan kita sebagai manusia mahu hujan itu berhenti... Kita mahu melihat pelangi... Namun hujan terus berpanjangan...

Hidup sendirian melayari kehidupan memerlukan kekuatan yang bukan sikit...tanyalah orang yang seperti saya... He he he.

Singgah setulang di pantai Kemasik, terhasillah empat rangkap pantun. Namun saya perturunkan hanya tiga rangkap sahaja sebab satu rangkap lagi terlalu berunsur seksualisme. Tidak bagus untuk bacaan umum. Tiga rangkap pantun lara itu mudah maksudnya, tetapi mewakili seluruh perasaan di jiwa saya. 

Saya namakan `Pantun Rindu Abang’:

`Pantun rindu Abang’

Berhenti sekejap bukan sengaja,
Merehat lara di Pantai Kemasik;
Duduk Abang bermurang durja
Hati sakit ingatkan adik...

Pantai Kemasik indah sekali,
Pantai putih laut membiru;
Abang lupa tidak sesekali,
Tidak letih menahan rindu..

Angin menderu di waktu petang,
Ramai orang singgah berhenti;
Pantai sunyi Abang seorang;
Tapi adik ada di hati...

Jika saya ada masa dan kesempatan, saya akan menulis novel kisah cinta saya. Setiap mukasurat yang ditaip diiringi dengan airmata kasih saya, he he he....(saya berangan tetapi saya tidak pandai menulis...)

Setelah berehat melayan perasaan atau kadang-kadang melawan perasaan, saya bangkit dari bangku untuk meneruskan perjalanan. (Walaupun telah lama dia berhijrah dari daerah cinta saya, sebuah perjalanan harus diteruskan...)


Dalam perjalanan sebuah kehidupan, semua orang ada ceritanya.

No comments:

.