KAWAN-KAWAN MENGAJAR SAYA TENTANG KEHIDUPAN
Sepanjang hidup saya, saya berjumpa dan berkawan dengan pelbagai jenis manusia. Daripada zaman sekolah rendah, zaman belajar, alam pekerjaan sehinggalah sekarang, saya mempunyai kawan daripada pelbagai latar belakang kehidupan. Ada yang berkahwin, ada yang masih bujang, ada yang bergelar duda, ada yang bergelar janda. Daripada mereka, saya belajar bahawa kehidupan manusia tidak pernah sama dan kebahagiaan juga tidak mempunyai satu bentuk yang tetap.
Menariknya, daripada sekian ramai kawan yang saya kenal, ada seorang pernah berkata kepada saya, "Kesilapan paling besar dalam hidup aku ialah berkahwin." Saya hanya tersenyum kecil apabila mendengar ayat itu. Bukan kerana saya tidak mengambil serius, tetapi kerana saya tahu di sebalik kata-kata tersebut ada cerita panjang tentang kehidupan, pilihan dan pengalaman yang mungkin hanya dia sendiri yang memahami.
Namun saya menjawab kepadanya, "Bukan perkahwinan itu yang salah. Mungkin kau berkahwin dengan orang yang salah." Selepas saya berhenti seketika, saya sambung lagi, "Atau... mungkin kau sendiri orang yang salah." Terus dia diam. He he he.
Kadang-kadang dalam hidup, kita terlalu mudah menyalahkan keadaan. Kita menyalahkan pasangan, menyalahkan perkahwinan, menyalahkan nasib atau menyalahkan orang lain. Tetapi jarang kita berhenti seketika dan bertanya kepada diri sendiri, apakah kita juga mempunyai peranan dalam masalah yang berlaku?
PERKAHWINAN BUKAN JAMINAN KEBAHAGIAAN
Daripada pengalaman berkawan dengan pelbagai jenis manusia, saya belajar bahawa status perkahwinan bukan ukuran mutlak kebahagiaan seseorang. Ada orang berkahwin dan hidupnya sangat bahagia. Ada yang menemui ketenangan bersama pasangan dan keluarga. Tetapi ada juga yang berkahwin namun menyimpan banyak perkara dalam hati yang tidak mampu diceritakan kepada orang lain.
Ada kawan saya yang hampir tidak pernah bercerita tentang keluarganya. Apabila orang lain berbual tentang suami, isteri atau anak-anak, dia hanya tersenyum kecil sebelum mengubah topik perbualan. Kita pun fahamlah. Mungkin ada cerita yang lebih baik disimpan daripada diceritakan. Tidak semua perkara dalam rumah tangga perlu diketahui dunia.
Pada masa yang sama, saya juga mempunyai kawan yang mengaku bahawa hidupnya sangat menderita selepas berkahwin. Walaupun berpelajaran tinggi, berjaya dalam kerjaya dan dihormati ramai, dia tetap merasakan perkahwinannya satu pengalaman yang sukar.
Tetapi saya percaya, masalahnya bukan semata-mata kerana perkahwinan. Perkahwinan hanyalah sebuah jalan. Sama ada jalan itu membawa bahagia atau derita banyak bergantung kepada siapa yang berjalan bersama kita dan bagaimana kita mengurus perjalanan tersebut.
BUJANG JUGA TIDAK SEMESTINYA LEBIH BAHAGIA
Begitu juga dengan mereka yang mengatakan hidup lebih senang jika tidak berkahwin. Saya tidak begitu bersetuju. Saya ada kawan yang masih bujang, tetapi hidupnya juga tidak semestinya mudah. Duit sentiasa terasa tidak cukup walaupun tiada pasangan dan anak yang perlu ditanggung.
Dia pernah beritahu saya dia ditipu seorang perempuan sebanyak RM11,000. Dan setahu saya, dia sendiri yang mencari perempuan tersebut. Haaa... kadang-kadang dalam hidup, masalah bukan kerana kita berkahwin atau tidak berkahwin, tetapi kerana pilihan yang kita buat sendiri.
Hobinya pula membeli sport rim. He he he. Tidak salah mempunyai hobi, tetapi dalam masa yang sama, hubungan dengan keluarga juga perlu dijaga. Ada yang mempunyai masa yang banyak kerana tidak terikat dengan keluarga sendiri, tetapi masih terasa sunyi kerana hubungan dengan ibu bapa, adik-beradik dan orang sekeliling tidak begitu baik.
Daripada situ saya belajar, kesenangan hidup bukan hanya bergantung kepada ada atau tiadanya pasangan. Ada orang mempunyai suami atau isteri tetapi hidupnya tenang. Ada juga yang hidup seorang diri tetapi masih mencari ketenangan. Masalahnya bukan pada status, tetapi bagaimana kita mengurus kehidupan yang diberikan kepada kita.
BAHAGIA ADALAH PERJALANAN, BUKAN STATUS
Kalau kita menjaga pasangan dengan baik, menghormati keluarga dan sentiasa berusaha memperbaiki diri, insya-Allah peluang untuk hidup bahagia itu lebih besar. Tetapi kalau diri sendiri pun kita tidak mampu kawal, bagaimana kita mahu mengharapkan orang lain membawa kebahagiaan kepada hidup kita?
Bahagia bukan hadiah yang datang bersama sijil nikah. Bahagia juga bukan hadiah yang datang kerana kita memilih hidup bersendirian. Bahagia adalah sesuatu yang perlu dibina, dijaga dan diusahakan setiap hari.
Sebenarnya saya sendiri tidak pasti apakah kesimpulan sebenar tulisan ini. Mungkin hidup memang tidak mempunyai satu formula yang sesuai untuk semua orang. Kita boleh menderita walaupun sudah berkahwin. Kita juga boleh menderita walaupun tidak berkahwin.
Ada orang dikurniakan anak, ada yang tidak. Ada orang mendapat pasangan yang baik, ada yang diuji dengan pasangan yang sukar. Ada perkara yang boleh kita usahakan, dan ada perkara yang berada di luar kemampuan kita.
Apa yang penting, kita terus berusaha menjadi manusia yang lebih baik. Kerana akhirnya, kehidupan bukan tentang siapa yang berkahwin dan siapa yang tidak berkahwin. Kehidupan adalah tentang bagaimana kita mencari ketenangan dengan pilihan yang kita buat.
Setakat hari ini, saya bersyukur kerana mempunyai kawan daripada pelbagai latar belakang kehidupan. Ada yang berkahwin, ada yang bujang, ada duda, ada janda. Saya menerima mereka seadanya, dan alhamdulillah mereka juga menerima saya seadanya.
Akhirnya, yang membuatkan seseorang itu kekal menjadi kawan bukanlah status perkahwinannya, tetapi hati, keikhlasan dan cara dia menghargai sebuah persahabatan.
No comments:
Post a Comment