Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Tuesday, September 22, 2026

SEMAKIN TUA, SEMAKIN KITA MEMERLUKAN AGAMA

 

MASA MUDA, KITA SIBUK MEMBINA DUNIA

Semasa muda, ramai antara kita mengejar pelajaran, pekerjaan, harta, rumah dan keluarga. Kita bekerja siang malam mengejar kerana merasakan masa masih panjang. Agama tetap ada dalam hidup, tetapi kadang-kadang berada di belakang kesibukan harian.

Bukan kerana kita tidak percaya kepada Tuhan, tetapi kerana kita sering merasakan masih ada banyak masa untuk memperbaiki diri. Kita menangguhkan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dengan harapan suatu hari nanti kita akan mempunyai masa yang lebih lapang. Tanpa kita sedari, tahun demi tahun berlalu begitu pantas sehingga usia mula meninggalkan kita.

APABILA USIA BERTAMBAH, KEUTAMAAN TURUT BERUBAH

Semakin meningkat usia, kita mula menyedari bahawa hidup ini tidak kekal. Ibu bapa mula uzur, rakan-rakan mula pergi satu demi satu, dan tubuh sendiri tidak lagi sekuat dahulu. Pengalaman inilah yang perlahan-lahan mengubah cara kita melihat agama.

Perkara yang dahulu dianggap paling penting mula kehilangan nilainya. Kenaikan pangkat, KPI, kereta yang lebih besar atau rumah yang lebih mewah masih mempunyai tempatnya, tetapi ia tidak lagi menjadi ukuran utama kebahagiaan. Kita mula mencari sesuatu yang lebih kekal daripada pencapaian dunia.

AGAMA MEMBERIKAN KETENANGAN YANG TIDAK BOLEH DIBELI

Apabila usia semakin lanjut, ramai orang mendapati bahawa wang boleh membeli keselesaan, tetapi tidak semestinya ketenangan. Rumah boleh menjadi besar, tetapi hati masih terasa kosong. Pada ketika inilah agama menjadi tempat seseorang mencari makna, harapan dan kekuatan.

Ketenangan yang lahir daripada doa, zikir, membaca al-Quran atau menghadiri majlis ilmu tidak dapat diukur dengan nilai wang. Ia adalah ketenangan yang datang apabila hati semakin yakin bahawa setiap yang berlaku dalam kehidupan mempunyai hikmah yang telah ditentukan oleh Allah.

Vouge tak membawa ke kubur.

BUKAN KERANA TAKUT MATI SEMATA-MATA

Ramai menyangka orang tua mendekati agama kerana takut mati. Sebenarnya tidak semudah itu. Ramai yang menjadi lebih dekat dengan agama kerana semakin memahami bahawa kehidupan mempunyai tujuan yang lebih besar daripada sekadar mencari rezeki dan mengumpul harta.

Semakin banyak pengalaman dilalui, semakin jelas bahawa kejayaan, kegagalan, pertemuan dan perpisahan semuanya bersifat sementara. Kesedaran inilah yang menjadikan seseorang lebih menghargai hubungan dengan Tuhan, bukan sekadar sebagai persediaan menghadapi kematian, tetapi sebagai panduan menjalani sisa kehidupan dengan lebih bermakna.

PENYESALAN YANG SERING DATANG LEWAT

Semakin tua, semakin ramai yang berkata, "Kalaulah aku lebih banyak meluangkan masa beribadah ketika muda." Masa yang telah berlalu tidak boleh diulang. Namun pintu taubat dan peluang memperbaiki diri sentiasa terbuka selagi hayat masih ada.

Islam tidak mengajar manusia berputus asa terhadap rahmat Allah. Selagi nafas masih ada, peluang untuk berubah sentiasa terbuka. Yang penting ialah kesediaan untuk memulakan langkah, walaupun perlahan. Kadangkala satu perubahan kecil yang dilakukan dengan istiqamah lebih bernilai daripada perubahan besar yang hanya bertahan seketika.

AGAMA SEBAGAI TEMAN PERJALANAN TERAKHIR

Pada penghujung kehidupan, anak-anak akan mempunyai keluarga mereka sendiri, sahabat semakin berkurangan, dan harta akhirnya akan ditinggalkan. Yang terus menemani ialah amal, doa dan hubungan dengan Allah. Sebab itulah agama menjadi semakin penting apabila usia bertambah.

Apabila seseorang semakin hampir ke penghujung usia, dia mula memahami bahawa kehidupan ini sebenarnya adalah satu persinggahan. Dunia hanyalah tempat bercucuk tanam, manakala hasilnya akan dituai di akhirat. Kesedaran inilah yang menjadikan ibadah bukan lagi satu kewajipan semata-mata, tetapi satu keperluan jiwa.

Pada akhirnya, bukan usia tua yang menjadikan seseorang lebih dekat kepada agama. Sebaliknya, usia mengajar kita bahawa banyak perkara yang pernah kita kejar hanyalah sementara.Mungkin sebab itu ramai berkata bahawa usia tua bukan sekadar penghujung perjalanan hidup, tetapi permulaan untuk mengenal diri dan Tuhan dengan lebih mendalam. Kita mula memahami bahawa kebahagiaan sebenar bukan pada apa yang dimiliki, tetapi sejauh mana hati bergantung kepada Allah. Itulah bekalan yang kekal apabila segala yang lain ditinggalkan.


AINA ABDUL BAKAT YANG TERLENGKAP SETAKAT INI

 


Saya selalu percaya bahawa setiap zaman akan melahirkan penyanyi yang menjadi lambang kepada generasinya. Malaysia pernah mempunyai Tan Sri P. Ramlee, Sudirman, Allahyarhamah Sharifah Aini, Ahmad Jais dan kemudiannya Ziana Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar serta Dayang Nurfaizah. Mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi menjadi sebahagian daripada sejarah muzik negara. Hari ini pula, apabila bercakap tentang penyanyi wanita yang paling menonjol, nama Aina Abdul hampir pasti berada dalam senarai teratas.

Terus terang saya katakan, pada pandangan saya Aina Abdul merupakan antara artis wanita yang mempunyai set bakat paling lengkap dalam industri muzik Malaysia ketika ini. Penilaian itu bukan dibuat kerana beliau sedang popular. Populariti boleh datang dan pergi. Sebaliknya, saya melihat kepada gabungan bakat yang dimilikinya. Suara yang hebat, kebolehan mencipta lagu, persembahan pentas yang bertenaga, kreativiti visual, penguasaan bahasa dan keberanian membina identiti sendiri. Apabila semua itu digabungkan, lahirlah seorang artis yang sukar dicari ganti.

Perkara pertama yang menarik perhatian saya sudah tentu vokalnya. Aina mempunyai julat suara yang luas, kawalan teknik yang mantap dan kemampuan menyampaikan lagu dengan emosi yang cukup kuat. Ada penyanyi yang sekadar menyanyi dengan tepat pada not. Ada pula penyanyi yang membuatkan kita benar-benar merasakan apa yang ingin disampaikan oleh lagu itu. Pada saya, Aina berada dalam kelompok kedua.

Namun, suara yang hebat sahaja belum cukup untuk menjadikan seseorang artis itu lengkap. Yang membezakan Aina daripada ramai penyanyi lain ialah beliau juga mampu mencipta lagu sendiri. Ini satu kelebihan yang sangat besar. Apabila seseorang artis mampu menghasilkan karyanya sendiri, dia tidak hanya bergantung kepada orang lain untuk menentukan arah muziknya. Dia sedang membina identiti seninya sendiri, sedikit demi sedikit.

Selain itu, saya melihat Aina sebagai seorang artis yang sangat memahami kepentingan persembahan visual. Setiap kali beliau muncul di pentas, pasti ada sesuatu yang membuatkan orang bercakap. Ada yang memuji, ada yang mengkritik. Itu perkara biasa. Seni memang tidak pernah mampu memuaskan semua orang. Tetapi satu perkara yang sukar dinafikan ialah Aina mempunyai keberanian untuk tampil berbeza. Dalam dunia hiburan hari ini, identiti visual juga merupakan sebahagian daripada karya.

Dari sudut persembahan pentas pula, Aina memiliki keyakinan yang tinggi. Beliau tahu bagaimana hendak menguasai pentas, berinteraksi dengan penonton dan membina emosi sepanjang persembahan. Sebab itu persembahannya jarang kelihatan kosong. Walaupun kita pernah mendengar lagu yang sama berkali-kali, cara Aina membawakannya sering memberikan pengalaman yang berbeza.

Satu lagi kelebihan yang mungkin tidak begitu disedari ialah penguasaan bahasa Inggeris ketika menyanyi. Cuba dengarkan lagu-lagu Inggeris yang dibawanya. Sebutan, frasa dan emosinya kedengaran sangat semula jadi. Ramai penyanyi boleh menyanyikan lagu Inggeris, tetapi tidak semua mampu membuatkan pendengar lupa bahawa mereka sebenarnya berasal dari Malaysia. Dalam industri muzik yang semakin terbuka kepada pasaran antarabangsa, kelebihan seperti ini mempunyai nilai yang besar.

Saya juga suka melihat keberanian Aina untuk bereksperimen. Beliau tidak takut mencuba konsep baharu, gaya muzik yang berbeza atau fesyen yang di luar kebiasaan. Memang tidak semua percubaan akan dipersetujui oleh semua orang. Kalau semua orang suka, mungkin itu bukan lagi seni, tetapi produk kilang. Namun keberanian untuk mencuba itulah yang sering membezakan artis biasa daripada artis yang berani mencipta kelainan.

Lebih penting lagi, Aina mempunyai identiti yang jelas. Apabila kita mendengar suaranya atau melihat persembahannya, kita tahu itu ialah Aina Abdul. Beliau tidak kelihatan cuba menjadi Ziana Zain, tidak juga cuba menjadi Siti Nurhaliza atau Dayang Nurfaizah. Pada saya, inilah kekuatan sebenar seorang artis. Menjadi diri sendiri jauh lebih sukar daripada meniru orang lain.

Sudah tentu, untuk menjadi legenda, bakat sahaja tidak mencukupi. Sejarah muzik menunjukkan bahawa legasi dibina melalui disiplin, konsistensi dan kemampuan bertahan apabila selera pendengar berubah. Ramai penyanyi pernah menjadi fenomena untuk beberapa tahun. Tetapi hanya segelintir yang mampu kekal relevan selama dua atau tiga dekad.

Sebab itulah saya melihat Aina Abdul sebagai seorang artis yang mempunyai hampir semua ramuan untuk pergi lebih jauh. Persoalannya bukan lagi sama ada beliau berbakat atau tidak, kerana perkara itu sudah pun dibuktikan. Persoalan yang tinggal hanyalah sejauh mana beliau mampu mengekalkan momentum tersebut dalam tempoh yang panjang.

Kalau itu berjaya dilakukan, saya percaya nama Aina Abdul tidak lagi sekadar dikenang sebagai penyanyi hebat pada zamannya. Sebaliknya, beliau akan disebut sebagai salah seorang artis wanita paling lengkap yang pernah dilahirkan oleh industri muzik Malaysia. Dan pada ketika itu, orang tidak lagi akan bertanya sama ada beliau boleh menjadi seperti sesiapa. Orang akan berkata, Aina Abdul hanya ada satu.

Monday, September 21, 2026

SHARIFAH AINI: BIDUANITA PALING VERSATILE DALAM SEJARAH MUZIK MALAYSIA

 

Album studio terakhir Sharifah Aini - syahdu 2003

Apabila membincangkan siapakah biduanita paling versatile dalam sejarah muzik Malaysia, tiga nama yang hampir pasti menjadi rujukan ialah Allahyarhamah Saloma, Allahyarhamah Sharifah Aini dan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ketiga-tiga tokoh ini telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada perkembangan industri muzik negara mengikut era masing-masing. Namun, jika versatiliti dinilai berdasarkan keluasan repertori, kepelbagaian genre, produktiviti rakaman serta kemampuan menyesuaikan vokal dengan pelbagai bentuk muzik, saya berpendapat bahawa Allahyarhamah Sharifah Aini merupakan biduanita paling versatile dalam sejarah muzik Malaysia.

Versatiliti dalam dunia nyanyian tidak seharusnya diukur berdasarkan kekuatan vokal semata-mata. Sebaliknya, ia merangkumi kemampuan seseorang penyanyi menguasai pelbagai genre, menyesuaikan teknik nyanyian mengikut karakter sesebuah lagu, merakamkan karya dalam kuantiti yang besar tanpa mengorbankan kualiti, serta kekal relevan dalam tempoh yang panjang. Berdasarkan ukuran tersebut, rekod kerjaya Sharifah Aini memberikan hujah yang sangat kukuh.

Sepanjang lebih tiga dekad bergiat aktif dalam industri muzik, Sharifah Aini membina antara katalog rakaman paling besar dalam kalangan penyanyi wanita Malaysia. Beliau menghasilkan puluhan album studio, album kompilasi dan rakaman khas yang merangkumi ratusan buah lagu. Yang lebih penting, karya-karya tersebut tidak terhad kepada satu aliran muzik sahaja. Beliau berjaya membawakan lagu balada, pop, irama Malaysia, keroncong, lagu tradisional, lagu patriotik, lagu keagamaan serta pelbagai album bertema dengan tahap penghayatan yang sentiasa konsisten. Produktiviti seperti ini jarang dapat ditandingi oleh mana-mana penyanyi.

Keupayaan Sharifah Aini menyesuaikan suara mengikut genre juga merupakan satu kelebihan yang luar biasa. Lagu-lagu seperti Bunga Tanjung, Kau Tinggi Di Awan Biru, Seri Dewi Malam dan Hapuslah Air Matamu memperlihatkan sisi vokal dan interpretasi yang berbeza, namun tetap mengekalkan identiti beliau sebagai seorang penyanyi yang memiliki penghayatan mendalam. Ini menunjukkan bahawa beliau bukan sekadar menyanyikan lagu yang pelbagai, malah memahami keperluan emosi dan gaya setiap karya yang dibawakan.

Allahyarhamah Saloma pula harus diberikan pengiktirafan sebagai tokoh yang membuka jalan kepada perkembangan muzik popular tempatan. Beliau memperkenalkan imej artis yang moden, elegan dan berpengaruh pada zamannya, selain berjaya menggabungkan elemen muzik tempatan dengan pengaruh Barat. Sumbangan tersebut menjadikan Saloma seorang pelopor yang sangat penting dalam sejarah hiburan negara.

Datuk Seri Siti Nurhaliza pula mewakili era moden industri muzik Malaysia. Kekuatan beliau terletak pada konsistensi, disiplin dan keupayaan mengekalkan populariti merentasi beberapa generasi. Beliau juga berjaya merakamkan pelbagai genre serta mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Siti Nurhaliza ialah antara penyanyi paling berjaya dalam sejarah muzik negara.

Walau bagaimanapun, apabila fokus perbincangan tertumpu kepada versatiliti, Sharifah Aini mempunyai kelebihan yang lebih jelas. Keluasan repertori, jumlah album yang dihasilkan, kepelbagaian genre yang diterokai serta kemampuan mengekalkan mutu persembahan dalam setiap rakaman menjadikan beliau mempunyai nilai yang sukar ditandingi. Versatiliti bukan sekadar kebolehan mencuba sesuatu yang baharu, tetapi kebolehan menguasainya secara konsisten sepanjang kerjaya.

Oleh itu, walaupun Saloma dikenang sebagai pelopor dan Siti Nurhaliza sebagai ikon muzik moden Malaysia, saya berpendapat bahawa Allahyarhamah Sharifah Aini paling layak diangkat sebagai biduanita paling versatile dalam sejarah muzik Malaysia. Penilaian ini bukan semata-mata bersandarkan populariti atau bilangan anugerah, tetapi berdasarkan keluasan karya, kepelbagaian genre, produktiviti rakaman dan keupayaan beliau mengekalkan standard vokal yang tinggi sepanjang lebih tiga dekad berkarya. Atas dasar itulah legasi Sharifah Aini kekal utuh sebagai antara khazanah seni paling bernilai yang pernah dimiliki oleh negara.


Sunday, September 20, 2026

7 KELEBIHAN KERAJAAN ANUAR IBRAHIM


Sebelum ini saya pernah menulis tentang beberapa kelemahan Kerajaan Anwar Ibrahim. Ada yang setuju, ada juga yang tidak. Itu perkara biasa. Dalam politik, kalau semua orang bersetuju dengan kita, mungkin kita sebenarnya sedang bermimpi.

Tetapi saya selalu percaya satu perkara. Kalau kita berani menegur, kita juga mesti berani memuji. Jangan bila kerajaan buat silap kita nampak, tetapi bila kerajaan buat sesuatu yang baik, tiba-tiba mata jadi rabun. Itu pun tidak adil juga.

Selepas beberapa tahun Kerajaan MADANI mentadbir negara, saya nampak ada beberapa perkara yang boleh diberikan kredit. Bukan bermaksud semuanya sudah sempurna. Harga barang masih menjadi rungutan, kos sara hidup masih menghantui ramai dan rakyat masih mengharapkan lebih banyak perubahan. Namun dalam masa yang sama, ada juga perkembangan yang wajar kita akui.

1. Ekonomi Masih Bergerak Walaupun Dunia Tidak Menentu

Kalau kita membaca laporan ekonomi, Malaysia masih mencatat pertumbuhan yang agak baik. Tahun 2025 sekitar 5.2%, sedikit lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya (5.1%). Angka ini mungkin tidak membuatkan kita terus tersenyum ketika membayar bil elektrik, tetapi sekurang-kurangnya enjin ekonomi negara masih hidup dan tidak tersangkut di tepi jalan.

Saya selalu menganggap ekonomi macam pokok durian. Hari ini kita tanam, esok belum tentu boleh makan. Kalau setiap hari pergi tengok sambil marah-marah sebab buah belum keluar, pokok itu pun mungkin naik tekanan darah. He he he. Pertumbuhan ekonomi memang mengambil masa sebelum manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat. Yang penting, pokok itu terus hidup dan akhirnya berbuah.

2. Hutang Masih Ada, Tetapi Arah Tuju Semakin Baik

Saya juga tertarik melihat usaha kerajaan mengurangkan defisit negara. Bunyinya memang agak teknikal. Tetapi kalau diterjemahkan dalam bahasa mudah, ia lebih kurang macam kita mula belajar mengawal hutang kad kredit selepas lama berbelanja sesuka hati.

Sudah tentu negara tidak boleh berhenti berbelanja. Jalan raya masih perlu dibina, hospital masih perlu diperbaiki dan sekolah masih memerlukan peruntukan. Tetapi kalau setiap tahun lebih banyak berhutang daripada memperoleh pendapatan, akhirnya cucu kita nanti pun mungkin masih membayar bil yang kita tinggalkan. Sebab itu saya melihat usaha mengawal defisit sebagai langkah yang baik, asalkan rakyat tidak menjadi mangsa sepanjang proses tersebut.

3. Lebih Ramai Orang Mendapat Pekerjaan

Pada saya, berita paling menggembirakan bukanlah apabila KDNK naik. Berita yang lebih saya suka ialah apabila semakin ramai orang berjaya mendapat pekerjaan. Sebab bila seseorang mula bekerja, bukan dia seorang sahaja yang lega. Satu keluarga turut menarik nafas lega.

Hakikatnya rakyat tidak bangun pagi sambil bertanya, "Hari ini KDNK naik berapa peratus?" Mereka bangun dengan satu soalan yang jauh lebih penting. "Ada kerja atau tidak?" Kalau anak-anak muda semakin mudah mendapat pekerjaan dan peluang semakin terbuka, itu sudah cukup memberi sedikit harapan kepada ramai keluarga.

4. Pelaburan Datang, Harapnya Manfaat Pun Datang Sekali

Kerajaan juga berjaya menarik pelaburan yang besar dalam sektor seperti semikonduktor, elektronik dan pusat data. Itu berita yang baik kerana dunia sekarang bukan lagi dunia yang sama seperti dua puluh tahun dahulu. Kalau kita masih bergantung kepada cara lama, kita akan semakin jauh tertinggal.

Tetapi saya ada satu perangai. Saya jarang teruja dengan angka yang terlalu besar. Bila orang sebut pelaburan berbilion ringgit, saya cuma berharap satu perkara. Jangan yang datang hanya papan tanda projek. Biarlah datang sekali peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan gaji yang lebih baik. Kalau semua itu berlaku, barulah rakyat benar-benar boleh tumpang gembira.

5. Bantuan Masih Diperlukan Oleh Ramai Rakyat

Ada orang kata terlalu banyak bantuan membuatkan rakyat bergantung kepada kerajaan. Mungkin ada benarnya. Tetapi cuba kita tanya ibu yang dompetnya tinggal RM20 sedangkan hujung bulan masih jauh lagi. Bagi mereka, bantuan itu bukan soal manja. Ia soal meneruskan hidup.

Sebab itu saya melihat bantuan seperti STR dan SARA masih relevan, terutama kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Cuma saya berharap prosesnya sentiasa dipermudahkan. Jangan sampai orang yang layak terpaksa mengisi borang lebih tebal daripada tesis universiti.

6. Ada Usaha Membetulkan Asas Kewangan Negara

Saya juga melihat kerajaan cuba melakukan beberapa pembaharuan yang mungkin tidak popular. Penyusunan subsidi, e-Invois dan usaha mengukuhkan kewangan negara memang bukan perkara yang membuat orang bersorak.

Tetapi kadang-kadang kita perlu makan ubat yang pahit supaya badan kembali sihat. Bezanya, rakyat berharap dos ubat itu jangan terlalu kuat sehingga pesakit pengsan sebelum sempat sembuh. Pembaharuan memang perlu, tetapi biarlah dilaksanakan dengan penuh rasa ihsan kepada rakyat.

7. Malaysia Sedang Melihat Masa Depan

Apa yang saya paling suka ialah kerajaan mula memberi perhatian kepada industri bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan dan ekonomi digital. Dunia sedang berubah terlalu pantas. Kalau kita masih berjalan, sedangkan orang lain sudah berlari, akhirnya kita akan semakin jauh di belakang.

Saya berharap suatu hari nanti Malaysia bukan sekadar dikenali sebagai tempat orang memasang barang, tetapi menjadi negara yang mencipta teknologi sendiri. Bila anak-anak kita nanti bekerja sebagai jurutera, saintis, penyelidik dan pencipta teknologi bertaraf dunia tanpa perlu meninggalkan tanah air, pada saya itulah kejayaan yang sebenar.

Kesimpulan

Akhirnya saya tetap berpegang kepada prinsip yang sama. Kalau kerajaan buat silap, kita tegur. Kalau kerajaan buat sesuatu yang baik, kita akui. Tidak rugi pun memuji perkara yang betul. Begitu juga tidak rugi mengkritik perkara yang salah. Kerana akhirnya rakyat tidak hidup dengan laporan ekonomi, rakyat tidak makan angka KDNK dan rakyat juga tidak kenyang dengan sidang media. Apa yang mereka mahu sebenarnya sangat mudah, balik kerja, gaji cukup sampai hujung bulan, harga barang tidak membuatkan jantung berdegup laju ketika berada di kaunter pembayaran, anak-anak mendapat pekerjaan yang baik dan mereka boleh tidur pada waktu malam tanpa terlalu risau memikirkan hari esok. Kalau semua itu semakin menjadi kenyataan, saya rasa tidak kisahlah siapa pun yang menjadi kerajaan. Itulah kemenangan yang sebenar untuk rakyat Malaysia.




PERASAAN DALAM LAGU `RINDU MENGHIASI KAMAR CINTA' – SHARIFAH AINI




Bagi saya, lagu “Rindu Menghiasi Kamar Cinta” nyanyian Sharifah Aini ini bukan sekadar lagu tentang orang bercinta yang sedang dilamun rindu. Ada cerita yang lebih dalam di sebalik rindu itu. Ia seperti kisah seseorang yang masih menyimpan cinta walaupun hubungan yang pernah indah sudah mula berubah. Dia masih berharap, masih menunggu dan masih mahu difahami. Sedangkan orang yang dirinduinya mungkin sudah tidak lagi merasakan perkara yang sama. Haaa... begitulah cinta zaman dahulu. Tak ada WhatsApp, tak ada seen, tak ada last seen. Kalau nak tunggu orang, tunggulah betul-betul. Kadang-kadang sampai tak tidur malam. Jangan GBSS sudah.

Yang menariknya, rindu dalam lagu ini bukan rindu yang manis-manis sahaja. Rindu itu bercampur dengan keresahan. Biasanya apabila kita merindui seseorang, kita rasa bahagia kerana masih ada kenangan yang boleh dikenang. Tetapi dalam lagu ini, rindu itu seolah-olah menjadi beban kepada hati. Masih teringat, masih sayang dan masih berharap, tetapi tidak tahu apakah hubungan itu masih mempunyai tempat di hati orang yang dirindui. Cinta masih ada, cuma jalannya sudah tidak seperti dahulu.

Saya rasa inilah keadaan yang pernah dirasai oleh ramai orang. Ada hubungan yang kita tahu sudah tidak sama, tetapi hati kita masih belum boleh menerima kenyataan itu. Akal mungkin sudah berkata, “Sudahlah, lupakan sahaja.” Tetapi hati pula degil. Lagi kita cuba melupakan, lagi banyak kenangan yang datang. Kadang-kadang hati manusia ini pelik. Kita sudah tahu sesuatu itu mungkin tidak akan kembali, tetapi kita masih menyimpan sedikit harapan. Itulah hati.

Dalam lagu ini juga terasa adanya keinginan untuk mendapatkan semula kesempatan. Seolah-olah masih ada perkara yang hendak diluahkan. Masih ada kasih yang mahu diterangkan dan masih ada harapan supaya orang yang dicintai itu kembali memahami perasaannya. Tetapi kalau kasih sudah tidak dirasakan oleh kedua-dua pihak, tempat yang dahulu dipenuhi kebahagiaan akhirnya menjadi sunyi. Kamar cinta yang sepatutnya menjadi tempat menyimpan kenangan manis berubah menjadi tempat seseorang melayan rindu seorang diri.

Mungkin sebab itulah lagu lama seperti ini masih boleh menyentuh hati walaupun zaman sudah berubah. Ceritanya mudah. Kita pernah sayang seseorang, pernah berharap, pernah menunggu dan mungkin pernah kecewa. Semua itu tidak memerlukan telefon pintar atau media sosial. Perasaan manusia dari dahulu sampai sekarang tetap sama. Teknologi berubah, tetapi hati manusia masih pandai merindui orang yang tidak lagi berada di sisinya.

Pada saya, lagu ini sebenarnya bukan hanya tentang rindu, tetapi tentang cinta yang belum selesai. Ada kenangan yang masih disimpan, ada perasaan yang belum benar-benar padam dan ada harapan yang masih enggan mati. Kadang-kadang perkara yang paling susah bukan melupakan seseorang. Yang paling susah ialah menerima hakikat bahawa kita mungkin masih mencintai seseorang yang sudah tidak mencintai kita seperti dahulu.

Dan mungkin itulah yang paling menyakitkan dalam sebuah rindu. Orangnya sudah jauh, tetapi hatinya masih tinggal di kamar cinta kita.


Saturday, September 19, 2026

“OLD HEARTS CRY TOO”


 
At first, my tears fell beyond my control, but eventually, a quiet smile found its way back to me... not because all wounds had healed, but because I had learned to embrace the things I could never change.

2,700,000 KUNJUNGAN



Saya dapati blog kecil saya ini sudah menerima lebih daripada 2,700,000 kunjungan. Mungkin masih ada yang setia singgah membaca tulisan-tulisan yang saya coretkan di sini. Jika masih ada, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Bagi saya, menulis bukan sekadar menyusun kata-kata. Kadang-kadang ia adalah cara saya meluahkan apa yang saya lalui, apa yang saya fikirkan dan apa yang bermain dalam hati. Lagipun, saya memang suka menulis. Saya menulis tentang perkara-perkara yang berada di sekeliling kehidupan saya, tentang manusia, pengalaman dan perkara kecil yang mengetuk hati dan minda saya.

Saya menulis tentang manusia seperti saya sendiri. Dan manusia, tidak kira siapa pun kita, pasti mempunyai cerita tentang suka dan duka. Ada hari kita melihat dunia dengan penuh harapan, ada hari kita melihatnya dengan sedikit keraguan. Kadang-kadang saya juga terlalu pesimis, sehingga tulisan saya turut membawa bayangan rasa itu. Namun saya berharap pembaca tidak mengambil kesedihan saya sebagai contoh, tetapi melihatnya sebagai satu sisi kecil daripada perjalanan seorang manusia.

Ada orang mengatakan bahawa menulis membuatkan fikiran kita terus hidup dan sentiasa aktif. Mungkin benar, kerana setiap kali menulis, kita sebenarnya sedang berbual dengan diri sendiri. Kita mengingat, merenung dan cuba memahami kehidupan dengan cara yang lebih perlahan.

Saya akan terus menulis selagi masih ada rasa untuk menulis. Selagi ada cerita yang mahu dikongsi, selagi ada pengalaman yang mahu direnungkan, selagi itulah saya akan terus berada di sini.

Kerana kita tidak pernah tahu bila sebuah perjalanan akan berhenti. Dan mungkin suatu hari nanti, tulisan terakhir akan menjadi penutup kepada segala cerita. Tetapi sebelum hari itu tiba, biarlah saya terus menulis kerana menulis adalah salah satu cara saya menghargai kehidupan.

Terima kasih

A LOVE THAT IS ENOUGH TO BE A PRAYER

 A LOVE THAT IS ENOUGH TO BE A PRAYER


The night returns quietly,
bringing with it a silence I have learned to understand.
And somewhere between the shadows and the moonlight,
your name still finds its way back to me—
not as a wound,
but as a memory I have learned to carry.

I no longer wait for your footsteps,
Time has taught me a gentle truth:
not everything we love
is written in our story until the end.
nor do I search for a way back to where we once stood.

There was a time
when I believed your presence was the place
where my restless heart had finally found rest.
I thought some journeys were meant to be shared forever,
some hands were meant to be held until the very last page.

But life has its own quiet wisdom.
Some people enter our lives not to stay,
but to awaken something within us—
to teach us the beauty of happiness,
the ache of loss,
and the grace of letting go.

I once asked the night
why something so beautiful
had to become a memory.

But the night gave no answer.
It only whispered through the silence:

“Not everything precious is meant to remain.
Some moments are beautiful
because they were once ours.”

Now, I only mention your name
in prayers that will never reach your ears.
Not because I am waiting for your return,
but because I am grateful
that, for a chapter of my life,
our paths were allowed to meet.

May the roads ahead be kind to you.
May life hold you gently
in all the places where I no longer can.
May you find the happiness
that perhaps I was never meant to give.

For I have finally understood—
love is not always the act of holding on.
Sometimes, love is the quiet courage
to open our hands
and let someone walk away peacefully.

And if, on some quiet night,
this old longing returns to visit me,
I will welcome it without sadness.
I will let it sit beside me for a while,
like an old friend carrying stories
from a time that will never come again.

Then I will release it once more
into the winds of the night,
knowing that some memories
are not meant to be erased,
only honoured.

Because there are names
I no longer whisper,
yet still carry within my prayers.

There are loves
I no longer chase,
yet forever remain grateful
that they once found their way to me.





RINDU MALAM

 Malam datang lagi,

membawa sunyi yang pernah aku kenal,

membawa nama yang masih tersimpan

di sudut hati yang tidak pernah aku tunjukkan.


Aku tidak lagi menunggu kepulanganmu,

tidak lagi menghitung jarak antara kita,

kerana aku sudah mengerti,

tidak semua yang kita sayang

ditakdirkan untuk tinggal selamanya.


Pernah suatu ketika,

aku fikir kau adalah perjalanan terakhir,

tempat aku berhenti mencari,

tempat segala cerita akan bermula dan berakhir.


Tetapi hidup mengajar aku sesuatu,

ada manusia yang hadir bukan untuk dimiliki,

tetapi untuk meninggalkan pelajaran;

tentang bahagia,

tentang kehilangan,

dan tentang menerima.


Aku pernah bertanya kepada malam,

mengapa sesuatu yang begitu indah

harus berakhir dengan perpisahan?


Namun malam hanya diam,

seolah-olah berkata kepadaku,

“Tidak semua yang indah perlu kekal,

ada yang indah kerana pernah hadir.”


Kini aku hanya menyebut namamu

dalam doa yang tidak kau dengar.

Bukan kerana aku masih berharap kau kembali,

tetapi kerana aku pernah bersyukur

kerana pernah mengenalimu.


Semoga langkahmu sentiasa dipermudahkan,

semoga bahagiamu sentiasa dijaga,

walaupun bukan lagi aku

yang berada di sisi cerita itu.


Kerana aku akhirnya memahami,

cinta tidak selalu tentang memiliki,

kadang-kadang cinta adalah tentang melepaskan

dengan hati yang masih mendoakan.


Dan jika suatu malam nanti

rindu datang mengetuk kembali,

aku akan biarkan ia masuk sebentar,

duduk bersamaku dalam diam,

sebelum aku lepaskan ia pergi bersama angin malam.


Kerana ada nama yang tidak lagi aku panggil,

tetapi masih aku simpan.

Ada cinta yang tidak lagi aku kejar,

tetapi masih aku doakan.




SESEORANG YANG AKU LEPASKAN, TETAPI TIDAK PERNAH AKU LUPAKAN

Ada satu jenis rindu yang tidak lagi mencari jalan untuk bertemu. Ia tidak lagi bertanya bila seseorang itu akan kembali, tidak lagi berharap kepada sesuatu yang sudah jelas mustahil. Ia hanya diam di sudut hati, hadir ketika malam semakin sunyi dan dunia mula perlahan-lahan berhenti daripada segala kesibukan. Pada waktu seperti itu, kenangan datang tanpa dipanggil, membawa kembali wajah seseorang yang pernah begitu dekat dalam hidup aku.

Aku pernah percaya bahawa ada manusia yang akan berjalan bersama kita hingga ke penghujung cerita. Kita pernah membina harapan, berkongsi cerita kecil yang mungkin tidak bermakna bagi orang lain, tetapi sangat berharga bagi kita. Namun hidup kadang-kadang membawa kita ke jalan yang tidak pernah kita rancangkan. Ada perpisahan yang berlaku bukan kerana hilangnya rasa, tetapi kerana keadaan, masa dan takdir yang memilih arah berbeza.

Semakin aku memahami kehidupan, semakin aku sedar bahawa tidak semua orang yang hadir ditakdirkan untuk tinggal. Ada manusia yang datang hanya untuk mengajar aku tentang rasa bahagia, tentang kehilangan dan tentang bagaimana menghargai seseorang ketika dia masih ada. Mereka bukan hadir untuk menjadi milik kita selamanya, tetapi untuk meninggalkan sesuatu yang mengubah cara kita melihat kehidupan.

Dulu mungkin aku berharap dia kembali. Dulu mungkin aku bertanya mengapa sesuatu yang begitu indah perlu berakhir. Tetapi hari ini aku belajar bahawa menyayangi seseorang tidak semestinya bermaksud aku perlu memilikinya. Kadang-kadang bentuk kasih sayang yang paling ikhlas adalah apabila aku mampu melepaskan seseorang pergi dan tetap mendoakan kebahagiaannya walaupun kebahagiaan itu bukan lagi bersama aku.

Malam selalu menjadi waktu yang paling jujur. Ketika semua orang sudah lena, hati mula bercakap tentang perkara yang selama ini cuba kita simpan. Pada saat itu, aku mungkin masih mengingati namanya, masih tersenyum melihat kenangan lama dan masih tertanya bagaimana kehidupannya sekarang. Tetapi rindu itu bukan lagi rindu yang meminta dia kembali. Ia hanyalah rasa terima kasih kerana pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup aku.

Aku percaya ada rindu yang tidak perlu disampaikan, ada kasih yang tidak perlu dimiliki dan ada nama yang cukup hanya disebut dalam doa. Kerana tidak semua cerita yang bermula dengan indah akan berakhir dengan bersama. Ada kisah yang ditulis hanya untuk mengajar kita bahawa kehilangan juga sebahagian daripada kehidupan, dan melepaskan juga boleh menjadi satu bentuk cinta.

Akhirnya, aku menerima bahawa dia mungkin bukan lagi insan yang berjalan di sebelah aku. Tetapi dia tetap seseorang yang pernah membuat aku memahami hati, mengenal rasa dan belajar menjadi manusia yang lebih baik. Jadi pada malam yang sunyi ini, aku hanya mampu berkata dalam diam: semoga kau bahagia di mana pun kau berada. Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup aku.




BILA BERKAHWIN, DUNIA KITA TIDAK SEHARUSNYA MENGECIL

PERKAHWINAN ADALAH SEBUAH PERJALANAN HIDUP

Bagi saya, perkahwinan bukan sekadar tentang dua orang manusia yang tinggal di bawah satu bumbung, buat seks, makan bersama setiap hari atau mempunyai hubungan sebagai suami dan isteri. Perkahwinan adalah satu perjalanan panjang yang penuh dengan tanggungjawab, cabaran, pengorbanan dan pembelajaran. Ia bukan hanya tentang “aku dan kau”, tetapi tentang bagaimana dua individu belajar membina sebuah kehidupan yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.

Ada orang menganggap apabila sudah berkahwin, seluruh dunia seseorang itu hanya perlu berputar sekitar pasangan dan anak-anak. Memang benar keluarga adalah keutamaan, tetapi manusia bukan telefon bimbit yang hanya ada satu aplikasi sahaja. Kalau telefon pun ada banyak aplikasi, apatah lagi manusia. Kita masih perlukan keluarga, sahabat, hobi, minat dan masa untuk diri sendiri supaya kehidupan lebih seimbang.

JANGAN HILANGKAN DIRI SELEPAS BERKAHWIN

Bagi saya, perkahwinan tidak sepatutnya membuatkan seseorang kehilangan identiti dirinya. Sebelum berkahwin, kita ada kawan, ada impian, ada perkara yang kita suka lakukan. Selepas berkahwin, semua itu tidak semestinya perlu dibuang ke dalam tong sampah. Cuma mungkin perlu disusun semula.

Kalau dahulu boleh keluar melepak sampai tengah malam, selepas berkahwin mungkin perlu fikir dahulu siapa yang akan menunggu di rumah sambil melihat jam. Jam dinding pun mungkin rasa bersalah sebab terlalu banyak digunakan untuk menunggu.

Perkahwinan bukan bermaksud kita perlu berhenti menjadi diri sendiri. Sebaliknya, kita belajar bagaimana untuk membawa diri yang lebih baik ke dalam sebuah hubungan yang lebih besar.

RUANG PERIBADI JUGA PENTING DALAM RUMAH TANGGA

Saya percaya pasangan yang matang ialah pasangan yang faham tentang ruang peribadi. Memberi ruang bukan bermaksud tidak sayang atau mahu menjauhkan diri. Kadang-kadang suami perlukan masa bersama kawan-kawan, isteri perlukan masa untuk menikmati perkara yang dia suka.

Ada masa seseorang hanya mahu duduk minum kopi sambil melihat orang lalu-lalang tanpa perlu menjawab soalan seperti, “Awak fikir apa tu?”

Sedangkan jawapan sebenar kadang-kadang cuma, “Saya sedang fikir kenapa harga kopi sekarang macam ansuran kereta.”

Ruang peribadi bukan tanda kurang cinta. Kadang-kadang ruang itulah yang membuatkan seseorang kembali kepada pasangan dengan fikiran yang lebih tenang dan hati yang lebih bahagia.

KOMUNIKASI ADALAH KUNCI DALAM PERKAHWINAN

Perkahwinan juga bukan hanya tentang tinggal bersama, tetapi tentang belajar memahami cara pasangan berfikir dan merasa. Kita perlu berkomunikasi dengan baik kerana pasangan kita bukan pembaca fikiran.

Kadang-kadang kita marah kerana pasangan tidak memahami apa yang kita mahu, sedangkan kita sendiri tidak pernah memberitahu. Kita berharap pasangan boleh membaca hati kita seperti membaca mesej WhatsApp.

Malangnya, manusia belum sampai tahap itu. Kalau boleh baca hati, mungkin ramai suami sudah tahu bila isteri kata “tak apa” sebenarnya maksudnya bukan “tak apa”.

Sebab itu komunikasi yang jujur dan terbuka sangat penting. Kadang-kadang masalah bukan kerana hilangnya kasih sayang, tetapi kerana dua orang yang saling menyayangi sudah tidak tahu bagaimana hendak bercakap dengan baik.

JANGAN LUPAKAN KELUARGA DAN SAHABAT

Bagi saya, keluarga dan kawan-kawan juga masih mempunyai tempat dalam kehidupan selepas berkahwin. Ada pasangan yang terlalu fokus kepada rumah tangga sehingga melupakan hubungan dengan orang lain.

Sedangkan manusia memerlukan sokongan daripada pelbagai arah. Kita perlukan keluarga untuk berkongsi kasih sayang, kawan untuk berkongsi cerita dan kadang-kadang kawan juga diperlukan untuk menjadi tempat kita ketawa tentang masalah yang tidak boleh diselesaikan dengan serius sahaja.

Hidup ini terlalu luas untuk hanya bercakap tentang bil elektrik, kerja rumah dan siapa yang belum basuh pinggan. Kadang-kadang kita juga perlukan cerita lain supaya kehidupan lebih berwarna.

PASANGAN ADALAH CERMIN UNTUK MEMBAIKI DIRI

Dalam masa yang sama, saya melihat perkahwinan sebagai peluang untuk kita menjadi manusia yang lebih baik. Pasangan adalah orang yang paling dekat untuk melihat kelemahan kita.

Kadang-kadang dia adalah orang pertama yang berani memberitahu perkara yang orang lain takut hendak cakap. Memang kadang-kadang teguran pasangan terasa pedih, tetapi mungkin itu cara Tuhan mengajar kita supaya berubah.

Lagipun, kalau semua orang hanya memuji kita, kita mungkin mula rasa kita ini sempurna. Sedangkan mencari stokin sendiri pun kadang-kadang masih gagal.

PERKAHWINAN YANG MATANG MEMBUKA DUNIA YANG LEBIH LUAS

Akhirnya, bagi saya perkahwinan bukan tentang memiliki seseorang sepenuhnya, tetapi tentang memilih untuk berjalan bersama seseorang dengan penuh hormat, kasih sayang dan kesabaran.

Hubungan suami isteri hanyalah satu bahagian dalam kehidupan yang lebih besar. Kita masih perlu menjadi anak yang baik kepada ibu bapa, sahabat yang menghargai persahabatan, jiran yang mengambil berat dan manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.

Perkahwinan yang matang bukan apabila dua orang hanya bergantung antara satu sama lain untuk segala-galanya, tetapi apabila dua orang yang mempunyai kehidupan sendiri memilih untuk berkongsi perjalanan bersama.

Kerana perkahwinan yang sebenar bukan mengecilkan dunia kita, tetapi membuka dunia yang lebih luas.

Dan kalau dalam perjalanan itu ada sedikit salah faham, sedikit merajuk dan sedikit perang dingin mencari siapa yang salah meletakkan remote televisyen, itu semua adalah warna dalam kehidupan berumah tangga.




SUAMI ISTERI PERLU ADA RUANG UNTUK DIRI SENDIRI

Saya tidak pernah menganggap suami isteri yang sentiasa bersama ke mana-mana sebagai petanda mereka lebih bahagia daripada orang lain. Pada pandangan saya, terlalu banyak bersama sehingga hampir semua perkara dilakukan berdua juga boleh menjadi satu beban. Manusia memerlukan ruang untuk dirinya sendiri. Bukan kerana sudah tidak sayang, tetapi kerana setiap orang perlukan masa untuk bernafas. Kalau setiap lima minit pasangan bertanya, "Awak dekat mana?" sedangkan baru dua minit lepas nampak di ruang tamu, itu bukan romantik lagi, itu sudah macam pegawai penyiasat.

Ramai yang beranggapan apabila sudah berkahwin, semua perkara mesti dilakukan bersama. Suami keluar minum dengan kawan pun isteri terasa hati. Isteri mahu menghadiri kelas atau berjumpa sahabat lama pun suami mula mempersoalkan. Sedangkan sebelum berkahwin, masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri. Perkahwinan tidak sepatutnya menghapuskan semua itu. Kalau sebelum berkahwin suami kaki berbasikal dan isteri kaki membaca, selepas berkahwin jangan pula kedua-duanya tiba-tiba menjadi kaki menghadap telefon seorang-seorang.

Saya percaya suami dan isteri patut terus mengekalkan hobi yang mereka minati sebelum berkahwin, selagi hobi tersebut tidak menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab. Jika suami memang meminati aktiviti memancing, berbasikal atau mendaki, teruskanlah. Jika isteri gemar membaca, berkebun, melukis atau menyertai kelas-kelas yang diminatinya, teruskan juga. Hobi yang sihat bukan musuh kepada rumah tangga. Kadang-kadang, itulah yang membantu seseorang mengurangkan tekanan dan kembali kepada keluarganya dengan emosi yang lebih baik. Cuma janganlah balik memancing dengan tiga ekor ikan tetapi bil membeli peralatan memancing sudah cukup untuk membeli peti sejuk baharu.

Begitu juga dengan persahabatan. Saya kurang bersetuju apabila ada yang berpendapat selepas berkahwin hubungan dengan kawan-kawan mesti diputuskan. Seseorang masih memerlukan sahabat untuk berbual, berkongsi pandangan atau sekadar menikmati secawan kopi sekali-sekala. Selagi tahu menjaga batas, menghormati pasangan dan tidak mengabaikan keluarga, saya tidak nampak di mana salahnya. Lagipun, sekali-sekala berjumpa kawan lama boleh balik rumah dengan cerita baharu. Kalau asyik tengok muka pasangan sahaja setiap hari, nanti cerita pun habis, tinggal soalan, "Nak makan apa malam ini?" Gituew.

Apa yang penting ialah keseimbangan. Jangan sampai terlalu seronok dengan hobi sehingga pasangan dan anak-anak terasa diabaikan. Jangan juga terlalu asyik bersama rakan sehingga rumah sendiri tidak lagi menjadi keutamaan. Dalam kehidupan berumah tangga, setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab. Di situlah letaknya kematangan. Ruang untuk diri sendiri itu perlu, tetapi jangan sampai pasangan terpaksa membuat temu janji terlebih dahulu untuk berjumpa kita.

Saya juga percaya bahawa pasangan yang saling mempercayai akan lebih mudah memberi ruang antara satu sama lain. Mereka tidak mudah berprasangka hanya kerana pasangan keluar beberapa jam untuk melakukan perkara yang diminatinya. Mereka faham bahawa ruang peribadi bukan tanda kasih sayang semakin berkurang, sebaliknya satu keperluan untuk menjaga keseimbangan emosi. Orang yang sentiasa dikongkong bukan sahaja cepat letih, malah lama-kelamaan akan berasa seolah-olah tinggal di rumah yang mempunyai CCTV di setiap sudut.

Bagi saya, rumah tangga yang bahagia bukanlah rumah tangga yang suami isteri sentiasa melekat dua puluh empat jam sehari. Rumah tangga yang bahagia ialah apabila kedua-duanya tahu bila perlu bersama dan bila perlu memberi ruang. Mereka tidak saling memiliki sehingga mengongkong, tetapi saling mempercayai sehingga masing-masing berasa selesa menjadi diri sendiri. Ironinya, apabila pasangan diberikan ruang yang secukupnya, mereka selalunya akan lebih menghargai saat-saat dapat bersama. Bak kata orang, rindu itu hanya sempat singgah apabila kita sekali-sekala memberi peluang kepada pasangan untuk pergi dan pulang, bukannya mengikut ke dapur pun macam pengawal peribadi…




I-EMAS: DUIT KWSP NAK AMBIL SEKALIGUS ATAU BULAN-BULAN?

Bayangkan kita sudah bersara dan dalam KWSP masih ada simpanan RM500,000. Kita sebenarnya mempunyai pilihan. Hendak keluarkan semuanya sekaligus pun boleh, atau kita boleh memilih untuk mengambilnya secara berperingkat melalui i-Emas. Kalau keluarkan RM500,000 sekaligus, memang nampak banyak duit di tangan. Tetapi selepas itu, duit tersebut menjadi tanggungjawab kita sepenuhnya. Hendak simpan, hendak belanja, hendak labur atau hendak tatap jea,.

Tetapi kalau memilih i-Emas, contohnya mengambil RM3,000 setiap bulan, kita akan mempunyai satu aliran wang yang masuk secara berkala. Bagi saya, inilah perkara yang menarik tentang i-Emas. Ia sedikit sebanyak memberikan rasa seperti mempunyai "gaji selepas bersara". Setiap bulan ada duit masuk untuk membeli barang dapur, membayar bil, minyak kereta atau sekadar belanja minum kopi. Tidaklah setiap pagi kita bangun dan tertanya-tanya, "Bulan ini nak ambil duit berapa?"

Cuma kita kena faham satu perkara. Duit RM3,000 itu bukanlah pencen tambahan daripada kerajaan. Itu tetap duit simpanan KWSP kita sendiri. Bezanya, kita memilih untuk mengambilnya sedikit demi sedikit supaya simpanan tersebut boleh digunakan dalam tempoh yang lebih panjang. Jadi jangan pula kita fikir kerajaan tiba-tiba memberikan duit persaraan RM3,000 sebulan. Tidak begitu ceritanya. Banyak ke duit Kerajaan?. He he he.

Satu lagi perkara yang menarik ialah dividen. Selagi sebahagian simpanan kita masih berada dalam KWSP, baki tersebut boleh terus menerima dividen berdasarkan kadar dividen yang diumumkan KWSP. Sebab itu konsep i-Emas agak berbeza daripada kita mengeluarkan semua duit sekaligus dan menyimpannya sendiri di rumah atau di akaun bank. Duit yang masih berada dalam KWSP masih mempunyai peluang untuk berkembang melalui dividen.

Contohnya, kita mempunyai RM500,000. Kalau kita keluarkan semuanya, ceritanya mudah — RM500,000 keluar dan selepas itu kita menguruskannya sendiri. Tetapi kalau kita mengambilnya secara bulanan, katakan RM3,000 sebulan, masih ada baki wang yang tinggal dalam KWSP. Baki itulah yang terus berada dalam simpanan dan berpotensi menerima dividen.

Jadi konsepnya lebih kurang begini: RM500,000 tersebut jangan keluarkan semuanya, ambil sedikit demi sedikit. Baki kekal dalam KWSP dan baki berpeluang menerima dividen. Ini yang membuatkan i-Emas menarik untuk mereka yang tidak memerlukan semua wang persaraan sekaligus.

Namun begitu, kita jangan pula melihat i-Emas sebagai duit percuma atau cara untuk menambah kekayaan secara automatik. Wang itu tetap duit kita sendiri dan jumlahnya juga terhad. Yang penting ialah bagaimana kita mengurus simpanan tersebut supaya cukup untuk perjalanan persaraan yang mungkin panjang. Kalau umur 55 tahun, kita mungkin masih mempunyai 20, 25 atau 30 tahun lagi untuk menjalani kehidupan.

Pada akhirnya, bagi saya, i-Emas mengubah cara kita melihat wang KWSP selepas bersara. Kita tidak lagi melihatnya sebagai satu jumlah besar yang perlu dikeluarkan sekaligus, tetapi sebagai sumber pendapatan yang perlu digunakan dengan berhati-hati. Duit persaraan bukan sekadar untuk menikmati beberapa tahun pertama selepas bersara. Kita perlu fikir bagaimana hendak memastikan duit itu masih ada ketika usia sudah semakin lanjut.

Sebab itu bila bersara, soalan penting bukan lagi "Berapa banyak duit KWSP aku ada?" tetapi "Bagaimana duit ini hendak bertahan selama mungkin?" Haaa…gituew





 

7 KELEMAHAN KERAJAAN ANUAR IBRAHIM

 


1. Kos sara hidup masih terasa berat

Ini pada saya kelemahan yang paling mudah dirasai rakyat biasa. Pergilah ke pasar, kedai makan atau pasar raya, harga barang sudah tidak seperti dahulu. Gaji mungkin naik sedikit, tetapi kos kehidupan juga meningkat. Akhirnya rakyat tetap rasa duit tidak cukup.

Kerajaan memang memberikan pelbagai bantuan seperti STR dan SARA, tetapi bantuan dengan kos kehidupan adalah dua perkara berbeza. Kalau harga barang terus meningkat, bantuan yang diterima pun cepat habis.

Saya rasa rakyat sebenarnya boleh memahami usaha kerajaan memperbaiki kewangan negara. Tetapi mereka juga mahu merasai perubahan dalam kehidupan seharian sampai ke dapur mereka. Gaji cukup, barang tidak terlalu mahal dan setiap bulan tidak terlalu risau tentang duit. Akhirnya rakyat mahu tahu satu perkara: bila kehidupan kami hendak menjadi lebih senang?


2. Reformasi bergerak agak perlahan

Anwar Ibrahim dahulu sangat sinonim dengan perkataan reformasi. Ramai yang menyokong beliau berharap perubahan besar berlaku dalam sistem pentadbiran negara. Tetapi selepas beberapa tahun, masih ada reformasi yang belum selesai seperti pembaharuan institusi, kebebasan maklumat, pembiayaan politik dan pemisahan kuasa tertentu.

Saya faham kerajaan terdiri daripada banyak parti dan kepentingan politik perlu dipertimbangkan. Tetapi rakyat yang sudah lama menunggu reformasi tentu mahu melihat hasilnya. Mereka sudah lama mendengar tentang perubahan, jadi tidak hairanlah kalau akhirnya bertanya, “Bila lagi?” He he he.


3. Terlalu banyak kompromi politik

Kerajaan gabungan memang berdepan cabaran besar. Setiap kelompok masyarakat dan parti politik mempunyai kehendak serta agenda masing-masing. Sabah dan Sarawak pula mempunyai hak serta kepentingan tersendiri.

Apabila terlalu banyak perkara perlu dikompromikan, keputusan kerajaan kadang-kadang menjadi kurang tegas dan perubahan bergerak perlahan. Dalam politik, kompromi memang diperlukan, tetapi kerajaan juga perlu berani membuat keputusan yang jelas apabila melibatkan kepentingan negara.

Jangan sampai terlalu sibuk menjaga hati semua pihak, akhirnya rakyat sendiri tertanya-tanya “kerajaan ini sebenarnya hendak pergi ke mana?”


4. Subsidi bersasar menyebabkan rakyat rasa tertekan

Saya faham kenapa kerajaan mahu mengurangkan subsidi. Dari sudut ekonomi, subsidi sepatutnya lebih banyak membantu golongan yang benar-benar memerlukan. Tetapi bagi rakyat biasa, kesannya mungkin terus terasa.

Rakyat perlu isi minyak, bayar bil, beli barang dapur, bayar sewa dan yuran sekolah anak. Mereka tidak hidup dengan teori ekonomi. Jadi kalau subsidi bersasar dilaksanakan, kerajaan perlu menerangkan dengan jelas ke mana penjimatan itu disalurkan dan bagaimana rakyat akhirnya mendapat manfaat.

Kalau yang nampak hanya harga semakin naik dan kehidupan semakin sempit, janganlah hairan kalau rakyat mula mengeluh.


5. Hasil negara masih perlu diperkukuhkan

Kerajaan memerlukan wang untuk membina sekolah, membayar gaji guru, mengurus hospital, membina jalan raya dan membantu rakyat. Sebab itu hasil negara perlu diperkukuhkan.

Namun, jika terlalu banyak cukai dikenakan, rakyat pula terbeban. Jika hasil tidak mencukupi, kerajaan kurang ruang untuk melaksanakan program lain. Inilah dilema yang tidak mudah diselesaikan.

Pada saya, sebelum menambah cukai, kerajaan perlu menunjukkan usaha mengurangkan pembaziran dan ketirisan. Kalau rakyat nampak kerajaan berjimat dan wang negara diurus dengan baik, mereka mungkin lebih mudah menerima pengorbanan yang diperlukan.

Akhirnya rakyat mahu tahu: duit yang mereka bayar itu pergi ke mana dan apa yang mereka dapat kembali?


6. Janji reformasi menyebabkan rakyat mempunyai harapan tinggi

Anwar bukan datang sebagai Perdana Menteri biasa. Beliau datang dengan sejarah perjuangan reformasi yang panjang. Sebab itu penyokongnya mempunyai harapan yang tinggi.

Bila harapan tinggi, penilaian terhadap kerajaan juga menjadi tinggi. Apabila kerajaan melakukan sesuatu yang sama seperti kerajaan terdahulu, penyokong reformasi mungkin bertanya, “Bukankah dahulu kita mahukan perubahan?”

Cabaran Anwar bukan sekadar mentadbir negara, tetapi memenuhi harapan mereka yang selama ini percaya kepada perjuangannya. Rakyat bukan sekadar mahu mendengar cerita tentang perjuangan dahulu, tetapi mahu melihat perjuangan itu terasa dalam kehidupan hari ini.


7. Kerajaan perlu lebih pandai menjelaskan apa yang dibuat

Pada saya, ini antara kelemahan penting. Kerajaan banyak melakukan sesuatu, tetapi rakyat biasa kadang-kadang tidak memahami apa sebenarnya yang dilakukan.

Istilah seperti subsidi bersasar, reformasi fiskal dan konsolidasi fiskal mungkin mudah difahami oleh mereka yang mengikuti ekonomi. Tetapi bagi orang kampung yang cuma mahu tahu harga ikan, ayam, beras dan minyak, istilah tersebut mungkin tidak banyak maknanya.

Kerajaan perlu bercakap dalam bahasa rakyat. Jangan hanya kata defisit negara berkurang, tetapi terangkan apa maknanya kepada kehidupan rakyat. Jangan hanya kata subsidi disasarkan, tetapi jelaskan berapa banyak wang dijimatkan dan digunakan untuk apa.

Rakyat sebenarnya mahu tahu satu perkara mudah: “Apa semua ini akan beri kepada kehidupan saya?”


Kesimpulan

Saya tidak menulis semua ini kerana membenci kerajaan Anwar Ibrahim. Tidak. Saya cuma fikir kerajaan perlu dikritik. Kerajaan yang kuat bukan kerajaan yang semua orang puji, tetapi kerajaan yang mampu menerima kritikan dan memperbaiki kelemahannya.

Saya tidak berharap semua masalah Malaysia selesai dalam beberapa tahun. Masalah negara sudah lama terkumpul — hutang, subsidi, birokrasi, politik kaum, pendidikan, kesihatan, gaji dan kos sara hidup. Tidak mungkin semuanya selesai dalam satu penggal.

Tetapi rakyat mahu melihat arah yang jelas. Mereka mahu hidup lebih baik, anak-anak mendapat pendidikan yang baik, gaji sesuai dengan kos kehidupan, kerajaan yang bersih dan, paling penting, mereka mahu kembali percaya kepada kerajaan.

Kalau kerajaan dapat memberikan semua itu sedikit demi sedikit, saya rasa rakyat boleh bersabar. Sebab rakyat Malaysia sebenarnya tidak meminta banyak pun.

Jangan susahkan kami. Itu sahaja. He he he.


Friday, September 18, 2026

JANGAN BERSARA DARIPADA KEHIDUPAN

Bila disebut sahaja tentang persaraan, ramai terus terbayang kehidupan yang mula perlahan. Tidak lagi bekerja, tiada lagi gaji bulanan dan lebih banyak masa di rumah. Ada yang seronok kerana akhirnya boleh berehat, ada yang risau tentang kewangan, dan ada juga yang mula tertanya-tanya, “Lepas ni aku nak buat apa? Hari-hari duduk rumah?” Sebenarnya, cara kita melihat persaraan perlu diubah. Jangan bersara daripada kehidupan. Bersaralah daripada pekerjaan.

Selama puluhan tahun kita bekerja, mengejar kerjaya, mengurus keluarga dan memenuhi pelbagai tanggungjawab. Bangun pagi kerana perlu ke pejabat, balik petang kerana hari kerja sudah selesai. Rutin itu kita lalui bertahun-tahun sehingga pekerjaan menjadi sebahagian besar daripada kehidupan. Jadi apabila tiba masa bersara, perubahan itu memang terasa. Tetapi jangan anggap apabila kita meninggalkan pejabat, kehidupan kita juga perlu berhenti. Yang berakhir ialah pekerjaan, bukannya kehidupan.

Sebenarnya, persaraan memberikan kita sesuatu yang selama ini sangat berharga iaitu masa. Inilah masa untuk melakukan perkara yang dahulu sering kita tangguhkan. Hendak melancong, pergilah. Hendak berkebun, berkebunlah. Hendak membaca buku, memancing, bersenam atau duduk minum kopi sampai tengah hari pun boleh. Tidak perlu lagi terlalu terikat dengan jadual kerja. Setelah bertahun-tahun hidup mengikut waktu pejabat, bolehlah kita menikmati sedikit kebebasan.

Persaraan juga bukan bermaksud kita sudah tidak berguna. Pengalaman, ilmu dan kemahiran yang dikumpulkan selama puluhan tahun masih mempunyai nilai. Kalau mahu berkongsi ilmu, kongsilah. Kalau mahu membantu anak-anak muda, bantulah. Kalau mahu aktif dalam masyarakat atau melakukan kerja sambilan, teruskan. Cuma satu perkara, jangan semua benda kita hendak tegur. 😄 Orang muda ada cara mereka sendiri. Kita ada pengalaman, tetapi pengalaman bukan lesen untuk membebel 24 jam. Kadang-kadang lebih baik kita melihat, memahami dan tersenyum.

Sebab itu, persediaan persaraan bukan sekadar tentang duit. Kita memang perlu mempunyai perancangan kewangan, tetapi kita juga perlu bersedia dari segi mental, emosi, kesihatan dan cara mengisi masa. Kalau duit cukup tetapi setiap pagi kita hanya termenung di depan televisyen, menunggu cerita lama yang sudah tiga kali kita tonton, itu pun belum tentu menyeronokkan. Kita perlu ada aktiviti, kawan-kawan, minat dan sesuatu yang membuat kita rasa hari esok masih ada maknanya.

Apabila bersara nanti, jangan pula terlalu memikirkan apa yang sudah hilang. Jangan terlalu merindui pejabat, mesyuarat, kesibukan kerja atau rutin lama. Lihatlah apa yang kita masih ada. Kita ada masa untuk keluarga, masa untuk diri sendiri dan peluang untuk melakukan perkara yang selama ini tidak sempat dibuat. Mungkin selama ini kita terlalu sibuk mencari rezeki sehingga terlupa menikmati kehidupan. Persaraan mungkin menjadi peluang untuk kita memperlahankan langkah dan menikmati perkara-perkara kecil yang dahulu sering kita terlepas pandang.

Jadi, jangan bersara daripada kehidupan. Bersaralah daripada pejabat, daripada mengejar KPI, daripada mesyuarat dan daripada kesibukan kerja. Tetapi jangan bersara daripada berkawan, belajar, menjaga kesihatan, mencuba perkara baharu dan mencari kegembiraan. Persaraan bukan noktah dan bukan penghujung cerita. Ia cuma bab baharu dalam kehidupan — mungkin lebih perlahan, lebih sederhana dan lebih banyak masa untuk diri sendiri. Dan kalau pandai membawa diri, mungkin bab inilah yang paling banyak memberi kita peluang untuk tersenyum dan ketawa. 😄




10 PERKARA YANG SAYA BELAJAR DARIPADA PERSAHABATAN




1. Tidak Semua Kawan Akan Kekal

Saya belajar bahawa tidak semua orang yang masuk dalam hidup kita akan kekal sampai akhir. Ada kawan yang hanya bersama kita untuk satu fasa kehidupan. Bila masing-masing membawa haluan sendiri, hubungan pun perlahan-lahan berubah. Dahulu selalu berjumpa, akhirnya setahun sekali pun belum tentu.

2. Kawan Tidak Semestinya Perlu Selalu Berjumpa

Persahabatan yang baik tidak semestinya memerlukan kita berjumpa setiap minggu atau setiap bulan. Ada kawan yang sudah bertahun-tahun tidak saya jumpa, tetapi apabila bertemu semula, rasanya seperti baru semalam berpisah. Tidak kekok. Tidak perlu banyak cerita. Sambung sahaja seperti biasa.

3. Jangan Paksa Orang Untuk Kekal

Saya belajar untuk tidak memaksa seseorang supaya terus menjadi kawan kita. Kalau dia mahu pergi, biarkan. Kita tidak boleh memegang orang terlalu kuat. Kadang-kadang semakin kita paksa, semakin hubungan itu menjadi tidak menyenangkan. Persahabatan sepatutnya berlaku kerana kedua-dua pihak mahu berada dalam hubungan itu.

4. Kawan Yang Baik Tidak Semestinya Yang Selalu Setuju

Dahulu saya mungkin fikir kawan yang baik ialah kawan yang menyokong apa sahaja yang kita buat. Sekarang saya fikir sebaliknya. Kadang-kadang kawan yang baik ialah orang yang berani mengatakan kita salah. Dia mungkin tidak sedap didengar pada masa itu, tetapi niatnya bukan untuk menjatuhkan kita.

5. Jangan Terlalu Banyak Berharap

Saya belajar jangan terlalu banyak berharap kepada kawan. Bukan kerana kawan itu tidak baik, tetapi kerana setiap orang mempunyai kehidupan, masalah dan keutamaan sendiri. Kalau kita terlalu berharap seseorang akan sentiasa ada untuk kita, kita sendiri yang mungkin kecewa.

6. Ada Kawan Untuk Bersenang-Senang, Ada Kawan Untuk Berkongsi Susah

Tidak semua kawan mempunyai peranan yang sama dalam hidup kita. Ada kawan yang kita jumpa untuk makan, minum kopi dan ketawa. Ada pula kawan yang kita cari apabila hati sedang berat. Kedua-duanya tetap kawan, cuma hubungan dan tempatnya dalam hidup kita berbeza.

7. Persahabatan Tidak Perlu Sempurna

Saya belajar bahawa dalam persahabatan, akan ada salah faham, terasa hati, perbezaan pendapat dan kadang-kadang bergaduh. Itu perkara biasa. Kita semua manusia. Yang penting bukan tidak pernah bergaduh, tetapi masih ada rasa hormat dan keinginan untuk memperbaiki hubungan.

8. Semakin Berusia, Semakin Kita Menghargai Kawan Lama

Bila usia semakin bertambah, saya mula menghargai kawan-kawan lama dengan cara yang berbeza. Mungkin dahulu saya anggap biasa sahaja apabila dapat berjumpa mereka. Sekarang, satu pertemuan pun terasa berharga. Kita sedar masa berjalan dan tidak semua orang yang pernah bersama kita dahulu masih ada dalam hidup kita hari ini.

9. Kenangan Lebih Berharga Daripada Kekerapan Berjumpa

Saya belajar bahawa yang membuat persahabatan itu bermakna bukan berapa kerap kita berjumpa, tetapi kenangan yang kita bina bersama. Kadang-kadang hanya satu malam makan bersama, satu perjalanan atau satu perbualan yang tidak seberapa pun boleh kita ingat bertahun-tahun kemudian.

10. Kita Juga Perlu Belajar Menjadi Kawan Yang Baik

Akhir sekali, saya belajar bahawa kita tidak boleh hanya mencari kawan yang baik. Kita sendiri perlu menjadi kawan yang baik. Jangan hanya mengharapkan orang memahami kita sedangkan kita tidak pernah cuba memahami orang lain. Jangan hanya mahu kawan mengingati kita ketika susah, sedangkan kita pula hilang ketika mereka memerlukan kita.

Kesimpulan

Selepas melalui pelbagai persahabatan dalam hidup, saya semakin sedar bahawa kita sebenarnya tidak memerlukan terlalu ramai kawan. Cukuplah beberapa orang yang ikhlas, yang boleh menerima kita seadanya dan yang masih boleh duduk bersama kita walaupun sudah lama tidak berjumpa.

Ada kawan yang datang sekejap, ada yang tinggal lama. Ada yang akhirnya menjadi kenangan, ada yang masih duduk di sebelah kita sampai hari ini. Semuanya mengajar sesuatu.

Persahabatan mengajar saya bahawa kawan bukan tentang berapa lama seseorang berada dalam hidup kita, tetapi tentang apa yang kita pelajari, apa yang kita lalui dan kenangan apa yang ditinggalkannya.

Gituew.



Pautan:

httpsplot-twist-persahabatan-di-tahun-akhir


BILA BERSARA, TIDAK SEMUA KAWAN KITA RINDUI

Dunia pekerjaan juga dipenuhi dengan pelbagai ragam manusia. Jadi, mustahil untuk kita menjadikan semua orang sebagai sahabat. Ada yang sekadar menjadi kawan, ada yang hanya menjadi rakan sekerja. Tidak lebih daripada itu.

Bertahun-tahun bekerja bersama, sedikit sebanyak kita akan mengenali sifat dan sikap mereka. Dari situ, secara semula jadi kita akan lebih cenderung kepada orang yang kita senangi. Bukan kerana kita sengaja memilih atau meminggirkan sesiapa, tetapi kerana manusia memang begitu. Kita akan rasa lebih selesa dengan mereka yang mempunyai sifat dan sikap yang serasi dengan kita.

Sebab itu apabila tiba masa bersara, tidak semua kawan akan kita rindui. Tidak semua nama yang pernah ada dalam rutin harian akan terus kekal di hati. Ada yang kita masih berhubung, ada yang sesekali bertanya khabar, dan ada juga yang akhirnya hilang begitu sahaja daripada kehidupan kita.

Itu bukan sesuatu yang pelik. Itulah lumrah sebuah perjalanan hidup.

Yang penting, sepanjang kita bekerja, kita pernah berkongsi cerita, pengalaman, susah dan senang. Ada yang meninggalkan kenangan manis, ada yang mengajar kita tentang kehidupan, dan ada juga yang membuat kita lebih memahami perangai manusia.

Apabila bersara nanti, mungkin kita akan sedar bahawa yang benar-benar kita rindui bukanlah semua orang yang pernah bekerja bersama kita, tetapi beberapa insan yang benar-benar dekat di hati.

Begitulah hidup. Tidak semua yang pernah bersama kita akan kekal bersama kita. Dan tidak semua yang pergi perlu kita rindui.



Plot Twist Persahabatan di Tahun Akhir

Semasa saya belajar di universiti, saya mempunyai seorang kawan yang saya anggap sahabat. Kami belajar bersama-sama, menghadapi kesusahan bersama-sama dan saling membantu ketika susah dan senang. Sejak tahun pertama lagi kami berkawan rapat. Saya memilihnya kerana dia pandai matematik.

Banyak kenangan kami bina bersama, sehingga saya menyangka persahabatan itu akan kekal kukuh sampai bila-bila. Sampai kami keluar U. Namun, apabila masuk final year, berlaku satu kejadian yang membuatkan saya mula mendefinasikan semula erti persahabatan tersebut.  

Pada mulanya saya sendiri tidak tahu apa puncanya. Dia tiba-tiba menjauhkan diri daripada saya secara drastik. Saya tertanya-tanya apa kesalahan saya sehingga layanan berubah begitu mendadak. Jujurnya, saya agak terseksa juga memikirkannya. Tahun akhir sangat mencabar kerana saya sedang menyiapkan Thesis saya. Saya terpaksa berulang alik ke kementerian yang pada masa itu terletak di Damansara.

Berbulan-bulan dia menghindari saya, seolah menatap muka saya pun tidak mahu. Akhirnya saya berputus asa dan memilih untuk menerima takdir. Saya fikir, kalau orang sudah tidak mahu berkawan dengan kita, apakan daya? Kita tidak boleh memaksa hati. Lagipun saya sudah mahir matematik. Dalam beberapa paper selepasnya saya dapat gred yang lebih baik, di mana saya rasa dia rasa tercabar kerana dialah yang mengajar saya.

Nak dijadikan cerita pada suatu hari, saya bertandang ke asrama dan masuk ke bilik kawan saya yang juga kawan kepada kawan saya (yang menghindari saya tersebut). Sebaik sahaja saya duduk, dia terus memarahi saya. Dia memberitahu bahawa dia tidak menyangka saya yang selama ini kelihatan baik dan budiman sebenarnya seorang yang berhati kejam dan tidak bertimbang rasa. Saya benar-benar terkejut kerana langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku. Saya baru nak duduk.

Rupa-rupanya kawan saya yang menghindari saya tersebut datang ke biliknya sambil menangis dan ceritakan saya merampas kekasihnya. Dalam hati saya terfikir, “Bila masa pula aku masuk pertandingan rebut kekasih ini?” Saya beritahu saya tidak pernah merampas sesiapa, sumpah. Saya masuk universiti memang untuk belajar, bukannya untuk mengorat orang. Malah, kalau ada yang cuba mendekati saya pun, saya tolak secara baik. 

Daripada kejadian itu, barulah saya faham bahawa sebenarnya dia cemburu kerana saya berkawan dengan seseorang yang dia anggap istimewa. Saya rasa dia GBSS (Gila Bayang syok Sendiri). Saya memang rapat dengan perempuan yang dia minat tersebut. Tetapi tidaklah sampai nak berkasih sayang. Mungkin kawan saya cemburu kerana saya ada rupa...manakalah dia bukanlah tak ada rupa. Dia ada rupa, tetapi tak seberapa.

Perkara itu amat mengecewakan kerana selepas bertahun-tahun berkawan, hanya kerana rasa cemburu, persahabatan yang dibina dia ketepikan begitu sahaja. Bagi saya, kalau seseorang itu benar-benar sahabat, sepatutnya ada kepercayaan dan ruang untuk bertanya sebelum membuat kesimpulan. Jangan terus menjatuhkan hukuman hanya berdasarkan sangkaan. 

Saya ada perinsip hidup. Saya tak usik kebahagian orang. Usahkan isteri orang, tunangan orang ke, kekasih orang pun saya tidak mahu. Semasa tahun dua pengajian, saya ada beri laluan mudah untuk kawan saya, saya tarik diri. Bila saya dapati kawan saya minat, terus saya bagi laluan kepada kawan saya. Ini kerana di asrama dia beritahu tak pernah ada orang nak ke dia. Saya kesian pula mendengarnya Sebab tiada orang mahu ke dia, dia nampak sedih dan tension. Saya kalau tak ada orang nak ke saya, saya steady sahaja... tapi selalunya, ada. He he he.

Walaupun selepas itu kawan saya bersalam dan meminta maaf kepada saya macam scene drama swasta, saya tetap terkilang. Saya terima permintaan maafnya kerana saya tidak mahu menyimpan dendam, tetapi kejadian itu telah mengubah cara saya melihat persahabatannya. Saya sedar bahawa tidak semua persahabatan yang kelihatan rapat sebenarnya mempunyai asas kepercayaan yang kukuh. 

Bagi saya, jika saya mempunyai kekasih dan sahabat baik saya menyukainya, saya lebih rela melepaskannya jika itu benar-benar membuatkan sahabat saya itu bahagia. Bukan kerana saya tidak menghargai cinta, tetapi persahabatan juga mempunyai nilai yang besar. Cinta kadang-kadang datang dan pergi, tetapi sahabat yang benar-benar ikhlas boleh menjadi tempat kita bersandar ketika hidup sedang susah sepanjang hayat. Percayalah. Lagipun, persahabatan tidak perlu disertai drama cemburu, perebutan atau “plot twist” seperti dalam drama pukul tujuh. Emak saya suka lihat, saya peneman sahaja.

Saya memang memaafkan dia, tetapi saya tidak melupakan pengajaran daripada peristiwa tersebut. Saya belajar bahawa kepercayaan merupakan asas paling penting dalam sebuah persahabatan. Jangan terlalu cepat membuat tuduhan hanya kerana cemburu, dan jangan menilai seseorang berdasarkan sangkaan tanpa mendengar penjelasannya terlebih dahulu. 

Saya juga belajar bahawa memaafkan seseorang tidak bermaksud kita perlu kembali menjadi seperti dahulu. Kita boleh memaafkan, tetapi pada masa yang sama belajar menjaga batas dan lebih berhati-hati. Dalam hidup ini, ada orang hadir untuk menemani kita bertahun-tahun, dan ada pula yang hadir untuk mengajar kita sesuatu yang akan kita ingat seumur hidup. Kawan saya itu mungkin tidak lagi menjadi sahabat seperti dahulu, tetapi pengalaman tersebut tetap menjadi salah satu pelajaran paling berharga yang saya bawa hingga hari ini.

Walaupun dia tidak lagi menjadi sahabat seperti dahulu, pengalaman tersebut tetap menjadi salah satu pelajaran paling berharga yang saya bawa hingga hari ini.







Tuesday, September 15, 2026

Siri Bintang Pujaan: Sharifah Aini (2014)

 



Saya antara peminat Sharifah Aini, maka apabila CD ini dikeluarkan, saya terus beli tanpa berfikir panjang. Semua lagu Best!

Ia bukan sekadar mengulang lagu hit terbesar, tetapi turut memasukkan lagu bahasa Inggeris seperti Woman in Love, Forever and Ever, One Way Ticket, Angel of the Morning dan With You I'm Born Again

Di era penstriman pun beberapa lagu masih mendapat pendengaran yang ketara. Contohnya, Spotify menunjukkan Kenang Daku Dalam Doamu daripada album ini dengan lebih 138,000 pendengaran, manakala Dekatlah Padaku melebihi 50,000. Rujuk di bawah:




ADAKAH UMUR 60 ADALAH UMUR PALING SESUAI UNTUK KITA BERSARA?

 


Tidak semestinya. Umur 60 bukanlah angka keramat yang apabila sampai sahaja, terus kita kena gantung kasut kerja. Ada orang umur 55 sudah bersedia, ada yang umur 60 masih gagah bekerja dan ada pula umur 65 baru rasa, “Aku masih kuat lagi rupanya.” Setiap orang ada cerita dan perjalanan hidup masing-masing.

Yang lebih penting bukan soal “bila hendak bersara?”, tetapi “sudah bersediakah kita untuk bersara?” Duit ada, kesihatan baik, hutang terkawal dan sudah tahu hendak buat apa selepas bersara...itu lebih penting. Kalau setiap pagi sudah tidak perlu mengejar punch card, mungkin itulah nikmat yang selama ini kita tunggu.

Tetapi ada juga yang bersara kerana umur sudah sampai, sedangkan komitmen masih banyak. Anak belum habis belajar, hutang rumah masih ada, kereta masih minta ansuran dan bil pula datang setiap bulan macam tidak kenal perkataan pencen. Dalam keadaan begini, persaraan mungkin terasa lebih menakutkan daripada seronok. Gituew.

Yang lucunya, ada orang begitu teruja hendak bersara. Katanya, “Nanti dah pencen, bolehlah rehat.” Bila sudah sebulan di rumah, mula rasa sunyi. Televisyen sudah habis ditonton, pokok sudah habis disiram...

Jadi, jangan terlalu mengejar umur 60 sebagai titik wajib untuk bersara. Bersaralah apabila kita benar-benar bersedia dari segi kewangan, kesihatan dan emosi. Sedih memang ada kerana kita meninggalkan rutin dan kawan-kawan yang sudah menemani puluhan tahun. Tetapi hidup mesti diteruskan. 

Umur hanyalah angka; yang penting, selepas bersara kita masih ada sebab untuk bangun setiap pagi dengan senyuman.

Gituew



Pautan:

2- 3-tahun-lagi-nak-bersara-gembira-takut

Monday, September 14, 2026

2–3 TAHUN LAGI NAK BERSARA: GEMBIRA, TAKUT DAN SEDIH SEMUA ADA


Bila umur persaraan tinggal dua tiga tahun, perasaan sebenarnya bercampur-campur. Ada masa kita rasa seronok kerana akhirnya boleh bangun pagi tanpa tergesa-gesa ke tempat kerja. Tetapi dalam masa yang sama, ada rasa takut. Selama puluhan tahun hidup kita ada jadual, kerja dan gaji setiap bulan. Tiba-tiba semua itu akan berhenti. Kita mula tertanya-tanya, selepas bersara nanti, kita ini masih penting lagi atau tidak?

Bila Rutin Kerja Yang Puluhan Tahun Akan Berakhir

Yang paling terasa mungkin perubahan rutin. Selama ini Isnin sampai Jumaat ada tujuan. Bangun, mandi, sarapan, pergi kerja, jumpa kawan dan balik petang. Kadang-kadang kita mengeluh kerana kerja terlalu banyak, tetapi apabila hendak berhenti, kita sedar rutin itulah yang selama ini mengisi hidup. Selepas bersara, Isnin mungkin sama sahaja dengan Ahad. Pada awalnya rasa macam bercuti panjang. Sebulan dua memang seronok. Lepas itu mungkin mula tengok jam dan bertanya, “Hari ini aku nak buat apa?” Kita juga mula sedih memikirkan rakan-rakan sekerja yang selama ini ditemui hampir setiap hari. Ketika ada, kita bising tentang mesyuarat dan kerja bertimbun. Bila sudah tiada, kita pula yang rindu.

Soalan Paling Besar: Cukupkah Duit?



Kemudian datang soalan yang lebih berat iaitu cukupkah duit untuk hidup selepas bersara? Selama bekerja, gaji masuk setiap bulan. Selepas bersara, pendapatan mungkin berkurangan, tetapi bil elektrik tidak pula bersara bersama kita. Harga barang pun tidak pernah bertanya, “Pak cik sudah pencen ke?” Sebab itu dua tiga tahun sebelum bersara adalah masa penting untuk melihat semula simpanan, hutang dan gaya hidup. Dalam masa yang sama, kesihatan juga perlu dijaga. Jangan sampai duit ada, masa ada, tetapi lutut pula kata, “Kita bincang lain kali.”

 Akhirnya Ada Masa Untuk Diri Sendiri

Namun begitu, persaraan juga boleh menjadi permulaan yang menyeronokkan. Ramai yang mahu berkebun, berjalan, memancing, membaca, menjaga cucu atau sekadar minum kopi dengan kawan tanpa perlu tengok jam. Selama bekerja, kita selalu kata tidak cukup masa. Mungkin persaraan memberikan peluang melakukan perkara yang selama ini tertangguh. Cuma jangan semua rancangan akhirnya menjadi, “Esoklah mula.” Esok itu kadang-kadang sudah lima tahun.

 Bersara Bukan Bermaksud Hidup Sudah Selesai

Mungkin itulah perasaan orang yang dua tiga tahun lagi akan bersara, rasa gembira ada, takut pun ada, sedih pun ada, teruja pun ada. Mereka sedang berdiri antara dua kehidupan: kerja yang sudah dikenali puluhan tahun dan kehidupan baharu yang masih belum pasti. Jadi, jangan hanya kira berapa hari lagi hendak meninggalkan pejabat. Bersedialah dari segi kewangan, kesihatan, keluarga dan emosi. Bersara bukan bermaksud hidup sudah selesai. Ia cuma bermaksud kita akhirnya mempunyai lebih banyak masa untuk hidup dengan cara yang kita pilih.

Saya berharap sangat, hidup akan tenang-tenang sahaja.


 Pautan lain: Umur 60 dah tak ada kerja     kenapa-masih-lagi-hendak kerja

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home