Saya percaya kalau dibuat satu kajian ke atas penduduk di muka bumi ini dan ditanya, “Apakah yang paling anda mahu dalam hidup?”, jawapan pertama majoritinya mungkin mahu jadi kaya.
Itu saya boleh faham. Duit boleh beli macam-macam benda, walaupun belum tentu boleh beli ketenangan.
Tetapi saya rasa jawapan kedua yang ramai orang mahu ialah mahu jadi menarik.
Saya tidak mahu kupas bab mahu jadi kaya kerana itu cerita lain. Saya lebih berminat hendak tengok satu perangai manusia yang memang suka dirinya kelihatan menarik di mata orang lain.
Kawan Saya Kata Saya Tidak Menarik
Saya pernah `dibaca' oleh seorang kawan yang merupakan seorang psikologi. Cuma kelakarnya, rumah tangganya sendiri hancur-lebur, tetapi masih kononnya pandai membaca orang. He he he.
Katanya, saya mempunyai perwatakan yang sederhana. Kalau orang melihat saya sekali lalu, katanya tidak ada apa-apa yang membuat orang terus tertarik kepada saya.
Cara saya berjalan biasa-biasa sahaja. Cara bercakap pun biasa-biasa. Pendek kata, saya bukan jenis manusia yang masuk sahaja ke dalam bilik, semua orang terus berhenti bercakap dan menoleh.
Walaupun agak kejam, saya setuju dengan analisisnya itu.
Cuma saya rasa saya masih lebih menarik daripada dia. Saya lebih pandai berkomunikasi, boleh buat kek buah dan boleh menulis. Jadi ada juga saham saya. He he he.
Saya Memang Tidak Handsum, Itu Saya Akui
Kalau bercakap tentang fizikal pula, saya memang tidak boleh hendak berbohong kepada diri sendiri.
Saya tidak tinggi dan agak gemuk pula. Pada wajah saya, hanya kening yang saya rasa menarik. Kening saya cantik dan saya rasa mengikut piawai kecantikan antarabangsa.
Tetapi hidung saya pesek dan bulat. Mulut pula agak kembang. Gigi pun sedikit tertonjol.
Jadi dengan bahasa yang paling mudah, saya memang tidak handsum. He he he.
Tetapi selepas umur 50, saya rasa perkara seperti ini sudah tidak perlu sangat hendak dirisaukan. Kena risau duit KWSP cukup ke nak bersara. Atau masuk neraka kah aku? Haaa...
Dulu mungkin kita berdiri depan cermin dan cari apa yang tidak kena. Sekarang berdiri depan cermin pun kadang-kadang kita cuma hendak pastikan rambut masih ada.
Saya Tidak Pernah Belajar Jadi Orang Lain
Yang menariknya, walaupun saya sedar diri saya tidaklah menarik mana, saya tidak pernah pula cuba belajar berjalan dengan gaya tertentu, belajar bercakap dengan suara yang kononnya memikat, atau mengawal tingkah laku supaya nampak hebat di depan orang.
Saya... sayalah.
Kalau orang suka, alhamdulillah. Kalau orang tidak suka, itu pun saya tidak boleh buat apa.
Saya tidak pernah rasa perlu mencipta satu watak semata-mata supaya orang lain tertarik kepada saya. Mungkin sebab itu saya kekal menjadi manusia biasa-biasa. Yang penting saya selesa menjadi diri sendiri. Gituew.
Mahu Jadi Menarik Bermakna Kita Tahu Kita Tidak Menarik?
Saya terfikir juga, kalau seseorang itu benar-benar mahu menjadi menarik/cantik, bukankah secara tidak langsung dia mengakui bahawa dirinya sekarang tidak cukup menarik?
Kita ketepikan dahulu sebab-sebab lain seperti mahu dipuji, mahu disanjung, mahu mendapatkan perhatian atau mahu memikat seseorang. Itu cerita lain.
Tetapi keinginan untuk menjadi menarik memang ada dalam diri manusia. Apabila seseorang sedar dirinya kurang menarik, pertama dia boleh memilih untuk melakukan sesuatu mengenainya. Atau kedua dia boleh memilih untuk tidak buat apa-apa.
Saya lebih cenderung kepada pilihan kedua. He he he.
Sesekali saya mahu nampak kemas, itu bolehlah. Tetapi kalau hendak jadi terlalu `stailo', selisih malaikat 44.
Kalau Mahu Nampak Menarik, Itu Hak Masing-Masing
Walaupun saya sendiri tidak begitu berminat untuk mengejar rupa dan penampilan, saya tetap kagum dan setuju kalau seseorang mahu dirinya kelihatan menarik. Itu suatu yang positif. Pasal keperluan...ia soalan lain.
Itu hak masing-masing.
Tidak ada salahnya mahu berpakaian cantik, menjaga badan, belajar bercakap dengan baik atau cuba memperbaiki cara kita membawa diri. Kadang-kadang keinginan untuk kelihatan menarik juga boleh menjadi satu bentuk motivasi.Walaupun selepas semua usaha dibuat, belum tentu kita menjadi menarik sangat. He he he.
Tetapi sekurang-kurangnya kita rasa lebih yakin dan lebih selesa dengan diri sendiri. Itu pun sudah cukup baik.
Jadi, Bagaimana Hendak Jadi Menarik?
Saya rasa soalan yang berlegar sekarang ialah, “Bagaimana mahu jadi menarik?”
Jawapannya mungkin bukan sekadar tentang muka, badan, pakaian atau cara berjalan.
Ada orang mukanya bias -biasa sahaja (empat sepuluh) tetapi apabila bercakap, kita suka mendengarnya. Ada orang tidak begitu cantik atau handsome, tetapi kehadirannya membuat orang rasa selesa.
Ada pula yang cantik bukan main, tetapi baru lima minit bercakap kita sudah mencari alasan hendak balik. He he he. Pernah terjadi pada saya, bila kawan saya suruh saya keluar dengan suami dia.
Jadi selepas umur 50 ini, saya semakin percaya bahawa menjadi menarik bukan semestinya bermaksud orang lain terpaku melihat kita. Kadang-kadang cukup sekadar kita menjadi manusia yang menyenangkan untuk berada di sekelilingnya.
Orang tidak semestinya ingat apa yang kita pakai, rupa kita macam mana atau rambut kita disikat ke kiri atau ke kanan.
Tetapi orang mungkin ingat bagaimana perasaan mereka ketika bersama kita.
Adakah mereka rasa dihargai?
Adakah mereka rasa selesa?
Adakah mereka boleh menjadi diri sendiri apabila bercakap dengan kita?
Kalau ya, mungkin kita sebenarnya sudah cukup menarik.
Dan kalau itu pun tidak berjaya, tidak mengapa.
Kita tetap kita.
Umur dah 50, bukan masa lagi hendak berlakon jadi orang lain.
He he he.
No comments:
Post a Comment