Saya mula mengumpul pinggan mangkuk lama bukan sebab nak ikut trend, jauh sekali sebab nak kejar nilai pasaran. Saya mula sebab hati saya ketika itu tengah tak tentu arah. Saya perlukan sesuatu untuk berpaut, untuk saya rasa masih ada ‘pegangan’ waktu jiwa tengah berserabut. Maka lahirlah projek yang saya namakan: JPBLD. Nama penuh dia? Jangan Pandang Belakang Lupakan Dia. Pelik kan? Tapi memang itulah misi utamanya nak bagi hati ni `move on' sikit demi sikit.
Dan dalam misi menyusun semula perasaan tu, saya temui ‘peneman’ yang tak dijangka iaitu pinggan mangkuk lama (PML). Sekali dapat satu, rasa nak cari lagi. Dari sekadar suka-suka, lama-lama jadi ketagih. Almari pun makin lama makin penuh, macam hati yang mula rasa terisi semula...(tetapi tidak sepenuhnya).
Saya ada beberapa koleksi yang cukup saya sayang koleksi bunga kangkung, bunga kekwa, bunga padi…
Tapi antara koleksi yang saya rasa anggun lain macam ialah Pyrex Autumn Glory. Ini koleksi kedua paling banyak saya ada, selepas koleksi Chelsea. Koleksi ni dah wujud sebelum saya lahir lagi, sekitar tahun 1960-an. Coraknya berupa daun perang, jingga, dan keemasan. Sekali pandang terus rasa macam duduk tengah musim luruh (walaupun hakikatnya kita kat Malaysia ni ada dua musim je, panas dengan hujan). Bila pegang pinggan Autumn Glory ni, rasa tenang tu sampai juga.
Warna asas dia putih atau krim, cukup dengan sentuhan retro yang saya cari. Dan setiap kali saya pegang mangkuk tu, saya bayangkan dapur zaman 60-an. Bunyi sudip kayu hentak kuali, tukang masak yang berkemban pakai batik Terengganu, dan bau masakan yang semerbak sampai jiran sebelah pun tergoda. Serius, semua tu hidup balik dalam kepala saya, seolah-olah saya pinjam sekejap satu babak zaman dulu... zaman 'Antara dua darjat'.
Seperti saya kata tadi, mengumpul PML ni bukan pasal koleksi semata-mata. Ia terapi. Penawar untuk ketabahan dan keredhoaan. Setiap bunga pada pinggan, setiap calar dan kesan masa, semua macam berkata:
"Sukiman boleh diguna, Sukiman pernah berguna, dan Sukiman… pernah dipergunakan."
Pedih? Ya. Tapi dalam pedih tu, saya belajar berdiri balik. Redho.
Projek JPBLD mungkin belum 100% berjaya, ‘dia’ masih ada dalam sudut ingatan. Tapi yang pasti, saya dah berjaya penuhkan tiga almari besar dengan PML. Dan itu dah cukup untuk saya rasa ' aku masih ada sesuatu yang indah untuk dikumpul, walau yang satu tu tak dapat dikekalkan..."
Semoga dia berbahagia...


No comments:
Post a Comment