Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Monday, May 26, 2025

“Antara Kereta Lama dan Kereta Baru”

      Antara Kereta Lama dan Kereta Baru”

  29 November 2011

 

“"Dalam dunia penuh pilihan, kadangkala yang terbaik adalah yang sudah lama di sisi."”

             

Saya rasa saya sangat bertuah. Ya, bertuah kerana berjaya menyekat nafsu liar saya... nafsu berkereta. Nafsu ini bukan calang-calang. Ia halus dan licik. Selama bertahun memandu Sisijay, Myvi putih kesayangan saya, tipulah kalau saya kata saya tak pernah terbayang memandu kereta lain yang lebih selesa, lebih bergaya, dan lebih “macam orang berjaya”.

Tapi alhamdulillah, saya cepat tarik handbrake angan-angan tersebut. Saya berpijak di bumi nyata. Kadang-kadang berpijak dengan sebelah kaki pun cukup, janji tak melayang ke awan. Sisijay tetap gagah membawa saya ke hulu ke hilir, tak pernah merungut, tak pernah merajuk (kecuali bila penyaman udara buat perangai).

Tipulah juga kalau saya kata tak pernah terdetik rasa nak ada kereta baru. Sama juga macam lelaki berkahwin yang bersumpah tak pernah terlintas nak berpoligami, tipu tu! Bukan sebab niat jahat, tapi kerana lumrah manusia: suka benda baru. Mata suka tengok, hati mula terusik. Walaupun tak buat, lintasan itu tetap muncul. Takut bini itu pasti. Tapi nafsu? Licik sungguh dia merayap.

Saya teringat satu hari, ketika masih bergelar guru, saya duduk minum di bilik guru dengan Cikgu Amira. Guru cantik, kurus, berpelajaran tinggi, masakan sedap, pendek kata pakej lengkap. Tapi sayangnya… suaminya kahwin lain.

Saya tanya dia, “Kenapa dia nak ke perempuan lain? Apa kurangnya akak?”

Waktu itu saya jujur bertanya. Tak sangka soalan saya membuka luka lama yang dah 12 tahun berlalu. Saya sangka dia dah move on, tapi rupa-rupanya tidak semua luka sembuh ikut kalendar. Air mata yang menitis perlahan itu seolah-olah keluar dari tangki yang tersimpan rapi.

Saya pandang Cikgu Zaidi di sebelah. Dia geleng kepala tengok saya. Mungkin dalam hatinya berkata, ‘Apa la bodohnya mamat ni, tanya soalan begitu.’ Tapi manalah saya tahu luka itu masih berdarah. Saya ingat dah kering.

Cikgu Amira sambung perlahan. “Dia tak pernah jawab soalan tu pada akak. Tapi akak dapat tahu jawapan tu daripada kawan-kawan dia…”

Saya tak sabar. “Apa dia cakap?”

Katanya kepada kawan-kawannya, “‘Antara kereta lama dan kereta baru, mestilah pilih kereta baru!’”

Saya terkedu. Samakan isteri dengan kereta? Teruk betul. Macam wanita ni tak lebih dari alat tukar suka-suka. Bila dah bosan, boleh trade-in. Bila ada duit lebih, terus tukar model baru. Kenapa tak berpoligami…?

Kalau ikut logik tu, saya sendiri patut dah lama buang Sisijay. Dah 15 tahun. Dah mula ada retak di dahi, penyaman udara pun kadang sejuk, kadang marah. Tapi selalunya rasa macam duduk dalam oven la. Tapi tengok, saya masih setia! Mungkin sebab tak ada duit? Atau mungkin sebab saya tahu nilai sentimental itu tak boleh dibayar ansuran. Dan sekali lagi, mungkin lelaki tidak berduit lebih setia?

Kalau perempuan dikira macam kereta, maka perkahwinan adalah showroom. Bila pertama kali masuk, semua model nampak menarik. Tapi bila dah pakai satu, lama-lama kita kenal perangainya. Ada yang kuat makan minyak. Ada yang selalu minta ‘servis’. Ada pula yang tak tahan panas, naik sikit suhu terus meletup, he he he.

Tapi ada juga yang, walaupun dah lama, masih boleh diharap. Jenis yang, bila kita susah, dia tak tinggal kita tepi jalan. Kadang-kadang, kereta lama kalau dijaga elok, lagi tahan lama daripada kereta baru yang dikejar sebab nafsu…


No comments:

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home