Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Showing posts with label Prosa pantun. Show all posts
Showing posts with label Prosa pantun. Show all posts

Monday, August 15, 2011

Pantun pinjam duit kawan...

Gulai sayur pucuk paku,
Basuh mulut kueh seraya;
Anak lapan bersusun paku,
Banyak belanja menjelang raya.


Basuh mulut kueh seraya,
Malam hari duduk bertasbih;
Banyak belanja menjelang raya,
Jangan belanja berlebih-lebih.


Malam hari duduk bertasbih,
Bulan mulia ingatlah tuhan;
Suka belanja berlebih-lebih,
Lepas raya meminjam kawan.


Bulan mulia ingatlah tuhan,
Cari pahala buat perisai;
Lepas raya meminjam kawan,
Hutang lama belum selesai.


Cari pahala buat perisai,
Sebagai pakaian kita pakai;
Hutang lama belum selesai,
Lepas raya kita pokai.




Kita prosa pantun di atas:

Gulai sayur pucuk paku,
Basuh mulut kueh seraya;
Anak lapan bersusun paku,
Banyak belanja menjelang raya.

Pantun yang saya cipta di atas adalah jenis pantun berkait di mana ada baris di pantun terdahulu akan muncul pula pada rangkap pantun seterusnya. Begitulah sehingga ke akhir pantun. Cuba perati kalau tak caya. Seperti biasa pantun Melayu akan menceritakan perihal peail perangai orang Melayu, bukannya orang Belanda atau orang New Zearland. Berkaitan pantun di atas menceritakan perihal orang Melayu yang diharamkan untuk merancang keluarga. Setiap anak memang dah ada rezeki, maka dia orang beranak non stop every yearslah. Dan mereka tak payah cari rezeki sebab setiap anak tuhan dah tentukan ada rezeki so pakai beranaklah kerjanya (kelakar kan? he he he). Anak `bersusun paku' adalah pepatah lama menunjukan bilangan anak yang ramai. Bila anak ramai tentulah perlu banyak duit nak buat persiapan raya. Bila kerajaan bagi bonus setengah gaji terus marah sebab sikit. He he he. Dia orang tak tahu kat Somalia dah 29,000 nyawa melayang setakat ni. Dia orang jauh nak ambik ikhtibar, dok pikir nak melantak apabila buka puasa, he he he.


Basuh mulut kueh seraya,
Malam hari duduk bertasbih;
Suka berbelanja menjelang raya,
Suka belanja berlebih-lebih.


Pantun di atas pula menceritakan perihal orang kita yang suka berbelanja sempena ramadhan dan menjelang raya seolah esok kiamat!. Juadah berbuka berlebihan, berbelanja untuk raya tidak apa tetapi berbelanja berlebih sampai membazir itulah yang sepatutnya ditegah. Senang-senang jadi kawan syaitan. He he he. Siapa yang syaitan sebanarnya kita ke? syaitan ke? he he he.


Malam hari duduk bertasbih,
Bulan mulia ingatlah tuhan;
Suka berbelanja berlebih-lebih,
Lepas raya meminjam kawan.


Kes lepas raya nak pinjam duit kawan seperti pantun berkaita di atas sudah menjadi lumrah. Dan biasanya jangan tak tahu, kawan yang bujanglah biasanya menjadi tempat meminjan dengan alasan tak ada komitmeng, tak ada anak bini. Siap dengan linangan air mata pulak tu semasa nak meminjam! Kita yang belas hati ni berilah seposen dua, takut beri pinjam RM50 kan, ke Pizza hunt pulak dia! Huh!.


Bulan mulia ingatlah tuhan,
Cari pahala buat perisai;
Lepas raya meminjam kawan,
Hutang lama belum selesai.



Ramadhan dan raya bukannya beri lesen untuk kita meminjam. Kita berayalah ala kadar ikut duit dalam poket. Tak perlulah kita nak kagumkan jiran kita yang sebenarnya kita bukanlah kenal sangat (pelik kan?), he he he. Lepas raya kita menambah hutang yang sedia ada, apa kata tuhan? Pernah tak kita fikir apa kata tuhan bila dia tengok gelagat kita? He he he.



Cari pahala buat perisai,
Sebagai pakaian kita pakai;
Hutang lama belum selesai,
Lepas raya kita pokai.



Dan pantun terakhir ni sama-samalah kita akui, saya pun (tukang tulis pantun) ni dua kali lima jugak. Pernah dulu lepas raya saya berhutang sampai beribu! He he he. Rasa nak tampar muka sendiri lapan kali. Namun tahun ini setakat ini saya tak berhutang dah dengan kawan-kawan. dengan bank tu biasalah beli rumah dan kereta. `Lepas raya kita pokai' ni kongsep lama, kini kita kena ala kadar jea beraya. Jangan pulak ramadhan dan raya jadi bebanan untuk kita. Agama kita tak sarankan begitu kan.



Jan: Pandai tulis jea, kadang-kadang terbabas jugak, hehehe (kira pesan untuk diri sendirilah ni kan...)

Thursday, July 21, 2011

Pantun menjelang ramadhan





Seperti biasa blog jankaulu akan menghidangkan puisi Melayu lama yang berupa pantun empat kerat, yang disituasikan dengan kehidupan Melayu moden. 5 rangkap pantunan ini berkaitan langsung dengan bulan ramadhan. Mari kita sama-sama memprosakannya:



Tak sedap langsung makan meehun,

Makan jelah asal kenyang;
Sungguh sekejap rasa setahun,
Tup-tup ramadhan kan menjelang.


Rangkap pertama pantun ini mempunyai pembayang yang menceritakan hal makanan orang kita iaitu meehun. Latarbelakang makanan kita memang meehun bukannya spagetty atau strowberi coklat. Mengikut pensyarah sastera, 2 baris ayat pada rangkap adalah pembayang pantung yang punyai isi menceritakan cara hidup kita.


Merujuk pada pantun tersebut juga dinyatakan bahawa rasa meehun tersebut tidak sedap! Mungkin dibeli dikedai yang `asal buat boleh jual' jea, atau lebih malang lagi ada bini cantik tapi tak reti masak. Namun mestilah terlebih malang bila ada bini tak cantik dan tak reti masak, he he he entahlah...


Manakala maksud pantun tersebut (iaitu 2 baris terakhir dalam rangkap) senang sahaja. Budak tak masuk tadika pun faham. Maksudnya, setahun tu sekejap je rasa, ramadhan akan menjelang lagi.


Siaran Astro dah keluar iklan,
Seolah dah dekat aidil fitri;
Duduk menunggu bulan ramadhan,
Puasa lalu sudah berganti?.


Pembayang pantun ke dua di atas menceritakan walaupun ramadhan tak lagi menjelang tetapi dah ada iklan pasal hari raya. Kalau tak caya tengok tawaran kot memoh buat...he he he. Dan apa yang pantun tersebut mahu sampaikan kepada kita ialah sebuah pertanyaan sinis, iaitu sudahkah kita ganti puasa yang tertinggal/ditinggalkan yang tahun lepas punya. He he he. Bayar fidiah sekali, jangan lupa (kepada yang berkenaan).


Nanti bermunajat sepertiga malam,
Cari keredhaan juga keberkatan;
Nanti kan terima banyak salam,
Ucapan sms menyambut ramadhan.


Manusia ni tak dapat lari daripada buat kesilapan yang mungkin tak disedari (kesilapan yea, bukan kesalahan...berbeza tau). Maka kenalah belajar bangun malam pada bulan ramadhan. Kalau nak rasa segar pergi mandi dulu, atau melompat-lompat atau dengar CD Mahar Zain. Bila dah segar dan syahdu, barulah bermunajat. Itulah maksud pembayang pantun, barangkalilah...


Maksud pantun senang sahaja, nanti kita akan terima banyak sms yang nak ucap selamat menyambut ramadhan. Kawan kita yang dah bertahun-tahun tak kontek, yang kita ingatkan dah mati, tiba-tiba sms ucap selamat menyambut ramadhan (pelik pulak rasa, nasib baik ada ramadhan. Tetapi seeloknya salinglah mengontek sesama kita perpanjangkan ukwah tanpa mengira ramadhan atau unramadhan).


Ramai kan berduyung semayang berjemaah,
Nak berterawih jangan terlepas;
Nanti berbuka rasa nak berhemah,
Tak perlu membazir mcam tahun lepas...


`kan' dalam rangkap di atas tu adalah apa yang akan terjadi. Iaitu ramai orang yang akan memenuhi masjid dan surau bila menjelang ramadhan. Ramai yang akan bertarawih di masjid yang juga bising dengan budak-budak yang duduk yoyar-yoyar (bercakap dengan suara yang kuat) di saf belakang. Tetapi situasi ini tak kekal lama, minggu-minggu awal sahaja meriah, selepas tu berkurangan menjelang raya dan lepas raya keadaan masjid mungkin akan kembali jadi suasana seperti di muzium...


Maksud pantun ni senang jea. Nak nasihatkan kita supaya berbuka tu jangan jadi macam hantu raya lapar. Kueh 2,3 jenis, air 2, 3 jenis. Masa nilah sebenarnya ujian terhebat dari Allah SWT. Kawal nafsu...masa berbuka. Kawal-kawal.


Ramailah nanti membaca kitab,
Penuh disusun di meja pejabat;
Hidup ini memang sekejab,
Jangan dibela perangai jahat.

Pembayangnya senang sekali, bila ramadhan ramailah pekerja terutama di pejabat bawak buku agama atau kitab nak baca...(atau nak tayang? He he he). Maklumlah duduk di rumah serabut dengan laki/bini dan anak-anak, masa mana nak membaca kitab?. Tapi perlu diingat, di pejabat tempat kita kerja ada amanah yang lebih penting. Nanti pelanggang datang kita asyik membaca kitab...he he he. Sendiri mau tahulah...Siapa yang hantu di sini? He he he...hantu lain dah kena kurung...katanya...


Manakala maksud pantun tu jelas iaitu hidup kita ni sekejap jea, bukannya tongkat alam semester. Maka lihat-lihatlah, ingat-ingatlah liang lahad dan batu nisang.


Jan: Sekian sahaja pantun menjelang ramadahan untuk tahun ini. Semoga berjumpa lagi di tahun hadapan.

Thursday, September 4, 2008

Pantun ramadhan dan menjelang raya...





Saya ada cipta beberapa pantun sempena bulan ramadhan dan menjelang suasana hari raya. Jenuh juga saya mencari perkataan yang dapat mencapai maksud, dan lebih jenuh lagi supaya mempunyai rima yang sama, dan suku kata pun tak boleh banyak sangat, nanti nampak macam cerita.


Harap maafkanlah ya jika tak macam pantun pun, saya tau ada orang sastera yang selalu buka blog saya ni, so terlebih dahulu minta maaf...he he he.


Tengok kueh semua terpesona,
Lapar perut tahan terpaksa;
Apa khabar orang di sana?
Apa macam bulan puasa?


Pantun di atas bernada ceria dan galak, sesuai sangat untuk ditujukan kat kawan-kawan kita yang dok jauh daripada kita. Contohnya kalau kawan kita bertukar tempat kerja, sesuai sangat kita tujukan pantun jenis ni. Tapi kalau tempat kerjanya di depan meja kita je, kalau kita beri juga...? (janganlah marah bila kena marah nanti, he he he).


Berbaju Melayu berselipar jepun,
Pergi tarawih membuat pahala;
Menyusun jari meminta ampun,
Kalau ada terover kata.



Pembayang (baris pertama dan baris kedua) menceritakan suasana pergi tarawih. Biasanya saya berbaju Melayu (beli bajunya sahaja kat segamat, seluar tak beli) dan pakai selipar jepun je ke masjid, bukan apa takut nanti hilang kalau pakai kasut. Saya pernah hilang kasut kat masjid, sampai akhirat saya ingat. Sebab tulah baris ke dua pantun saya selitkan fungsi selipar jepun untuk ke tarawih. Dan mesejnya jelas, nak minta maaf sebab mulut pakai hembus je.


Anak beruang duduk di rimba,
Anak haruan di dalam paya;
Raya sudah kian tiba?
Dah buat ke persiapan raya?



Ni pantun bila dah dekat sangat nak raya, molek kita tuju seminggu sebelum raya (jangan seminggu selepas raya). Boleh guna SMS untuk menghantarnya kalau tak ada masa dan tak ada kad raya, namun apa yang ditulis dalam kad raya lebih diingati...(kalau tak percaya tanya orang sedang bercinta...ewah, he he he).


Buat kueh biskut kelapa,
Sedap berbuka air nira;
Saya di sini tak beli apa-apa,
Cuma shopping utk anak2 saudara…



Pantun di atas pula bernada sedih, boleh berikan kepada kawan kita (atau kat majikan kita, he he he) kalau majikan kita tak beri duit raya. Yalah kan, kalau beri dapatlah kita beli ayam ke buat lauk nasi minyak, sikit pun tak apa... (ni kalau dalam kes tak sempat nak menabung untuk raya...)


Bulan puasa bulan yang mulia
Malam hari pasang pelita
Semoga awak selalu berbahagia
Bersama suami, anak tercinta.


Pantun ni untuk orang lelaki sahaja, lahir dari jiwa bernada `senyum dalam tangis'. Kalau anda dalam situasi kekasih berkawin dengan orang lain dan dah dapat anak pulak menjelang raya, sesuai sangatlah pantun ni... Dan tambah sesuai lagi dia sedang berbahagia sedangkan awak tak ada orang inginkan, tak kawin-kawin... (he he he).


Sekianlah sahaja 5 kerat pantun untuk kali ini, saya tak pakar dalam pantun memantun ni. Dan pantun ni untuk suka-suka je, tak berniat nak tujukan pada sapa-sapa...(sapa yang terkena tu kira nasiblah...he he he)


Jan: Kukirim pantun rindu di angin lalu... Bertanya bila dapat bertemu... Dia jawab, `entah'....

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home