"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Tuesday, June 5, 2018

Tayar pancit II, bulan dan matahari


97Tayar pancit II, bulan dan matahari


22 April 2018

Kereta yang rosak kadangkala merungsingkan hati kita, bukan sebab kita tiada duit awasan tetapi kita hargai masa. Kerosakan lebih merugikan masa, bukan sahaja duit.
Kerosakan juga mungkin melambangkan, masa telah pun berlalu...


Mengapa kedai tayar mesti buka pukul 10 pagi?

 Saya terpaksa menunggu untuk kedai tersebut dibuka. Tuan kedainya duduk jauh di kampung sebelah. Saya cuba hubungi nombor yang tertera di papan kedai tersebut. tetapi tidak berjaya dihubungi. Katanya nombor sudah tiada dalam perkhidmatan.

Pelik.

Tayar kereta saya pancit. 
Saya tunggu depan kedai tersebut. Saya berdiri seorang diri sambal merungut dalam hati. Saya tidak berpuas hati dengan prinsip buka kedai pukul 10 pagi. Bagi saya lagi awal buka, lagi banyak rezeki masuk.

Saya gagal memahami logika kedai harus dibuka pada pukul 10 pagi.

Saya mahu cepat balik ke Muadzam. banyak perkara yang mesti saya siapkan. Saya mahu terus ke Muadzam tanpa singgah rumah di Kuantan. Saya harus hargai masa. Hendak cepat begini pula jadinya. Jadi lambat. He he he.

Saya harus tenangkan diri, setiap kesusahan ada kebaikan.

Biasanya saya akan singgah dulu ke Kuantan, tidor semalaman di rumah saya. Siram pokok dan kemas apa yang patut. Dan barulah keesokan paginya bertolak ke Muadazam.

Lucu pula kerana tadi sudah bersalam dengan ayah dan mak. Sudah melalui adegan sedih yang rasmi. Saya takut memandang mata mak dan yah apabila bersalam. saya takut sedih di hati melimpah melalui air mata saya.

Namun saya tengok juga sekilas. Saya bimbang itu mungkin kali terakhir saya melihat mereka. Dan iannya logik berlaku.

Selepas itu saya teruskan perjalanan, tiba-tiba baru sedar tayar pancit. Nasib baiklah saya cepat menyedarinya. Ketika itu kereta saya belum sampai lima kilometer dari rumah.

Panas berdiri saya masuk dalam kereta dan buka radio.

Ada lagu Sudirman, lagu `Jauh di sudut hati’ buat saya sedih.

Pulak dah. Sedih lagu itu.

Saya layan sahaja sebab sedap didengar. Banyak lagu arwah sedap didengar bukan kerana lagu itu sedap tetapi juga kerana penghayatannya yang jitu.

Saya melihat jam, lambat lagi pukul 10 pagi.

 Saya terus layan radio, dengar lagu-lagu. Kebanyakan lagu buat saya sedih. Kebanyakan lagu sudirman biasanya yang melekat di hati saya adalah lagu sedih.

 Saya rasa tayar itu pancit semasa saya singgah membeli makanan pagi untuk ayah dan mak saya.

 Setiap kali saya balik kampong dan setiap kali mahu balik semula ke Muadzam saya rasa sedih tetapi saya pandai simpannya di dalam hati saya. Saya tidak mahu ayah dan mak saya tahu saya sedih kerana saya tahu mereka pun sebenarnya sedih.

 Masa benar-benar merubah segalanya.

Pandangan terakhir saya biasanya terakam di minda terlihat  ayah dan mak saya berada di kerusi di beranda rumah. Dan saya melambai mereka.

Semasa saya muda-muda dulu, jika saya balik kampong emak dan ayah tidak ada di rumah. Ayah sibuk berjalan ke sana ke mari, ada sahaja rancangan dan aktiviti yang dibuat ayah. Dan kadang-kadang mak juga tiada di rumah.

Kini apabila saya balik mereka selalu ada di rumah. Mungkin apabila kita tua, ruang lingkup hidup kita semakin sempit… Kita lebih suka duduk di rumah dan tidak banyak rancangan yang mahu dibuat.

lebih kurang hampir pukul 10, kedai tayar dibuka. Saya serahkan kereta dan berjalan kaki ke rumah saya. Rumah saya dekat sahaja dengan kedai tersebut. Selang satu buah rumah. Saya tahu mereka akan periksa tayar, tampung dan isi angin.

Saya balik rehat sekejap dan kembali semula ke kedai tayar. Pekerja memberikan saya satu kepingan logam kecil. Katanya logam itulah yang membocorkan tayar saya. saya terus tangkap gambar logam tersebut tanpa tahu apa tujuannya saya berbuat demikian.

Saya memandu ke rumah dan adengan sedih berpisah dengan ayah dan ibu, diretakekan semula...he he he.

"Selamat tinggal sekejap ayah dan mak, nanti abang balik semula"

Sisijay meluncur perlahan meninggalkan DewaRawa...


No comments:

.