"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Tuesday, March 6, 2018

Lelaki istimewa milik saya


22Satu-satunya lelaki istimewa milik saya

4 Februari 2010

“Ayah saya memberikan hadiah paling hebat kepada saya – kepercayaannya.  Ia tidak dijualbeli di kedai. Maka hidup saya mudah…”


Ayah pernah miliki kereta Moriss Marina dan Mercedies. Dan pada penghujung usia ini ayah hanya miliki sebiji Pajero dan sebiji Kancil. Kancil itu sudah tidak boleh bergerak. Sekung tepi garaj kereta.

Saya masih ingat pada zaman kanak-kanak sebelum ayah beli kereta, ayah pakai Vespa. Saya selalu juga naik vespa, ayah suruh berdiri di hadapan. Sebagai lelaki muda inilah sahaja kenderaan ayah.

Dari kecil saya melihat ayah saya memandu kereta. Namun kereta-kereta tersebut tidaklah pula memberikan sebarang inspirasi. Tidak pernah  pula saya mahu memiliki Mercedes sebagaimana ayah. Sepatutnya saya terinspirasi apabila melihatnya. Biasanya persekitaran akan memberikan inspirasi terhadap cita-cita kita. Saya ada baca hal ini dalam buku motivasi. 

Namun saya pernah bercita-cita mempunyai seorang pemandu.

Jika saya perempuan, tentu saya tidak akan bawa kereta. Saya akan biarkan suami uruskan segala perkara yang melibatkan kereta dan jalan raya. Saya faham kenapa perempuan mahu miliki lelaki yang berkereta, mereka bukan pentingkan diri tetapi sayangi diri. He he he.

Ayah saya pernah meramalkan saya akan dapat memandu setelah saya keluar universiti dan berkerja. Mungkin ramalan itu lahir apabila melihat saya masih lagi tidak boleh bawa kereta sedangkan remaja sebaya sudah boleh bawa kereta. Dan logiklah anologinya, bila bekerja akan pakai kereta.

Saya tidak tahu bagaimanakah perasaan seorang ayah apabila anak lelakinya masih tidak miliki kereta pada usia lewat 30an. Sedihkah seorang ayah? 

Tentulah ayah saya sedih jika ayah saya jenis manusia yang mengukur kejayaan dan kebahagian hidup seseorang itu ada kaitan dengan keboleh dan keupayaan miliki kereta. Tetapi ayah saya tidak jenis begitu. Ayah saya cerdik. Dia suka membaca, ayah membaca pada setiap hari, sehinggalah matanya kurang nampak... Saya sedar ayah saya kurang membaca kerana matanya sudah tidak terang...

Melihat ibubapa bertambah tua adalah satu perkara yang memakan diri saya sedikit demi sedikit. Namun ini lumrah kehidupan kata kawan saya. Saya tak kira jika lumrah planet pluto sekali pun, saya tetap terkesan. 

Saya yakin ayah saya adalah lelaki yang paling cerdik pernah saya jumpa di panet bumi ini. Walaupun saya berkerja di menara gading saya tidak bertemu dengan orang yang mengalahkan kecerdikan ayah saya. Ayah pandai membina falsafah hidup. 

Ayah tidak pernah sepatah pun menggambarkan hidup akan susah bila tidak ada kereta. Ayah tidak memberikan tekanan, mungkin ayah tahu jika diberikan tekanan saya tetap tidak tertekan. He he he.

Saya tidak tahu bagaimana perasaan ayah saya apabila ayah tahu saya membeli kereta kerana ayah berada di kampung. Tidak pula ayah menalipon bertanyakan itu ini. Atau ayah memang yakin dengan saya? Entah. Ayah saya tidak banyak cakap. Dia sama seperti ayah Melayu lama yang lain. Ayah zaman dulu...yang  banyak berkomunikasi secara non verbal.

Saya ada menyuarakan kepada ayah mengenai keinginan saya untuk memandu pulang ke kampung. Kononnya saya sudah berani bawa kereta. Tidak beberapa lama kemudian ayah datang melawat saya di Muadzam Shah. Ayah datang menaiki bas dari Besut. Pada mulanya saya tidak dapat meneka kenapa ayah saya datang kerana biasanya ayah saya tidak suka keluar dari kampung. Kehidupan kampungnya sangat meresap dijiwa ayah. Ayah mungkin deman kalau tinggal di luar kampung lebih dari tiga hari. Ini gurauan yang selalu kami adik beradik cakapkan apabila kami berkumpul dan cuba mengajak ayah ke rumah masing-masing. 

Rupanya ayah saya datang Muadzam Shah semata-mata mahu memantau dan mengenalpasti corak pemanduan saya. Mungkin ayah saya risau. Mungkin ayah saya dapat mencium ketakutan yang saya alami apabila memandu. Seorang ayah tentu tahu segalanya tentang anaknya. namun itu telahan saya sahaja kerana ayah tetap tenang seolah ia adalah hari-hari biasa sahaja. 

Pendek kata, ayah saya kelihatan tenang dan saya juga kelihatan tenang. Seolah hari-hari biasa.

 Maka hari ini adalah hari `dalam sejarah'. Pertama kali saya memandu pulang ke kampung. Semasa memandu ayah ada di sebelah saya. Ayah isap rokok dengan tenang. Ayah tidak banyak bercakap sepanjang perjalanan. 

Sepanjang jalan saya berdebar tetapi saya berlakon untuk kelihatan tenang, lagipun ayah saya ada di sebelah. Apalah sangat boleh berlaku? Itulah yang saya sematkan di minda. Saya bina keyakinan tinggi. Superhero ada di sebelah.

Perjalanan yang saya lalui lancar, sehinggalah pada satu jalan di daerah Setiu saya lihat ada dua buah lori di hadapan saya. Oleh kerana saya ditemani ayah, saya harus rasa yakin dan berani. Saya mesti tunjukan kemahiran saya. Saya terus melintas lori di hadapan dan masuk semula ke jalan kiri. Kini saya di himpit dua buah lori yang besar dan ganas. Satu di belakang dan satu di hadapan. Pada masa ini saya kawal debaran di hati supaya ayah saya nampak saya tenang. Sebenarnya selagi saya berada diimpit dua buah lori, hidup saya tidak akan tenang...

Dan kemudiannya saya berjaya pula melintas sebuah lagi yang berada di hadapan. Sebenarnya itulah kali pertama saya melintas lori! Biasanya saya ikut sahaja lori dari belakang. 

Debaran sangat kencang sehingga saya bertekad tidak akan melintas lori lagi seumur hidup. Itu tekad saya.

Sebenarnya tentulah saya takut kerana di negara kita purata kematian akibat kemalangan jalan raya pada setiap hari adalah 18 orang!

Perjalanan mengambil masa lima jam. Apabila selamat sampai di kampung, ayah masih tidak beri apa-apa komen. Cuma ayah bertanya kenapa corak pemanduan saya kadang-kadang ke tengah, kadang-kadang ke tepi.

 “Ikut irama lagu dari CD yang dipasang”. Saya jawab.

Saya berada di kampung beberapa hari. Saya sempat bawa kereta ke Bandar Jerteh. Saya juga ke Kuala Besut dan ke Pantai Bukit Keluang. Saya mesti tengok ombak. Tengok Lautan China Selatan. Mengimbau kenangan lalu. saya pernah muda...

Apabila saya balik semula ke Muadzam, saya masih ditemani ayah. Ayah duduk relek di sebelah, kali ini ayah asyik bercerita kisah-kisah lalu. Antara cerita ayah ialah dia tidak ada duit masa dia mahu kawini emak saya, kawan-kawannya memberikan dia duit. Masa itu ayah saya duduk de tepi sungai Jerteh. Banyak lagi yang dicerita tetapi saya tidak ingat kerana saya fokus kepada pemanduan saya. konannyalah, he he he.

Apabila tiba di Muadzam Shah, ayah saya naik bas pulang semula ke kampung.

Saya rasa satu langkah yang besar telah saya lalui. Sekarang saya mahu pandu seorang diri balik kampung. Saya percaya saya boleh buat kerana saya sudah bercadang jika ada jalan yang saya takut tempuhi, saya akan berhenti sekejap untuk tenangkan fikiran di tepi jalan, he he he.

Namun ayah saya datang lagi kali kedua. Kali kedua ini ayah saya berkereta ke Muadzam. Kata ayah, ayah akan memandu di belakang kereta saya. Saya tahu ayah ingin memantau saya. Semasa memandu saya selalu pandang cermin di hadapan untuk memastikan kereta ayah sentiasa ada di belakang kereta saya. Saya berasa lucu dengan gelagat saya ini. Namun yang penting saya mesti mencipta sejarah memandu seorang diri balik kampung!

Apabila saya fikirkan semula, ia member seribu makna. Makna seorang anak yang takut bawa kereta, dan makna kasih sayang seorang ayah yang tiada batasannya (walaupun tidak dilafazkan kepada anaknya sudah dewasa).

Saya rasa syahdu mengingatkan pergorbanan dan kesungguhan ayah dalam memastikan pemanduan anaknya mencapai tahap `standard’.

Saya sangat terhutang budi pada lelaki ini. Ayah yang terbaik di dunia.

Dan malam ini, saya berasa ayah saya benar-benar seorang ayah yang hebat, seorang lelaki yang pernah saya kenali dalam kehidupan saya.

Tidak dapat saya bayangkan kalau saya tidak miliki seorang ayah.

Terima kasih.

2 comments:

khairull quay said...

teringat pulok ke ayoh kite. sama la perangai dia.

Sukiman Ishak said...

terima kasih...

.