Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Showing posts with label My Myvi. Show all posts
Showing posts with label My Myvi. Show all posts

Wednesday, May 24, 2017

Saya tukar tayar... 4 sekaligus

Walaupun sudah membawa kereta masuk tahun ke lapan, subjek kereta masih mengerunkan saya...

Minggu lepas entah kenapa tiba-tiba saya rasa sangat bimbang akan keselamatan diri saya. Ia muncul di fikiran apabila/semasa saya sedang memandu balik dari kampung menuju Kuantan. Sebabnya saya rungsing sudah lama saya tidak tukar tayar kereta, agak-agak adalah lebih kurang tiga tahu.

Dalam perjalanan balik kampung tersebut, saya bertekad mahu tukar tayar kereta. Amat bahaya jika memandu jika tayar botak. Saya diberitahu oleh Ja. Dan saya juga diberitahu jangan kedekut apabila membeli tayar.

Kata-kata dari kawan saya, ada tayar yang mahal dan ada yang murah harganya. Ya, saya tahu, saya sudah beberapa kali menukar tayar sebelum ini. Dan apabila saya mahu tukar tayar, pasti terkejut pomebn tu melihat tayar kereta saya sudah botak dan sudah keluar benang. Dan apabila cina itu menunjukan benangnya, terus saya berfikir kenapa ada benang dalam tayar?. Emmm...

Saya guna dua tayar jenis Mecheline di hadapan dan di belakang saya guna dua tayar Dunlop. Sebab nya saya tukar tayar tersebut secara berasingan...

Namun kali ini saya tukar keempat-empat tayar. Entah tayar apa jenama, sukar nak sebut tetapi tayar itu berharga RM275 sebijik...

Jadi saya memerlukan lebih dari RM1K untuk tayar tersebut. Jawapan dari mana saya dapat duit tersebut adalah dari kad kredit saya. Saya bersyukur saya ada kad kredit (sudah 16 tahun). Setia pada Maybank. Tidak pernah ada masalah....syukur lagi.

Saya sedar saya dilahirkan sebagai buta kereta. Payah untuk saya memahami kereta. Samalah payah saya belajar matematik tambahan. (Sehingga kini saya masih lagi tidak faham kenapa sudah ada matematik, kena ada matamatik tambahan pula. Mungkin sengaja nak cari payah.).

Kereta saya sudah masuk tahun yang ke lapan usianya. Saya mula berfikir untuk menggantikan viper kereta kerana kawan saya beritahu viper kereta mesti ditukar. Sepanjang 8 tahun pakai kereta saya tak pernah tukar viper kereta saya sebabnya saya ingatkan tak perlu tukar...he he he.

Saya akan tukar viper tersebut tahun depan sebab kereta saya masih boleh digunakan...

Thursday, March 21, 2013

Prihal bunga (perihal tayar pancit 2)



Sedang saya duduk buat nota untuk subjek Malaysian Economy, saya terima panggilan daripada pemuda Cina. Beliau beritahu tayar kereta saya yang pancit tersebut rosak, saya kena beli yang baru. Dan katanya tayar saya yang lain pun `bunga'nya dah haus.

Saya terus berfikir kelemahan tayar adalah pada bunganya. Kena beli bunga baru iaitu bermaksud tayar baru. Tentu pakai banyak duit kalau tukar ke empat-empat tayar. Saya rasa saya perlu tukar dua buah tayar sahaja. Tetapi jenama tayar saya tak tahu, kalau jenama pinggang mangkuk tahulah saya sikit-sikit, he he he. Ya, saya kena bawa kawan saya untuk menolong saya lagi.

Sesampai ke kedai tersebut, saya tanya ada tak jenama Dunlop (sebab jenama ini saja saya tahu sebab dulu saya pernah tidor atas tilam Dunlop). Pekedai Cina tersebut kata tiada... dan dia membuka fail yang ada nama-nama jenama tayar. Saya buat tengok-tengok dengan manchonya sambil angguk-angguk kononnya faham. Tetapi sepatah haram saya tidak faham akan jadual tersebut. Cuma saya tahu rupanya saiz tayar saya ialah 15. Ada juga saiz tayar yea? Saiz stereng?.

Nasib baik dia tidak buka katelog tunjuk corak/jenis bunga di tayar. Tentu sukar untuk memilih corak yang menarik. Ada tak sebenarnya fail sebegitu? tetapi yang pentik bukan corak yang menarik tetapi cengkaman bunga tersebut, kot.

Saya sudah pening kepala maka saya berikan urusan urusniaga ini kepada kawan saya iaitu namanya Ja. Dialah juga yang terlibat dengan urusniaga bila saya beli Myvi saya dulu. 

Pada ketika itu barulah saya teringat semasa servis terakhir dulu Produa ada beritahu bunga tayar saya juga sudah kelayuan...he he he. Rupanya saya tidak ingat nasihat Produa tersebut. Bahaya sungguh kan. Pada masa ini saya terlintas menyesal tak belajar bersungguh-sungguh dan kerja di Bank Negara. kalau dapat kerja bagus tentu disediakan pemandu. Pemandu tentulah tahu serba serbi bukan setakat bunga tetapi daun dan akarnya sekali, he he he. Haaa....

Jan: Teratai layu di tasik madu...(pulak dah)

Perihal tayar pancit...

saya tak tahu nak guna alatan yang diberikan...(gambar adalah hiasan)

Semalam pada pukul 10 malam saya keluar rumah untuk siram pokok pisang. Semasa menyanyi lagu `dendam dalam diam' (Nora), saya terlihat tayar kereta saya pancit!. Saya tidak tahu nak buat apa. Maka saya pun tidak buat apa-apalah. he he he.

Esoknya saya tumpang kawan ke kampus dan ceritakan hal yang terjadi. Saya tidak dapat menukar tayar tersebut dengan tayar simpanan sebab saya tidak tahu macam mana nak tanggalkan tayar tersebut. Sebabnya bila saya buka beg Produa tu saya tak kenal alat-alatannya. Kebanyakannya sangat aneh sekali. Saya hanya kenal spanar sahaja, yang lain-lain tu saya tidak kenal langsung. Naik darah tinggi saya.

Selepas itu saya dan kawan saya balik semula ke rumah dan cuba buka tayar tersebut tetapi tidak dapat sebab punat sport rim tak sama dengan alatan yang ada. Kawan saya tanya ada tak semasa beli spot rim tempohari saya diberi alat untuk mencabut punat. Saya kata ada tetapi entah di mana (pada hal saya mungkin membuangnya sebab tak tahu kegunaanya apa, he he). tapi taukeh cina beri saya ambik.

Akhirnya saya beritahu saya lapar dan letih (padahal bukan buat kerja). Maka kami menuju kedai makan tepi longkang. Dan selepas rancak berbual kami dapat idea. Senang sahaja, suruh pekedai cina datang ke rumah dan uruskan segalanya. hanya beri kunci kereta sahaja. 

Dalam pada itu saya sempat suruh pemuda cina itu buat balengsing dan alimeng jugak. Entah apa benda tersebut saya tidak tahu cuma saya teringat semasa servis kat produa di Indra Mahkota berbulan dulu, semasa serahan kunci pemuda tersebut suruh saya buat balancing dan alimeng. Macam buku akaun pulak kena buat balancing, he he he.

Jan: Payahnya ada kereta...tak ada kereta lagi payah. Haa...

Sunday, September 23, 2012

Kenapa saya masih servis Myvi di Produa Indra Mahkota?


Muka terbaru saya setelah diedit oleh Nokia X2.
(Gambar hanya hiasan, tak ada kena mengena dengan posting, saja bubuh)


Kawan-kawan beritahu, sekarang saya boleh servis kereta di mana-mana sahaja sebab jaminan kereta saya sudah lama tamat. Saya boleh servis kereta di Muadzam Shah tempat saya tinggal dan bekerja. Tidak perlu ke Kuantan. Namun saya masih memilih servis kereta di Produa Indera Mahkota kerana beberapa faktor:

1. Jarak tidak menjadi masalah kerana hujung minggu saya selalu ke Kuantan. Dan sebenarnya untuk ambik cuti pun tidak menjadi masalah sebab cuti saya banyak.

2. Saya bimbang diperdaya kalau servis merata-rata. Saya tak tahu sangat pasal kereta, saya hanya kenal tayar, stereng dan spokring. Senang sahaja untuk orang menipu saya pasal kereta tetapi pasu jangan...he he he.

3. Seminggu nak servis pihak Produa kol beritahu, bila buat temujanji dia kol lagi untuk ingatkan kita esok kita dah booking, kita boleh buat pengesahan datang. Dan bila kita pakai kereta seminggu, dia kol lagi kalau ada apa-apa terjadi pada kereta selepas servis.

4. Ada tv, sofa dan majalah. Saya suka majalah hiasan dalaman. Ada juga majalah kereta. Saya cuba baca majalah kereta tapi pening kepala. Saya baca 2 helai sahaja.

5. Ada air nescaffe percuma. Kita tekan keluar dari mesen kecil. Ada pulut lepa (pulut panggang) dan kueh muih.

6. Boleh lihat mak bapak marah kat anak yang degil. Buat sofa di ruang tamu bagai kuda. Saya dah bulatkan mata. tapi mereka melawan. Wah, budak-budak zaman sekarang!

7. Kalau lapar boleh keluar berjalan kaki, ada gerai makan. Atas sikit dari bangunan Produa tapi boleh gi jalan kaki jea.

Jan: Manusia boleh servis jugak ke?


Monday, August 13, 2012

Saya mahu belajar pasal kereta

Saya harap saya semakin tahu akan hal-hal kereta. Banyak sangat lagi saya tak tahu hal kereta. Contohnya baru awal tahun ini saya tahu saya tidak perlu keluar daripada kereta jika nak betulkan cermin sisi Myvi saya. Rupanya ada sesuatu yang kita hanya perlu tekan dan cermin sisi kereta akan bergerak sendiri!. Hampir 4 tahun baru saya tahu? Tahniah untuk saya.

Mungkin saya bukan manusia minat kereta. Tapi saya minat kereta Honda sebab bentuknya tak keterlaluan. Semoga suatu hari nanti saya bawak Honda. Tetapi tidak juga terkilan kalau tak dapat. Ada kawan saya dia pakai kereta mahal tapi sekarang dia selalu tak ada duit sebab bulanan kena bayar mahal. Tapi dia dapat la apa yang dia impikan.

Kereta saya selalu tidak kemas. Kadang-kadang ada pasu bunga. Dan meleket. Melekit bukan muntah anak tetapi losen saya meleleh. Saya letak losen tangan dan kaki dalam kereta. Ada juga bekas air tin kosong. Teruk kan?

Tetapi saya berazam untuk jaga kereta ini. Saya ingat lagi pesan kawan saya Sani, yang mengatakan "Tiap bulan kita bayar en sukiman, kita kena jaga la, susah nak dapat kan?". 

Saya akan menjaga kenderaan saya dengan lebih baik, dengan kenderaan itulah ia membawa saya ke sana ke mari.

Jan: Kenderaan terakhir kita jenis apa yea? he he he.

Tingted, sport ring dan spoiler.

Pada hujung minggu yang lepas saya telah pergi ke kedai kereta di Jalan Berserah, Kuantan. Kedai kereta ini menjual tayar dan asesori kereta (tak kan jual alat make up pulak kan?). Saya pergi ditemani oleh Mek Zue (kawan perempuan saya). Tujuan saya pergi adalah untuk `menghadiahkan' sesuatu kepada kereta Myvi saya yang sudah mahu masuk tahun ke 4. Tiap bulan saya bayar RM525.

Honda civik baru buruk sangat bentuknya, jadi biarlah saya pakai myvi saya ini dulu sebelum model baru keluar. Saya mahu pasang tingted. Saya rasa sudah tiba masanya saya hadiahkan tingted kepada kereta saya ini. Kawan saya beritahu sepatutnya saya tingted sebaik sahaja selepas saya beli kereta. Dulu semasa saya beli kereta ini, saya tidak hadiahkan apa-apa kepadanya (kereta saya). Saya terus pakai sahaja. Inilah satu percubaan saya untuk tingtedkan kereta ini. Tidaklah panas saya di dalam kereta itu nanti - kata kawan saya.

Saya juga pasang sepok-ring (sport rim). Saya akui bila pasang sport rim ni kereta saya nampak cantik sikit tetapi saya tetap taklah handsum mana. Kalau saya duduk dekat tayar dan sport rim tersebut mungkin menarik kot. 

Tidak terlintas dalam kehidupan saya, saya beli sport rim. Tidak sesekali. Apa yang telah terjadi pada diriku?.

Saya beli sport rim yang biasa-biasa sahaja. Saya tidak mahu yang menonjol sangat. Tak naklah kereta saya lebih tertonjol daripada saya. Ada sport rim yang jauh lebih cantik tetapi mahal dan katanya tak boleh dipasang di Myvi saya. Katanya kena ikut saiz tayar dan kereta. Tak faham saya. Mungkin kerana kereta saya murah? huh!

Dan paling memeranjatkan saya, saya juga pasang spoiler! Spoiler ni ada macam sekeping letak kat belakang kereta. Payah saya nak terangkan. Sampai hari ini saya tak tahu fungsi spoiler tu. Bila pasang spoiler ni kawan saya kata baru kereta nampak cantik (dulu hodoh sangat ke? he he he). Saya tak faham kenapa nampak cantik. Bagi saya kalau nak nampak cantik letak bunga. Namun saya hulurkan jealah kad kredit untuk pembayaran, sebab tak kan saya nak marah bila orang kata kereta saya nampak cantik.

Oh yea, saya juga beli alas kaki  kereta yang getah tu....

Jan: kawan saya kata mungkin saya dah nak mati...

Saturday, May 12, 2012

Eakong tak sejuk

Sudah hampir 3 minggu saya terasa bagai berada di dalam oven. Baju kemeja saya basah. Rasa panas. Rasa pening kepala pun ada.

Memang panas kalau kereta kita tidak ada eakong (penghawa dingin), atau rosak. Saya pula pada mulanya memang membiarkannya dengan berharap moga-moga eakong tersebut akan berfungsi semula. Tetapi tunggu punya tunggu, saya dapati air kon tersebut tetap hanya keluar angin sahaja (gas) tetapi tidak sejuk.

Saya tanya kawan saya. Ada yang beritahu mungkin gas kereta saya dah habis. saya terbayang tong gas di rumah....

Sekarang petang hujan, bila hari hujan saya rasa macam peguin pulak sebab kaca di sekeliling nampak basah dan sedikit kabur. Bahaya untuk pemandu yang semi-mahir seperti saya.

Saya cuba buat-buat pandai. Saya  cuba buka bonet depan kereta tetapi tidak berjaya. Kita sebenarnya kena hulurkan jari celah bonet baru buka. Saya guna berus gigi untuk cokeh tetapi tidak berjaya. Pada masa yang sama saya malu pulak tanya kawan-kawan sebab mana ada insan di dunia fana ni dah 3 tahun lebih  pakai kereta tetapi tak pandai mana nak buka bonet depan kereta? Haa...

Saya ni bab-bab pasu tahulah serba sedikit. Bab-bab kereta ni ziro (kosong). Maka saya tanya kawan saya kat opis dan dia beri alamat ke bengkel kereta yang boleh tolong tengokan.

Bila sampai di kedai saya tengok kedainya berselerak. Tapi ya la kan tak kan tersusun pulak, mereka bukannya jual milo. Saya tengok dan perhatikan dan saya buat kesimpulan yang saya tak tahu barang -barang tersebut telah diguna atau tidak, yang rosak atau tidak.tertimbun gitu jea.

Pengomen (pomen) tersebut tak banyak cakap dan jenis tak mesra alam. Ya lah kan kalau mesra tentu jadi DJ atau jual insuran.

Saya ada tanya "apa punca eakong kereta saya rosak? Dia jawab "biasa la myvi ni airkon dia rosak". Seingat saya kawan saya ada yang dah berMyvi selama 7 tahun tapi tak rosak pun. Dia tidak menjawab soalan saya dengan tepat, he he he.

Saya hulur RM80 dan ambil benda yang rosak tersebut sebagai buat kenangan. Entah apa benda tu saya tak tahu. Kalau tanya pun saya tak ingat tetapi macam pelekat jea.

Jan: Sampai hari ini saya tidak tahu punca eakong kereta saya rosak...

Tuesday, December 27, 2011

Azam tahun baru saya yang tahun lepas...



Sebagai manusia biasa, saya ada berazam pada setiap menjelang tahun baru. Saya selalu berpendapat azam adalah sesuatu yang positif. Kalau pun tak semua tercapai, ada di antaranya tercapai. Saya insan biasa.

Azam saya yang tercapai, yang paling saya gembira ialah..., saya berani bawak kereta balik kampung. Tahun 2010 dulu saya bertekad dalam hati `tahun 2011 nanti aku akan bawak kereta balik kampung''. Tentulah kejayaan ini besar sebab saya penakut dalam bab bawa kereta. Saya sudah beberapa kali balik kampung memandu termasuk balik kampung untuk raya. Ada secara bersendirian, ada juga bersama adik saya.

Akibat terlalu takut bawak kereta saya pernah bermimpi saya mati berlanggar. Saya mimpi saya nampak mak saya dan adik beradik saya di tepi kubur saya masa orang nak kambus saya. Saya juga cari kot-kot ada bekas kekasih saya datang, tapi tak ada (sempat lagi tu, he he he. Sayang sungguh saya kepada dia...).

Ya, saya takut sangat bawak kereta jauh sebab fikiran saya akan melayang jauh. Tetapi saya gagahi juga sebab saya kena jaga diri saya sendiri. Tidak ada orang yang mahu jaga diri ini yang hodoh, gemuk dan tua. Sapalah sayang ke saya...(pulak dah, padahal masih handsum, saja merendah diri konon).

Maka saya beranikan diri tempuhi dunia ini, atasi ketakutan... Saya insan biasa.

Tidak terfikir oleh saya, saya boleh buat dan apa yang membanggakan saya ialah saya balik dengan kereta sendiri bukan kereta sewa atau kereta orang. Kereta yang saya bayar RM525 sebulan. Saya tahu ada yang bawa kereta orang punya untuk balik kampung, tumpang harta orang untuk tunjuk dia berjaya. Orang hina macam ini ada. Saya ada bukti.

Walaupun begitu saya tetap berdebar bila melakukan perjalanan jauh. Sebab saya takut buat silap dan saya takut orang lain juga buat silap. Bila saya pegang setereng saya rasa nyawa saya terserah pada jalanraya (walhal kita sebenarnya boleh mati dengan kaedah lain, mungkin boleh mati dalam bilik air jea...).

Saya juga gembira sebab rekod saya sudah dibaiki. Dulu saya bawak dalam 70km sahaja sejam, tetapi kini ada terlebih 90km sejam. Pun begitu saya selalu pandu pada tidak lebih 90km sejam. Biar jadi tabiat. Saya juga tidak mengajar diri saya suka memotong kereta orang sebab saya sendiri takut `tak lepas', lagipun takut jadi tabiat rasa `puas' bila dapat memotong kereta orang. Saya rasa ada orang macam ni tetapi saya tak ada bukti.

Selain matematik, dan cinta, kereta adalah perkara yang kompleks bagi saya. Saya anggap ianya komplek kerana saya tidak pandai dalam perkara tersebut....

Saya harap pada tahun hadapan saya akan lebih berani bawa kereta, dan saya berharap saya akan selalu selamat.

Jan: Tahun depan saya berazam nak jaga kereta dengan lebih baik...

Wednesday, December 21, 2011

Servis kereta




Sukar sangat menjaga kereta. Selain kena basuh kat kedai kita kena servis. Saya tak reti langsung pasal servis ni. Cuma bila sampai sms dari PERODUA Indera Mahkota, saya turunlah kat Kuantan untuk servis.

Saya ni dalam bab-bab servis saya memang ikut jadual. Saya bimbang kereta saya meletop atau rosak tepi jalan. Sebab itulah saya selalu servis ikut masa. saya percaya kepada servis sebab setiap kali saya servis kereta saya rasa ringan dan lancar, break juga `makan' dan kuat.

Kali ini saya kena bayar RM252.85 sen. Dia ada beri resitnya. Sebelum dia servis dia butirkan apa yang hendak diservis di hadapan saya. Saya angguk-angguk jea buat-buat faham, he hehe. Tetapi tuhan tahu saya tak faham langsung. Cuma masa dia tanya kereta saya auto ke manual, cepat jea saya jawab `kereta saya auto'. Saya memang tahu kereta saya automatik walaupun ada gear. Pelik jugak kan. Kata auto tapi ada gear.

Sebab itulah masa saya nak beli kereta dulu saya beritahu pemuda cina tu yang saya nak kereta Myvi paling murah dan tak ada gear. Tapi pemuda tu tak faham, nasib baiklah Ja (kawan saya), terangkan.

Nanti saya kena datang servis lagi bila kereta saya sudah sampai 80,159 km atau bila 4/6/2012. Atau yang mana-mana dulu. Saya tak nak fikir yang mana dulu sebab saya malas nak pening-pening tunggu. Baik saya tunggu sms dari PERODUA jea. Sebenarnya dia ada la tepek kat cermin tu bila saya kena servis lagi tapi saya tak reti nak tengok. Saya tunggu sms lagi senang.

Dalam bab kereta saya bodoh. Saya tak faham bagaimana kereta boleh berfungsi. Sejak saya guna lebih 3 tahun, saya tak pernah bubuh air dalam kereta. Biasanya keluarga saya dan jiran saya bubuhkan. Air itu katanya penting supaya kereta tidak panas. Pelik, sedangkan kereta saya ada aircon.

Yang saya tahu bulan 2 tahun depan saya kena ada duit RM1k untuk bayar rodtax. Betul seperti yang Ja (kawan saya beritahu) bahawa setiap tahun roadtax dan ansuran tersebut semakin kurang. Saya juga tak faham tetapi tak apalah sebab memang bayarannya berkurang setiap tahun. Itu yang penting.

Saya rasa benda yang paling saya tahu mengenai kereta adalah setereng dan tayar sahaja tu pun saya tak reti nak bubuh angin. Biasanya saya bawa Ja semasa nak bubuh angin atau saya suruh budak pam minyak tersebut bubuh, saya beri rm3.

Jan: walaupun ada kereta menyusahkan saya tetapi sebenarnya senang untuk saya nak bergerak dan berdikari. Sekian.

Friday, August 12, 2011

Pertama kali tayar pancit...

Sebelum berbuka puasa, memang kawan saya ada sms beritahu yang tayar kereta saya pancit, tetapi pada masa tersebut saya tak gelabah. Saya berada di Ulu Yam selangor rumah adik, saya sms balik beritahu yang nanti saya akan tukar dengan tayar spare yang ada dalam bonet belakang kereta (ada ke bonet depan kereta).


Namun bila saya balik rumah di Kuantan dan lihat dengan mata kepala saya sendiri tayar saya pancit. Saya rasa tergaman dan terus rasa kekuatan untuk saya tempohi hidup ini lenyap. Saya sangat sedih dan tak tahu apa yang saya patut buat. Saya terkedu dan terduduk di kerusi batu (yang saya beli daripada lori yang menjaja di kawasan perumahan).


" Tayar spare di belakang ada angin tak?" Ayah saya tanya.


" Tak tahu" saya jawab.


" Ada jek tayar tak?" Ayah saya tanya lagi.


"Tak tahu" Saya jawab lagi.


Ayah saya beritahu kena selalu ada barang-barang tersebut dalam kereta. Kalau ada kecemasan senang. Saya baru teringat yang barang-barang tersebut saya tinggalkan di rumah sewa saya di Muadzam. Saya ambil dari kereta sebab ia menyemakan kereta saya. Dan dalam pada tu saya sangat susah hati, saya rasa saya berdosa sebab itu tuhan hukum.


Namun kesusahan hati saya tersebut reda bila ayah saya menguruskan segalanya. Kira kerja saya susah hati sajalah, he heeh. Namun saya tak dapat bayangkan jika pada masa tersebut ayah saya tidak ada...


Ayah saya pam tayar tersebut dan bawa kereta tersebut ke kedai dekat cabang jalan besar. Bila ayah saya balik dari kedai pomen, ayah saya beritahu tayar saya ada paku, terus saya tanya:
"Ayah tukar tiub dah?"
" Mana ada pakai tiup tayar ni" Jawab ayah saya.
Laaa, saya ingatkan macam motor saya dulu. Bila bocor boleh tukar tiub. He he he.
Jan: Susahnya ada kereta dan susah juga tak ada kereta...

Thursday, July 28, 2011

Basuh kereta







Saya bukannya seorang lelaki pengkereta. Saya bukan manusia kereta. Saya mungkin lebih kepada manusia pasu atau tumbuhan. Saya tidak titikberatkan sangat hal kereta. Kereta saya sebenarnya dah ada 2 kecederaan ringan. Kepek (kesan kena langgar), ia boleh baiki dalam anggaran RM400 (kata taukeh Cina). Dalam hati saya kata `baik aku beli karpet atau pasu'.


Memelihara kereta sangat susah. Seperti pakaian, kita juga kena basuhnya. Kita mungkin ada mesen basuh pakaian di rumah tetapi tidak mampu nak beli mesen basuh kereta. Namun saya tak kisah jika kereta saya kotor kecuali kalau kawan-kawan nak tumpang. Dan hal ini memang jarang berlaku mereka tumpang. Dan sebenarnya saya tak malu sangat sebab saya dapati kereta kawan-kawan saya, bukan sahaja macam tong sampah tetapi muntah anak pun ada! he he he.


Namun posting ini bukan pasal kebersihan kereta orang yang dah kawin dan ada anak kecil tetapi perihal basuh kereta. Saya basuh kereta apabila saya rasa kereta tersebut terlalu kotor. Saya tidak basuh seminggu sekali atau sebulan sekali, saya basuh ikut tahap kekotoran.


Saya hantar kat kedai bila saya rasa kereta saya kotor. Dan sebenarnya pernah saya cuba membasuh kereta sekali, he he he. Kalau nak basuh kereta cerewet sangat. Saya kena pakai T'shit, pakai topi dan seluar pendek (biar seksi sikit). Apa kata jiran kan?. Saya juga kena ambil baldi, getah paip, syampoo, kain dan berus yang bersesuaian. Saya juga letakan kerusi dekat kerata untuk letak secawan nescafee panas. Saya juga kena ada earphone untuk dengan lagu. Pemilihan lagu ketika nak basuh kereta juga kena `kena', janganlah pulak lagu raya sedangkan ramadhan tak jelma lagi. Susahkan, maka saya ambil keputusan untuk seumur hidup, basuh kereta adalah suatu yang cerewet, sebab itu ada kedai untuk basuh kereta. lagipun saya tak pandai nak basuh kereta dengan bersih.

Saya kena hantar kedai, tempat yang saya biasa basuh kereta, dia ambik RM14 sahaja untuk kereta Myvi saya.


Dalam hati kecil, saya tidak suka pergi ke kedai kerana saya malas nak menunggu. Saya juga seperti Ella dan Rossa, tak suka menunggu `ku menunggu, ku menunggu'. Entah kenapa walaupun ada juga kebaikan menunggu. Mungkin tempat menunggu ala kadar sahaja, tak ada jual air atau nasik lemak, air nescafe. Bukannya saya nak free, saya mampu.


Namun dah lama saya rasa lega, sejak tahun lepas saya rasa `hai senangnya dalam hati...' sebab saya hanya perlu sms dan pembasuhan kereta dibuat di rumah saya sepenuhnya. Biasanya malamlah saya sms supaya datang sebab siang saya banyak hal nak buat.


Jan: Mak saya pernah kata " Hidup ni penuh rahmat, abang je tak nampak"

Wednesday, June 8, 2011

Servis Percuma - Shell Indera Mahkota

Dalam kamus hidup saya kereta bukanlah suatu kegemaran atau minat. Ianya sesuatu yang sangat-sangat kompleks untuk dikendalikannya. Sejujurnya sampai sekarang saya tak pernah periksa apa yang ada dalam bonet depan. Yang saya tahu kalau nak buka kita kena tarik sesuatu dekat stering kereta. Lepas tu kita kena buka dengan hulur jari untuk sentuh sesuatu di hadapan bonet tersebut, barulah bonet depan terbuka. Begitulah caranya kot, sebab saya tak pernah buka pun, he he he.


Jadi saya tak pandai nak periksa air, atau periksa apa-apa pun, saya harapkan servis sahaja. Dalam bonet kereta itu banyak sangat barang, yang macam bekas isi air pun ada, saya ada tengok bila Ja buka tempohari. Saya tengok pening. Tak tersusun elok. Wayar bersirat ikut suka jea. Pendek kata saya tak suka lihat benda-benda di dalamnya. Satu je barang yang saya kenal. Bateri kereta.


Maka bila saya sampai di stesyen Shell Indera Mahkota, saya teruja. Saya bagaikan tikus jatuh ke dalam guni beras, bagaikan arwah Mokhtar Dahri mendapat bola.


Ada servis percuma!. Saya apalagi terus mengambil peluang. Lihat gambar-gambar di bawah:







Kilatkan tayar...




Cuba lihat cara saya masuk parking, nasib baik tak langgar khemah, he he he. Pucat jugak pemuda servis tu... Dia kena tarik sikit tiang khemah untuk ejas dengan kedudukan kereta saya.







Jan: Cara tarik pelanggang dekati Shell...

Thursday, March 10, 2011

Myvi kena tahan...

Dengan berdebar-debar saya jelaskan bahawa saya bukannya tak bayar rodtek, bukan salah saya. Pihak pos yang salah, lambat pos balik rodtek tersebut. Memang saya naik cuak bila dia suruh saya parking kereta di tepi jalan...


Saya buat roadtek di agensi Muadzam, saya bayar sekali kos runner dia. Memang saya tunggu jelah dia pos balik rodtek tersebut.


Sebelum itu dia beritahu:


" Roadtek awak dah tamat tempoh ni. Kalau awak dah buat yang baru pun awak tetap salah sebab tak pamir roadtek, saya boleh saman awak atas gagal pamir" Katanya dengan serius.


Saya tengok mukanya, memang dia serius. Saya bukan dalam programe Raja Lawak. Saya rasa kalau pada masa tersebut saya dapat lihat muka saya tentu putih (pucat) dan tentu handsum. Tetapi kata kawan saya dia tak suka lelaki putih. Sebenarnya tak payahlah kita lihat warna kulit, kalau kulit putih tapi hati hitam tak guna juga.


Kalau petang jumaat memang saya ke Kuantan. Saya tak sangka kereta saya kena tahan. inilah kali pertama. Saya sedar roadtek saya dah mati...memang salah saya, he he he.


Saya merayu, he he he malu pulak rasa. kalau buat vidio klip memang saya tak akan tunjukan kepada anak cucu. Saya beritahu saya kecemasan, saya kena ke Jengka buat research pasal FELDA. Saya mengaku silap dan saya tak akan buat lagi.


Dia bertanya saya kerja di mana dan akhirnya dia hanya beri nasihat kepada saya. Mukanya pun dah kembali mesra macam saya ni adik ipar dia.
Selepas saya meninggalkan sekatan tersebut, saya terus pandu kereta. Sampai di suatu tepi jalan saya berhentikan kereta tepi jalan. Ambil nafas sebab berdebar. saya sms Adnan beritahu kejadian tersebut...


Jan: Tak sangka betul!

Monday, March 7, 2011

Kena saman: Tahniah ke takziah?

Ramai kawan-kawan ucapkan tahniah kepada saya sebab kena saman bawak Myvi laju. Saya kena saman kat Gambang (saman jenis tak ada orang tahan kereta, mereka guna alat entah apa tapi mereka tahu kita pecut berapa km sejam, siap dengan tarikh dan waktunya sekali).
Memang kat situ saya bawa laju sikit (lebih 90km) sebab jalan sehala dan kereta tak banyak, he he he.
Saya kena bayar rodtek dan insurans kereta saya. Sebelumnya saya suruh kawan saya (Ja) cek melalui handphon saya tetapi tak ada pun... Bila kami gi cek kat pos opis, kerani kaunter print (kena bayar RM1) dan saya tengok ada dua saman...Saya kena bayar RM600!. Nasib baik ada diskaun 50%, macam pasaraya...he he he. Ada sale!!!.
Hishamuddin kata tarikh dilanjutkan hingga 10 mac ini, sebab ada masalah komputer dan teknikal...orang tak sempat bayar, tak dapat bayar...
Jan: Tak terpikir ke dia, orang tak bayar sebab tak ada duit? he he he kata rakyat didahulukan...

Monday, September 27, 2010

Kisah angin tayar kereta saya...

Masa balik cuti raya lepas saya tak isi angin tayar kereta. Saya ada tanya ayah "Kita nak berjalan jauh kena isi ke angin tayar kerata?, abang tok reti tengok ada angin ke dok lagi".
Ayah saya kata dia dah periksa tayar tersebut dan tak perlu isi, maka saya tak isilah.
Dan sampai ke hari ini saya masih lagi tak isi angin tayar kereta dan sesungguhnya saya tak tahu bila nak isi sebab bila tengok tak kempis pun tayar tersebut. Kalau minyak, kita tahu la bila nak isi sebab ada meter, tapi angin? Tak ada meter pun beritahu.
Hujung minggu lepas seperti biasa saya berkereta ke indera sempurna tengok rumput. Namun satu kejadian yang memalukan berlaku pada diri saya.
Semasa saya bertolak dari Muadzam, saya lapar. Maka bila sampai di Indera Sempurna, saya tak terus ke rumah saya. Saya berhenti makan di kedai sederet di hadapan taman yang menghala jalan Pekan -Ktn. selepas saya parking kereta, Saya terus ke kedai makan.
Semasa makan sesekali saya menoleh ke arah kereta saya di seberang jalan. Memang sengaja saya parking dekat depan kedai sebab ayah saya beritahu kalau boleh parkinglah kereta di tempat kita boleh nampak.
Saya pun makanlah sambil berfikir bila saya akan isi angin kereta. Sambil makan nasi lemak tersebut saya juga fikir memang menjadi masalah bagi saya bab-bab isi angin ni. Bulan depan kena servis kereta lagi. Saya fikir hal ini sebab saya ada kereta, dulu saya tak fikir hal-hal begini. Sekalipun tak pernah. Saya terbayang pulak zaman senang saya tak ada kereta...
Selepas bayar nasi lemak, saya terus ke kereta saya. Saya berdiri dekat dengan tayar. Saya perhati bentuk tayar kereta saya. Ok lagi, tak nampak kempis pun. Kemudian saya duduk ala mencangkung sambil tangan saya picit-picit tayar kereta. Masih keras. Saya bangun pula. Saya tendang tayar tu berkali-kali sebab nak rasa keras atau dah lembik. Mungkin cara tendang kesan dia lain sikit.
Masa saya asyik tendang tayar tu tiba-tiba datang seorang pak cik entah dari mana, mungkin dari kedai saya makan tadi kot. Tiba-tiba je pak cik tersebut bertanya:
" Kenapa ni? "
" Ni...nak tengok tayar ni ada angin ke tak" Jawab saya sambil masih lagi menendang tayar dengan kaki.
" Pak cik dah isi angin kereta ni semalam"" Kata pak cik itu selamba.
Ketika itulah saya terkejut. Saya mulai merasakan dunia ini bukan milik saya lagi. Saya dan alam maya terus tak bermaya. Pandangan saya mulai kabur, seolah awan gemawan Indera sempurna terhempap di atas bahu saya. Lalu saya melihat ke dalam kereta tersebut dan saya ternampak ada kopiah putih dan beg kulit. Ya, kereta tersebut bukan saya punya...
Di seberang jalan yang tak berapa jauh, saya lihat ramai orang di kedai (kedai yang saya makan tadi) berdiri sambil memandang ke arah kami...
Dan dalam tergaman itu saya lihat kereta saya betul-betul berada di sebelah kereta pak cik tadi.
Jan: ... saya berazam tak akan makan lagi kat kedai makan tersebut selama 2 bulan....

Thursday, September 23, 2010

Kereta:39

Apabila berusia 39 tahun barulah saya pakai kereta. Bagi diri saya, saya tidak merasa hairan kerana sebelum ini memang ada kengkangan untuk saya pakai kereta. Kekangan pertama ialah saya tidak mampu dan kekangan kedua ialah saya takut (dan kekangan kedua tersebut kadang-kadang jadi kekangan pertama...he he he).

(Tetapi saya hairan terhadap golongan yang tak mampu pakai kereta tetapi pakai juga kereta).

Kenderaan suatu keperluan dan susah jika tidak pakai kereta. Saya tahu benar hal ini kerana dulu saya tidak pakai kereta. Namun saya telah harungi kesusahan tersebut dan berjaya. Selepas itu saya pakai motor. Jangan bilang berapa kali saya basah kuyup, bukan sekali dua... bukan...(baca dengan nada sayu...)

Jangan kata tak ada kereta kita akan lewat pergi kerja, jangan kata tak ada kereta kita tak akan sampai ke distinasi yang nak kita tuju. Kita akan sampai tetapi dengan sedikit bersusah payah...(dan kadang-kadang dengan banyak bersusah payah).
Yang penting kita manusia, kita harunginya.




Jan: jangan kata kita tak ada kereta tak ada orang yang nak (minat) kat kita...he he he.


Wednesday, September 1, 2010

Saya masih tak mahir...

Saya akan bergegas balik ke Besut untuk cuti raya pada hari jumaat 3hb. Selepas pelajar saya selamat menduduki peperiksaan pertengahan semester, saya akan terus balik kampung petang itu juga.
Sebelum ini cita-cita saya untuk memandu sendiri balik ke kampung memang telah tercapai. Saya tidak menulisnya mengenai pengalaman `bersusah payah' tersebut di dalam blog ini, saya juga tidak menceritakan kepada sesiapa. Entah kenapa. Mungkin ia amat mendebarkan saya.
Pengalaman tersebut biasa sahaja, saya berdebar-debar sepanjang perjalanan. Dan tiba di persimpangan jalan membuatkan saya panik sebab tak tahu nak pilih jalan mana, belok kiri ke?, atau belok kanan?. Bayangkan betapa juga paniknya pemandu di belakang saya bila saya teragak-agak nak belok kiri ke ke kanan. Mungkin berbakul sumpahan diberikan kepada saya, he he he. Ampun...
Saya sedar, saya kena berani hadapi hidup ini. Tidak selamanya saya harus takut-takut. Tapi memang saya takut... Teringat saya kepada pengalaman pertama saya memandu ke Kuantan. Sebenarnya tidak sampai pun separuh perjalanan, saya berpatah balik ke Muadzam. Saya takut dan berdebar-debar.
Pengalaman balik kampung hari tu penuh debaran terutama saya nak memintas 3 buah lori sekaligus. Saya tahu saya tidak patut melintas 3 buah lori sekali gus sebab saya tak biasa pecut dengan laju (kecuali pecut 65km sejam). Saya hanya berjaya memintas sebuah lori dan secara tiba-tiba saya terpaksa masuk balik ke tepi jalan kanan bila sebuah kenderaan muncul di hadapan. Panik gila, tetapi saya berjaya masuk mencelah antara lori-lori tersebut...
Hanya kekuatan di dada membuat saya tabah menjalani...
Jan: Apa yang pasti ialah saya mesti terus memandang ke depan...

Sunday, April 18, 2010

Sesat di bandar Kemaman dan...

Assalamualaikum, Salam Sejahtera & Salam Satu Malaysia.

Ketika saya sesat di bandar Kemaman, saya rasa seribu perasaan. Setakat ini, inilah perjalanan terjauh yang saya lalui dengan berkereta, berMyvi bersendirian... Pada masa tersebut jantung saya dag dig duk-dak dik dug. Saya berpeluh walaupun airkong kereta sejuk...

Apabila kita sesat bermakna kita tidak tahu kita berada di mana. Dan yang lebih parah lagi dalam situasi saya, saya sebenarnya tidak tahu nak ke mana... Sadiskan... Yang saya tahu saya mesti membuat latihan memandu jauh untuk keperluan masa hadapan...

Bandar kemaman tidaklah besar mana berbanding Kuala Lumpur, New York, Paris atau Milan...namun ianya maha besar kepada saya yang kerdil ini. Kepada pembaca yang tidak tahu, Bandar Kemaman berada di daerah Kemaman. Ia merupakan daerah yang paling hujung ke selatan negeri Terengganu Darul Iman.

Sebelum penemuang petroliung, Daerah Kemaman merupakan daerah ketiga yang mempunyai penduduk paling ramai selepas Daerah Kuala Terengganu dan Daerah Besut (daerah kelahiran saya). Kini Selepas Daerah Kuala Terengganu, Daerah Kemamanlah kedua terbesar.

Lapan tahun lalu (2002) Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah dinaikkan taraf dari Majlis Daerah ke Majlis Perbandaran Kemaman. Saya masih ingat lagi semasa belajar di UM, pensyarah saya kata untuk sesebuah Majlis daerah bertukar kepada Majlis pembandaran ia mesti antaranya mempunyai penduduk melebihi 100,000 orang dengan pendapatan tahunan melebihi RM10 juta.

Saya kembali kepada perasaan saya yang tidak tenteram pada masa tersebut. Dalam kesesatan itu saya beberapa kali berhenti di bahu jalan untuk tenteramkan fikiran. Banyak juga nampaknya kereta di jalan raya Bandar Kemaman. Saya berselisih juga dengan beberapa buah kereta yang pelik-pelik, Ferrari atau Porsche, entah. Kaya-kaya juga orang Kemaman. Saya tidak biasa memandu kereta dalam kesibukan, saya tinggal di dalam hutan dara Muadzam atau lebih dikenali sebagai `Paris' di kalangan kawan-kawan saya.

Ketika saya berpeluh sesat tersebut, sempat lagi saya bertanya pada diri. Sesatkah saya juga dalam kehidupan ini?. Untuk membuatkan saya rasa lebih selesa, saya sempat juga lontarkan pertanyaan itu pada tuhan. Seperti biasa saya tidak mendapat jawapan yang segera. Tetapi saya juga terus tertanya dan bertanya seperti ada juga orang terus berdoa dan berdoa.

Sejak berkereta, saya rasa hidup saya lebih bersendirian. Memang saya tak nafikan ada kereta kita jadi senang kerana boleh membuat perjalanan sendiri...tetapi dalam perjalanan yang panjang ini senangkah bersendirian...? Saya terus mendapatkan jawapannya bila saya sendiri cepat-cepat menjawabnya, he hehe. Dan jawapan tersebut menyebabkan saya harus selalu terus tabah.

Kemudian saya berhenti untuk relex minda dan minum secawan kopi di kedai kopi. Sambil saya menghirup kopi o tersebut, saya jamah dua set roti bakar. Oleh kerana dua set roti bakar tersebut masih juga gagal mengenyangkan saya, saya mintak nasik lemak pulak. Saya suruh pekedai itu goreng telur dada untuk saya, saya tak nak telur mata...(demand pulak dah).


Sambil menghembus rokok Malboro, saya tertanya lagi mungkinkah kita sebagai manusia tidak pun sedar bahawa kita tengah sesat kerana kita sibuk nak jadi seperti orang lain...nak capai apa orang lain capai? Adakah kita sebagai seorang suami/isteri/anak sedang sesat? Adakah kita sebagai pemimpin/majikan/pekerja sedang sesat? Tidak kira siapa kita...adakah kita sedang sesat?
Mungkin kita sebagai insan yang lemah, terlupa setiap orang tuhan uji secara berlainan dan mungkin kita terlupa lagi yang tuhan nak lihat kita buat terbaik dengan apa yang dia beri..
.

Kemudian saya terus memandu, saya lihat laut membiru bersih... Ya allah, kau tidak pernah secantik ini di mataku...


Jan: Saya pegang stereng kemas-kemas dengan tangan kanan, tangan kiri saya tarik lengan baju, sapu air mata...

Thursday, March 18, 2010

Dah setahun rupanya...


Saya dah kena bayar insurans kereta buat pertama kali dalam hidup, jumlahnya RM1,040. Dan saya bayar RM100 untuk roadtaxnya juga. Semuanya RM1,140 saya bayar tunai. Ada pihak yang uruskannya sebagai ejen di Muadzam. Apalah yang saya tahu pasal kereta...
Masa rupanya berlalu begitu pantas... Sebenarnya kawan saya yang tertengok ianya dah nak `mati' dan beritahu saya ada masa hanya 2 hari lagi untuk berkereta. Saya terkejut dan gelabah gila sebab tidak ada sapa-sapa (maksud saya pihak bank ke atau bank negara) hubungi saya untuk makluman.
Saya sendiri benar-benar terlupa yang dulu kawan saya kata setiap tahun kena bayar, dan jumlahnya semakin menurun. Saya bukan manusia kereta, maka sesuatu mengenai kereta saya tak cepat tahu dan faham.
Semasa urusan juga mak cik yang terlebih ramah tu beritahu sekarang nilai kereta saya dah jadi RM40K. Saya beritahulah amboi dah bertambah murah, tapi saya rasa kereta saya masih baru lagi, saya pun gunakannya hanya pergi ke tempat kerja, dan saya tak lari laju, tak langar lubang...tak kan murah... stearing kereta sinar lagi. Mak cik tu tak kata apa-apa. Dia senyum semacam je.
Saya rasa kereta ni payah sangat nak faham sebab banyak perkara yang saya tak faham dan ingat. Contohnya demi allah (guna unsur agama, setelah sekian lama tak guna. saya mungkin akan menggunakannya dengan lebih kerap nanti, insyallah.) saya masih tak tahu hendak buat macam mana supaya buih sabun itu muncul di waiper depan, kalu muncul tentul bersih cermin depan. Cuma pernah masa hujan, saya kelam kabut tersentuh apanya entah maka muncul buih sabun tapi untuk waiper belakang kereta. Huh!
Nak tanya kawan nampak macam mengada, tapi tuhan jelah tahu...
Jan: Akan kucekal di hati jalani hidup ini...

Monday, December 7, 2009

Kali kedua ke Kuantan...

Kali kedua saya memandu ke Kuantan adalah untuk urusan servis kereta. Kalau tak, selisih malaikat 44 pun saya tak ke Kuantan. Kalau saya tak hantar servis, nak suruh sapa pula kan?.
Dulu kali pertama ke Kuantan kerana hendak jumpa kawan baik saya (yang akhirnya saya terduduk di tepi longkang tu, he he he. Ingat tak?). Sekarang segalanya sudah jelas… Saya faham kerana waktu tersebut dia sudah bertunang...(cuma saya sahaja yang tak tahu). Dan saya ambil semuanya secara positif, tentulah dia ada sebab yang betul untuk merahsiakannya…. dan saya juga ada sebab yang betul untuk tidak hadir di hari bahagianya, he he he. Kami sama-sama faham.
Namun posting ni adalah perihal saya menservis kereta di Indera Mahkota (yang berkebetulan pula hari bahagianya). Seperti biasa cerah tanah saya memandu ke Kuantan. Saya dah buat temujanji dengan Perodua jadi dah disediakan slotnya untuk saya. Pun begitu saya tersilap masuk jalan untuk cari di mana bangunanya... untuk kurangkan tension saya berenti makan dulu.
Bila sampai di bangunan yang betul saya ke kaunter dan beritahu saya dah buat temujanji. Dia ambik kunci kereta saya dan dia suruh saya duduk relek-relek.




Ni mungkin anak-anak yang nak mengikut ibubapa pergi servis kereta.


Selesa tempatnya, kalau nak buat air nescafe segala peralatan disediakan di penjuru dinding.

Ni kaunternya haa...

Seorang pelanggang berurusan dengan kaunter


Mungkin mak cik tersebut mencari anaknya tadi...



Masa saya sampai ke tempat servis kereta, dah ada beberapa kereta yang tengah servis, saya datang awal maka agak lama juga saya terpaksa tunggu giliran saya.


Saya hanya duduk dan memerhati orang di sekeliling, boring pulak. Ada majalah tetapi tidak sesuai dengan saya. Jadi saya perhatikan saja gelagat orang. Best jugak perhati gelagak orang ni.

Dalam pada tu saya juga termenung dan bermonolog. Sekarang saya dah bertambah dewasa, banyak benda saya kena buat sediri. Tanggungjawab semakin besar. Saya tak boleh percayakan sesiapa lagi. Saya dah tak boleh harapkan sesiapa lagi. Sudah semakin jelas tuhan beritahu saya manusia itu apa sebenarnya... (dan...bagaimana rupa dan bentuk mereka...)



Memang bagi orang lain pergi servis kereta tu perkara kecil, namun bagi saya ( dan juga bagi oarang yang mengenali saya) ianya perkara besar...
Jan: Kereta kena servis, manusia?

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home