Umur 50 baru hendak check, aku ini berjaya ke tidak?
Apabila
umur sudah masuk 50-an, barulah saya mula bertanya kepada diri sendiri: berjayakah
saya dalam hidup ini? Pernah tak kita berhenti sekejap dan bertanya, “Adakah
aku ini termasuk dalam golongan orang yang berjaya, atau sebenarnya aku ini
gagal dalam hidup?” Soalan nampak mudah, tetapi apabila hendak menjawabnya,
wah... bukan mudah rupanya. Masa muda kita sibuk hendak berjaya. Bila sudah
umur 50, baru kita duduk termenung dan tanya, “Eh, sebenarnya aku dah berjaya
ke belum?” He he he.
Rupanya definisi berjaya tak sama untuk semua orang
Masalahnya,
definisi kejayaan itu berbeza-beza. Apa yang dianggap berjaya oleh seseorang,
mungkin langsung tidak dianggap berjaya oleh orang lain. Ada orang mengukur
kejayaan melalui wang, rumah besar, kereta mahal dan harta. Ada pula yang
melihat kejayaan melalui keluarga, anak-anak, kerjaya, kesihatan, ketenangan
hidup atau sekadar kemampuan bangun pagi tanpa banyak masalah yang hendak
difikirkan. Sebab itu saya rasa banyak wang juga bukan syarat utama untuk
mengatakan seseorang itu sudah berjaya. Kita boleh lihat sendiri di sekeliling
kita. Ada orang banyak duit dan harta, tetapi hidupnya huru-hara. Boleh tengok
ahli politik, artis, ahli perniagaan dan macam-macam lagi. He he he. Duit
banyak tetapi tidur pun tak lena, itu berjaya ke tidak?
Bila tak ada isteri dan anak, terus orang cop tak sempurna
Pernah satu
ketika, dalam satu group WhatsApp, saya dicop sebagai orang yang hidupnya tidak
sempurna kerana tidak mempunyai isteri dan anak-anak. Saya tidaklah terkejut
sangat apabila kawan saya menulis begitu. Sebab 15 tahun dahulu lagi saya sudah
tahu dia bodoh. He he he. Cuma saya terkilan juga, apakah faedahnya menulis
perkara seperti itu dalam group WhatsApp? Kalau hendak beritahu saya hidup saya
tidak sempurna pun, tak perlulah satu kampung dijemput untuk tahu. Group
WhatsApp itu asalnya mungkin tempat bertanya khabar, akhirnya boleh jadi
mahkamah kehidupan. He he he.
Kawan baik saya itu cuma mewakili ramai orang
Tetapi
sebenarnya, kawan saya yang baik itu — tetapi bodoh — cuma mewakili sebahagian
manusia yang memang berfikiran begitu. Pada pandangannya, hidup yang sempurna
mesti ada isteri, mesti ada anak-anak dan mungkin mesti mengikut pakej
kehidupan yang sudah ditetapkan masyarakat. Kalau tidak ada semua itu, maka hidup
dianggap kurang lengkap. Saya sendiri rasa memanglah hidup saya tidak sempurna.
Siapa pula hidupnya sempurna? Tetapi tidak sempurna bukan bermaksud tidak
bahagia. Tidak mempunyai sesuatu yang orang lain ada juga tidak bermaksud kita
gagal. Masih ada ruang untuk saya bahagia, masih ada ruang untuk saya berjaya
dan yang penting, tak perlulah semua itu diumumkan dalam group WhatsApp. He he
he.
Kalau duit banyak sahaja yang berjaya, habis t20 sahaja bahagia?
Ramai orang
memang akan mengaitkan kejayaan hidup dengan wang dan harta. Saya faham kenapa.
Wang diperlukan untuk memenuhi keperluan hidup dan harta pula boleh memberikan
keselesaan. Tetapi wang dan harta bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan. Kalau
kita berpegang kepada idea bahawa hanya orang berpendapatan tinggi yang berjaya
dan bahagia, maka secara logiknya hanya golongan T20 sahaja yang patut bahagia.
Maknanya hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang berjaya dalam hidup, manakala 80
peratus lagi gagal? Tentulah mengarut. Saya rasa kejayaan hidup jauh lebih luas
daripada angka dalam akaun bank. Kalau baki bank banyak tetapi hidup setiap
hari macam dikejar hantu, saya pun tak tahu hendak panggil itu kejayaan atau
penderitaan versi premium.
Berjaya tak semestinya ada segalanya
Pada umur
50-an ini, saya semakin rasa kejayaan bukan soal siapa paling banyak memiliki
sesuatu. Ia lebih kepada bagaimana kita menjalani hidup yang kita ada. Mungkin
saya tidak mempunyai semua perkara yang orang lain anggap sebagai tanda
kejayaan. Tetapi kalau saya masih boleh menikmati hidup, mempunyai perkara yang
membuat saya gembira, boleh mengenang kembali pengalaman lalu dan masih
mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu yang saya suka, saya rasa itu pun
sudah satu bentuk kejayaan. Tidak perlu hidup kita kelihatan sempurna di mata
orang lain untuk kita menganggap diri sendiri sudah cukup berjaya.
Kadang-kadang umur 50 baru kita sedar, hidup ini bukan pertandingan. Tak ada
siapa pun akan datang hulurkan medal pada umur 60 sambil berkata, “Tahniah,
anda telah mengalahkan jiran sebelah.”
Gituew…


