Setiap kali Belanjawan dibentangkan, kita akan melihat pelbagai angka besar memenuhi berita. Berbilion ringgit disebut, pelbagai projek diumumkan, bantuan rakyat ditambah dan pelan ekonomi negara diterangkan dengan penuh keyakinan. Bagi ahli ekonomi, semua angka itu membawa maksud yang besar. Tetapi bagi orang biasa, terutama mereka yang setiap hari keluar bekerja dan masuk pasar raya, persoalannya lebih mudah. Mereka tidak begitu memikirkan angka defisit atau pertumbuhan KDNK ketika berdiri di kaunter bayaran. Mereka cuma mahu tahu, "Adakah hidup aku semakin ringan atau semakin berat?"
Bagi rakyat biasa, ukuran pertama sebuah belanjawan mungkin bukan di dalam buku laporan kerajaan, tetapi di dalam troli pasar raya. Ketika membeli barang dapur, mereka akan mula mengira. Dulu RM100 boleh penuhkan beberapa beg plastik, sekarang mungkin hanya beberapa barang sahaja. Harga beras, ayam, ikan, telur, sayur-sayuran dan keperluan harian menjadi perkara yang lebih dekat dengan kehidupan mereka berbanding angka ekonomi yang besar. Inflasi mungkin turun dalam laporan rasmi, tetapi jika dompet masih cepat kosong, rakyat tetap merasakan tekanan itu. Ekonomi yang baik akhirnya perlu dirasai ketika seseorang membeli makanan untuk keluarganya.
Begitu juga dengan soal gaji. Setiap tahun kita mendengar tentang kenaikan pendapatan, peluang pekerjaan dan usaha meningkatkan taraf hidup. Tetapi realitinya, ramai pekerja masih melihat gaji mereka hilang sebaik sahaja masuk ke akaun. Baru sahaja menerima gaji, terus datang bayaran rumah, kereta, bil elektrik, internet, pinjaman dan barang dapur. Kadang-kadang gaji bukan lagi seperti tetamu yang tinggal lama, tetapi seperti tetamu yang datang sekejap kemudian terus keluar semula. He he he. Sebab itu ada orang berkata, masalah mereka bukan tiada pendapatan, tetapi pendapatan tidak sempat mengejar kehidupan yang semakin mahal.
Selain soal harga dan gaji, rakyat juga melihat masa depan. Mereka mahu anak-anak mereka mendapat pekerjaan yang baik. Mereka mahu perniagaan kecil di kawasan mereka terus hidup. Mereka mahu melihat ekonomi negara bukan hanya berkembang dalam laporan, tetapi membuka peluang yang boleh dirasai oleh keluarga biasa. Sebuah belanjawan yang baik bukan sekadar membina bangunan baharu atau melancarkan program baharu, tetapi memberi keyakinan bahawa kehidupan hari esok akan lebih stabil.
Akhirnya, kecantikan sesuatu belanjawan bukan hanya terletak pada angka yang tersusun cantik di atas kertas. Angka memang penting, tetapi kehidupan manusia tidak berlaku di atas kertas. Ia berlaku di dapur rumah, di pasar raya, di kaunter pembayaran dan di fikiran seorang ayah atau ibu yang memikirkan masa depan keluarga. Belanjawan 2027 mungkin kelihatan menarik dalam dokumen rasmi, tetapi ukuran sebenar ialah apabila rakyat membuka dompet mereka dan berkata, "Ya, kali ini aku benar-benar rasa perubahan itu."
Haaa...

No comments:
Post a Comment