KEBURUKAN: PKS MUNGKIN TERPAKSA MENGIRA SEMULA SETIAP SEN
Apabila bercakap tentang cadangan menaikkan caruman majikan KWSP secara progresif, niatnya memang baik. Kita semua mahu pekerja mempunyai simpanan persaraan yang lebih kukuh. Lagipun, umur muda memang kita rasa duit dalam akaun sentiasa ada. Tetapi apabila umur semakin meningkat, barulah kita sedar bahawa duit persaraan bukan sekadar angka dalam penyata KWSP. Ia adalah bekalan untuk meneruskan kehidupan apabila tenaga kerja sudah tidak seperti dulu.
Namun begitu, dalam setiap dasar ekonomi, biasanya ada satu cerita yang tidak selalu disebut. Yang kecil kadang-kadang lebih terasa bebannya. Dalam isu ini, saya lebih memikirkan nasib perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Syarikat besar mungkin boleh menarik nafas panjang apabila berlaku peningkatan kos. Mereka mungkin ada simpanan, pelaburan atau keuntungan yang lebih besar. Tetapi bagi banyak PKS, keadaan agak berbeza. Mereka kadang-kadang bukan mengira keuntungan jutaan ringgit, tetapi mengira sama ada duit dalam akaun cukup untuk membayar gaji hujung bulan.
Bagi pemilik kedai makan kecil, kedai runcit, bengkel atau syarikat pembinaan kecil, tambahan beberapa peratus caruman KWSP mungkin nampak kecil di atas kertas. Tetapi ekonomi bukan hidup di atas kertas sahaja. Kertas tidak perlu bayar bil elektrik, sewa kedai dan gaji pekerja. Apabila jumlah pekerja bertambah, angka kecil tadi boleh berubah menjadi angka yang membuat pemilik perniagaan mula memegang kalkulator lebih lama daripada memegang telefon.
Bayangkan sebuah restoran tempatan mempunyai 50 orang pekerja. Tambahan kos seorang pekerja mungkin tidak kelihatan besar. Tetapi apabila dikira untuk semua pekerja setiap bulan, jumlahnya boleh menjadi wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli mesin baharu, membaiki kedai, menambah stok atau membuat promosi menarik pelanggan.
Dalam keadaan sekarang, ramai peniaga kecil sudah berdepan dengan pelbagai cabaran. Harga bahan mentah meningkat, sewa premis semakin tinggi, bil utiliti berubah-ubah dan pelanggan pula semakin berhati-hati berbelanja. Kadang-kadang pemilik kedai makan sendiri terpaksa menjadi pengurus, juruwang, pembeli barang dapur dan tukang kira akaun dalam satu masa. Kalau tambah lagi tekanan kos, mungkin selepas ini mereka perlu menjadi “pakar ekonomi sambilan” pula.
Apabila kos meningkat, beberapa pilihan mungkin terpaksa dibuat oleh majikan. Ada yang mungkin menangguhkan pengambilan pekerja baharu, mengurangkan waktu operasi, mengehadkan kenaikan gaji atau mencari cara menggunakan teknologi untuk mengurangkan kos tenaga kerja.
Sebagai contoh, sebuah kedai makan kecil yang mempunyai 20 pekerja tidak mempunyai kemampuan yang sama seperti rangkaian restoran besar. Restoran besar mungkin boleh menanggung kenaikan kos melalui jumlah jualan yang tinggi. Tetapi kedai makan kecil yang bergantung kepada pelanggan tetap di kawasan perumahan mungkin tidak mempunyai ruang yang banyak. Jika kos tidak dapat diserap, harga makanan mungkin terpaksa dinaikkan.
Akhirnya, kesannya mungkin sampai kepada pengguna. Nasi goreng yang dahulu berharga RM8 mungkin berubah menjadi RM9 atau RM10. Kita mungkin mula melihat menu lebih lama daripada biasa, bukan kerana banyak pilihan, tetapi kerana sedang membuat kira-kira dalam kepala: “Nak tambah telur atau cukup dengan sambal sahaja?”
Namun, ini bukan bermaksud usaha meningkatkan simpanan persaraan pekerja tidak penting. Pekerja juga mempunyai hak untuk menikmati kehidupan yang lebih terjamin selepas bersara. Cuma dalam ekonomi, setiap tindakan mempunyai kesan kepada pihak lain. Apa yang membantu satu kumpulan mungkin menjadi cabaran kepada kumpulan yang lain.
Pada pandangan saya, pendekatan yang lebih seimbang perlu dipertimbangkan. Pelaksanaan secara berperingkat, insentif kepada PKS atau bantuan sementara kepada sektor yang paling terkesan mungkin dapat mengurangkan tekanan kepada majikan tanpa mengabaikan kepentingan pekerja.
Akhirnya, ekonomi bukan permainan mencari siapa yang menang dan siapa yang kalah. Pekerja memerlukan perlindungan, tetapi majikan juga memerlukan ruang untuk terus berniaga. Jika perniagaan kecil berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Jika perniagaan kecil terlalu terbeban, kita juga perlu bertanya siapa yang akan menyediakan pekerjaan pada masa hadapan.
Dalam hidup ini, seperti memasak nasi di kedai makan, api perlu cukup kuat tetapi jangan sampai periuk hangus. Begitu juga dasar ekonomi. Matlamatnya bukan sekadar memasak satu pihak sehingga masak, tetapi memastikan semua pihak boleh menikmati hidangan yang sama.
No comments:
Post a Comment