Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Saturday, September 12, 2026

POKOK TIDAK BISING, TETAPI TETAP MEMBESAR

 


Semakin lama saya hidup, semakin saya sedar bahawa kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk membuat kita bahagia. Kita memang memerlukan keluarga, kawan dan orang yang kita sayang, tetapi pada akhirnya kita tetap perlu belajar berdiri dengan diri sendiri. Ada masa orang yang kita harapkan tidak ada di sisi, dan pada ketika itulah kita belajar bahawa kebahagiaan tidak semestinya perlu datang daripada orang lain.

Dalam kubur pun kita sendiri.

Ada masa kita akan bersendirian. Kawan mungkin tidak ada, keluarga mungkin jauh, telefon pula senyap dan kita terpaksa duduk dengan fikiran sendiri. Pada awalnya keadaan seperti ini mungkin terasa sunyi dan menakutkan. Tetapi apabila kita mula menerimanya, kita akan belajar mengenali diri sendiri, contohnya apa yang kita suka, apa yang kita takutkan, apa yang kita mahu dan apa sebenarnya yang membuat kita bahagia.

Saya rasa seseorang perlu belajar untuk selesa dengan dirinya sendiri. Kalau duduk seorang diri pun sudah membuatkan kita rasa dunia ini runtuh, mungkin ada sesuatu yang perlu kita belajar tentang diri kita. Kita tidak boleh selama-lamanya mengharapkan seseorang datang untuk menghiburkan kita setiap kali kita rasa sunyi. Kita juga perlu tahu bagaimana hendak menemani diri sendiri.

Kesunyian pula tidak semestinya musuh. Kadang-kadang apabila suasana menjadi sunyi, kita mempunyai ruang untuk berfikir dengan lebih jelas. Kita boleh membaca, menulis blog, minum kopi, mendengar lagu atau sekadar duduk melihat dunia bergerak di sekeliling kita. Dalam kesibukan hidup, perkara-perkara kecil seperti ini sering kita lupa untuk nikmati. Percayalah saya.

Saya suka melihat pokok kerana pokok mengajar saya satu perkara yang sederhana. Pokok tidak bising, tidak meminta perhatian dan tidak tergesa-gesa, tetapi dia tetap membesar. Mungkin hidup kita juga begitu. Tidak semua perkara perlu dikongsi, tidak semua masa perlu ditemani dan tidak semua kesunyian perlu dilawan. Ada masanya kita hanya perlu duduk diam, berdamai dengan diri sendiri dan membiarkan hidup berjalan perlahan-lahan.



Teman Mak Menonton Bulan Henti Bicara

 



Emak sedang tidak sihat, sudah tiga minggu tidak dapat berjalan. Emak sudah berumur 80 tahun lebih, kadang-kadang emak memang tidak sihat. Jadi sekarang, banyak masa di rumah saya habiskan menemaninya. Salah satu cara kami mengisi masa bersama ialah menonton NEFLIX. Kebetulan kami menonton Bulan Henti Bicara. Pada mulanya saya hanya mahu menemani emak, tetapi akhirnya saya sendiri begitu tertarik dengan lakonan Azhan Rani sebagai Jamali.

Saya tidak tengok episod-episod terdahulu. Saya sebenarnya sangat jarang menonton drama atau filem Melayu. Biasanya kalau ada Eman Manan (kini Dato), atau Nabila Huda, barulah saya tertarik untuk tengok. Maka sepanjang menonton saya sering bertanya kepada emak, contohnya kenapa Zulfa memilih suami yang salah?. Saya siap beritahu emak, berbanding dengan lelaki, perempuan selalu salah pilih pasangan. Saya juga terfikir tentang kawan-kawan perempuan saya yang pernah membuat pilihan yang salah dalam hidup. Kadang-kadang kita melihat seseorang dari luar dan menyangka dia baik, tetapi selepas hidup bersama, barulah kita nampak sisi yang selama ini tersembunyi. Kita manusia biasa.

Sebelum ini saya tidak lihat lakonan Azahan Rani, tetapi dalam drama 28 episod tersebut beliau  memang berjaya membawa watak Jamali dengan sangat berkesan. Cara dia bercakap, nada suara, pandangan mata dan ekspresi wajah membuatkan watak itu terasa begitu nyata. Ada ketika dia tidak perlu meninggikan suara pun, tetapi kita sudah boleh merasakan tekanan dan ketakutan dalam sesuatu babak. Dalam kehidupan, saya sendiri pernah berjumpa dengan orang yang kelihatan baik di luar, tetapi mempunyai sisi yang berbeza apabila kita mengenalinya dengan lebih dekat. 

Ada ketikanya saya dan emak sama-sama rasa geram melihat perangai Jamali. Bagi saya, itulah tanda lakonan yang benar-benar menjadi iaitu apabila watak itu mampu membawa emosi kita bersama. Saya rasa drama tersebut patut berpusat kepada Azhan Rani. Sebab alur-alur cerita lain tidak best dan nampak direka-reka dan dipanjangkan. Azahan Rani penyelamat cerita. Kalau tak ada dia cerita ini tidak menjadi, tak kan lah kita nak harap hero lembik tersebut. Gituew.

Saya duduk di sebelah emak dan perlahan-lahan ikut cerita ini sampai saya sendiri terasa dekat dengan kisahnya. Mungkin kerana pada ketika itu saya bukan sekadar menonton cerita. Saya sedang menemani emak yang sedang melalui hari-hari yang tidak mudah. Saya bersyukur masih diberi kesempatan untuk duduk di sebelah emak, berbual dengannya dan menonton sesuatu bersama. Kadang-kadang kita tidak sedar, perkara kecil seperti menemani seseorang menonton televisyen sebenarnya boleh menjadi kenangan yang sangat besar apabila masa sudah berlalu.

Entah kenapa, selepas cerita habis saya terfikir tentang emak. Tiga minggu emak tidak dapat berjalan. Sebagai anak, ada masa saya rasa sedih, risau dan tidak berdaya melihat orang yang kita sayang hanya mampu terbaring dan menunggu tubuhnya kembali kuat. Kita mungkin tidak mampu mengambil kesakitan mereka, tetapi kita masih boleh berada di sisi mereka. Teman mereka makan, teman mereka berbual, teman mereka menonton cerita dan, kalau perlu, hanya duduk diam di sebelahnya. Mungkin itu sahaja yang mampu kita lakukan, tetapi mudah-mudahan kehadiran kita sedikit sebanyak membuatkan mereka tidak berasa sendirian.

Mungkin suatu hari nanti, apabila emak sudah sihat dan boleh berjalan semula, saya akan teringat kembali Bulan Henti Bicara. Bukan kerana Jamali atau jalan ceritanya semata-mata, tetapi kerana cerita inilah yang pernah saya tonton bersama emak ketika dia sedang tidak sihat. Dan kalau suatu hari emak sudah boleh berjalan seperti biasa, saya harap saya masih boleh berkata, “Mak, ingat tak dulu masa mak tak boleh jalan, kita tengok cerita ni dengan abang?” 

Ada cerita yang kita tonton untuk mengisi masa. Ada cerita yang akhirnya menjadi kenangan. Bulan Henti Bicara mungkin akan menjadi salah satu daripadanya untuk saya. 

Terima kasih tuhan...

Friday, September 11, 2026

DIA MUNGKIN SUDAH LUPA, KITA PULA MASIH SIMPAN


Pernah tak kita kata sudah maafkan seseorang, tetapi setiap kali teringat apa yang dia buat, hati masih terasa sakit? Kita boleh kata, “Aku sudah maafkan semuanya,” Kita buat lakonan macam darama petang-petang tetapi hati sebenarnya belum benar-benar reda. Itu biasa. Kita manusia, bukan malaikat. Memaafkan juga tidak semestinya bermaksud melupakan. Ada perkara yang akan kekal dalam ingatan. Kita cuma memilih untuk tidak lagi membawa kemarahan itu ke mana-mana. Kata orang bijaksana jangan sesekali membiarkan kesalahan orang lain menentukan bagaimana kita menjalani hidup hari ini.

Kadang-kadang kita fikir memaafkan bermakna kita kalah. Saya tidak fikir begitu. Orang yang mampu memaafkan mungkin sebenarnya lebih kuat kerana dia memilih untuk melepaskan sesuatu yang membebankan dirinya. Orang yang menyakiti kita mungkin sudah tidur lena, kita pula pukul dua pagi masih berdebat dengannya dalam kepala. He he he. Tetapi kita juga tidak boleh memaksa seseorang untuk cepat memaafkan. Hati manusia bukan suis lampu. Ada kesalahan yang boleh dimaafkan hari itu juga, ada yang mengambil masa bertahun-tahun. Yang penting, jangan berhenti hidup hanya kerana pernah disakiti.

Kadang-kadang kita bukan tidak mahu memaafkan, tetapi hati memang belum mampu. Berilah masa kepada diri sendiri. Menangislah kalau perlu, diamlah jika itu membuat kita tenang dan jauhkan diri jika itu lebih baik. Apabila hati sudah reda, kita boleh belajar melepaskan. Memaafkan juga tidak bermaksud kita mesti kembali rapat seperti dahulu. Kita boleh maafkan tetapi masih menjaga jarak. Kepercayaan yang rosak bukan macam gelas plastik kedai makan bila pecah, kita ambil yang baru. Memaafkan adalah untuk membebaskan hati kita, bukan memberi lesen kepada orang lain untuk menyakiti kita lagi.

Bila bercakap tentang kemaafan, kita selalu fikir tentang orang yang menyakiti kita. Jarang kita fikir mungkin kita juga pernah menyakiti orang lain. Mungkin ada kata-kata atau perbuatan kita yang meninggalkan kesan tanpa kita sedari. Semakin berumur, semakin kita sedar bahawa kita bukan sentiasa betul. Mungkin kita terlalu sibuk mengira kesalahan orang sampai terlupa menghitung kesalahan sendiri. Sebab itu perkataan “maaf” bukan tanda kita lemah. Kadang-kadang ia susah keluar kerana ego kita lebih besar daripada mulut. He he he. Berani mengaku salah adalah tanda kita cukup matang untuk memperbaiki diri.

Akhirnya, kita memaafkan bukan semata-mata untuk orang yang melakukan kesalahan kepada kita, tetapi untuk diri sendiri. Kita tidak mahu hidup sampai tua membawa marah kepada seseorang yang mungkin sudah lama lupa apa yang dia lakukan. Bila umur meningkat, kita sedar siapa menang, siapa betul dan siapa salah lama-lama menjadi kecil. Yang kita mahu akhirnya ialah hati yang tenang. Kalau belum mampu memaafkan, berilah masa kepada hati. Kalau kita yang bersalah, jangan terlalu ego untuk meminta maaf. Jadikan setiap luka sebagai pengajaran, bukan alasan untuk berhenti melangkah. Kita bukan kalah kerana memaafkan. Kita menang apabila memilih untuk hidup dengan lebih tenang.




Namun kemaafan adalah milik kita, cuma jangan ia menganggu kita lagi...



ANAK DAH BESAR, KITA PULA YANG SUSAH NAK MOVE ON


Hubungan kita dengan anak-anak akan berubah apabila mereka semakin membesar. Dulu kita boleh bergurau sesuka hati. Usik, peluk, cubit pipi, buat magic bodoh “putus jari” dan kacau sampai dia takut dengan cerita hantu. Atau cerita `Wasitohwasillar". Dulu semua itu jadi bahan ketawa. Tetapi semakin anak dewasa, kita mula sedar gurauan juga mesti berubah. Anak sudah ada perasaan, pendirian dan ego sendiri. Dia bukan lagi kucing yang boleh kita usik sesuka hati, walaupun kadang-kadang perangainya memang macam kucing.

Yang peliknya, hati kita seolah-olah tidak pernah membesar bersama umur anak. Kita tengok dia sudah tinggi, ada pendapat sendiri dan mampu membuat keputusan, tetapi dalam hati dia masih budak kecil yang pernah kita nak dukung. 

Kita juga bimbang banyak perkara. Kita takut dunia menipu dia, takut dia kecewa dan takut dia gagal. Lebih tepat lagi, kita takut dia gagal mengikut definisi kejayaan yang kita sendiri cipta. Kita mahu dia bahagia, tetapi kadang-kadang terlupa bahawa bahagia bagi dia mungkin tidak sama dengan bahagia yang kita bayangkan. Haaa… gituew. Kita Gen lain, kita Gen lain...

Kita masih teringat bagaimana dia dahulu tidur di sebelah kita, menangis kerana perkara kecil dan ada  menyorok bawah meja kerana mahu ikut pak saudaranya yang bujang pulang. Ada juga yang pernah bercakap mahu beli bukit untuk burung-burung sebab kesian burung tak tahu nak pergi mana kerana pembangunan. Entah apa yang mereka fikir waktu itu, kita pun tidak tahu. Tetapi cerita-cerita kecil itulah yang melekat dalam kepala kita sampai hari ini. Sekarang dia sudah bekerja dan mula mempunyai perancangan hidup sendiri. Kalau sudah ada awek pula, kita mula memerhati pasangannya macam panel temuduga kerja. “Kerja apa? Keluarga macam mana? Betul ke dia sayang anak aku?” Kita bimbang orang itu tidak menjaganya dengan baik. Sedangkan anak mungkin sudah berkata dalam hati, “Mak, ayah… saya dah besar, dah boleh buat Keputusan sendiri”

Hakikatnya, kita tidak lagi boleh mengawal kehidupan mereka seperti dahulu. Kita boleh memberi nasihat, tetapi tidak boleh memegang stereng hidup mereka. Kalau nampak mereka tersasar, kita tegur. Kalau mereka buat keputusan yang kita tidak suka, kita nasihatkan kita beri pendapat kita. Selepas itu, kita hanya mampu melihat dan berdoa. Tetap… hati ibu ayah ini susah hendak diam. Mulut kata, “Terpulanglah, dah besar.” Tetapi selepas anak keluar rumah, kita termenung pula, kita sayang dia. “Dia makan dah ke belum?” Itulah masalahnya. Anak sudah pandai urus hidup sendiri, tetapi kita pula masih belum pandai move on. Tanya dah makan ke belum lagi. Tetapi itulah...di mana ibubapa anak sentiasa kecil.

Tapi tok kan nok kecik sokmo!

Menyayangi anak yang sudah dewasa memerlukan cara yang berbeza. Kita perlu belajar menghormati ruang mereka, menjaga batas, mendengar lebih banyak daripada bercakap dan menerima bahawa mereka sudah mampu menentukan jalan hidup sendiri. Kita boleh menjadi tempat mereka meminta pandangan tanpa menentukan semua keputusan. Kadang-kadang anak tidak perlukan ceramah panjang. Dia cuma perlukan seseorang yang berkata, “Tak apa, kalau susah baliklah. Kita bincang.” Sampai satu masa, tangan mereka perlu dilepaskan. Bukan kerana kita sudah tidak sayang, tetapi kerana kita mahu mereka belajar berjalan dengan kaki sendiri. Biar campak ke negeri Cina pun mereka boleh hidup.

Kadang-kadang kita rindu kepada anak kecil yang dahulu. Rindu suara mereka memanggil kita, gelak tawa mereka dan saat mereka memerlukan kita untuk hampir segala perkara. Tetapi tugas kita bukan menghalang mereka daripada membesar. Tugas kita adalah memastikan mereka tahu bahawa walau sejauh mana mereka pergi, rumah ini dan hati kita tetap tempat untuk mereka pulang. 

Anak mungkin sudah besar, sudah ada hidup sendiri dan tidak lagi perlukan kita seperti dahulu. Kita pula? Masih juga tengok telefon kalau dia lambat balas WhatsApp. Begitulah ibu ayah. Yang susah nak move on rupanya kita.

Kita.



Monday, September 7, 2026

REFORMASI: JANGAN SAMPAI RAKYAT TUA DULU

 

Anwar Ibrahim dahulu sangat sinonim dengan perkataan reformasi. Selama bertahun-tahun, beliau membawa imej sebagai tokoh yang memperjuangkan perubahan dalam sistem pentadbiran dan institusi negara. Jadi apabila beliau akhirnya menjadi Perdana Menteri, ramailah yang mengharapkan perubahan besar akan berlaku, terutama perkara-perkara yang sudah lama diperjuangkan. 

Tetapi selepas beberapa tahun, kita masih melihat ada reformasi yang belum selesai. Antaranya pembaharuan institusi, kebebasan maklumat, pembiayaan politik dan pemisahan kuasa tertentu. Ada yang sudah bergerak dan ada juga yang nampaknya berjalan agak perlahan. Kadang-kadang perlahan sangat sampai rakyat tertanya-tanya sama ada reformasi itu sedang berjalan atau sedang menunggu lampu hijau. He he he. 

Saya faham kerajaan bukan terdiri daripada seorang Perdana Menteri sahaja. Dalam sebuah kerajaan gabungan, ada banyak parti, banyak kepentingan dan banyak pandangan yang perlu disatukan. Ini namanya politik kompromi. Ada perkara yang kita mahu buat, tetapi pasangan politik belum tentu mahu. Ada yang kita fikir boleh dibuat sekarang, tetapi perlu pula mengambil kira sokongan dalam Parlimen. Ada juga peraturan, birokrasi dan pertimbangan politik yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan berkata, “Esok kita buat.” Kalau semudah itu, mungkin semua kerajaan sudah lama menjadi sempurna. 

Tetapi di sinilah cabarannya. Reformasi yang sebenar memang memerlukan masa, terutama apabila ia melibatkan undang-undang, institusi dan kuasa yang sudah lama wujud. Namun pada masa yang sama, kerajaan juga perlu menunjukkan arah yang jelas. Rakyat bukan semestinya meminta semua perkara berubah dalam satu malam. Tetapi sekurang-kurangnya tunjuklah yang kita sedang menuju ke sana. Jangan rakyat asyik nampak papan tanda “reformasi sedang dijalankan”, tetapi pekerjanya tidak nampak-nampak. He he he. 

Bagi penyokong lama Anwar, perkara ini mungkin lebih terasa kerana perkataan reformasi bukan sekadar slogan politik. Ia sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan politiknya selama puluhan tahun. Maka apabila sudah berada di Putrajaya, ukuran terhadap beliau tentu lebih tinggi. Apa yang dahulu diperjuangkan sebagai pembangkang kini perlu dibuktikan dalam bentuk dasar dan tindakan sebagai kerajaan. Dulu kita minta orang lain berubah. Sekarang orang tengok kita pula. 

Pada akhirnya, rakyat mungkin boleh bersabar kalau mereka nampak kemajuan. Tetapi kalau terlalu lama menunggu, soalan yang sama akan muncul semula. “Bila lagi?” Dan kali ini mungkin bukan sahaja daripada orang yang tidak menyokong kerajaan, tetapi juga daripada orang yang dahulu begitu yakin bahawa perubahan akan berlaku apabila Anwar memegang kuasa. 

He he he. Reformasi mungkin memang tidak boleh dibuat sekelip mata. Tetapi jangan sampai rakyat tua dulu, baru reformasi siap. 

Gituew.



CINTA: KELAS YANG TIDAK PERNAH KITA DAFTAR

 



Mungkin perkara paling besar yang saya belajar daripada percintaan ialah kita sebenarnya banyak mengenali diri sendiri melalui hubungan dengan orang lain. Kita tahu bagaimana kita marah, bagaimana kita cemburu, bagaimana kita memaafkan, bagaimana kita mengalah dan bagaimana kita bertindak apabila kehilangan seseorang yang kita sayang. Kadang-kadang kita sendiri terkejut melihat perangai sendiri. “Eh, aku macam ni rupanya?” He he he.

Ada cinta yang kekal, ada cinta yang tidak menjadi dan ada cinta yang hanya singgah sebentar macam orang pergi taman tema. Ada yang meninggalkan kenangan manis, ada yang meninggalkan luka dan ada juga yang meninggalkan pengajaran yang kita hanya faham bertahun-tahun kemudian. Tetapi semuanya tetap meninggalkan sesuatu kepada kita.

Daripada satu hubungan, kita mungkin belajar bahawa kita terlalu cepat percaya. Daripada hubungan yang lain, kita belajar tentang batas diri. Ada pula yang mengajar kita bahawa meminta maaf bukan tanda kalah, dan ada yang membuat kita sedar bahawa kita sebenarnya mampu melepaskan sesuatu yang kita sangka tidak akan mampu kita lepaskan.

Sebab itu saya percaya, setiap hubungan boleh menjadi guru. Tidak semestinya hubungan itu berakhir dengan perkahwinan untuk dianggap berjaya. Ada hubungan yang tugasnya memang bukan untuk tinggal, tetapi untuk mengajar kita sesuatu sebelum dia pergi. Pedih, tetapi begitulah kehidupan. Frust nungging.

Dan mungkin pada akhirnya, tujuan percintaan bukan semata-mata untuk mencari seseorang yang sempurna. Kita pun bukan sempurna sangat. He he he. Mungkin yang lebih penting ialah kita belajar menjadi manusia yang lebih baik selepas pernah mencintai dan dicintai. Lebih tahu menghargai, lebih tahu menjaga hati dan lebih tahu apa yang kita mahu dalam sebuah hubungan.

Kerana semakin kita melalui hidup, kita sedar bahawa cinta bukan hanya tentang siapa yang kita dapat. Kadang-kadang cinta juga tentang siapa kita menjadi selepas melaluinya.

Itulah antara perkara yang saya belajar.

Masih banyak lagi sebenarnya.  Tetapi kalau tulis semua, nanti bukan lagi artikel. Jadi buku pula. 


P/s: Ada kawan saya kata, saya menulis panjang...dia tak baca blog saya lagi. He he he


Erti Cinta Selepas Kahwin: Teman Sampai Tua



Semasa muda, kita mungkin menganggap cinta itu mesti sentiasa berdebar. Mesej setiap masa, telefon sampai lewat malam dan mahu sentiasa bersama. Kalau sehari tidak berjumpa pun terasa macam sudah tiga bulan. Tetapi semakin matang, kita mula sedar bahawa cinta yang baik tidak semestinya sentiasa membuat jantung berdebar. Nanti sakit jantung.

Apabila sudah berumah tangga dan mempunyai anak-anak, cinta mula berubah bentuk dan menjadi lebih realistik. Ia bukan lagi tentang siapa yang paling banyak menghantar mesej atau paling kerap berkata “saya sayang awak”. Kadang-kadang cinta itu ialah bangun pagi menyediakan sarapan, menghantar anak ke sekolah, membeli barang dapur, membayar bil dan memastikan rumah tangga terus berjalan. Romantik itu bagus, tetapi bil elektrik tetap perlu dibayar. He he he.

Ada hari kita terlalu penat dengan kerja, anak-anak pula membuat kita hilang kesabaran. Hubungan suami isteri pun ada pasang surutnya. Ada masa kita mahu bermanja, tetapi pasangan terlalu letih, menolak seks. Ada masa keperluan emosi dan fizikal tidak sehaluan. Ditambah pula dengan masalah kewangan, kerja dan macam-macam urusan rumah tangga. Dalam keadaan seperti itu, cinta bukan tentang menjadi romantik setiap masa, tetapi tentang belajar memahami pasangan dan tidak menambahkan beban yang sudah sedia ada.

Kadang-kadang cinta itu bukan bunga, makan malam candlelight atau ayat manis. Kadang-kadang cinta itu “kau mandikan anak, aku basuh pinggan.” Atau seorang mengalah untuk menjaga anak yang sedang meragam sementara seorang lagi dapat mandi dengan tenang selama sepuluh minit. Nampak kecil, tetapi begitulah cinta yang sudah bercampur dengan kehidupan sebenar. Ini bukan novel cinta. Ini rumah tangga. He he he.

Anak-anak pula mengajar kita bahawa rumah tangga bukan lagi sekadar tentang “aku dan kau”, tetapi tentang keluarga yang sedang kita bina bersama. Kita belajar bertolak ansur, mengawal emosi dan memahami bahawa tidak semua perkara perlu dimenangi. Kadang-kadang kita mengalah bukan kerana kita salah, tetapi kerana kita sedar ada perkara yang lebih besar daripada ego sendiri—iaitu ketenangan rumah dan kebahagiaan anak-anak.

Semakin lama bersama, kita mula memahami bahawa pasangan bukan sekadar kekasih. Dia ialah orang yang bersama-sama kita menghadapi kehidupan—ketika duit cukup atau sempit, ketika anak-anak sihat atau sakit, ketika hidup mudah atau penuh masalah. Mungkin kita sudah tidak selalu keluar berdua seperti dahulu. Mungkin masa untuk berdua semakin sedikit. Tetapi dalam diam, kita tahu ada seseorang yang masih berdiri di sebelah kita. Teman sampai tua, bukan sekadar teman masa muda.

Sebab itu, bagi saya, cinta yang matang tidak semestinya membuat jantung sentiasa berdebar. Ia membuat hati berasa selamat. Kita tahu dia ada, dia tahu kita ada. Masing-masing sibuk dengan kerja, anak-anak dan kehidupan sendiri, tetapi masih mempunyai tempat untuk kembali. Dan kalau sesekali ada kesempatan untuk berpelukan lama-lama, kita berpeluklah. “Lemaskan aku dalam pelukanmu...” Gituew. He he he. Kerana akhirnya, mungkin cinta bukan tentang berdebar setiap hari, tetapi tentang masih memilih orang yang sama untuk teman sampai tua.

Gituew,,,






Sunday, September 6, 2026

Kalau Bahagia, Kenapa Rakyat Pergi?

 1. Apa guna kita sibuk mengisytiharkan negeri ini bahagia, kalau anak-anak negerinya sendiri terpaksa merantau ke negeri orang untuk mencari sesuap rezeki? Bahagia di atas kertas mungkin, tetapi di dunia nyata, peluang pekerjaan masih membuatkan rakyat mengemas beg dan mencari masa depan di tempat lain.

2. Anak muda habis belajar, balik kampung dengan segulung ijazah dan penuh harapan. Tetapi bila buka portal pekerjaan, jawatan yang sesuai pula boleh dikira dengan jari. Akhirnya, tiket bas atau kapal terbang menjadi lebih penting daripada sijil konvokesyen. Belajar di sini, cari kerja di sana.

3. Yang tinggal pula terpaksa menerima apa sahaja pekerjaan yang ada, walaupun gaji tidak sepadan dengan kelayakan. Nak kata bahagia, hujung bulan masih mengira duit. Nak kata selesa, harga barang pula semakin pandai “berlari”.

4. Lebih menarik apabila kejayaan sesebuah negeri kadang-kadang diukur melalui bangunan cantik, jalan raya yang elok dan slogan yang sedap didengar. Semua itu bagus. Tetapi rakyat juga mahu tahu satu perkara mudah " Bila pembangunan sudah tinggi, adakah peluang pekerjaan untuk rakyat pun ikut naik?"

5. Kita tidak boleh marah apabila anak muda memilih untuk keluar. Mereka bukan tidak sayang negeri sendiri. Mereka cuma mahu hidup yang lebih baik. Kalau pekerjaan yang menawarkan gaji munasabah, peluang kerjaya dan masa depan lebih banyak di negeri lain, jangan hairan kalau mereka memilih untuk pergi.

6. Akhirnya, negeri yang dikatakan bahagia mungkin menjadi negeri yang paling banyak mengucapkan selamat jalan kepada anak-anak mudanya. Mereka pergi bukan kerana benci, tetapi kerana terpaksa. Sedih juga apabila kampung halaman hanya menjadi tempat balik beraya, bukan tempat membina masa depan.

7. Jadi, sebelum kita terlalu bangga dengan label “Negeri Bahagia”, mungkin elok kita tanya dahulu: bahagia untuk siapa? Sebuah negeri tidak sepatutnya hanya cantik untuk dilihat, tetapi mesti mampu menyediakan peluang untuk rakyatnya bekerja, mencari rezeki dan membina kehidupan. Kalau rakyat terpaksa keluar untuk mencari bahagia, mungkin sudah tiba masanya kita fikir semula maksud sebenar “negeri bahagia”.

8. Gituew.





Subsidi bersasar: Kerajaan berjimat, rakyat mengira duit

Kita faham kenapa kerajaan mahu mengurangkan subsidi. Kalau semua orang menerima subsidi yang sama, orang kaya dan orang miskin sama-sama mendapat manfaat. Dari sudut ekonomi, keadaan itu memang kurang baik kerana duit kerajaan sepatutnya lebih banyak disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Tetapi dari sudut rakyat biasa, ceritanya agak lain.

Apabila subsidi dikurangkan, kesannya boleh terasa dengan cepat. Harga meningkat atau kos penggunaan menjadi lebih tinggi. Kemudian kerajaan pula kata bantuan akan diberikan kepada golongan yang layak. Masalahnya, rakyat tidak hidup dengan teori ekonomi. Kita pergi isi minyak, bayar bil, beli barang dapur, bayar sewa rumah dan yuran sekolah anak. Semua itu perlu dibayar dengan duit sebenar.

Bagi keluarga yang setiap bulan sudah mengira duit sampai ke ringgit terakhir, kenaikan RM20 atau RM30 pun boleh terasa. Mungkin bagi sesetengah orang jumlah itu kecil, tetapi bagi keluarga yang bajetnya ketat, jumlah itu boleh menjadi duit belanja anak beberapa hari. Belum sampai hujung bulan, dompet sudah mula kurus. Kita pula yang terpaksa diet bersamanya. He he he.

Kita tidak mengatakan subsidi mesti kekal selama-lamanya. Kerajaan memang perlu mengurus kewangan negara dengan baik. Konsep subsidi bersasar sebenarnya boleh diterima, tetapi cara pelaksanaannya mestilah mengambil kira keadaan sebenar rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kalau kerajaan mahu membuat subsidi bersasar, penerangan kepada rakyat mestilah jelas. Kita perlu tahu kenapa subsidi dikurangkan, berapa banyak kerajaan berjimat dan ke mana wang yang dijimatkan itu disalurkan. Jangan sampai kita hanya nampak harga naik, tetapi tidak nampak ke mana penjimatan kerajaan itu pergi.

Yang penting sebenarnya ialah kepercayaan rakyat. Kalau wang yang dijimatkan benar-benar digunakan untuk membantu golongan susah, memperbaiki sekolah, hospital dan pengangkutan awam, mungkin kita lebih mudah menerima pengorbanan tersebut. Tetapi kalau harga naik sedangkan kehidupan masih terasa sama, kita tentu bertanya, “Kami yang kena berjimat, kerajaan berjimat juga ke?”

Akhirnya, angka dalam laporan ekonomi itu sebenarnya melibatkan kehidupan manusia. Kerajaan mungkin melihat subsidi sebagai angka berbilion ringgit, tetapi bagi rakyat biasa, subsidi kadang-kadang ialah beza antara cukup makan dengan terpaksa ikat perut. Kita boleh faham keadaan ekonomi, cuma jangan sampai kerajaan terlalu sibuk meminta kita memahami kerajaan sehingga terlupa memahami rakyat. He he he... buka dompet hujung bulan, kadang-kadang dompet kita pun macam hendak menangis.



Saturday, September 5, 2026

RUMAH AYAH: TEMPAT SAYA TIDAK PERNAH BENAR-BENAR PERGI

 Rumah ayah pernah melalui zaman “prime”

Masa kecil-kecil dahulu, rumah ayah itulah pusat dunia saya. Semua orang ada, ayah, emak, adik lelaki, kakak dan adik perempuan. Rumah ayah pernah melalui zaman “prime” dia. Bila ada anak-anak saudara, rumah bising macam pasar malam. Petang-petang penuh orang, kawan-kawan ayah datang bersembang dan dapur tidak pernah sunyi. Tetapi akhirnya, seorang demi seorang meninggalkan rumah. Yang tinggal terakhir ialah ayah dan mak. 


Rumah yang dahulu penuh, semakin sunyi

Apabila adik-beradik sudah besar dan mula berkahwin, rumah ayah perlahan-lahan berubah menjadi tempat orang datang ziarah, bukan lagi tempat orang menetap. Terutamanya anak perempuan. Dulu tidur tiga orang atas satu tilam pun tidak ada masalah. Sekarang hendak balik rumah ayah kena tengok jadual suami, anak, cuti sekolah dan macam-macam lagi. Rumah sendiri sudah menjadi kerajaan kecil yang perlu dijaga. Bukan bermaksud anak perempuan tidak sayang ayah. Mereka sayang. Cuma selepas berkahwin, dunia mereka berubah.


Hendak balik rumah ayah pun kena tengok jadual

Kalau dahulu ayah telefon suruh balik, boleh terus balik. Sekarang hendak balik rumah ayah pun kadang-kadang macam hendak memohon cuti tahunan. Kena tengok siapa ada program, anak sekolah pukul berapa, suami kerja atau tidak. Hubungan dengan rumah ayah masih ada, cuma tidak lagi seerat dahulu. Tali itu tidak putus. Cuma sudah banyak simpulan lain pada tali tersebut. Saya pula lain sedikit. Selagi belum berumah tangga, rumah ayah tetap menjadi tempat saya pulang selepas mencari rezeki di tempat lain.


Anak yang tinggal bersama ayah nampak perkara kecil

Anak yang tinggal bersama ayah akan melihat perkara yang adik-beradik lain mungkin tidak nampak. Dia tahu ayah sudah mula susah berjalan, tahu ayah makan ubat pukul berapa dan tahu kalau hujan lebat sutuh mula bocor. Dia tahu televisyen ayah buat perangai dan kedai mana ayah selalu pergi membeli sarapan. Benda-benda kecil ini menjadi sebahagian daripada kehidupan. Dia bukan sekadar duduk di rumah. Dia hidup bersama rumah itu.


Tinggal dekat dengan ayah ada tanggungjawabnya

Dalam banyak keluarga, anak lelaki terakhir yang akhirnya bertungkus-lumus menghadapi ibu bapa. Bukan semestinya dia paling rajin. Kalau boleh disuruh, dia pun mahu menyuruh orang lain. He he he. Tetapi keadaan menentukan. Adik-beradik sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Tinggallah dia. Maka dialah yang hantar ayah ke klinik, beli barang dapur, baiki paip dan cari tukang kalau atap bocor. Kalau ayah sakit tengah malam, dia yang bangun. Masa itu baru tahu, berada di rumah ayah bukan sekadar mendapat kelebihan. Ada tanggungjawab yang datang sekali.


Anak perempuan bukan tidak sayang

Saya tidak pernah melihat perkara ini sebagai anak perempuan tidak sayang ayah. Tidak adil kalau begitu kita menilainya. Mereka pun ada kehidupan sendiri. Mereka datang menjenguk, telefon bertanya khabar, bawa makanan dan hulur duit. Kalau ayah sakit, mereka datang juga. Tetapi selepas itu mereka akan pulang. Ada rumah sendiri, suami, anak dan masalah rumah tangga sendiri. Begitulah kehidupan. Selepas berkahwin, rumah ayah masih rumah mereka, tetapi bukan lagi satu-satunya rumah dalam hidup mereka.


Rumah masih ada, tetapi ayah sudah tiada

1. Ayah saya sudah meninggal dunia. Sebab itu sekarang bila bercakap tentang rumah ayah, rasanya lain sedikit. Dahulu rumah itu ada seorang ayah. Sekarang rumahnya masih ada, tetapi ayah sudah tiada. Kerusi tempat ayah duduk masih ada, barang-barangnya mungkin masih tersimpan. Sudut rumah yang dahulu penuh suara ayah, sekarang cuma tinggal kenangan.

2. Saya sebenarnya tidak pernah benar-benar pergi dari rumah itu. Walaupun bekerja dan mencari rezeki di tempat lain, hati dan jiwa saya tetap di situ. Sebulan sekali wajib saya balik. Rumah itulah tempat saya membesar, mengenal hidup dan menyimpan terlalu banyak cerita keluarga. Sebab itu bila pulang, rasanya seperti pulang kepada sebahagian daripada diri sendiri. Gituew.

4. Mungkin suatu hari nanti, saya akan kembali menetap di rumah itu. Bukan lagi sebagai anak yang pulang selepas bekerja di tempat lain, tetapi sebagai orang yang kembali menghabiskan sisa hidup di rumah sendiri. Entah kenapa, saya selalu terfikir, mungkin di situlah juga suatu hari nanti saya akan menghembuskan nafas terakhir. Kalau benar begitu, rasanya lengkaplah satu perjalanan lahir dan membesar di situ, meninggalkan rumah untuk mencari rezeki, kemudian kembali semula ke tempat asal.

5. Selepas ayah pergi, rumah itu masih boleh didatangi, tetapi suasananya tidak akan pernah sama. Kadang-kadang saya berdiri di muka pintu dan terfikir, “Dulu ayah ada di sini.” Ketika itu baru terasa, yang hilang bukan sekadar seorang ayah, tetapi sebahagian daripada dunia saya. Rumah masih ada, tetapi orang yang menjadikannya “rumah ayah” sudah tiada.

6. Begitulah sebahagian jalan kehidupan saya.







Kasih Sayang Dalam Semangkuk Tom Yam (edit 2026)


Hujan turun renyai-renyai ketika aku memandu pulang ke Indera Sempurna. Langit Kuantan malam itu gelap dan berat. Titik-titik air berlari di cermin hadapan, disapu wiper yang bergerak perlahan ke kiri dan kanan. Lampu jalan memantul di atas jalan raya yang basah, memanjang seperti garis-garis cahaya yang entah bila hendak sampai ke penghujung. Entah kenapa malam itu aku singgah di Giant. Bukan hendak membeli barang. Aku cuma mahu makan KFC. Dahulu terasa pelik juga makan KFC seorang diri. Melihat orang lain datang bersama keluarga, pasangan atau kawan-kawan, sedangkan aku duduk seorang di penjuru meja dengan seketul ayam dan secawan air. Lama-lama aku sudah biasa. Mungkin begitulah kehidupan apabila kita terlalu lama hidup sendirian. Perkara yang pada mulanya terasa janggal akhirnya menjadi rutin. Aku makan seorang, minum seorang dan kemudian pulang seorang. He he he.

Selepas makan, hujan mula turun sedikit lebat. Aku berjalan cepat menuju ke kereta. Ketika memandu keluar, aku memperlahankan kereta, kira-kira 45 kilometer sejam. Seorang kawan pernah berpesan, kalau memandu terlalu laju ketika hujan, tayar tidak benar-benar mencengkam permukaan jalan. Ketika melalui sebuah bangunan, mataku terpandang sebuah bas dengan perkataan Bee Huat pada badannya. Entah kenapa aku tersenyum. Nama itu tiba-tiba membawa aku jauh ke belakang, kepada satu zaman dalam hidupku yang sudah lama berlalu, tetapi rupanya belum pernah benar-benar pergi.

Sepuluh tahun dahulu, ketika mula-mula menjejakkan kaki di Pekan, bas Bee Huat itulah pengangkutan rasmi aku. Aku naik Bee Huat pergi bekerja dan kadang-kadang ke Kuantan. Ada juga bas Rahmat Alam, tetapi aku lebih suka Bee Huat. Dalam bas itu banyak tingkap dan terasa terang. Aku tidak suka bas yang terlalu gelap, mungkin sebab aku sendiri ketika itu sedang melalui kehidupan yang agak gelap. He he he. Entahlah, mungkin itu cuma perasaan aku sahaja. Aku selalu pergi ke pasar malam di Rumah 500. Seorang kawan pernah memberitahu nama Rumah 500 itu kerana ada lima ratus buah rumah di situ. Aku percaya sahaja. Dia seorang ustaz, jadi aku fikir tentulah dia bercakap benar. Aku tidak pernah mengiranya.

Aku masih ingat satu petang, aku naik bas Bee Huat dari kawasan Rumah 500 selepas membeli barang-barang untuk memasak. Aku membeli ayam, udang, tomato, lobak merah, bunga kubis, daun limau purut dan pes tom yam. Aku mahu masak tom yam malam itu. Bas sangat penuh kerana hari pasar. Ramai orang berdiri dan aku juga berdiri sambil memegang tiang bas. Tangan kiri memegang tiang, tangan kanan memegang beg plastik berisi barang dapur. Aku pegang kuat-kuat kerana plastik pasar pada zaman itu bukanlah benda yang boleh dipercayai. He he he.

Tiba-tiba bas membrek dengan kuat. Badanku tercampak ke hadapan. Beg plastik yang nipis itu terkoyak dan barang-barang di dalamnya jatuh bertaburan di atas lantai bas. Tomato bergolek ke sana sini. Bunga kubis, lobak merah, daun limau purut dan pes tom yam pun ikut sama. Aku terpaksa membongkok dan merangkak sedikit untuk mengambil tomato yang masuk ke bawah kerusi. Beberapa orang mengangkat kaki supaya aku boleh mengambil barang-barang itu. Ada yang membantu mengutip sayur-sayuran yang jatuh. Aku masih boleh tersenyum apabila mengingatinya. Ketika itu aku tidak rasa ia sesuatu yang menyedihkan. Aku cuma fikir, nasib baik ayam dan udang masih ada.

Barang-barang yang berselerak itu akhirnya aku kutip satu persatu. Aku masukkan semuanya kembali ke dalam beg. Kali ini aku pegang kuat-kuat. Aku tidak tahu ketika itu bahawa ada perkara lain dalam hidup yang jauh lebih sukar untuk dipegang. Ada sesuatu yang apabila jatuh, kita tidak akan mampu mengutipnya kembali seperti asal. Mungkin hidup memang begitu. Kita boleh kutip tomato yang bergolek di lantai bas, tetapi tidak semua perkara yang jatuh dalam kehidupan boleh kita ambil semula. Ada hubungan yang retak. Ada hati yang berubah. Ada orang yang pergi. Dan ada masa yang hanya tinggal sebagai cerita.

Ketika itu aku tinggal jauh dari kampung dan hidup seorang diri. Bila malam tiba, rumah sewa terasa terlalu besar walaupun sebenarnya tidaklah besar mana. Bunyi kipas pun boleh kedengaran. Bunyi motosikal dari jalan, pintu jiran ditutup dan suara televisyen dari rumah sebelah semuanya menjadi begitu jelas apabila kita seorang diri. Aku selalu pergi ke pasar malam bukan semata-mata hendak membeli barang. Kadang-kadang aku cuma mahu berjalan melihat orang ramai. Melihat keluarga membeli makanan, melihat pasangan berjalan bersama dan mendengar bunyi pasar sedikit sebanyak menghilangkan rasa sunyi. Aku tidak mempunyai banyak benda ketika itu, tetapi aku mempunyai harapan. Dan harapan itulah yang membuatkan aku terus bertahan.

Aku masih ingat ayam yang aku beli pada petang itu. Aku meminta penjual memotongnya kecil-kecil kerana aku mahu masak tom yam. Aku tahu dia suka tom yam. Malam itu, selepas pulang dari pasar, aku terus ke dapur. Aku keluarkan ayam, udang, tomato, bunga kubis, lobak merah, daun limau purut dan pes tom yam. Aku mula memasak. Tidak ada resipi istimewa pun. Kalau kurang masam, aku tambah sedikit. Kalau kurang pedas, aku tambah lagi. Kalau kuah terlalu cair, aku biarkan mendidih lebih lama. Semuanya sederhana. Tetapi bagi aku, semangkuk tom yam itu bukan sekadar makanan. Dalam mangkuk itu ada kasih sayang. Ada harapan. Ada penantian. Ada usaha seorang lelaki yang mahu menggembirakan seseorang yang disayanginya walaupun dengan kemampuan yang sederhana.

Aku suka melihat dia makan. Kadang-kadang dia minum kuah tom yam sampai habis. Bila melihat mangkuknya kosong, hati aku pun terasa penuh. Aku tidak memerlukan pujian yang banyak. Cukuplah dia makan dengan berselera. Pada masa itu aku benar-benar bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang memasak untuk seseorang yang aku sayang. Aku fikir perkara itu akan berterusan lama. Aku fikir masih banyak malam selepas itu. Masih banyak hari. Masih banyak semangkuk tom yam yang boleh aku masak. Rupanya aku silap.

Malam ini, ketika aku memandu pulang, hujan semakin lebat. Guruh berbunyi dan kilat memancar. Aku melalui jalan menuju ke Pekan dan keretaku mula menaiki jambatan. Dahulu jambatan itu rendah sahaja. Kalau hujan lebat, air sungai akan naik dan melimpah. Banyak perkara berubah selepas sepuluh tahun. Jambatan berubah. Jalan berubah. Pekan berubah. Orang berubah. Aku pun berubah. Tiba-tiba sebuah lagu dimainkan di radio. “Ku menunggu, ku menunggu...” Aku kenal lagu itu. Aku cuba menyanyi bersama-sama, terutama bahagian “na na na na na”. Aku cuba bergurau dengan diri sendiri. Aku betulkan rambut gaya Korea sambil memandu, kononnya macam hero drama Korea. Kalau suara aku menyebabkan hujan turun lebih lebat pun aku tidak peduli. He he he.

Tetapi lagu itu tidak berjaya menghalau kenangan. Malah semakin aku menyanyi, semakin jelas aku teringat semangkuk tom yam itu. Aku terfikir, sudah berapa lama aku tidak memasak tom yam? Sudah bertahun-tahun. Kalau ada orang suruh aku masak sekarang pun mungkin aku sudah lupa rasanya. Dulu aku tahu petuanya. Kalau mahu kuah tom yam sedap, udang mesti banyak. Air udang akan keluar dan membuatkan kuahnya harum. Tomato pula memberikan rasa masam yang semula jadi. Tetapi sebenarnya bukan udang dan tomato yang membuat tom yam itu sedap. Kasih sayanglah yang membuatnya sedap.

Sekarang aku boleh membeli tom yam di mana-mana. Restoran banyak. Tom yam yang sedap pun banyak. Tetapi aku tidak tahu kenapa, aku masih teringat semangkuk tom yam yang aku masak di sebuah rumah sewa di Taman Maulana bertahun-tahun dahulu. Mungkin kerana makanan itu pernah menjadi sebahagian daripada sebuah kehidupan. Ia bukan sekadar tentang rasa. Ia tentang siapa yang duduk di hadapan kita ketika kita memasaknya. Tentang senyuman yang kita tunggu. Tentang harapan yang kita letakkan dalam perkara kecil. Kadang-kadang makanan yang paling kita ingat bukan kerana sedapnya, tetapi kerana siapa yang pernah kita masakkan makanan itu.

Ketika kereta memasuki Indera Sempurna, hujan sudah berhenti. Jalan kering. Rupanya hujan hanya turun di Kuantan. Aku memperlahankan kereta dan melihat lampu-lampu rumah di kiri kanan jalan. Orang mungkin sedang makan malam bersama keluarga. Ada yang sedang bercakap di ruang tamu. Ada yang sedang menonton televisyen. Ada yang mungkin sedang menikmati semangkuk tom yam panas bersama orang yang mereka sayang. Aku pula pulang ke rumah seorang diri. Anehnya, kali ini aku tidak berasa terlalu sedih. Mungkin kerana aku sudah lama belajar bahawa tidak semua yang kita sayang ditakdirkan untuk kekal bersama kita.

Aku masuk ke rumah dan menyalakan lampu. Rumah itu sunyi. Aku meletakkan kunci kereta di atas meja lalu duduk di sofa. Tiba-tiba aku teringat semuanya. Bas Bee Huat. Tomato yang bergolek di lantainya. Rumah 500. Pasar malam. Rumah sewa di Taman Maulana. Senyuman seseorang. Dan paling akhir, aku teringat semangkuk tom yam. Aku tersenyum sendiri. Mungkin suatu hari nanti aku akan memasak tom yam lagi. Bukan untuk sesiapa. Bukan kerana menunggu sesiapa. Cuma untuk diri sendiri. Aku akan masukkan udang yang banyak, tomato, bunga kubis, lobak merah, daun limau purut dan pes tom yam. Kemudian aku akan duduk seorang diri dan makan perlahan-lahan. Mungkin rasanya tidak akan sama. Tetapi tidak mengapa.

Aku tersenyum. Di luar, angin malam bergerak perlahan. Tiada lagi hujan. Tiada lagi guruh. Hanya malam yang panjang dan sunyi. Aku teringat bas Bee Huat sekali lagi. Aku teringat tomato yang bergolek di lantainya. Aku teringat Rumah 500. Aku teringat rumah sewa di Taman Maulana. Dan paling akhir, aku teringat semangkuk tom yam. Semangkuk tom yam yang sederhana. Tetapi di dalamnya pernah ada seluruh kasih sayangku. Aku tersenyum dalam rumah yang sunyi sambil mengesat air mata dengan lengan baju.



BELANJA ANAK PEREMPUAN VS BELANJA ANAK LELAKI

Kenapa Anak Perempuan Macam Lebih Banyak Belanja?

Kadang-kadang ibu bapa perasan juga satu perkara. Walaupun anak lelaki dan anak perempuan hampir sebaya, jumlah duit yang keluar untuk anak perempuan macam lebih banyak. Belanja sekolah, pakaian, kasut, tudung, barang penjagaan diri ada, aktiviti pun ada. Belum masuk benda-benda kecil yang tiba-tiba muncul setiap bulan. Lalu ibu bapa mula bertanya, “Kenapa anak perempuan macam banyak betul hendak dibelanjakan?”

Sebenarnya, bukan semestinya anak perempuan lebih boros. Keperluan mereka memang berbeza. Anak perempuan melalui fasa pertumbuhan dan perubahan yang menyebabkan keperluan penjagaan diri lebih banyak. Produk kebersihan diri, penjagaan rambut, kulit, pakaian dan keperluan pakai modes semuanya memerlukan perbelanjaan yang mungkin tidak begitu ketara pada anak lelaki. Kalau anak lelaki koyak seluar, kadang-kadang seluar koyak itu terus jadi “fesyen”. Anak perempuan pula koyak sikit, sudah mula fikir macam mana hendak padankan dengan tudung. Gituew.

Ada pula perkara yang kita sebagai ibu bapa selalu tidak nampak. Anak perempuan lebih banyak berdepan dengan perkara berkaitan penampilan dan kekemasan. Bukan bermaksud kita mesti mengajar mereka mengejar kecantikan, tetapi realitinya ada keperluan sosial yang perlu mereka hadapi. Baju untuk majlis, pakaian sekolah, kasut, tudung, aksesori dan sebagainya. Benda-benda ini nampak kecil kalau dibeli sekali-sekala. Tetapi apabila dikumpulkan setahun, jumlahnya boleh tahan juga. Kita ingat beli RM20 sahaja. Bila dicampur 20 kali, sudah RM400, kan?

Tetapi ada satu perkara yang lebih penting. Jangan kita melihat perbelanjaan anak perempuan sebagai satu beban. Mereka bukan sengaja hendak menyusahkan ibu bapa. Mereka sedang membesar dan keperluan mereka berubah mengikut umur. Hari ini kita belanja pakaian, buku, kasut dan macam-macam lagi. Esok lusa mereka sudah dewasa dan tidak lagi meminta apa-apa daripada kita. Masa itu mungkin kita pula yang rindu suara, permintaan dan kerenah mereka. Rumah sudah sunyi, duit pun kurang keluar. Tetapi hati pula yang terasa kosong.

Pada masa yang sama, bukan semua kehendak anak perempuan mesti dituruti. Keperluan dan kehendak tetap perlu dibezakan. Anak perlu belajar bahawa duit bukan sesuatu yang muncul daripada ATM secara ajaib. Kalau semua permintaan dilayan, kita mungkin membesarkan anak yang tahu meminta tetapi tidak tahu menghargai. Jadi, belanja anak bukan sekadar mengeluarkan duit. Ia juga peluang mengajar mereka tentang nilai wang, keutamaan, kesederhanaan dan tanggungjawab. 

Jadi, kalau suatu hari kita tengok perbelanjaan anak perempuan macam lebih banyak daripada anak lelaki, jangan cepat kata dia boros. Mungkin keperluannya memang berbeza. Dan tanpa kita sedari, duit yang kita keluarkan itu bukan sekadar membayar pakaian, kasut, buku atau barang penjagaan diri. Kita sedang menyediakan seorang anak perempuan untuk menjadi wanita yang mampu berdiri sendiri suatu hari nanti. Belanja anak perempuan memang kadang-kadang banyak. Tetapi membesarkan manusia memang dari awal lagi bukan kerja murah. Jangan hanya kira berapa banyak duit yang sudah kita keluarkan. Sesekali kira juga berapa banyak kasih sayang yang sedang kita tanam.







SELAMAT BERCERAI, BUKAN TAK SAYANG… CUMA SUDAH TERLALU LAMA TERLUKA


1. Orang selalu fikir sesuatu perkahwinan berakhir apabila cinta sudah tiada. Tidak semestinya. Ada pasangan yang bercerai selepas puluhan tahun hidup bersama, ketika cinta itu masih ada. Masih sayang. Masih ambil berat. Masih ada kenangan yang terlalu banyak untuk dibuang begitu sahaja. Cuma hati sudah terlalu penat hendak terus bertahan.

2. Selepas 20, 30 atau 40 tahun berkahwin, orang mungkin tertanya-tanya, “Kenapa baru sekarang hendak berpisah?” Sedangkan jawapannya mungkin bukan baru sekarang mereka terluka. Mungkin luka itu sudah lama ada. Hari ini bergaduh, esok berbaik. Minggu depan perkara yang sama berulang. Tahun demi tahun, mereka belajar hidup bersama luka yang tidak pernah benar-benar sembuh. Lama-lama, mereka sendiri tidak pasti sama ada mereka masih mempertahankan perkahwinan kerana cinta atau kerana sudah terlalu banyak tahun yang dilalui bersama. Gituew.

3. Ada pasangan yang masih saling menyayangi, tetapi sudah tidak mampu memberikan ketenangan kepada satu sama lain. Anak-anak sudah besar. Rumah sudah ada. Harta sudah dikumpulkan. Gambar keluarga pun penuh satu album. Tetapi di sebalik semua itu, mungkin ada dua manusia yang sudah lama merasa sunyi walaupun tidur di bawah bumbung yang sama. Kadang-kadang kita boleh hidup bersama seseorang selama puluhan tahun, tetapi dalam masa yang sama semakin jauh mengenali hati masing-masing.

4. Sebab itu saya selalu terfikir apabila orang bertanya, “Kalau masih sayang, kenapa bercerai?” Soalan itu nampak mudah, tetapi kehidupan suami isteri bukan formula matematik. Bukan macam kira-kira kedai mamak. Masuk RM10, dapat teh tarik, selesai. Dalam perkahwinan, seseorang boleh masih sayang tetapi sudah tidak mampu terus hidup dalam keadaan yang sama. Ada yang terlalu banyak terluka. Ada yang terlalu lama memendam. Ada yang sudah mencuba berkali-kali. Dan ada yang akhirnya sedar, meneruskan perkahwinan mungkin hanya akan membuat kedua-duanya semakin sakit.

5. Saya teringat dua orang kawan baik saya. Mereka berpisah ketika masing-masing berumur 50an tahun, selepas bertahun-tahun hidup sebagai suami isteri. Keduanya kawan baik saya. Mereka kata masih ada rasa. Masih ada rindu. Masih ada sayang. Tetapi setiap kali cuba memperbaiki hubungan, mereka seperti berjalan di atas kaca. Tersalah langkah sedikit, dua-dua luka. Hendak berpatah balik pun sakit. Hendak terus berjalan pun berdarah. Pada usia itu, mereka bukan lagi hendak mencari siapa yang menang atau siapa yang kalah. Mereka cuma mahu sedikit ketenangan dalam hidup yang masih berbaki. Mahu tenang-damai.

6. Akhirnya mereka berdiri di tengah-tengah dan bertanya, “Kita sebenarnya hendak ke mana selepas ini?” Mungkin mereka sudah sampai pada satu titik di mana cinta sahaja tidak lagi cukup untuk menyelesaikan segala masalah. Bukan kerana cinta sudah mati, tetapi kerana cinta yang sama sudah terlalu banyak melalui kecewa, pertengkaran, salah faham dan luka yang tidak sempat dirawat. Ada masa, perpisahan bukan berlaku kerana seseorang berhenti menyayangi. Ia berlaku kerana seseorang sudah tidak tahu bagaimana hendak terus menyayangi tanpa menyakiti dirinya sendiri.

7. Dan akhirnya mereka berpisah. Bukan kerana sudah tidak sayang. Mungkin kerana mereka masih sayang, mereka memilih untuk berhenti saling menyakiti. Inilah bahagian yang paling menyedihkan tentang perceraian selepas puluhan tahun berkahwin. Kita bukan sekadar berpisah dengan seorang pasangan. Kita berpisah dengan rutin, rumah, kenangan, perancangan masa depan dan sebahagian daripada hidup kita sendiri. 

Namun, melepaskan tidak bermaksud semua yang pernah dilalui itu sia-sia. 30 tahun bersama tetap mempunyai nilai, walaupun pada tahun ke-31 mereka memilih jalan yang berbeza. Kadang-kadang, orang yang paling lama kita sayang bukan orang yang akhirnya tinggal bersama kita sampai hujung usia. Dan itu tidak semestinya bermaksud cinta mereka dahulu adalah satu kesilapan.





 

Friday, September 4, 2026

KOS SARA HIDUP 2026 MASIH TERASA BERAT

 


1. Ini antara perkara yang paling mudah rakyat biasa rasa. Rakyat biasa ni kitalah. Tak perlu kelebek laporan ekonomi pun. Pergi pasar, masuk kedai makan atau singgah pasar raya, kita sendiri boleh nampak. Harga barang sudah berubah. Dulu RM100 boleh tahan juga isi barang dapur. Sekarang RM100 masuk troli, barang yang masuk pula macam malu-malu. Percayalah saya, saya selalu pergi Giant. 

2. Memang gaji naik, tapi kos hidup pun naik. Itu yang buat rakyat rasa macam berjalan atas treadmill, penat berjalan, tetapi masih di tempat yang sama. He he he. Pendapatan bertambah sedikit, tetapi barang dapur, beli lauk di luar, bil dan keperluan harian turut meningkat. Akhir bulan, soalan wajib tetap muncul: Duit pergi mana? 

3. Kerajaan memang ada bagi bantuan. STR ada, SARA ada dan pelbagai lagi bantuan untuk rakyat. Kita tidak nafikan, kita berterima kasih semua itu membantu. Untuk keluarga yang memerlukan, bantuan sebegini memang cukup bermakna. Tetapi jangan pula bila bantuan sudah diberi, kita anggap masalah kos sara hidup sudah selesai. Haa... 

4. Bantuan dengan kos kehidupan adalah dua perkara berbeza. Bantuan boleh meringankan beban, tetapi rakyat tetap perlu membeli barang setiap hari. Kalau harga terus naik, bantuan yang diterima pun cepat habis. Rakyat bukan mahu setiap bulan buka aplikasi semata-mata nak tengok bantuan masuk. Rakyat mahu gaji sendiri cukup untuk hidup. Makan minum. 

5. Rakyat sebenarnya mahu benda yang cukup asas iaitu pendapatan yang mencukupi. Bayar rumah, bayar kereta, beli barang dapur, belanja anak, bayar bil dan kalau boleh ada sedikit baki untuk simpan. Itu sahaja. Bukan mahu hidup macam sultan Brunei pung, cuma tidak mahu setiap kali masuk pasar raya, kalkulator dalam kepala pula yang bekerja lebih keras. 

6. Rakyat boleh terima kalau kerajaan mahu buat reformasi. Rakyat faham kewangan negara perlu diperbaiki, pembaziran perlu dikurangkan dan ada keputusan yang mungkin tidak popular. Tetapi rakyat juga mahu tahu bila semua usaha itu akan mula terasa dalam kehidupan mereka. 

7. Sebab akhirnya soalan rakyat sangat mudah, “Bila kehidupan kami hendak jadi lebih senang? Bukan sekadar ekonomi negara nampak baik atas kertas. Rakyat mahu bila pergi pasar, duit masih cukup. Bila hujung bulan, tidak terlalu sesak. Kalau ekonomi negara semakin baik, rakyat biasa juga mesti dapat rasa nikmatnya. Kalau tidak, yang berubah cuma angka, hidup rakyat masih gituew-gitu juga. 

Gituew…



Wednesday, September 2, 2026

Ke Mana Negara Hendak Dibawa?



1. Inilah masalah sesebuah kerajaan gabungan. Apabila terlalu banyak parti berada dalam satu kerajaan, tidak mudah untuk membuat keputusan yang semua orang suka. Setiap parti datang dengan sejarah, prinsip, penyokong dan kepentingan politik masing-masing. Maka setiap keputusan bukan lagi sekadar soal apa yang terbaik untuk negara, tetapi turut melibatkan persoalan siapa yang akan menerima dan siapa yang akan menolak.

2. Hari ini orang Melayu ada kehendak dan kebimbangan mereka. Orang Cina ada perkara yang mereka mahu pertahankan. Orang India pula mempunyai tuntutan dan harapan tersendiri. Sabah dan Sarawak datang dengan hak serta tuntutan yang tidak boleh diketepikan. Pada masa yang sama, setiap parti politik perlu memikirkan penyokong mereka sendiri. Semua mahu didengar, semua mahu dihormati dan semua mahu kepentingan mereka dijaga.

3. Dalam keadaan seperti ini, kompromi memang tidak dapat dielakkan. Politik sememangnya memerlukan rundingan. Kerajaan tidak boleh memerintah dengan hanya mendengar satu kelompok dan mengabaikan kelompok yang lain. Tetapi persoalannya, sampai di mana kompromi itu boleh dilakukan sebelum prinsip dan arah perjuangan kerajaan mula menjadi kabur?

4. Masalahnya, apabila terlalu banyak menjaga hati, kadang-kadang keputusan yang dibuat menjadi tidak begitu tegas. Hendak melakukan perubahan perlu melihat kiri dan kanan. Hendak membuat keputusan perlu memikirkan siapa yang akan marah. Hendak menyelesaikan satu masalah, perlu pula memikirkan kesannya terhadap parti lain. Akhirnya, sesuatu yang sepatutnya boleh diputuskan dengan jelas menjadi terlalu panjang dan berhati-hati.

5. Kompromi juga ada batasnya. Kalau setiap keputusan hanya dibuat supaya tiada siapa yang terasa, akhirnya kerajaan mungkin tidak melakukan apa-apa yang benar-benar besar. Negara memerlukan keberanian untuk membuat keputusan, terutama apabila keputusan itu mungkin tidak popular tetapi perlu untuk kepentingan jangka panjang. Pemimpin tidak mungkin dapat menggembirakan semua orang sepanjang masa.

6. Yang lebih penting, rakyat perlu tahu apakah arah kerajaan. Mereka mungkin boleh menerima keputusan yang sukar jika kerajaan mampu menerangkan sebabnya dengan jujur dan menunjukkan ke mana negara sedang dibawa. Rakyat tidak semestinya meminta semua masalah selesai dalam satu malam. Tetapi rakyat mahu melihat kesungguhan, ketegasan dan hala tuju yang jelas.

7. Akhirnya, persoalannya bukanlah berapa banyak parti yang berada dalam kerajaan. Persoalannya ialah, adakah kerajaan itu masih mempunyai keberanian untuk membuat keputusan berdasarkan kepentingan negara apabila keputusan tersebut tidak menyenangkan semua pihak? Kerana kerajaan yang terlalu sibuk menjaga semua hati mungkin akhirnya gagal menjawab satu soalan yang paling penting negara ini sebenarnya hendak dibawa ke mana?


Selamat hari Merdeka


Tuesday, September 1, 2026

PENSYARAH JUGA MANUSIA

 


1.Pensyarah juga manusia. Setiap manusia datang dengan latar belakang, pengalaman, kekuatan dan cara berfikir yang berbeza. Sebab itu saya selalu tertanya-tanya, kenapa apabila seseorang menjadi pensyarah, kita seolah-olah mengharapkan mereka semua bergerak dalam acuan yang sama? Seolah-olah sudah ada satu resipi “pensyarah cemerlang”, lalu semua orang mesti masak ikut resipi itu. Kalau tidak, dianggap kurang menjadi. Gituew.

2. Ada pensyarah yang memang hebat dalam penyelidikan. Namanya muncul dalam jurnal, persidangan dan pelbagai penerbitan. Gerannya banyak, projeknya besar dan hasil kajiannya memberi sumbangan kepada bidang ilmu. Baguslah. Kita memang patut menghargai mereka. Tetapi dalam masa yang sama, adakah pensyarah yang tidak banyak menerbitkan artikel itu secara automatik menjadi kurang bernilai? Mungkin tidak. Ada pensyarah yang setiap hari masuk kelas dan mengajar perkara yang sama berulang kali. Tidak ada kamera, tidak ada wartawan, tidak ada siapa tepuk tangan. Tetapi setiap tahun ada pelajar yang datang selepas kelas lalu berkata, “Saya akhirnya faham.” Bukankah itu juga satu bentuk kecemerlangan?

3. Ada pula pensyarah yang banyak menghabiskan masa membimbing pelajar yang bermasalah. Pelajar yang selalu gagal, hilang motivasi, datang daripada keluarga susah atau langsung tidak yakin dengan diri sendiri. Kadang-kadang kerja pensyarah itu bukan sekadar mengajar subjek. Dia mendengar masalah, memberi nasihat dan meyakinkan seorang anak muda supaya jangan berhenti mencuba. Cuma masalahnya, semua itu hendak dimasukkan di mana dalam borang penilaian? Ada kotak untuk “berapa orang pelajar yang kembali percaya kepada diri sendiri”? Ada markah untuk “berapa kali pensyarah mendengar masalah pelajar sampai tengah malam”? Entah. Mungkin belum ada.

4. Ada pensyarah yang hebat membina hubungan dengan industri. Ada yang turun ke lapangan, bekerja dengan masyarakat dan menyelesaikan masalah sebenar yang tidak pernah masuk dalam buku teks. Ada yang namanya tidak terkenal, tetapi hasil kerjanya digunakan orang di luar universiti. Ada juga yang banyak bekerja di belakang tabir—mengurus program, menjaga pelajar, membina jaringan dan memastikan sebuah jabatan terus berjalan. Tidak semua sumbangan mempunyai pentas. Kadang-kadang yang paling banyak bekerja ialah orang yang paling kurang disebut namanya.



5. Tetapi kita manusia memang suka benda yang boleh dikira. Berapa penerbitan? Berapa geran? Berapa sitasi? Berapa projek? Berapa anugerah? Semua itu penting. Saya tidak kata tidak penting. Tetapi saya selalu terfikir, adakah semua perkara yang penting mesti boleh dikira? Dan lebih penting lagi, adakah semua perkara yang boleh dikira itu benar-benar penting? Kalau seorang pensyarah selama dua puluh tahun mengajar ribuan pelajar, mungkin penerbitannya tidak sebanyak orang lain. Tetapi bekas pelajarnya kemudian menjadi guru, jurutera, pegawai kerajaan, usahawan dan pemimpin masyarakat. Mereka mungkin lupa tajuk kuliah yang pernah diajar, tetapi masih ingat seorang pensyarah yang pernah percaya kepada mereka ketika mereka sendiri tidak percaya kepada diri sendiri. Hendak letak angka berapa untuk benda macam itu?

6. Saya takut apabila kita terlalu sibuk mengejar ukuran tertentu, kita akhirnya bukan lagi membentuk pensyarah yang cemerlang, tetapi membentuk pensyarah yang pandai memenuhi ukuran kecemerlangan. Pensyarah mula bertanya, “Apa yang perlu saya buat untuk dapat markah?” dan bukan lagi, “Apa yang sebenarnya diperlukan oleh pelajar saya?” Pensyarah yang suka mengajar mungkin mula rasa masa bersama pelajar itu membazir kerana masa tersebut boleh digunakan mengejar perkara yang lebih mudah dikira. Pensyarah yang bertahun-tahun bekerja dengan masyarakat pula mungkin tertanya-tanya, “Adakah kerja aku ini bernilai kalau angka dalam borang tidak cukup besar?” Lama-lama, orang yang sebenarnya bagus dalam sesuatu perkara boleh pula berasa rendah diri kerana kekuatannya bukan pada perkara yang paling dihargai oleh sistem.

7. Di sinilah saya rasa kita perlu berhenti sekejap. Universiti bukan kilang yang menghasilkan manusia dalam bentuk yang sama. Pensyarah pun bukan fotostat. Ada orang jiwanya dalam penyelidikan. Ada yang bahagia berada dalam kelas. Ada yang lebih hidup apabila turun ke lapangan. Ada yang hebat bersama industri. Ada yang kekuatannya membimbing pelajar. Ada yang tidak begitu menonjol dalam angka, tetapi kehadirannya membuatkan sebuah jabatan terasa lebih manusiawi. Kita boleh ada ukuran. Kita memang perlukan ukuran. Tetapi ukuran sepatutnya membantu kita memahami sumbangan manusia, bukan menentukan nilai manusia secara keseluruhan. Kerana mungkin kecemerlangan seorang pensyarah bukan hanya tentang berapa banyak penerbitan, geran atau anugerah yang boleh ditunjukkan. Kadang-kadang kecemerlangan itu ada pada seorang bekas pelajar yang bertahun-tahun kemudian masih berkata, “Dulu pensyarah saya pernah percaya kepada saya.” Kalau kata-kata kecil itu menyebabkan seorang manusia terus berjalan dan tidak mengalah, bukankah itu juga kecemerlangan? Jadi persoalannya bukan lagi, “Siapa pensyarah paling hebat?” Tetapi, “Siapa yang kita bantu menjadi lebih baik melalui kerja kita?”

Friday, August 28, 2026

PELAJAR PANDAI PELAJAR BODOH

 Pelajar pandai dan pelajar tak pandai

Saya sudah berada dalam dunia pendidikan selama 30 tahun lebih. Saya pernah mengajar di sekolah, di kolej dan di universiti. Saya dapati hendak kata seseorang pelajar itu pandai atau tidak agak sukar. Jika berdasarkan result yang tinggi maksud saya mereka mungkin banyak membaca dan buat latihan. Dan ada yang hanya beberapa kali masuk kelas mendapat A.

Tugas kita mengajar

Sebab tugas kita mengajar, kita mengajarlah bersungguh-sungguh dan memberi galakan tanpa mengira daya penakulan pelajaran mereka. Saya selalu terfikir juga, betulkah pelajar yang dapat A itu lebih pandai daripada pelajar yang dapat C? Kalau dalam peperiksaan mungkin ya, sebab markahnya lebih tinggi. Tetapi kalau dalam kehidupan saya tidak berani hendak kata begitu.

Saya sudah jumpa banyak jenis pelajar sepanjang 30 tahun ini. Ada pelajar yang kita ajar sekali dia terus faham. Kita bagi latihan dia buat, kita beri soalan susah sedikit pun dia boleh jawab. Kita sebagai guru pun seronok mengajar pelajar macam ini. He he he. Tetapi ada pula pelajar yang kita terangkan berkali-kali masih belum faham. Kita tulis di papan putih, kita bagi contoh, kita suruh buat latihan, kita terangkan lagi... masih begitu juga.

Tetapi jangan pula kita cepat kata dia tak pandai.

Daya penakulan berbeza

Ada pelajar yang lambat memahami tetapi dia sangat rajin. Setiap hari datang kelas, buku penuh dengan catatan dan latihan pun dibuat. Bila keputusan keluar, markahnya masih rendah. Saya kasihan juga melihatnya. Dia sudah berusaha tetapi otaknya mungkin tidak dapat menerima pelajaran seperti pelajar lain. Daya penakulan manusia ini memang berbeza. Kita tidak boleh paksa semua kepala manusia berfikir dengan cara yang sama.

Ada pula pelajar yang pandai tetapi malas. Kalau dia rajin sedikit, saya rasa boleh pergi jauh. Tetapi dia tidak begitu berminat hendak belajar. Kadang-kadang datang kelas pun muka macam baru bangun tidur. He he he. Bila peperiksaan dia boleh juga dapat keputusan yang baik. Jadi hendak kata dia tidak pandai memang tidak boleh, tetapi hendak kata dia seorang pelajar yang baik dari segi usaha pun saya rasa belum tentu.

Gituew..



Thursday, August 27, 2026

DIALAH YANG TERAKHIR

 




Saya malu hendak mengaku saya pernah bercinta sakan. Kot-kot saya saja yang syok sendiri. Ramai begitu, kan? Tentulah ia sesuatu yang memalukan. Seolah-olah kita sudah hilang maruah sendiri. Jadi, biarlah saya susun ayat ini begini: Itulah kali terakhir saya menyayangi seseorang sepenuh hati. Saya sudah letak titik noktah di situ.

Ya, ia berakhir dengan tragedi. Sakit, pedih, sedih, serba-serbi saya rasa. Kalau tidak berdosa, mungkin saya akan kata, “Ya tuhan, cabutlah nyawaku...” Macam lirik asal lagu P Ramli...sampai begitu sekali rasanya. Dan sampai saya bersumpah, saya tidak akan menyayangi sesiapa lagi sebegitu rupa. Biarlah dok sendiri. Lebih selamat begitu, kata hati saya.

Dulu saya salahkan dia. Khianat, tidak bertimbang rasa. Macam-macam saya sumpah seranah dalam hati. Semuanya kerana kecewa. Lama-lama saya sedar, mungkin salah saya juga. Saya terlalu percaya, kalau kita sayang orang, orang akan sayang kita. Rupanya tidak. Tidak semudah itu analoginya. Bila kita sayang seseorang, kita sebenarnya sedang mengambil risiko. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak punya apa-apa, duit pun tidak banyak, bukan lelaki kaya yang boleh menjamin apa-apa. saya hanya jambatan.

Kita tidak pernah terfikir manusia yang kita sayang itu boleh membina bahagia di atas penderitaan orang lain. Sebab ketika itu kita sedang mabuk. Mabuk dengan rasa sayang. Kita percaya apa yang kita mahu percaya. Kita nampak baiknya saja, kita tutup mata pada yang lainnya. Kalau perlu berkorban, kita korbankan. Kalau diberi seisi dunia ini sekalipun, kita tolak. Kita cuma mahu orang itu. Sehinggalah satu hari, kita terduduk sendiri dan baru sedar betapa mahalnya harga sebuah perasaan.

Tapi bila kita sayang, kita memang tidak nampak. Sayang itu membutakan. Kita rela berkorban apa saja, walaupun diri sendiri yang hancur sedikit demi sedikit. Kita fikir pengorbanan itu bukti cinta. Kita fikir kesetiaan akan dibalas dengan kesetiaan. Kita fikir hati manusia bekerja seperti hati kita. Rupanya tidak. Manusia tidak semuanya seperti kita. Dan mungkin itu pelajaran paling pahit yang pernah saya terima.

Ada kali pertama untuk semuanya, dan ada kali terakhir untuk segalanya. Pasal masih ada rasa kasih dan sayang itu, cerita lain. Isu lain. Perasaan tidak semestinya mati hanya kerana sebuah hubungan sudah berakhir. Cuma selepas semua yang berlaku, saya tahu saya tidak mahu lagi menyerahkan seluruh hati saya kepada sesiapa. Cukuplah sekali. Yang terakhir itu biarlah benar-benar menjadi yang terakhir.

Yang penting, terus jalani kehidupan menuju hari-hari tua. Sekarang jaga mak yang uzur, dan seterusnya jaga diri sendiri. Nasihat saya, juga kepada diri sendiri...tidak perlu lagi sibuk mencari siapa yang mahu menyayangi kita. Hidup tetap perlu diteruskan. Mungkin selepas ini hidup saya lebih sederhana. Dok sendiri, jaga mak, jaga diri, dan belajar berdamai dengan apa yang sudah terjadi. Ada benda dalam hidup ini memang tidak perlu kita menangi. Cukup kita terima, kemudian kita teruskan perjalanan.

Semoga tuhan ampunkan kita semua...

Friday, August 21, 2026

UM ASRAMA SEKSYEN 17: BAJU RM245.90, TELUR MASIN 70 SEN DAN RM200

The RM200 That Was Supposed to Be a Loan

“I don’t have money for the bus fare, Man, that’s why I haven’t been going to campus,” my friend, who lived outside the hostel (dok rumah sewa) , told me. That answered all the questions as to why he had not appeared in class for three days.

Without hesitation I told him, “It’s okay, use my money. We use it for food and to go to class. When both of us have no money left, then we don’t go to class, he he he,” I said, seriously but joking at the same time.

And then I gave him RM200 so that he could `segar angin'. RM200 in 1991 was a lot of money. He considered it a loan, but I already knew he would probably never be able to pay it back... I knew his financial situation. If he didn’t pay, it was okay with me.

So I can say that sometimes I also had no money while studying in UM. Actually, that RM200 was money my father had given me. My father was a district council member, and every time there was a meeting he received RM50, at least four meetings a month. He asked the secretary to bank the money directly into my account. And every month my father also sent me pocket money. At that time, my father was still actively involved with politicians and businessmen.

Sometimes I Had No Money Too

Although I should have had enough money, there were times when I simply did not have enough. So, throughout my years of studying, I also experienced what it was like to be short of money.

Once, I bought one salted egg. I cut it into two and kept it in my locker. One half was for breaking fast, and the other half was for sahur. Tapi adalah lauk-lauk lain juga.

That was how life was as a student. Sometimes we had money, sometimes we didn’t. There were times when even a single salted egg had to be planned properly half for tonight, and the other half for tomorrow morning.

When Perhimpunan Agung UMNO Made Me Rich

But that is how life is, isn’t it? Sometimes we just don’t have enough money. Sedangkan the Sultan of Brunei was doing business and investing bagai, I was doing the same in my own little way. Still nowdays if I didn’t have enough money, I would just buy facial cleanser at Waltson. I wasn’t embarrassed.

Every year, I looked forward to the UMNO General Assembly at the World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL). I would suddenly become rich. My father would come to KL. He would go to PWTC with his friends, who were businessman. My father considered himself simply a friend of these people.

My father’s friends were very generous, and I would get some money.

The Limousine, Dunhill and the RM700 Jacket

And there was one time when a limousine came to pick me up at Section 17 Hostel and took me to Yohan and Sogo so I could buy whatever I wanted. I wasn’t greedy. I only bought two shirts, two Dunhill shirts, actually. I had been drooling over them whenever I saw them behind the glass. Dia letak dalam almari kaca. They were only around RM245 each. The shirts were very thin and dried quickly.

I also took one Camel jacket. It was quite ugly, actually, but it cost around RM700. My father’s friend paid for everything.

I wore the shirts to lectures and around the hostel.

The Economics Lecturer and My RM245 Shirt

But one day, during a lecture on supply, demand and price determination, my economics lecturer said, “I never buy a shirt that costs more than RM50. That would be a stupid thing to do.”

I felt hurt. I felt wounded there in the lecture hall, with more than 300 students around me... even though I was sitting at the back. He he he.

I defended myself by saying silently in my heart, “But it wasn’t me who bought the shirt. My father’s friend paid for it.”

I also bought kilos of Famous Amos biscuits for my friends.




MASIH SAYANG, TAPI KENAPA MAKIN LAMA MAKIN SAKIT?

 

Orang selalu fikir sesuatu hubungan berakhir apabila cinta sudah tiada. Tidak semestinya. Tidak semudah itu. Ada hubungan yang berakhir walaupun rasa cinta masih ada.

Cinta itu ada, rasa itu masih ada, cuma entah kenapa setiap kali cuba dipertahankan, hati semakin penat. Macam ada sesuatu yang tidak kena, tetapi kita sendiri susah hendak menjelaskan apa sebenarnya. 

Ada orang yang kita sayang, tetapi kita tidak mampu memberikan kehidupan yang dia harapkan. Ada orang yang ingin kita pertahankan, tetapi semakin lama dipertahankan, semakin banyak luka yang terhasil. Kita cuba bertahan kerana sayang, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlahan-lahan kehilangan diri sendiri. Gituew. 

Kadang-kadang kita fikir, “Kalau masih sayang, kenapa perlu berpisah?” Tetapi hidup ini tidak semudah formula matematik, tidak semudah mencerca Ainal Abdul atau memesan barabgab Shoopi (pay later)

Sayang pula tidak semestinya bermaksud kita sesuai untuk terus bersama. Disindir, diperli atau dipukul dipalu.

Mungkin itulah yang paling menyedihkan tentang sesetengah hubungan. 

Abang Jan: Bukan kerana cinta sudah mati, tetapi kerana cinta itu sendiri sudah tidak cukup untuk membuat dua orang bahagia.





Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home