Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Wednesday, September 20, 2023

LAUK RAJIN, NASI PULA KENA DIPUJUK



Malam-Malam, Tetap Nasi

Saya makan nasi untuk makan malam. Saya tidak makan mee, spaghetti, roti atau buah-buahan sebagai ganti makan malam. Saya juga tidak makan biskut sebagai makan malam. Saya bukan tikus. He he.

Jarang sangat saya tidak makan nasi waktu malam. Bagi saya, makan malam ialah makan yang paling penting. Macam mana badan hendak berehat kalau khasiatnya tidak cukup? Macam mana badan hendak pulihkan diri kalau makanan yang masuk pun tidak seberapa? Ada pakar kata sarapan ialah makanan paling penting. Biarlah mereka hendak kata apa pun. Saya tetap dengan pendirian saya. Makan malam saya mesti ada nasi.

Dari Kecil Memang Makan Nasi

Saya dibesarkan dalam keluarga yang malam-malamnya memang makan nasi. Begitulah sejak kecil. Balik kerja, balik sekolah, malam makan nasi. Bukan makan roti, bukan makan biskut dan bukan makan buah sebagai pengganti nasi. Nasi memang makanan utama kami.

Masa muda dulu, masak nasi bukanlah satu masalah kerana saya memang tidak masak nasi pada waktu malam. Itu bukan rutin saya. Rutin saya dahulu, selepas Maghrib keluar rumah. Pakai seluar dan baju, siap sikat rambut, kemudian keluar makan dengan kawan-kawan. Kadang-kadang tidak perlu fikir langsung tentang dapur.

Mudah hidup masa muda.

Bila Umur Sudah 50-an

Bila umur sudah masuk 50-an, makanan pula kena lebih dijaga. Saya sudah pergi jumpa doktor di KMC. Doktor siap beri senarai makanan yang saya boleh makan, makanan yang boleh makan tetapi dalam kuantiti sedikit dan makanan yang saya perlu elakkan.

Jadi, lebih baik saya makan di rumah. Saya masak nasi dan buat lauk sendiri. Lauk pun ringkas sahaja. Tidak terlalu masin, tidak manis dan tidak menggunakan perasa tiruan. Sekurang-kurangnya saya tahu apa yang saya masukkan ke dalam masakan. Saya boleh kawal kandungannya.

Tapi Sekarang Saya Malas Masak Nasi

Namun sejak akhir-akhir ini, saya pelik dengan diri sendiri. Saya semakin malas hendak masak nasi.

Masak nasi bukannya susah. Basuh beras, masukkan air, tekan butang. Sudah. Tidak perlu berdiri lama di dapur. Tidak perlu kacau pun. Periuk nasi boleh buat kerja sendiri.

Tetapi entah kenapa, benda yang paling senang itulah yang saya malas hendak buat.

Lauk pula saya rajin. Boleh pula saya fikir hendak masak ikan apa, sayur apa, hendak tumis apa. Boleh berdiri di dapur dan masak lauk dengan penuh semangat. Tetapi bila sampai kepada nasi, terus rasa malas.

Mungkin sebab nasi itu terlalu senang.

Atau mungkin sebab nasi putih itu terlalu putih dan tidak menarik. Tidak ada warna. Tidak ada gaya. Kalau hendak bagi warna pun, takkanlah saya hendak bubuh sumba dalam nasi?

Bukan hendak buat kek pelangi. He he.

Adakah Ini Sebab Umur?

Saya tidak tahu sama ada rasa malas masak nasi ini memang perkara biasa bila umur semakin bertambah, atau saya seorang sahaja yang mengalaminya. Sebenarnya bukan saya tidak mampu masak nasi. Boleh sahaja. Cuma mungkin bila usia meningkat, kita mula hilang sedikit mood untuk melakukan perkara yang terlalu biasa dan berulang-ulang. Masak nasi itu terlalu mudah, terlalu rutin dan mungkin sebab itulah saya mula rasa malas. Sedangkan kalau difikirkan semula, nasi itulah makanan yang saya cari setiap malam sejak kecil.

 

Semoga Malam Ini Masak Nasi

Apa pun, malam ini saya harap saya ada kekuatan untuk masak nasi. Tak perlu banyak pun, cukup sekadar untuk makan malam. Basuh beras, masukkan air, tekan butang dan tunggu. Kalau nasi sudah masak, bolehlah makan dengan lauk yang saya sudah rajin masak tadi. Begitulah hidup sekarang, lauk boleh rajin, nasi pula kena dipujuk. He he. Semoga malam ini ada nasi di atas meja. Sebab saya ini orang lama. Malam-malam, tetap nasi.

 

https://jankaulu.blogspot.com/2026/08/tentang-kehidupan-dan-kematian.html

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home