Kadang-kadang kita terlalu sibuk menjaga perkara lain dalam hidup sehingga terlupa menjaga sesuatu yang paling penting iaitu kesihatan diri sendiri. Kita risau tentang duit, kerja, keluarga, PMA, KPI dan masa depan, tetapi jarang bertanya kepada diri sendiri, “Bagaimana keadaan jantung aku hari ini?” Salah satu perkara yang sering dianggap kecil tetapi sebenarnya sangat besar kesannya ialah tekanan darah atau blood pressure (BP).
Saya teringat Datuk Dr Ramli KMC beritahu "Apabila tekanan darah naik terlalu tinggi, jantung kita terpaksa bekerja lebih kuat daripada biasa". Bayangkan sebuah pam air yang perlu bekerja tanpa berhenti dengan tekanan yang lebih tinggi. Lama-kelamaan, pam itu juga boleh mengalami masalah. Begitu juga jantung manusia. Tekanan darah tinggi yang berterusan boleh menyebabkan otot jantung menjadi semakin tebal kerana terpaksa mengepam dengan lebih kuat. Jika tidak dikawal, jantung boleh menjadi lemah dan akhirnya meningkatkan risiko kegagalan jantung.
Tekanan darah tinggi juga boleh memberi kesan besar kepada otak. Saluran darah di otak sangat halus dan mudah terjejas apabila menerima tekanan yang terlalu kuat. Dalam keadaan tertentu, saluran darah boleh pecah atau tersumbat, lalu menyebabkan strok. Ada orang yang bangun pada waktu pagi seperti biasa, tetapi tiba-tiba kehidupan berubah kerana serangan strok yang datang tanpa diduga.
Datuk Dr Ramli juga beritahu, selain jantung dan otak, buah pinggang juga menjadi mangsa apabila tekanan darah tidak terkawal. Ramai mungkin tidak menyedari bahawa buah pinggang bekerja setiap hari menapis darah dan membuang bahan yang tidak diperlukan oleh badan. Namun, saluran darah kecil dalam buah pinggang boleh rosak akibat tekanan yang tinggi. Apabila ini berlaku, fungsi buah pinggang boleh semakin merosot dan dalam kes tertentu boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang.
Mata juga tidak terkecuali. Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah kecil pada retina, iaitu bahagian mata yang membantu kita melihat. Pada peringkat awal mungkin kita hanya mengalami penglihatan kabur, tetapi jika keadaan menjadi serius, ia boleh menjejaskan penglihatan secara kekal. Ia makan masa tetapi pasti datang jika kita tidak kawal tekanan darah.
Saya diberitahu penyakit buah pinggang saya ini mungkit dari akibat tidak makan ubat darah tinggi secara teratur.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah risiko serangan jantung. Tekanan darah tinggi boleh mempercepatkan pembentukan plak dalam saluran darah. Sedikit demi sedikit saluran darah menjadi sempit sehingga aliran darah ke jantung terganggu. Kadang-kadang kita menjaga kereta dengan baik, servis mengikut jadual dan memastikan minyak cukup, tetapi lupa bahawa “enjin” dalam badan kita juga memerlukan penjagaan.
Jika bacaan tekanan darah mencapai sekitar 180/120 mmHg atau lebih, ia dianggap sangat tinggi dan boleh menjadi keadaan kecemasan, terutama jika disertai sakit dada, sesak nafas, sakit kepala yang teruk, keliru, masalah penglihatan atau kelemahan pada sebelah badan. Dalam keadaan seperti ini, bantuan perubatan perlu diperoleh segera.
Dalam hidup ini, kita sering berfikir bahawa penyakit hanya datang apabila umur sudah terlalu tua. Sebenarnya, tubuh kita sudah memberi tanda lebih awal. Tekanan darah tinggi mungkin tidak sakit, tidak berbunyi dan tidak memberi amaran yang jelas, tetapi kesannya boleh datang secara perlahan-lahan. Sebab itu pemeriksaan tekanan darah bukan tanda kita sakit, tetapi tanda kita menghargai kehidupan yang masih diberikan.
Kerana pada akhirnya, harta yang kita kumpul, pekerjaan yang kita bina dan impian yang kita kejar semuanya tidak akan bermakna jika kesihatan tidak dijaga. Kadang-kadang perkara paling mudah seperti memeriksa BP, menjaga pemakanan dan bergerak aktif adalah hadiah kecil yang kita berikan kepada diri sendiri untuk menikmati hari-hari yang masih panjang.
Artikel ini saya tujukan khas buat Ja dan Nan. Saya harap kami selalu dapat meluangkan sedikit masa bersama. Tidak perlu perkara yang besar pun, mungkin sekadar berjalan-jalan ke Watsons, berbual santai dan berkongsi cerita seperti biasa. Bagi saya, masa yang sederhana seperti itu kadang-kadang menjadi kenangan yang paling bermakna. Dalam hidup ini, bukan semua perkara perlu dirancang dengan hebat, kadang-kadang cukup dengan kehadiran seorang kawan yang sudi meluangkan masa bersama.
Gituew



