Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Friday, January 29, 2016

UMUR DAH 50, MASIH PERLU KE JADI MENARIK?

Saya percaya kalau dibuat satu kajian ke atas penduduk di muka bumi ini dan ditanya, “Apakah yang paling anda mahu dalam hidup?” jawapan pertama majoritinya mungkin mahu jadi kaya. Itu saya boleh faham. Duit boleh beli macam-macam benda, walaupun belum tentu boleh beli ketenangan. 

Dan saya rasa jawapan kedua yang ramai orang mahu ialah mahu jadi menarik. Saya tidak mahu kupas bab mahu jadi kaya kerana itu cerita lain. Saya lebih berminat hendak tengok satu perangai manusia yang memang suka dirinya kelihatan menarik di mata orang lain.

Kawan saya kata saya tidak menarik

Saya pernah `dibaca' oleh seorang kawan yang merupakan seorang psikologi. Katanya, saya mempunyai perwatakan yang sederhana. Kalau orang melihat saya sekali lalu, katanya tidak ada apa-apa yang membuat orang terus tertarik kepada saya. Cara saya berjalan, cara bercakap pun biasa-biasa. Pendek kata, saya bukan jenis manusia yang masuk sahaja ke dalam bilik, semua orang terus berhenti bercakap dan menoleh. Walaupun agak kejam, saya setuju dengan analisisnya itu. Cuma saya rasa saya masih lebih menarik daripada dia. Saya lebih pandai berkomunikasi, boleh buat kek buah dan boleh menulis. Jadi ada juga saham saya. He he he.

Saya memang tidak handsum, itu saya akui

Kalau bercakap tentang fizikal pula, saya memang tidak boleh hendak berbohong kepada diri sendiri. Saya tidak tinggi dan agak gemuk pula. Pada wajah saya, hanya kening yang saya rasa menarik. Kening saya cantik dan saya rasa mengikut piawai kecantikan antarabangsa. Tetapi hidung saya pesek dan bulat. Mulut pula agak kembang. Gigi pun sedikit tertonjol. Hu hu hu. Jadi dengan bahasa yang paling mudah, saya memang tidak handsum. He he he. 

Tetapi selepas umur 50, saya rasa perkara seperti ini sudah tidak perlu sangat hendak dirisaukan. Dulu mungkin kita berdiri depan cermin dan cari apa yang tidak kena. Sekarang berdiri depan cermin pun kadang-kadang kita cuma hendak pastikan rambut masih ada. Dan tambahan kedut...

Saya tidak pernah belajar jadi orang lain

Yang menariknya, walaupun saya sedar diri saya tidaklah menarik mana, saya tidak pernah pula cuba belajar berjalan dengan gaya tertentu, belajar bercakap dengan suara yang kononnya memikat, atau mengawal tingkah laku supaya nampak hebat di depan orang. Saya... sayalah. Kalau orang suka, alhamdulillah. Kalau orang tidak suka, itu pun saya tidak boleh buat apa. Saya tidak pernah rasa perlu mencipta satu watak semata-mata supaya orang lain tertarik kepada saya. Mungkin sebab itu saya kekal menjadi manusia biasa-biasa. Tetapi saya selesa menjadi diri sendiri.

Mahu jadi menarik bermakna kita tahu kita tidak menarik?

Saya terfikir juga, kalau seseorang itu benar-benar mahu menjadi menarik, bukankah secara tidak langsung dia mengakui bahawa dirinya sekarang tidak cukup menarik? Kita ketepikan dahulu sebab-sebab lain seperti mahu dipuji, mahu disanjung, mahu mendapatkan perhatian atau mahu memikat seseorang. Itu cerita lain. Tetapi keinginan untuk menjadi menarik memang ada dalam diri manusia. Apabila seseorang sedar dirinya kurang menarik, dia boleh memilih untuk melakukan sesuatu mengenainya. Atau dia boleh memilih untuk tidak buat apa-apa. 

Saya lebih cenderung kepada pilihan kedua. He he he. Sesekali saya mahu nampak kemas, itu bolehlah. Tetapi kalau hendak jadi terlalu `stailo', selisih malaikat 44.

Kalau mahu nampak menarik, itu hak masing-masing

Walaupun saya sendiri tidak begitu berminat untuk mengejar rupa dan penampilan, saya tetap kagum dan setuju kalau seseorang mahu dirinya kelihatan menarik. Itu hak masing-masing. Tidak ada salahnya mahu berpakaian cantik, menjaga badan, belajar bercakap dengan baik atau cuba memperbaiki cara kita membawa diri. Kadang-kadang keinginan untuk kelihatan menarik juga boleh menjadi satu bentuk motivasi. Walaupun selepas semua usaha dibuat, belum tentu kita menjadi menarik sangat. He he he. Tetapi sekurang-kurangnya kita rasa lebih yakin dan lebih selesa dengan diri sendiri. Itu pun sudah cukup baik.

Jadi, bagaimana hendak jadi menarik?

Saya rasa soalan yang berlegar sekarang ialah, “Bagaimana mahu jadi menarik?” Jawapannya mungkin bukan sekadar tentang muka, badan, pakaian atau cara berjalan. Ada orang mukanya biasa-biasa sahaja tetapi apabila bercakap, kita suka mendengarnya. Ada orang tidak begitu cantik atau handsome, tetapi kehadirannya membuat orang rasa selesa. Ada pula yang cantik bukan main, tetapi baru lima minit bercakap kita sudah mencari alasan hendak balik. He he he. 

Jadi selepas umur 50 ini, saya semakin percaya bahawa menjadi menarik bukan semestinya bermaksud orang lain terpaku melihat kita. Kadang-kadang cukup sekadar kita menjadi manusia yang menyenangkan untuk berada di sekelilingnya. Dan kalau itu pun tidak berjaya, tidak mengapa. Kita tetap kita. Umur dah 50, bukan masa lagi hendak berlakon jadi orang lain.


Umur 50 Baru Saya Tanya: Adakah Saya Ini Berjaya Dalam Hidup? Umur Makin Tua, Tapi Saya Masih Belajar AI

 


Image result for so attractive

No comments:

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home