Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Friday, December 16, 2022

Orang konon kenal kita




Dalam dunia ini kita akan temui ramai orang, orang yang kononnya kenal kita. 

Sebenarnya orang yang sangat kenali kita adalah kita, itupun kadang-kadang ada keraguan dalam diri, itukah kita?

Sedangkan mereka tidak pernah seharipun jadi kita...

Dunia ini pelik

Thursday, November 17, 2022

PRU15 Parlimen Besut: Mengapa Datuk Seri Idris Jusoh tidak mahu bertanding lagi?



Pada pilihanraya lalu, saya balik kampong untuk menyokong Datuk Seri Haji Idris Jusoh. Beliau bertanding bagi kawasan parlimen Besut. 

Saya menyokong beliau dari segi idea dan gerak kerja untuk membangunkan dunia pendidikan Malaysia. Idea dan gerak kerjanya dalam kerangka memajukan bidang pendidikan tinggi sangat membanggakan saya. Datuk Seri dengan dunia pendidikan tidak dapat dipisahkan.

Lebih kurang 30 tahun lalu, saya dapat bantuan pemberian komputer dari beliau semasa saya belajar di UM. Pada masa tersebut pelajar yang memiliki komputer boleh dibilang dengan jari. Ia sangat menolong saya terutama dalam menyiapkan thesis master saya.

Masa berubah, itu sudah hampir 30 tahun dahulu. Saya pun sudah  berumur 50an. Dan saya sudah ada uban di tepi telinga. Dan apatahlagi Datuk Seri sudah beruban sepenuhnya.

Kali ini saya balik bukan untuk mengundi beliau. Beliau sudah tidak mahu bertanding. Beliau sudah nyatakan beberapa kali sejak bulan oktober lalu. Alasannya beliau mahu beri peluang kepada golongan muda. Beliau percaya dengabn adanya golongan muda, UMNO akan lebih bertenaga dan diminati pengundi. Saya dapati beza sekali pendirian beliau berbanding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Ya lah kan setiap orang ada pendapat sendiri. Kita harus hormati. Namun dalam politik umur 66 tahun masih muda...

Secara peribadi saya mahu mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada beliau. Orang yang saya kagumi dan kenali. Rasa rugi pun ada jika beliau tidak bertanding, tetapi kita tidak tahu lagi kerana dalam politik apa saja boleh berlaku. Apa yang terjadi pada masa akan datang tidak di tangan kita.

Sekian sahaja.


Saya tidak mahu mengundi!



Sejauhmanakah pentingnya untuk kita mengundi? 

Ada orang percaya undian beliau adalah penting dan bermakna dalam memakmurkan negara, menentukan halatuju negara sekali gus memberikan kesan yang besar pada kehidupannya. Mereka memilih individu dan parti yang mereka percaya boleh buat kerja dan ada gagasan idea yang hendak dibawa. Mereka percaya apabila negara di landasan ekonomi yang betul, kemakmuran akan menerjah dalam diri dan keluargan beliau. 

Ada ada manusia yang tidak rasa undiannya penting. Beliau berpendapat parti yang manapun menang dan memerintah, kehidupan beliau tidak berubah. Mereka tidak ghairah untuk mengundi. Malah ada yang tidak akan mengundi kerana percaya bahawa tiada apa-apa perubahan yang akan berlaku kepada beliau dan keluarganya.

Kita berada dalam golongan mana?

Sebenarnya secara langsung dan tidak langsung kehidupan kita terkesan apabila parti memerintah membuat polisi dan plan pembangunan, sama ada dalam bidang ekonomi mahupun sosial.

Sebab itulah saya balik mengundi walaupun ada kawan saya tidak balik untuk mengundi!.

Saya sedar ada rakyat di negara lain yang berperang untuk dapatkan hak mengundi. Mengundi adalah tanggungjawab kita kepada negara. 

Jangan asyik tanya apa tanggungjawab negara terhadap kita...he e he.

Thursday, October 27, 2022

Saya letih sepanjang minggu ini: Teratai layu di tasik madu...

Saya tiba di Kuantan dalam pukul 4.00 pagi tepat. Letih gila. Sepatutnya Siva yang memandu, tetapi sebab dia ada hal keluarga, dia kena berada di KL. Sayalah yang kena memandu pulang sendirian. Siti Maslina pula tidak dapat menemani saya ke KL kerana hendak hantar anaknya ke MRSM Ulul Albab, Kota Putra. 

Saya bertolak tadi dalam pukul 12 tengah malam. Saya bawa perlahan sayaa. Saya bukan perempuan.

Biasanya Sivalah yang bawa saya ke sana kemari bila berada di KL. Saya tidak berani memandu di KL.

Minggu ni jadual saya padat sangat. Minggu ini sebenarnya saya juga tengah mengendalikan `Midterm Review’ subjek ekonomi. Harus disiapkan dan dihantar minggu depan. Semua pensyarah kena hantar tepat pada waktunya tanpa mengira sesiapa. Tanpa mengira saya terkenal atau tidak, saya sibuk atau tidak. Dewasa ini atas bawah semuanya nak kena `Review’ bagai.

Tetapi saya rasa bersyukur sangat kerana akhirnya berjaya juga merakam lagu terakhir saya untuk album terbaru ini. Banyak sangat rintangan yang saya hadapi untuk kekal releven dengan industri seni yang saya ceburi. Syukur, di tengah-tengah perubahan teknologi yang canggih, saya masih lagi dapat keluarkan album berbentuk fizikal.

Saya memang berniat nak rakamkan satu lagu Fauziah Latip dalam album ini. Namun pada mulanya Datuk Ramli MT tidak setuju. Datuk kata :You satu nama besar dalam industri kenapa mahu rakam lagu penyanyi lain?. Namun Datuk N Nasir beritahu ramai juga penyanyi lain yang terkenal yang rakam lagu penyanyi lain. Hampir bermasam muka saya dengan Datuk Ramli, namun akhirnya beliau setuju dengan cadangan saya tersebut. 

Maslina (Manjalara) pula tidak bersetuju dengan pemilihan lagu yang saya buat. Sebagai pengurus kerjaya seni saya, beliau mahu saya memilih lagu yang lebih `cathcay' sikit untuk memikat selera golongan muda. Namun saya beritahu album ini adalah khas kepada golongan berumur, orang tua dan sebaya saya, juga  kawan sekampung kawan sepersekolahan. sebab itu kebanyakan muzik ala `retro'.

Sampai di Kuantan, saya akan memandu pula ke Muadzam dalam sejam setengah. Esok pukul 9 pagi saya sudah harus berada di dewan kuliah. Saya tidak mahulah kerjaya seni saya mengganggu kerja  hakiki saya. saya harus menghormati ketua jabatan saya.

Saya berharap peminat saya bersabar dengan kelahiran album ini. Kalau tidak ada aral, awal tahun depan akan dikeluarkan, sebelum bulan puasa. Mudah-mudahan. (Album ini bukannya hadiah untuk peminat. Peminat saya kena beli album ni kalau nak).

Saya akan menulis lagi jika tidak sibuk. Sebab khamis depan saya akan hadiri musyuarat mengenai strategi pemasaran album saya.

Jumpa lagi…(saya sertakan rakaman dari Studio Queen, PJ)




Friday, October 14, 2022

Kalau saya ikutkan hati, mata saya akan menangis setiap hari...

Setelah bertahun tak menerjah blog cik man.. tiba-tiba teringat kembali di mana saya terjatuh hati pada tulisan cik man..

Pernah juga terjumpa cik man di tmg muadzam.. tapi masa tu blur sekejap.. macam ku kenal, tapi siapa.. dah balik rumah baru teringat.. ooo ni penulis jankaulu.. apa kan daya sudah terlambat.. macam mana boleh terjumpa blog cik man.. sebab nak cari pusat servis kereta rasanya.. tapi terbaca kisah perjalanan air mata.. sakit yang sama mungkin.. ada juga kononnya nak kenal dengan cik man.. rupanya ada mutual friend.. rasa malu pulak, terus tutup rapat.. pernah juga ingin bertanya pada kenalan tersebut.. tapi terpaksa lupakan hasrat.. siapa lah saya..
Ada lagi kisah di belakang tabir.. tapi malu & kelakar nak diceritakan..
Apa-apa pun.. saya harap luka cik man akan sembuh.. saya harap cik man akan terus menulis..
Jarang-jarang..
Kadang-kadang..
Saya akan terus membaca tulisan cik man..

Ps: ini kali ke3 saya menulis komen di ruangan cik man.. kalau masih tak lepas/ tak keluar komen ni.. mungkin ini yang terakhir..

Rzzz


Terima kasih kerana menulis seperti di atas.

Sebenarnya saya jarang menulis sebab pasti pembaca jemu membaca lara hati saya. Dan kini saya sudah berumur 50 taun lebih. Pastilah ia sesuatu yang kelakar dah hodoh untuk dibaca.

Namun hakikatnya saya masih ingati semuanya seperti semalam baru berlalu. malah semalam saya masih lagi mimpi jumpa dia. Dan dia seperti selalunya...pentingkan diri orang lain berbanding saya. Dan pagi ini saya harung kesedihan itu.

Hanya kematian agaknya mampu hapuskan rasa ini...

Kalau saya ikutkan hati, mata saya akan menangis setiap hari... namun biarlah hanya hati...


Monday, September 12, 2022

FOREST FUN RUN 2022


Dalam kesibukan, saya luangkan masa untuk dapatkan suasana berbeza. Banyak juga saya isi masa saya dengan buat apa yang saya suka.

Dapat jumpa kawan-kawan dan makan-makan merupakan satu peluang yang seronok.

Hidup mesti diisi.


Dua orang anak saudara saya juga berpeluang ikut saya berFun Run.




 Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang ingtkan saya tentanf FOREST FUN RUN 4 September 2022 ini.

Tuesday, September 6, 2022

Menanam Brazillian Ironwood (2010)

 

Dari fail saya

Pertama kali saya lihat pokok Brazillion Ironwood (atau Leopard Tree) adalah di rumah kakak. Ianya sangat memikat hati. Cantik corak batang, dan dahannya. Macam Rimau Bintang di Afrika. Namun pokok ini tiada kaitan dengan Afrika, ia asal dari Brazil.

Google


Daunnya pula halus. Tak payahlah nak gerak kumpul buang. malah apabila jatuh dalam sehari dua dah tak nampak daun yang gugur tersebut. Saya ambil keputusan untuk menanamnya di rumah baru saya. Masa tu baru beli rumah. 

Pokok ini sangat sesuai untuk buat langskap moden. Namun beberapa tahun kemudiannya saya selang selikan dengan pokok gelam tikus...saya beralih kepada konsep morden kampong. Kononnya. He  he he.



Dari fail saya

Saya membeli pokok-pokok ini di nurseri Kuantan. Saya sudah pergi melawat banyak nurseri untuk membanding harga. Tetapi rata-rata harganya dalam lingkungan RM250 lebih kurang. Mahal bagi saya. Namun oleh kerana terlalu minat, saya pejamkan mata dan hulur duit kepada pemilik nurseri tersebut. Dalam kejam mata tersebut saya bayangkan sepuluh tahun lagi saya akan miliki taman yang cantik macam dalam majalah. Sangat cantik dan berbaloi.

Hendak kelihatan cantik, makan masa dan usaha.


Dari file saya

Nurseri tersebut turut menyediakan perkhidmatan menanamnya. Tidak laratlah saya nak cakul bagai. Mereka ada alat mengorek dan pulas-pulas tanah. Entah apa nama. Tidak berkelip mata saya melihat mereka menanamya. Semasa mereka menanamnya, saya berdoa agar duit saya tidak hangus begitu sahaja.

Duit itu sebenarnya duit yang mahu saya peruntukan untuk beli kain langsir yang baldu... yang macam langsir berlapis di bilik hotel. Benarlah dalam kehidupan ini kita ada kos melepas (marginal cost). Bila kita pilih ini kita tidak dapat itu, kita pilih itu kita tak dapat ini. Jadi langsir rumah saya, saya beli yang murah sahaja. Tetapi baldu juga.

Gambar fail

Laman saya sedikit luas. Dua kali lebih luas dari saiz rumah saya, jadi bolehlah saya tanam pokok yang besar-besar. Biar nanti bila besar nampak redup mata memandang dan nampak damai.

Mencari damai...

Gambar fail

Selepas ditanam pokok ini langsung tak nampak unik atau cantik. Saya kena sabar. Nampak macam galah-galah terpacak. Saya kena sabar sebab ia bukannya jenis pokok tanam hari ni, esok terus cantik. Hanya Harry Portter and the gang jea boleh buat gitu.

Saya kena sabar, sabar dan sabar...

Wednesday, August 24, 2022

Kehilangan telefon bimbit dan beg duit seolah kehilangan sedikit dari jiwa dalam diri...


Apa yang dirasai ialah rasa sedih, sesal dan serabut perut. Memang sedih sebab banyak benda penting dalam beg dan telefon tersebut. Saya merasa sesal kerana tidak berhati-hati. Sedih dan sesal tersebut membuatkan rasa serabut perut. 

Saya tidak menduga perkara ini akan berlaku lagi. Sedikit panik menjelma, cuma saya lebih tenang menanganinya berbanding zaman muda saya dulu.

Saya pernah kehilangan beg duit sekali sebelum ini. Ini kali kedua. Mengenai telefon bimbit pula saya sudah beberapa-kali kehilangannya. Semuanya atas kecuaian diri. Tiada pihak yang boleh dipersalahkan. Cuma kali ini kehilangan itu berbeza, kehilangannya secara serentak. 

Paling logik telefon bimbit dan beg duit tersebut saya letakan di atas kereta (bukan di dalam kereta). Ia mungkin tercampak di mana-mana tempat sepanjang perjalanan.

Saya mula sedar kehilangan tersebut pada pukul 6.15 pagi semasa memandu ke rumah sahabat. Saya ambil keputusan untuk berulang ke Muadzam Shah kerana esok sudah hari sabtu. Pada hari khamis saya bertugas di sekolah Menengah Kebangsaan Astana (berikutan dengan keputusan STPM telah dikeluarkan).

Gerak hati saya, saya telah kehilangannya. Ia bukannya terselit di mana-mana atau saya lupa letak. Semua sudah tiada... saya tidak akan mendapatkannya kembali.

Ramai kawan berpendapat saya terlupa letak. Saya tidak boleh komen apa-apa mengenai sangkaan mereka kerana biasanya saya memang seorang yang kelam kabut. He he he.

Setibanya saya di tempat kerja saya menelefon Bank Islam untuk meminta blok kad ATM. Saya sempat bertanyakan baki di akaun, Alhamdulillah ada. Dan saya berharap benar untuk dapatkan RM1 juta cabutan bank Islam tersebut. He he he.

Kad ATM kedua yang saya block ialah Maybank. Saya tidak ada banyak duit di Maybank. Ia sekadar bank `terima gaji', dan untuk saya transaksi ke bank-bank lain, atau ke Shopee atau membuat pembayaran lain. Kira akaun `singgahan'.

"Langkah pertama Man mestilah blok dulu kad-kad ATM". kata sahabat saya.

Langkah kedua keesokannya saya ke balai polis untuk melaporkan kehilangan tersebut. Semasa disoal-siasat, saya gagal menyebut jenis telefon yang saya miliki. Saya cuma beritahu yang pasti telefon saya bukan jenis Samsung... (Ini mungkin sesuatu yang pelik. Tapi itulah saya. Kesian polis tersebut. Namun sekurang-kurangnya dia ada pengalaman mengendalikan orang yang tidak tahu jenama telefon bimbit yang dipakainya).

Apabila ada surat polis barulah saya ke pejabat Celcom untuk dapatkan sim kad baru. Tetapi gagal kerana saya mesti ada kad pengenalan untuk dapatkan sim kad baru. 

Terima kasih kepada Najib Tun Razak, saya hanya ambil masa sejam untuk dapatkan kad pengenalan di UTC Kuantan. Pemuda pengaunter yang sangat muda tersebut ada menasihati saya supaya berhati-hati menjaga kad pengenalan. Saya rasa pelik sebab orang yang terlalu muda menasihati saya yang tua ini. Tetapi nada nasihatnya amat berhati-hati dengan tonasi yang teragak-agak sopannya. Saya cuma rasa janggal tetapi ia adalah suatu yang betul, pelanggan perlu dinasihati.

Saya perlu bayar RMXXX untuk denda dan RMXX untuk pemprosesan.

Selepas itulah saya pergi dapatkan telefon bimbit baru dan ke pejabat Celcom semula. Sempat saya bayangkan bagaimana kalau orang tak ada duit menghadapinya?

Pada hari isnin saya ke JPJ untuk mendapatkan lesen ganti dan kad-kad ATM yang baru...

Dan dua tiga hari selepasnya saya masih rasa sedih (serabut perut sudah tidak saya rasai...). Kehilangan ini seolah kehilangan sedikit dari diri ini. Walaupun sudah ada beg baru dan semua baru, saya tetap rasai `kehilangan' itu...

Tetapi tentulah ianya bukan kehilangan terbesar yang pernah saya lalui dalam hidup... Saya pernah kehilangan separuh dari diri saya...

Saya sedar, kecuaian merupakan kos...

Wednesday, August 17, 2022

Kerja jadi cikgu pun hati tak tenang...

Ehsan

Beberapa rakan saya yang bekerja menjadi guru, berhasrat untuk pencen awal.

"Tak sabar dah Man..." Kata mereka.

Saya bertanya kenapa mahu pencen awal, menjadi guru seronok sangat.Saya ada pengalaman bekerja menjadi guru. Pada pertengahan tahun 90an. Di mana tiada lagi penggunaan komputer di sekolah. Malah saya menggunakan mesen taip dan `gelek' sekolah untuk mencetak nota kepada pelajar. Pada masa tersebut perkara yang paling kena buat adalah menyediakan pengajaran untuk minggu hadapan.

Semasa saya menjadi guru, guru memang menumpukan kepada pelajar, tiada kerja pengkeranian.

Namun kata kawan saya sekarang cikgu dibebani banyak kerja, dan tidak ada usaha serius untuk mengurangi bebanan cikgu. Malah mengajar menjadi kerja sampingan. 

Saya tidak faham apa yang telah berlaku di sekolah. Tetapi dapat saya bayangkan dengan perubahan zaman, dengan adanya generasi pelajar yang manja dan makbapak yang rasa lebih cerdik dari cikgu...tentulah banyak kerja yang mahu dibuat. Yang perlu dibuat.

Saya harap saya salah, tetapi kawan saya kata saya betul...



Tuesday, August 16, 2022

Tingkatan 6 dan PPYIT : Saya tidak malu...

Saya tidak malu untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6. 

Setelah tamat tingkatan 5, memang tingkatan 6 lah antara haluan yang saya ada. Dengan keputusan SPM yang cukup makan, saya ada membuat permohonan ke ITM (kini UITM) untuk pogram pra, tetapi tidak berjaya. Saya tidak rasa sedih, tidak pula rasa terkilan. Malah saya tumpang gembira apabila mendengar berita kawan-kawan dapat melanjutkan pelajaran mereka di ITM (UITM) dan beberapa institusi pengajian yang lain.

Tidak ada kurangnya STPM, dengan sijil STPMlah kakak sberjaya masuk UUM. Dan tentulah saya akan ikut jejak kakak saya. Itulah yang saya fikir.

Saya kembali ke PPYIT. Saya rasa lebih elok saya naik tingkatan enam di PPYIT berbanding SMTM. Ia lebih dekat dengan rumah saya. Dari rumah saya, boleh nampak bumbung sekolah. Boleh jalan kaki sahaja.

Di tingkatan enam rendah, saya mendapat ramai kawan baru dari serata daerah saya. Kawan baik saya antaranya Rosihan Alor Lintang (kini cikgu), Hasnah Alor Lintang (kini cikgu), Zainuddin Kuala Besut (kini cikgu), Azam Kuala besut (kini arwah) dan Sabri Kuala Besut (kini cikgu). Kebanyakan darinya sudah `lost kontek'. saya sudah tidak berjumpa mereka.

Saya juga diajar oleh cikgu-cikgu yang muda belia. sangat muda, baru keluar dari universiti. Ketika saya belajar, mereka mungkin belajar mengajar saya. (Seorang kawan saya ada cuba mengorat cikgu Sejarah, tetapi tidak berjaya. Saya beritahu mungkin tidak berjaya kerana cikgu tersebut mahu perempuan yang pandai. He he he).

Hanya beberapa bulan, saya sudah terpengaruh dengan Cikgu Zaiton. Beliau selalu menceritakan  keseronokan belajar ekonomi di UM, dekat dengan ibunegara Kuala Lumpur. Setiap minggu boleh tengok wayang, dan dalam UM pun ada panggung wayang katanya. Saya nekad mahu belajar ekonomi di UM. Netang nerap. 

Cikgu Zaiton menasihati saya supaya belajar ekonomi rajin-rajin. Bersungguh betul dia mengajar walaupun saya rasa dalam kelas kami itu hanya beberapa kerat jea yang faham. Kalau dapat P dalam subjek ekonomi, dia akan bagi RM50. Cikgu Zaiton orang Kuala Besut, sekarang dia tentu sudah pencen. Semoga dia sihat selalu. Amin.

Saya lalui pengajian STPM dengan bersungguh-sungguh di tingkatan enam rendah dan enam atas. Bangunan kayu tersebut banyak meninggalkan kenangan, tempat cita-cita bermula. 

Dan saya beruntung kerana semasa di tingkatan enam atas, ada kawan-kawan sekelas saya yang pernah ambil STPM. Termasuk yang mengambilnya untuk kali ke 3. Mereka ini beri tunjuk ajar pada saya. Mereka kata `Kita akan masuk universiti bersama-sama...". Terharu saya.

"Awak ni Sukiman, serba manika..." Kata seorang kawan saya, Azam yang gedeber. Sebenarnya walaupun saya belajar bersungguh-sungguh, saya tetap ke Kota Bharu pergi tengok wayang, dan buat rambut di bandar Jerteh. Saya bosan dengan fesen rambut yang sama. 

Semasa saya di tingkatan enam atas, saya juga ada menulis surat layang kepada pengetua, sebab saya rasa ada ketidakadilan berlaku. He he he. Saya kecut perut juga apabila pengetua masuk kelas beritahu dia terima surat layan, dan terus kawan-kawan saya memandang ke arah saya.

Mungkin dunia pelajar 30 tahun dahulu tidaklah mencabar mana, kami masih berjaya tumpukan pelajaran walaupun ada la galok sana sini. Dunia kami tidak di kelilingi K-Pop, talifon bimbit, internate, tiada shopee, tiada PH, tiada youtube, tiada netflix, dan tiada orang bodoh yang buat macam-macam di internat.

Cikgu-cikgu PPYIT muda-muda. Walaupun tidak berpengalaman tetapi sangat bersemangat mengajar saya. Buktinya bila markah kita rendah, cikgu pula sedinya lebih-lebih. He he he. Cikgu Alias ketua kelas saya, dia sangat tegas walaupun agak manja. Cikgu Zaiton pula cantik...he he he. Mereka selalu berbincang mengenai pelajar mereka di bilik guru. 

Cikgu Alias kata dengan pelajaran kita dapat ubah diri kita...dan banyak lagi dia berleber bila kami tidak buat apa yang disuruh. kalau dia masuk kelas dengan mata yang tajam tu alamaknya adalah `drama'nya nanti. "Ambil STP ni kena rajin membaca, paling kurang 4 jam sehari. Pengajian Am penting, tak lulus Pengajian Am tak luluslah STP ", katanya dengan serius. Saya ikut nasihatnya. Alam persekolahan saya, ramai cikgu datang dan pergi tetapi kata-kata cikgu Alias berbekas di hati.

"Bo bo la belajar, kawin puloklah, tua doh" kata seorang pemuda di depan kedai Kak Moh kepada kawan baik saya, Hasnah. Masa tu lintas jalan nak balik rumah saya. (Hasnah tinggal di rumah saya masa ambik STPM). Saya dan Hasnah buat-buat tak dengar. Saya yakin kata-kata itu ditujukan kepada Hasnah, bukannya saya. Memanglah pada mana-mana zaman pun akan ada orang yang bersikap negatif bila ada orang lain nak mengubahbaik kehidupan. Emmm...

"SPM pun tok ke mana, nok ambil STPM hok jauh lagi susoh" Kata seorang saudara saya yang membuatkan cuping telinga saya merah. Gitu jea dia sembur. Tapi saya tidak jadikan ianya satu pematah semangat. Saya mesti masuk universiti! saya nak tengok wayang, warna rambut dan ke Zoo Negara.

Sampai sekarang saya rasa bertuah kerana saya ambil STPM. STPM penuh dengan ilmu pengetahuan (terutama pengajian AM). Saya masih ingat lagi muka cikgu Alias hari tu. Sebaik sahaja saya habis ambil periksa mata pelajaran saya menuju ke rumah sewanya untuk memeriksa Pengajiam AM kertas satu. Saya mahu dia semak jawapan 75 soalan objectif yang saya berikan. 

"Tiada satu pun yang salah!" Katanya. Saya melihat mukanya gembira sangat. Mungkin dia rasa puashati. Segala semangat dan cita-cita dia saya sudah tunaikan. Saya mahu dia gembira. Dia banyak berkorban usia mudanya untuk kami. Dia boleh sahaja cari kerja lain tetapi bertahun-tahun dia berada di PPYIT. Tidak kenal penat lelah.

Ada banyak lagi kisah semasa saya menjalani kehidupan berSTPM. Kenangan tersebut manis-manis belaka. Melalui masa semuanya menjadi manis walupun masa kejadian itu ia amat mengharu biru kan, he he he.

Sekarang saya dengar pengajian STPM tidak mendapat sambuatan. Saya rasa iannya patut mendapat sambutan keran suasana belajar yang unik dan nilai sijilnya yang lebih luas. Kalau sijil matrikulasi mungkin tak laku pun. Mungkin masyarakat sudah punya banyak wang dan pilihan melanjutkan pelajaran lepas SPM lebih meluas.

Tetapi STPM tetap di hati. Hidup STPM, hidup PPYIT.

 



Monday, August 1, 2022

Mat Kilau: Kejayaan keluarga Yusuf Haslam

 



1. Pada mulanya saya tidak berniat untuk tengok filem ini. Seingat saya, saya tidak pernah ke panggong untuk filem Yusuf Haslam (Dato) atau anaknya Syamsul Yusuf. Mungkin kerana tema filem mereka bukan tema yang saya gemari. Tema `Percintaan yang berjaya' dan `filem aksi' bukan makanan saya. Namun, sebagai peminat cerita seram saya ada menonton filem seram Syamsul, tetapi bukannya di pawagam. 

2.  Apabila filem kutipan Mat Kilau mencecah RM81 juta, saya rasa tentu ada yang menarik dan unik. Saya terlebih dahulu menyarankan pelajar-pelajar saya melihat filem ini. Majoriti mereka berpuashati. 

3. Semasa menjadi mahasiswa, kalau ada filem-filem yang menarik, pensyarah saya akan cadangkan untuk pergi tengok. Saya masih ingat lagi pensyarah saya menyarankan pergi tengok `Dance with the wolf' (1990) untuk melihat keadaan dan budaya kaum Red Indian.

4. Maka pada pagi ahadnya saya ke panggong. Ya allah ramainya. Saya tidak rela mempamirkan diri saya dalam satu barisan yang panjang. Saya terus balik (tanpa singgah ke kedai Port Meriang yang jual pinggang mangkuk yang cantik). Dah lama saya mahu beli bekas cantik untuk letak makanan kucing. (Kucing jiran saya). 

5.Saya berniat dalam hati `Aku kena ambik cuti ni, hari-hari kerja tentu tak ramai sangat orang'. Saya tidak suka beli secara `online'. Mungkin saya sudah berusia...?

6. Dan bila tiba harinya, saya masuk panggong melihat cerita ini. Kesimpulannya saya suka cerita ini. saya tidak rasa cerita ini merugikan wang saya. Malah saya rasa bertuah kerana sempat melihat filem ini. Saya jadi kagum dengan Syamsul Yusuf. Keunikan dia berganda berbanding dengan ayahnya. Tetapi tidaklah begitu adil untuk kita membuat perbandingan kerana mereka berlainan zaman. lainlah kita ini ahli filem yang sangat berpengalaman dan berakademik.

7. Membuat filem bukanlah cita-cita kebanyakan orang Malaysia. Lebih ramai mahu anak mereka membesar menjadi guru, doktor atau ahli `youtuber' yang berjaya. Kita orang biasa ni mungkin rasa resah jika cita-cita anak kita mahu jadi penerbit filem atau pengarah filem. Bila anak kita nak masuk ASWARA, kita paksa anak kita jadi doktor, atau guru. Haaaa....

8.Memang kebanyakan ibubapa mungkin mengharap cita-cita anaknya berubah kepada yang lebih `menjaminkan selain daripada bidang seni. malah ada keluarga seni yang tidak menggalakan anak mereka ceburi seni, malah memomok kepada anak-anaknya betapa tak eloknya dan tiada jaminanya dunia seni. Namun keluarga Yusuf Haslam (Dato) hebat. ternyata ada lagesi yang ditinggalkan, berbekas dalam sejarah perfileman Malaysia.

9. Barangkali persekitaran dan galakkan keluargalah yang membentuk keunikan Syamsul. Mereka melihat dunia perfileman adalah perniagaan, bukanlah suatu yang boleh main-main. Mereka selalu belajar. Mungkin dari kecil lagi Syamsul mahu cepat-cepat besar dan menjadi pengarah yang hebat. 

10. Kembali kepada cerita Mat kilau. Kali ini saya betul-betul masuk panggung bukan sebagai pengkritik. Saya mahu merasai `semangat cintakan tanah air' filem ini. Hasilnya saya berpendapat filem ini berjaya menyuntik semangat dan banyak perkara positif yang lain. Kalaulah ada masa tentu saya akan tengok sekali lagi. Tetapi dengan kesibukan ini saya rasa mustahil. 

11. Terima kasih Yusuf Haslam. Terbukti keluarga mereka berjaya memeriahkan dunia perfileman Malaysia. Dalam lingkungan ekonomi dan sosial masyarakat kita sebegini, filem ini sudah jauh melebihi `standard' yang sedia ada. Filem ini sebenarnya berat tema dan persoalannya tetapi berjaya dikomersialkan. Janganlah pula kita banding dengan filem Hanyut dan juga siri Lord of The Ring atau  siri Hobbit gitu. Insyallah Syamsul ke arah itu, jika kita memberi respon terhadap filem-filemnya pada masa akan datang..

12. Tema pahlawan ternyata boleh jual. Rupanya... Mungkin suatu hari nanti ada penerbit mahu filemkan Pemberontakan Tani di Terengganu 1928 - Haji Abdul Rahman Limbong. Kisah tragis yang berlaku hampir 100 tahun dahulu, yang mungkin rakyat negeri Terengganu sendiri sudah lupa... Melayu mudah lupa kata Tun Mahathir.

13. Pujian saya untuk lakonan yang sangat hebat Yayan Ruhian, Beto Kusyairy, Adiputra dan Ellie Suriati (walaupun Ellie muncul sekejap). Pemilihan pelakon majoritinya bersesuaian dengan watak. Tak kan la  nak amil Arong Aziz untuk watak Wahid. 

14. Pelakon juga memainkan peranan kerana penghayatan merekalah yang menimbulkan gema dalam gejolak jiwa penonton. rasa `real'. Pelakon seperti Rahim Razali, Jalaludin Hassan, Mubarak Majib memang tidak perlu dipertikaikan lagilah. 

15. Kalau saya boleh sebut mengenai kekurangan filem ini, mungkin `endingnya' boleh diperbaiki. Dan warna baju orang kampung tersebut. Tetapi yealah setiap orang, lain pemikirannya.

16. Moral,pengajaran dan persoalan selepas saya masuk pawagan tengok filem ini.

a) Orang Melayu memang payah bersatu. Atau memang sifat manusia begitu? Maksud saya bukan orang Melayu sahaja...
b) Bukanlah satu cara yang senang untuk nenek moyang kita pertahankan tanah air ini dari bangsa penjajah. Jangan ingat kemerdekaan kita itu 100% dari perundingan Tunku dan kumpulannya. Ada wira-wira lain yang tak belajar di London tapi sangat sayangkan tanah air.
c) Perjuangan mendapatkan dan mempertahankan tanah air memerlukan segala pengorbanan, termasuk nyawa keluarga. Anak bini.
d) Dah bawa anak-anak ke pawagan, jagalah anak-anak itu jangan biarkan anak-anak`gi mari-gi mari' buat bising. Ini bukan Pesta Rakyat.
e) Pada masa hadapan saya akan menyokong dedikasi filem-filem Syamsul.
f) Yusuf Haslam berjaya membentuk anaknya, menyambung legasi perfilemannya.
g) Walaupun ekonomi tengah sakit, RM80 juta lebih telah berjaya dikumpul. Mungkinkah bila tension mereka memerlukan hiburan...? atau yang pergi adalah majoriti golongan T20?


Saya bagi 4.8/5 bintang

Tuesday, July 26, 2022

Semester pendek 2021/2022: Selamat menjalani peperiksaan

 


Minggu hadapan pelajar akan mula menjalani peperiksaan akhir. Semasa meninggalkan kelas terakhir tadi timbul rasa sedih kerana kami mungkin tidak akan berjumpa lagi. 

Kelas ekonomi semester ini kecil sahaja bilangan pelajarnya. Saya sempat bertentangan mata dengan semua pelajar. Namun hanya beberapa nama sahaja yang saya ingat. Itupun selalu bertukar. He he he. Tetapi tidaklah pula bermakna saya tidak ambil berat tentang mereka.

Semester pendek begini semuanya kena cepat, kena tersusun dan kena ada perangcangan teliti. Jika tidak, tidak sempat habis silibus. Ada beberapa kali juga saya buat kelas ganti kerana berkerja di luar kawasan.

Saya harap cara dan stail mengajar saya tidak membebankan mereka. Saya menggunakan tolak ansur dalam mengajar, saya percaya setiap pelajar adalah berlainan, berlainan daya penakulan dan berlainan pandangan.

Apabila mengajar, saya selalu bimbang tidak berjaya mengajar dengan baik. Saya tidaklah mengajar stail `satu-satu' seperti guru-guru di sekolah. Namun subjek yang saya ajar memang memerlukan pelajar itu sendiri minat dan membacanya.

Sambutan semester ini amat baik. Hampir semua pelajar rajin datang ke kelas. Ada yang datang lewat. (dan pelajar ini akan ditegur atau disindir-sindir, he he he). Saya sering beritahu mereka walaupun kita tidor lewat tetapi kita mesti bangun pada awal pagi. Dan saya akan cerita lagi semasa saya jadi mahasiswa dahulu saya tetap bangun awal walaupun saya tidor lewat. Tentu mereka boring dengar cerita ini berkali-kali, he he he.

Melihat mereka sangat muda...saya bimbang jika tersalah langkah. Mereka seperti anak-anak saya. Sebab itu kadang-kadang saya suka bercerita dan berleter. He he he.

Pelajar datang dan pergi... Akhirnya hanya doa saya mengiringi mereka.

Apa-apapun, saya doakan mereka terus berjaya dalam hidup ini. Berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Jika ada nasib boleh berjumpa lagi.

Sekian sahaja, terima kasih.

Wednesday, July 13, 2022

Review Filem: KKN di Desa Penari (2022)

 



1. Indonesia kaya dengan filem seram. Antara filem terawal yang berjaya menyeramkan saya adalah filem Sundal Bolong (1981). Mungkin pada masa tersebut saya berusia 11 tahun, terasa sangat seramnya. Hantu tersebut makan satey mentah 200 macok!

2. Beberapa filem terakhir yang menyeramkan saya adalah Pengabdi Setan (2017), Suzanna: Bernafas dalam kubur (2018), dan Perempuan Tanah Jahanam (2019).

2. Terbaru saya berpeluang menonton filem KKN Desa Penari (2022). Sebenarnya tidaklah baru sangat sebab saya tiada masa menulis tentang filem yang saya telah tengok, kini baru ada peluang. Saya menontonya di pawagam ECM.

3. Filem ini seram berbaloi untuk saya. 

3. Pada mulanya apabila mula cerita, saya jangkakan filem ini akan membosankan. Ia mengisahkan sekumpulan pelajar yang membuat kajian ilmiah berserta praktikal sekali di kawasan pendalaman. Saya pernah tengok cerita-cerita begini yang biasanya seorang demi seorang akan mati. Biasanya yang gelenyar atau celupar mati dulu. Tetapi ternyata filem ini tidak sebegitu tipikal.

4. Filem ini tiada tok iman yang terbang, tidak ada `allah huakhbar', dan tak ada terketar-ketar apabila tengok hantu. mungkin filem ini bukan mahu buat kita ketakutan tetapi mengajar generasi baru lebih beradab apabila berada di tempat orang.

5. Secara ringkas sekumpulan pelajar (6 orang) ke kawasan pendalaman untuk membuat kerja lapangannya. Kawasan tersebut sangat pendalaman, tiada elektik dan bekalan air moden. Dan apabila ada pelajar yang langgar pantang terjadilah malapetaka.

6. Ceritanya ringkas sahaja tetapi telah dibuat dengan menarik sekali. Filem ini boleh dijadikan contoh rujukan bagaimana nak buat filem yang menarik dari cerita yang ringkas.

7. Saya suka suasana kampung dan adat lama Jawa... 

8. Filem ini mengajar kita bahawa:

a) Perlu menghormati adat dan budaya dan kepercayaan yang berbeza. Kita kena hormati tempat, orang dan budaya sekelompok yang lain apabila berada di antara mereka. Kalau kita tidak percaya, kita tetap kena hormati, jangan persendakan.

b) Kawasan pendalaman tidaklah `pendalaman', mereka mungkin ada cara berkomunikasi yang lebih hebat dari internate (tanpa wayar)

b) Janganlah memaksa lelaki mencintai kita walaupun kita kurus dan cantik (muka bujur) sebab ada lelaki yang suka perempuan muka bulat dan stopok bentuknya.

c) Meninggalkan sembahyang akan mendedahkan diri kita kepada kejahatan.


9. Saya tidak kenal satu pun pelakon-pelakon muda tersebut tetapi mereka pandai berlakon.

Saya bagi 4/5 bintang kerana ia unik.



Wednesday, July 6, 2022

Kisah minyak masak

 

Gambar Ihsan google

Antara isu yang hangat diperkatakan sekarang ialah mengenai penarikan subsidi minyak masak oleh kerajaan. Kerajaan menarik balik subsidi atas banyak sebab. Mereka ada sebab-sebab yang tersendiri.

Penarikan ini dibuat kepada minyak masak yang dibotolkan dalam 1kg, 3 kg dan 5 kg. Kenaikan harganya sangat tinggi, bukannya seringgit dua.

Sebelumnya, ada kalanya apabila saya ke Mydin, saya sambar juga minyak pekat ni. Saya beli 3 paket minyak masak Seri Murni (3 X RM2.5 =RM7.50). Sebenarnya harga pasaran untuk 1 kilo minyak masak sudah mencecah RM9. Jadi jumlah sebenar yang patut saya bayar adalah RM27 untuk 3 peket tersebut. Apabila ada subsidi saya hanya membayar RM9 maknanya saya untung RM18!

Saya bukannya golongan T20. Dengan kenaikan `harga atas bawah' ni, saya juga terasa. 

Apabila harga minyak masak botol naik, saya berpendapat permintaan untuk minyak masak peket naik mendadak. Dan akan berlaku kekurangan minyak masak peket di pasaran.

Kita tidak boleh salahkan kelompok yang guna minyak masak botol ni yang beralih kepada minyak masak peket. Ini kerana kos sara hidup meningkat manakala kenaikan pendapatan kita sangat perlahan (macam siput babi sakit tibi) dan tidak dapat atasi kenaikan harga-harga.

Akhirnya kita yang terpaksa buat apa sahaja tindakan demi kelangsungan hidup. Kalau kita tanya pihak berkuasa pula buat sakit hati jea. Jawapan mereka macam...


Wednesday, June 29, 2022

Hanya 20% rakyat Malaysia berjaya dan bahagia?

 




Apabila saya mencapai umur 50an barulah saya mula bertanya berjayakah saya dalam hidup? Pernah tak bertanya pada diri "Adakah aku ini termasuk dalam golongan yang berjaya atau gagal dalam hidup?

Wah, sungguh keliru untuk menjawapnya kerana definasi kejayaan itu adalah berbeza. Dan jelas sekali banyak wang juga bukan merupakan syarat utama. Ini boleh kita lihat sendiri di media massa atau orang di sekeliling kita yang banyak duit dan harta tetapi hidup seolah huru hara. Boleh lihat ahli politik, artis atau ahli perniagaan...misalnya.

Pernah di dalam satu group wasap, saya dicop sebagai hidup tidak sempurna kerana tidak ada isteri dan anak-anak. Saya tidak terkejut apabila kawan saya itu menulis sedemukian rupa sebab 15 tahun dulu pun saya sudah tahu dia bodoh. Cuma saya terkilan apakah faedahnya menulis di wasap group sedemikian rupa? 

Tetapi itu antara buktinya kawan saya yang baik itu (tetapi bodoh) mewakili manusia yang berfikiran demikian. Pada pandangannya hidup saya tidak sempurna. Saya rasa memanglah hidup saya tidak sempurna tetapi masih ada ruang untuk saya bahagia dan berjaya, dan tidak perlu ditulis dalam wasap group. He he he

Ramai orang akan kaitkan kejayaan hidup dengan wang dan harta. Sebab dua perkara tersebut adalah eleman yang boleh memuaskan kehendak hati dan keperluan hidup. Namun seperti yang saya beritahu sebelumnya, ia bukanlah pula satu perkara yang mesti

Jika kita berpandangan demikian (hanya yang berpendapatan tinggi akan berjaya dan bahagia) maka ya golongan T20lah yang hanya akan bahagia... Hanya 20% rakyat malaysia berjaya dan bahagia. Tentulah ianya sangat mengarut!

Tuesday, June 14, 2022

Sekolah Menengah Tengku Mahmud is always in my heart: Part two

 


"Mungkin apabila sudah tidak banyak perkara atau benda yang kita hendak dikejar dalam kehidupan ini, kita mula semakin memerhati apa yang terjadi di sekeliling kita, dan mula sering mengingati perjalanan hidup kita telah yang lalu…"
Dan zaman persekolahan tetap di ingatan…
Keputusan ujian penempatan kelas itu akhirnya menempatkan saya di Tingkatan Satu Perdagangan 2 (IP2). Huruf P tersebut rujuk kepada `Perdagangan’. Sebenarnya saya tidak kisah ditempatkan ke kelas manapun, asal jangan kena masuk kelas yang kena gergaji kayu sudah.
TMS pada tahun 1983 ada 3 kelas perdagangan. Kalau tak silap, 1P1, 1P2 dan 1P3. Pelajar dikatogerikan kepada kelas-kelas tersebut berdasarkan ujian yang telah dibuat sebelum ini. Kelas-kelas lain ialah kelas RK (Rancangan Khas), kelas-kelas aliran sastera dan sains rumahtangga/kelas seni perusahaan. Saya tidak berapa ingat tetapi lebih kurang begitulah pembahagiannya.
(Saya tentulah tak mahu masuk kelas seni perusahaan sebab khabarnya kena gergaji papan bagai, dan tukul paku ke kayu. Baiki alat elektrik. Emmm...Gitulah kawan beritahu.)
Di sekolah baru, di kelas baru, perkara semuanya baru. Bilik darjah besar, dan ada padang yang luas, berbeza dengan sekolah rendah saya. Kelas ada tingkap, boleh lompat keluar...
Saya dapat ramai kawan baru. Saya tidak ada banyak masalah dalam berkawan kerana saya ikut sahaja perangai kawan-kawan saya.
Paling menarik perhatian saya di IP2 ialah ada kawan baru yang pakai baju biru macam mahu mengecat rumah. Baju itu macam skit tapi bukan skrit. Baju terus bersambung dengan skirt. Itulah yang ada di fikiran saya 40 tahun lalu... Antara kawan sekelas saya yang memakai pakaian ini adalah Li Lin Eng dan Lua Geok Cheng.
Kawan baru gelagat baru. Ada juga Johinah yang pandai melukis, Wan Adilah dan Rozila yang sentiasa banyak bercakap dan juga Kamarul (Kokok) yang serius dan suka perati orang. Juga Shanie yang sentiasa riang. Semoga mereka semua berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu.
Selain dapat ramai kawan baru, saya juga seronok pergi ke sekolah menengah kerana dapat naik bas. Saya suka duduk di tempat duduk tepi dan buka sliding dia biar angin masuk hembus muka saya. Tapi saya selalu kena marah sebab budak perempuan kata rosak tudung mereka. Emmm.
Saya juga suka pakai seluar panjang sebab boleh tutup jahitan 12 inci di betis (saya akibat kemalangan jalanraya masa darjah 3). Saya pakai seluar pendek sehingga darjah 6. Masa darjah 6 tu bulu kaki masih tak ada. Licin macam timun cina lagi. Masa sekolah rendah ada kawan saya yang kakinya sudah berbulu. Cikgu kata dia `curi umur’.
Tingkatan satu seronok. Kami sangat gembira sebab SRP (Sijil Rendah Pelajaran) masih tak ada dalam fikiran. Kira tingkatan 1 macam bulan madu betul, tingkatan 3 baru ada periksa besar. Namun, yang peliknya cikgu-cikgu kami tetap bersungguh-sungguh mengajar kami... [kecuali cikgu Jasmani...mereka tidak berniat melatih kami untuk menjadi athelit, kalau tak mungkin saya dan kawan-kawan dapat wakili negara ke OMK (Olimpik Musim Kemarau)].
Walaupun tiada `exam' besar, cikgu-cikgu pada masa itu sangat menitik beratkan pelajaran. Macam sekolah berasrama penuh pula. Mereka mengajar bersungguh-sungguh. Mungkin nak jaga nama baik dan pencapaian sekolah kot. Harumkan nama TMS di PPD (Pejabat Pendidikan Daerah).
Saya paling minat waktu PJ (pendidikan Jasmani). Sebab kami boleh main bola atau saja-saja rehat. Saya jarang bermain bola. Kalau saya main, saya ada teknik tersendiri. Jika bola ke kiri saya akan melarikan diri ke kanan, bila bola ke kanan saya akan melarikan diri ke kiri. Saya cuba elak. (Cuba bayangkan dari tingkatan satu sampai tingkatan 5, he he he).
Seronok bersekolah petang, tidak panas. 40 tahun dulu waktu petang tak panas, leni pukul 5 petang pun masih panas ketok.
Dan sesungguhnya saya lebih banyak tengok orang main bola atau berada di belakang tiang gol. Kadang-kadang saya duduk bawah pokok rhu berdekatan dengan padang. Atau tepi makmal sambil tengok orang main bola. Dan juga korek-korek pasir celah pangkal pokok rhu atau kopek kulit pokok rhu tersebut. Kalau nak lebih tersorok duduk bawah pokok bunga tanjung belakang makmal, tepi padang tu. Lagi redup.
Kadang-kadang saya tinggalkan padang pergi tengok pelajar perempuan main nekbol.
Sebenarnya ada juga tilam gimastik dalam bilik sukan, tapi tidak digunakan. Mungkin cikgu takut patah riuk pelajarnya. Nak heret tilam ke padang pun satu hal. Nak usung bagai... Kalau nak main gimastik cikgu mesti kena ada di situ awasi pelajar, kalau benarkan pelajar main bola dan nekbol bolehlah cikgu cilok ke bilik guru, ke.
Banyak juga kelab-kelab dan persatuan pada masa tersebut. Saya ada masuk Kelab Kerjaya, Kelab Hoki dan St Jhon Ambulans. Saya hanya sempat hadiri kelab St Jhon beberapa kali sahaja. Saya berhenti terus bila pelajar kena belajar buat CPR. Saya percaya ramai pejajar TMS pada tahun 1982 tersebut, tak gosok gigi.
Kelab hoki pula saya sempat pergi 3 kali, saya ambil keputusan berhenti setelah kawan saya beritahu ada pelajar Sekolah Kuala Besut tercabut mata sebab kena pukulan bola hoki.
Tinggallah hanya Kelab Kerjaya sahaja. Kelab ni `best' tak bahaya, dan kalau kita tak hadir pun orang tak perasan. He he he.
Manakala pelajaran semakin sukar tidak seperti sekolah rendah. Saya memang tidak suka matematik, tapi paling saya tidak suka subjek Sain Paduan. Bukan tidak suka pada matapelajaran tapi pada gurunya. Bengkeng sungguh cikgunya, tak mesra pelajar. Kalau tak balut buku kena cubit kat bahu. Kawan saya kena cubit, sakit sampai terangkat badannya. Samada dalam kelas atau makmal kalau tak dapat jawab kena berdiri. Kalau tertinggal buku kerja alamatnya kena balik rumah la ambil. Dan cikgu tersebut selalu menggunakan kata-kata kesat yang saya tidak suka, suka marah-marah. Setahun saya ketakutan dalam makmal. Kalah filem KKN Desa Penari (4/5) dan The Conjuring (5/5).
Masuk makmal seolah masuk rumah mayat. Kalau zaman sekarang tentu cikgu tersebut kena saman. Tapi kami tak beritahu ibubapa pun… Sebab? Sebab dia cikgu kita, dia mengajar ilmu kepada kita, apa yang terjadi juga sebab kekurangan kita. Dia mahu kita jangan main-main dengan kehidupan… Dia nak kita berdisiplin dan dapat markah
terbaik
, kehidupan
terbaik
.
Pada masa tersebut saya cuma ada cita-cita mahu masuk tingkatan 2P1. Rasionalnya kalau dari kelas tingkatan 1P2 dapat masuk ke tingkatan 2P1 adalah sudah cukup baik. Saya ada kenal seorang pelajar dari 1P1, dia beritahu dia takut nanti dia kena masuk 2P2. Saya kata jangan bimbang pelajar, pelajar 1P2 ini baik-baik belaka.
Namun saya tidaklah pula belajar bersungguh-sungguh sebab saya suka duduk di dalam kelas 1P2. Kalau saya tak naik ke 2PI pun tak apa asal semua kawan-kawan lain juga tak naik ke 2P1. Hujung tahun menjelma saya rasa tension, tension bukan sebab nak exam final tapi bimbang bertukar kelas dan tak bersama lagi dengan kawan-kawan 1P2. Gitulah dunia pada masa tersebut. Berpisah kelas seolah berpisah sekolah. Susah nak terang, hanya orang lama yang faham. BBNN tak faham situasi begini…
Nama guru besar pada masa tersebut ialah Cikgu Majid bin Ahmad (1982-1986). Kami tidak hiraukan sangat sebab kami di sekolah petang, dia ada hanya masa pagi. Tidak kiralah siapa jadi guru besar wahima `Hulk' pun sebab dia ada di waktu pagi sahaja.
Saya juga sudah pandai makan di luar sekolah. Ada kedai Mok Som. Ikan aya dia masak tu sedap. Kedai tu juga jadi tempat lepak, he he he. Dan ada kedai cina deret jalan ke Sekolah Nasaruddin Shah. Boleh beli kaset di situ, tak payah ke bandar Jerteh dah.
Indah sungguh zaman persekolahan, terima kasih. Semoga guru-guru yang mengajar kami mendapat berkat dunia akhirat atas ilmu yang diberikan.
Saya juga mahu berterima kasih kepada kawan-kawan saya, sama ada sekelas atau tidak kerana pengalaman dan kenangan zaman persekolahan dahulu. Semoga semua sihat sejahtera dan tabah hadapi peralihan zaman. Maafkan saya atas segala kesalahan dan kekurangan saya jika dulu saya tidak menjadi sahabat yang baik.
Resit ini sangat mengusik hati, tersenyum gembira dan sayu. Apabila melihat resit yang berusia 40 tahun ini, terasa benar bahawa dunia ini hanya satu perjalanan yang AMAT singkat (in the blink of an eye).
1P2 is always in my heart...


Sekolah Menengah Tengku Mahmud is always in my heart...

  


Tengku Mahmud Schoo (TMS) is always in my heart

Balik cuti hari tu, semasa berkemas, saya terjumpa la resit sekolah yang sudah berusia 40 tahun (1982). Ianya resit pembayaran pendaftaran tingkatan satu saya (1983) di Sekolah Menengah Tengku Mahmud (Tengku Mahmud School = TMS), Besut Terengganu.
Termenung sekejap tengok resit ni, tua benar dah saya.
Rujuk kepada gambar, resit pembayaran sebanyak RM12.50 ini untuk yuran Rampai (permainan, perpustakaan, dan seni lukis), dan yuran sukan seperti yuran MSST (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Terengganu) dan Yuran MSSDB (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Besut kot). Bayangkan semua yuran tersebut berjumlah RM12.50 sahaja. Sekarang mahunya beratus untuk perkara-perkara sebegitu. Tambahlah lagi sekarang serba maknika pogram ada termasuk untuk pogram bina jatidiri pelajar bagai.
Tapi yealah nilai duit 40 tahun dulu nilai kuasabelinya besar. Pada masa saya tingkatan satu tersebut, saya dapat duit belanja sekolah RM1.20 sehari. Tambang bas Pokda (Pengkalan Nyereh) pergi balik hanya 60 sen. Lebihnya 60 sen lagi saya makanan di kantin. Makanan murah. Siap boleh simpan duit beli kaset Sharifah Aini lagi dan Madonna lagi. He he he.
Sekolah Menengah Tengku Mahmud [Besut Government English School (1954] bukanlah sembarangan sekolah. Saya semakin tahu hal ini setelah saya meninggalkan sekolah tersebut. Dulu saya sangka ayah saya mahu masukkan saya ke sekolah tersebut sebab kakak saya juga bersekolah di situ. Jadi senang la urus kakak dan saya sekaligus.
Sekolah yang paling dekat dengan rumah saya ialah Sekolah Menengah Agama Maarif, lebih kurang 3 kilometer sahaja dari rumah saya. Tetapi saya tidak tertarik kepada agama (pada masa itu). Saya tahu ayah saya tahu akan hal ini jadi ayah pernah ugut `kalau Abang tak belajar rajin-rajin ayoh antar sekolah agama maarif’. Bila kena ugut terus saya dapat no 5 dalam kelas darjah enam. Sebelum tu dapat nombor duapuluh lebih rasanya, 22. Dalam belajar saya tidak pandai mana, suam-suam kuku, tak boleh fokus lama terutama angka-angka.
Sebenarnya sekolah Tengku Mahmud School (TMS) ini ditubuhkan sebelum merdeka lagi. Diberi nama Besut Government English School, (kira sekolah ni the first English medium school in Besut).
Sekolah lama, bangunannya lama. Ada bangunan tak pakai tingkap nako. Ia pakai tingkap macam tingkap rumah kita. Kira kita boleh melompat keluar dari tingkap tu masa cikgu mengajar. Bangunan tandas pula asing dari bangunan sekolah, kita kena berjalan di laluan menuju tandas besar. Bangunan tandas pula bangunan lama yang menakutkan. Ada pintu besar dan ada pintu besar lagi dalam tu. seram kalau pergi seorang diri. Biasanya kami pergi berteman.
Mungkin sebab ianya sekolah menengah pertama di daerah Besut, sukarlah nak masuk ke sekolah ini, kira permintaan banyak tapi penawaran sedikit (kalau dalam kuliah saya dah lukis keluk dah ni,). Maka pemilihan sengit berpanjangan...
Sekarang saya tak tahulah masih sukar atau sudah senang menembusi masuk ke sekolah ini sebab sekarang sekolah dah merata, dan dah ada pula diwujudkan Sekolah Tengku Mahmud II. Letaknya sebelah jea dengan Sekolah Menengah Tengku Mahmud. Tak faham saya.
Beberapa tahun lalu ketika saya ditugaskan menyambut dan memberi penerangan kepada beberapa orang pegawai luar untuk tujuan audit luaran universiti, setelah salah seorang pegawai tahu saya berasal Besut terus dia bertanya "Bersekolah di mana dulu? Dan apabila saya beritahu saya bersekolah di Tengku Tengku Mahmudl terus dia menyambung kata "Saya bersekolah di Sekolah Nasaruddin, Sekolah Tengku Mahmud tu untuk budak pandai..." Katanya sambal merendah diri.
Pada masa tersebut kembang lubang hidung saya, saya harap boss saya (yang berada di sebelah saya ketika itu) tahu walaupun saya kelihatan biasa-biasa dan agak kartun, namun saya pandai. He he he.
Pegawai tersebut orang Besut juga, umur baya saya lebih kurang. Sekolah beliau ini (Sekolah Nasaruddin Shah) terletak betul-betul di belakang sekolah Tengku Mahmud (jika dilihat dari sisi mengadap jalan besar).
Masa sekolah dulu, saya pernah beberapa kali terdengar pelajar lelaki sekolah saya begocoh dengan pelajar lelaki sekolah Nasaruddin. Dan pada masa tersebut saya selalu berharap dalam hati sekolah saya menang (walaupun itu bukan acara sukan antara sekolah-sekolah... Semangat sayang sekolah tetap ada). Gocoh = bertumbuk.
Sehingga awal tahun 80an tersebut, untuk memasuki sekolah ini masih juga sukar dan tapisan akan dibuat (pada masa tu kalau dapat masuk sekolah tu ibarat dapat masuk UM). Pelajar harus mendapat keputusan penilaian darjah 5 yang elok di sekolah rendah mereka. Dan markah darjah 6 dan kedudukan mereka dalam kelas juga diambil kira.
Pelajar terpilih terpaksa harungi banjir untuk jalani ujian di Sekolah Menengah Tengku Mahmud pula pada bulan 12 (sebenarnya pada masa itu pelajar masih bersatus `darjah 6'!). Dan apabila penggal persekolahan bermula tahun depan pelajar sudah tahu mereka ditempatkan di kelas mana. Sebab tu tarikh pembayaran resit adalah 26.12.1982. Supaya naik tingkatan satu pada tahun 1983 cikgu dok pening pala, urus itu ini.
Saya dapat masuk 1P2! Dunia baru saya di TMS bermula di 1P2 pada tahun 1983… Sekolah menengah berbeza dengan sekolah rendah. Cikgunya lain, pelajarnya lain. Lebih banyak suka….dan dukanya…

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home