Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Wednesday, June 29, 2022

UMUR 50 BARU SAYA TANYA: ADAKAH SAYA INI BERJAYA DALAM HIDUP?

 




Umur 50 baru hendak check, aku ini berjaya ke tidak?

Apabila umur sudah masuk 50-an, barulah saya mula bertanya kepada diri sendiri: berjayakah saya dalam hidup ini? Pernah tak kita berhenti sekejap dan bertanya, “Adakah aku ini termasuk dalam golongan orang yang berjaya, atau sebenarnya aku ini gagal dalam hidup?” Soalan nampak mudah, tetapi apabila hendak menjawabnya, wah... bukan mudah rupanya. Masa muda kita sibuk hendak berjaya. Bila sudah umur 50, baru kita duduk termenung dan tanya, “Eh, sebenarnya aku dah berjaya ke belum?” He he he.

Rupanya definisi berjaya tak sama untuk semua orang

Masalahnya, definisi kejayaan itu berbeza-beza. Apa yang dianggap berjaya oleh seseorang, mungkin langsung tidak dianggap berjaya oleh orang lain. Ada orang mengukur kejayaan melalui wang, rumah besar, kereta mahal dan harta. Ada pula yang melihat kejayaan melalui keluarga, anak-anak, kerjaya, kesihatan, ketenangan hidup atau sekadar kemampuan bangun pagi tanpa banyak masalah yang hendak difikirkan. Sebab itu saya rasa banyak wang juga bukan syarat utama untuk mengatakan seseorang itu sudah berjaya. Kita boleh lihat sendiri di sekeliling kita. Ada orang banyak duit dan harta, tetapi hidupnya huru-hara. Boleh tengok ahli politik, artis, ahli perniagaan dan macam-macam lagi. He he he. Duit banyak tetapi tidur pun tak lena, itu berjaya ke tidak?

Bila tak ada isteri dan anak, terus orang cop tak sempurna

Pernah satu ketika, dalam satu group WhatsApp, saya dicop sebagai orang yang hidupnya tidak sempurna kerana tidak mempunyai isteri dan anak-anak. Saya tidaklah terkejut sangat apabila kawan saya menulis begitu. Sebab 15 tahun dahulu lagi saya sudah tahu dia bodoh. He he he. Cuma saya terkilan juga, apakah faedahnya menulis perkara seperti itu dalam group WhatsApp? Kalau hendak beritahu saya hidup saya tidak sempurna pun, tak perlulah satu kampung dijemput untuk tahu. Group WhatsApp itu asalnya mungkin tempat bertanya khabar, akhirnya boleh jadi mahkamah kehidupan. He he he.

Kawan baik saya itu cuma mewakili ramai orang

Tetapi sebenarnya, kawan saya yang baik itu — tetapi bodoh — cuma mewakili sebahagian manusia yang memang berfikiran begitu. Pada pandangannya, hidup yang sempurna mesti ada isteri, mesti ada anak-anak dan mungkin mesti mengikut pakej kehidupan yang sudah ditetapkan masyarakat. Kalau tidak ada semua itu, maka hidup dianggap kurang lengkap. Saya sendiri rasa memanglah hidup saya tidak sempurna. Siapa pula hidupnya sempurna? Tetapi tidak sempurna bukan bermaksud tidak bahagia. Tidak mempunyai sesuatu yang orang lain ada juga tidak bermaksud kita gagal. Masih ada ruang untuk saya bahagia, masih ada ruang untuk saya berjaya dan yang penting, tak perlulah semua itu diumumkan dalam group WhatsApp. He he he.

Kalau duit banyak sahaja yang berjaya, habis t20 sahaja bahagia?

Ramai orang memang akan mengaitkan kejayaan hidup dengan wang dan harta. Saya faham kenapa. Wang diperlukan untuk memenuhi keperluan hidup dan harta pula boleh memberikan keselesaan. Tetapi wang dan harta bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan. Kalau kita berpegang kepada idea bahawa hanya orang berpendapatan tinggi yang berjaya dan bahagia, maka secara logiknya hanya golongan T20 sahaja yang patut bahagia. Maknanya hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang berjaya dalam hidup, manakala 80 peratus lagi gagal? Tentulah mengarut. Saya rasa kejayaan hidup jauh lebih luas daripada angka dalam akaun bank. Kalau baki bank banyak tetapi hidup setiap hari macam dikejar hantu, saya pun tak tahu hendak panggil itu kejayaan atau penderitaan versi premium.

Berjaya tak semestinya ada segalanya

Pada umur 50-an ini, saya semakin rasa kejayaan bukan soal siapa paling banyak memiliki sesuatu. Ia lebih kepada bagaimana kita menjalani hidup yang kita ada. Mungkin saya tidak mempunyai semua perkara yang orang lain anggap sebagai tanda kejayaan. Tetapi kalau saya masih boleh menikmati hidup, mempunyai perkara yang membuat saya gembira, boleh mengenang kembali pengalaman lalu dan masih mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu yang saya suka, saya rasa itu pun sudah satu bentuk kejayaan. Tidak perlu hidup kita kelihatan sempurna di mata orang lain untuk kita menganggap diri sendiri sudah cukup berjaya. Kadang-kadang umur 50 baru kita sedar, hidup ini bukan pertandingan. Tak ada siapa pun akan datang hulurkan medal pada umur 60 sambil berkata, “Tahniah, anda telah mengalahkan jiran sebelah.”

Gituew…

 

No comments:

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home