"Mungkin apabila sudah tidak banyak perkara atau benda yang kita hendak dikejar dalam kehidupan ini, kita mula semakin memerhati apa yang terjadi di sekeliling kita, dan mula sering mengingati perjalanan hidup kita telah yang lalu…"
Dan zaman persekolahan tetap di ingatan…
Keputusan ujian penempatan kelas itu akhirnya menempatkan saya di Tingkatan Satu Perdagangan 2 (IP2). Huruf P tersebut rujuk kepada `Perdagangan’. Sebenarnya saya tidak kisah ditempatkan ke kelas manapun, asal jangan kena masuk kelas yang kena gergaji kayu sudah.
TMS pada tahun 1983 ada 3 kelas perdagangan. Kalau tak silap, 1P1, 1P2 dan 1P3. Pelajar dikatogerikan kepada kelas-kelas tersebut berdasarkan ujian yang telah dibuat sebelum ini. Kelas-kelas lain ialah kelas RK (Rancangan Khas), kelas-kelas aliran sastera dan sains rumahtangga/kelas seni perusahaan. Saya tidak berapa ingat tetapi lebih kurang begitulah pembahagiannya.
(Saya tentulah tak mahu masuk kelas seni perusahaan sebab khabarnya kena gergaji papan bagai, dan tukul paku ke kayu. Baiki alat elektrik. Emmm...Gitulah kawan beritahu.)
Di sekolah baru, di kelas baru, perkara semuanya baru. Bilik darjah besar, dan ada padang yang luas, berbeza dengan sekolah rendah saya. Kelas ada tingkap, boleh lompat keluar...
Saya dapat ramai kawan baru. Saya tidak ada banyak masalah dalam berkawan kerana saya ikut sahaja perangai kawan-kawan saya.
Paling menarik perhatian saya di IP2 ialah ada kawan baru yang pakai baju biru macam mahu mengecat rumah. Baju itu macam skit tapi bukan skrit. Baju terus bersambung dengan skirt. Itulah yang ada di fikiran saya 40 tahun lalu... Antara kawan sekelas saya yang memakai pakaian ini adalah Li Lin Eng dan Lua Geok Cheng.
Kawan baru gelagat baru. Ada juga Johinah yang pandai melukis, Wan Adilah dan Rozila yang sentiasa banyak bercakap dan juga Kamarul (Kokok) yang serius dan suka perati orang. Juga Shanie yang sentiasa riang. Semoga mereka semua berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu.
Selain dapat ramai kawan baru, saya juga seronok pergi ke sekolah menengah kerana dapat naik bas. Saya suka duduk di tempat duduk tepi dan buka sliding dia biar angin masuk hembus muka saya. Tapi saya selalu kena marah sebab budak perempuan kata rosak tudung mereka. Emmm.
Saya juga suka pakai seluar panjang sebab boleh tutup jahitan 12 inci di betis (saya akibat kemalangan jalanraya masa darjah 3). Saya pakai seluar pendek sehingga darjah 6. Masa darjah 6 tu bulu kaki masih tak ada. Licin macam timun cina lagi. Masa sekolah rendah ada kawan saya yang kakinya sudah berbulu. Cikgu kata dia `curi umur’.
Tingkatan satu seronok. Kami sangat gembira sebab SRP (Sijil Rendah Pelajaran) masih tak ada dalam fikiran. Kira tingkatan 1 macam bulan madu betul, tingkatan 3 baru ada periksa besar. Namun, yang peliknya cikgu-cikgu kami tetap bersungguh-sungguh mengajar kami... [kecuali cikgu Jasmani...mereka tidak berniat melatih kami untuk menjadi athelit, kalau tak mungkin saya dan kawan-kawan dapat wakili negara ke OMK (Olimpik Musim Kemarau)].
Walaupun tiada `exam' besar, cikgu-cikgu pada masa itu sangat menitik beratkan pelajaran. Macam sekolah berasrama penuh pula. Mereka mengajar bersungguh-sungguh. Mungkin nak jaga nama baik dan pencapaian sekolah kot. Harumkan nama TMS di PPD (Pejabat Pendidikan Daerah).
Saya paling minat waktu PJ (pendidikan Jasmani). Sebab kami boleh main bola atau saja-saja rehat. Saya jarang bermain bola. Kalau saya main, saya ada teknik tersendiri. Jika bola ke kiri saya akan melarikan diri ke kanan, bila bola ke kanan saya akan melarikan diri ke kiri. Saya cuba elak. (Cuba bayangkan dari tingkatan satu sampai tingkatan 5, he he he).
Seronok bersekolah petang, tidak panas. 40 tahun dulu waktu petang tak panas, leni pukul 5 petang pun masih panas ketok.
Dan sesungguhnya saya lebih banyak tengok orang main bola atau berada di belakang tiang gol. Kadang-kadang saya duduk bawah pokok rhu berdekatan dengan padang. Atau tepi makmal sambil tengok orang main bola. Dan juga korek-korek pasir celah pangkal pokok rhu atau kopek kulit pokok rhu tersebut. Kalau nak lebih tersorok duduk bawah pokok bunga tanjung belakang makmal, tepi padang tu. Lagi redup.
Kadang-kadang saya tinggalkan padang pergi tengok pelajar perempuan main nekbol.
Sebenarnya ada juga tilam gimastik dalam bilik sukan, tapi tidak digunakan. Mungkin cikgu takut patah riuk pelajarnya. Nak heret tilam ke padang pun satu hal. Nak usung bagai... Kalau nak main gimastik cikgu mesti kena ada di situ awasi pelajar, kalau benarkan pelajar main bola dan nekbol bolehlah cikgu cilok ke bilik guru, ke.
Banyak juga kelab-kelab dan persatuan pada masa tersebut. Saya ada masuk Kelab Kerjaya, Kelab Hoki dan St Jhon Ambulans. Saya hanya sempat hadiri kelab St Jhon beberapa kali sahaja. Saya berhenti terus bila pelajar kena belajar buat CPR. Saya percaya ramai pejajar TMS pada tahun 1982 tersebut, tak gosok gigi.
Kelab hoki pula saya sempat pergi 3 kali, saya ambil keputusan berhenti setelah kawan saya beritahu ada pelajar Sekolah Kuala Besut tercabut mata sebab kena pukulan bola hoki.
Tinggallah hanya Kelab Kerjaya sahaja. Kelab ni `best' tak bahaya, dan kalau kita tak hadir pun orang tak perasan. He he he.
Manakala pelajaran semakin sukar tidak seperti sekolah rendah. Saya memang tidak suka matematik, tapi paling saya tidak suka subjek Sain Paduan. Bukan tidak suka pada matapelajaran tapi pada gurunya. Bengkeng sungguh cikgunya, tak mesra pelajar. Kalau tak balut buku kena cubit kat bahu. Kawan saya kena cubit, sakit sampai terangkat badannya. Samada dalam kelas atau makmal kalau tak dapat jawab kena berdiri. Kalau tertinggal buku kerja alamatnya kena balik rumah la ambil. Dan cikgu tersebut selalu menggunakan kata-kata kesat yang saya tidak suka, suka marah-marah. Setahun saya ketakutan dalam makmal. Kalah filem KKN Desa Penari (4/5) dan The Conjuring (5/5).
Masuk makmal seolah masuk rumah mayat. Kalau zaman sekarang tentu cikgu tersebut kena saman. Tapi kami tak beritahu ibubapa pun… Sebab? Sebab dia cikgu kita, dia mengajar ilmu kepada kita, apa yang terjadi juga sebab kekurangan kita. Dia mahu kita jangan main-main dengan kehidupan… Dia nak kita berdisiplin dan dapat markah
terbaik
, kehidupan
terbaik
.
Pada masa tersebut saya cuma ada cita-cita mahu masuk tingkatan 2P1. Rasionalnya kalau dari kelas tingkatan 1P2 dapat masuk ke tingkatan 2P1 adalah sudah cukup baik. Saya ada kenal seorang pelajar dari 1P1, dia beritahu dia takut nanti dia kena masuk 2P2. Saya kata jangan bimbang pelajar, pelajar 1P2 ini baik-baik belaka.
Namun saya tidaklah pula belajar bersungguh-sungguh sebab saya suka duduk di dalam kelas 1P2. Kalau saya tak naik ke 2PI pun tak apa asal semua kawan-kawan lain juga tak naik ke 2P1. Hujung tahun menjelma saya rasa tension, tension bukan sebab nak exam final tapi bimbang bertukar kelas dan tak bersama lagi dengan kawan-kawan 1P2. Gitulah dunia pada masa tersebut. Berpisah kelas seolah berpisah sekolah. Susah nak terang, hanya orang lama yang faham. BBNN tak faham situasi begini…
Nama guru besar pada masa tersebut ialah Cikgu Majid bin Ahmad (1982-1986). Kami tidak hiraukan sangat sebab kami di sekolah petang, dia ada hanya masa pagi. Tidak kiralah siapa jadi guru besar wahima `Hulk' pun sebab dia ada di waktu pagi sahaja.
Saya juga sudah pandai makan di luar sekolah. Ada kedai Mok Som. Ikan aya dia masak tu sedap. Kedai tu juga jadi tempat lepak, he he he. Dan ada kedai cina deret jalan ke Sekolah Nasaruddin Shah. Boleh beli kaset di situ, tak payah ke bandar Jerteh dah.
Indah sungguh zaman persekolahan, terima kasih. Semoga guru-guru yang mengajar kami mendapat berkat dunia akhirat atas ilmu yang diberikan.
Saya juga mahu berterima kasih kepada kawan-kawan saya, sama ada sekelas atau tidak kerana pengalaman dan kenangan zaman persekolahan dahulu. Semoga semua sihat sejahtera dan tabah hadapi peralihan zaman. Maafkan saya atas segala kesalahan dan kekurangan saya jika dulu saya tidak menjadi sahabat yang baik.
Resit ini sangat mengusik hati, tersenyum gembira dan sayu. Apabila melihat resit yang berusia 40 tahun ini, terasa benar bahawa dunia ini hanya satu perjalanan yang AMAT singkat (in the blink of an eye).
1P2 is always in my heart...
No comments:
Post a Comment