Emak sedang tidak sihat, sudah tiga minggu tidak dapat berjalan. Emak sudah berumur 80 tahun lebih, kadang-kadang emak memang tidak sihat. Jadi sekarang, banyak masa di rumah saya habiskan menemaninya. Salah satu cara kami mengisi masa bersama ialah menonton NEFLIX. Kebetulan kami menonton Bulan Henti Bicara. Pada mulanya saya hanya mahu menemani emak, tetapi akhirnya saya sendiri begitu tertarik dengan lakonan Azhan Rani sebagai Jamali.
Saya tidak tengok episod-episod terdahulu. Saya sebenarnya sangat jarang menonton drama atau filem Melayu. Biasanya kalau ada Eman Manan (kini Dato), atau Nabila Huda, barulah saya tertarik untuk tengok. Maka sepanjang menonton saya sering bertanya kepada emak, contohnya kenapa Zulfa memilih suami yang salah?. Saya siap beritahu emak, berbanding dengan lelaki, perempuan selalu salah pilih pasangan. Saya juga terfikir tentang kawan-kawan perempuan saya yang pernah membuat pilihan yang salah dalam hidup. Kadang-kadang kita melihat seseorang dari luar dan menyangka dia baik, tetapi selepas hidup bersama, barulah kita nampak sisi yang selama ini tersembunyi. Kita manusia biasa.
Sebelum ini saya tidak lihat lakonan Azahan Rani, tetapi dalam drama 28 episod tersebut beliau memang berjaya membawa watak Jamali dengan sangat berkesan. Cara dia bercakap, nada suara, pandangan mata dan ekspresi wajah membuatkan watak itu terasa begitu nyata. Ada ketika dia tidak perlu meninggikan suara pun, tetapi kita sudah boleh merasakan tekanan dan ketakutan dalam sesuatu babak. Dalam kehidupan, saya sendiri pernah berjumpa dengan orang yang kelihatan baik di luar, tetapi mempunyai sisi yang berbeza apabila kita mengenalinya dengan lebih dekat.
Ada ketikanya saya dan emak sama-sama rasa geram melihat perangai Jamali. Bagi saya, itulah tanda lakonan yang benar-benar menjadi iaitu apabila watak itu mampu membawa emosi kita bersama. Saya rasa drama tersebut patut berpusat kepada Azhan Rani. Sebab alur-alur cerita lain tidak best dan nampak direka-reka dan dipanjangkan. Azahan Rani penyelamat cerita. Kalau tak ada dia cerita ini tidak menjadi, tak kan lah kita nak harap hero lembik tersebut. Gituew.
Saya duduk di sebelah emak dan perlahan-lahan ikut cerita ini sampai saya sendiri terasa dekat dengan kisahnya. Mungkin kerana pada ketika itu saya bukan sekadar menonton cerita. Saya sedang menemani emak yang sedang melalui hari-hari yang tidak mudah. Saya bersyukur masih diberi kesempatan untuk duduk di sebelah emak, berbual dengannya dan menonton sesuatu bersama. Kadang-kadang kita tidak sedar, perkara kecil seperti menemani seseorang menonton televisyen sebenarnya boleh menjadi kenangan yang sangat besar apabila masa sudah berlalu.
Entah kenapa, selepas cerita habis saya terfikir tentang emak. Tiga minggu emak tidak dapat berjalan. Sebagai anak, ada masa saya rasa sedih, risau dan tidak berdaya melihat orang yang kita sayang hanya mampu terbaring dan menunggu tubuhnya kembali kuat. Kita mungkin tidak mampu mengambil kesakitan mereka, tetapi kita masih boleh berada di sisi mereka. Teman mereka makan, teman mereka berbual, teman mereka menonton cerita dan, kalau perlu, hanya duduk diam di sebelahnya. Mungkin itu sahaja yang mampu kita lakukan, tetapi mudah-mudahan kehadiran kita sedikit sebanyak membuatkan mereka tidak berasa sendirian.
Mungkin suatu hari nanti, apabila emak sudah sihat dan boleh berjalan semula, saya akan teringat kembali Bulan Henti Bicara. Bukan kerana Jamali atau jalan ceritanya semata-mata, tetapi kerana cerita inilah yang pernah saya tonton bersama emak ketika dia sedang tidak sihat. Dan kalau suatu hari emak sudah boleh berjalan seperti biasa, saya harap saya masih boleh berkata, “Mak, ingat tak dulu masa mak tak boleh jalan, kita tengok cerita ni dengan abang?”
Ada cerita yang kita tonton untuk mengisi masa. Ada cerita yang akhirnya menjadi kenangan. Bulan Henti Bicara mungkin akan menjadi salah satu daripadanya untuk saya.
Terima kasih tuhan...
No comments:
Post a Comment