Yang peliknya, hati kita seolah-olah tidak pernah membesar bersama umur anak. Kita tengok dia sudah tinggi, ada pendapat sendiri dan mampu membuat keputusan, tetapi dalam hati dia masih budak kecil yang pernah kita nak dukung.
Kita juga bimbang banyak perkara. Kita takut dunia menipu dia, takut dia kecewa dan takut dia gagal. Lebih tepat lagi, kita takut dia gagal mengikut definisi kejayaan yang kita sendiri cipta. Kita mahu dia bahagia, tetapi kadang-kadang terlupa bahawa bahagia bagi dia mungkin tidak sama dengan bahagia yang kita bayangkan. Haaa… gituew. Kita Gen lain, kita Gen lain...
Kita masih teringat bagaimana dia dahulu tidur di sebelah kita, menangis kerana perkara kecil dan ada menyorok bawah meja kerana mahu ikut pak saudaranya yang bujang pulang. Ada juga yang pernah bercakap mahu beli bukit untuk burung-burung sebab kesian burung tak tahu nak pergi mana kerana pembangunan. Entah apa yang mereka fikir waktu itu, kita pun tidak tahu. Tetapi cerita-cerita kecil itulah yang melekat dalam kepala kita sampai hari ini. Sekarang dia sudah bekerja dan mula mempunyai perancangan hidup sendiri. Kalau sudah ada awek pula, kita mula memerhati pasangannya macam panel temuduga kerja. “Kerja apa? Keluarga macam mana? Betul ke dia sayang anak aku?” Kita bimbang orang itu tidak menjaganya dengan baik. Sedangkan anak mungkin sudah berkata dalam hati, “Mak, ayah… saya dah besar, dah boleh buat Keputusan sendiri”
Hakikatnya, kita tidak lagi boleh mengawal kehidupan mereka seperti dahulu. Kita boleh memberi nasihat, tetapi tidak boleh memegang stereng hidup mereka. Kalau nampak mereka tersasar, kita tegur. Kalau mereka buat keputusan yang kita tidak suka, kita nasihatkan kita beri pendapat kita. Selepas itu, kita hanya mampu melihat dan berdoa. Tetap… hati ibu ayah ini susah hendak diam. Mulut kata, “Terpulanglah, dah besar.” Tetapi selepas anak keluar rumah, kita termenung pula, kita sayang dia. “Dia makan dah ke belum?” Itulah masalahnya. Anak sudah pandai urus hidup sendiri, tetapi kita pula masih belum pandai move on. Tanya dah makan ke belum lagi. Tetapi itulah...di mana ibubapa anak sentiasa kecil.
Tapi tok kan nok kecik sokmo!
Menyayangi anak yang sudah dewasa memerlukan cara yang berbeza. Kita perlu belajar menghormati ruang mereka, menjaga batas, mendengar lebih banyak daripada bercakap dan menerima bahawa mereka sudah mampu menentukan jalan hidup sendiri. Kita boleh menjadi tempat mereka meminta pandangan tanpa menentukan semua keputusan. Kadang-kadang anak tidak perlukan ceramah panjang. Dia cuma perlukan seseorang yang berkata, “Tak apa, kalau susah baliklah. Kita bincang.” Sampai satu masa, tangan mereka perlu dilepaskan. Bukan kerana kita sudah tidak sayang, tetapi kerana kita mahu mereka belajar berjalan dengan kaki sendiri. Biar campak ke negeri Cina pun mereka boleh hidup.
Kadang-kadang kita rindu kepada anak kecil yang dahulu. Rindu suara mereka memanggil kita, gelak tawa mereka dan saat mereka memerlukan kita untuk hampir segala perkara. Tetapi tugas kita bukan menghalang mereka daripada membesar. Tugas kita adalah memastikan mereka tahu bahawa walau sejauh mana mereka pergi, rumah ini dan hati kita tetap tempat untuk mereka pulang.
Anak mungkin sudah besar, sudah ada hidup sendiri dan tidak lagi perlukan kita seperti dahulu. Kita pula? Masih juga tengok telefon kalau dia lambat balas WhatsApp. Begitulah ibu ayah. Yang susah nak move on rupanya kita.
Kita.
No comments:
Post a Comment