1. Orang selalu fikir sesuatu perkahwinan berakhir apabila cinta sudah tiada. Tidak semestinya. Ada pasangan yang bercerai selepas puluhan tahun hidup bersama, ketika cinta itu masih ada. Masih sayang. Masih ambil berat. Masih ada kenangan yang terlalu banyak untuk dibuang begitu sahaja. Cuma hati sudah terlalu penat hendak terus bertahan.
2. Selepas 20, 30 atau 40 tahun berkahwin, orang mungkin tertanya-tanya, “Kenapa baru sekarang hendak berpisah?” Sedangkan jawapannya mungkin bukan baru sekarang mereka terluka. Mungkin luka itu sudah lama ada. Hari ini bergaduh, esok berbaik. Minggu depan perkara yang sama berulang. Tahun demi tahun, mereka belajar hidup bersama luka yang tidak pernah benar-benar sembuh. Lama-lama, mereka sendiri tidak pasti sama ada mereka masih mempertahankan perkahwinan kerana cinta atau kerana sudah terlalu banyak tahun yang dilalui bersama. Gituew.
3. Ada pasangan yang masih saling menyayangi, tetapi sudah tidak mampu memberikan ketenangan kepada satu sama lain. Anak-anak sudah besar. Rumah sudah ada. Harta sudah dikumpulkan. Gambar keluarga pun penuh satu album. Tetapi di sebalik semua itu, mungkin ada dua manusia yang sudah lama merasa sunyi walaupun tidur di bawah bumbung yang sama. Kadang-kadang kita boleh hidup bersama seseorang selama puluhan tahun, tetapi dalam masa yang sama semakin jauh mengenali hati masing-masing.
4. Sebab itu saya selalu terfikir apabila orang bertanya, “Kalau masih sayang, kenapa bercerai?” Soalan itu nampak mudah, tetapi kehidupan suami isteri bukan formula matematik. Bukan macam kira-kira kedai mamak. Masuk RM10, dapat teh tarik, selesai. Dalam perkahwinan, seseorang boleh masih sayang tetapi sudah tidak mampu terus hidup dalam keadaan yang sama. Ada yang terlalu banyak terluka. Ada yang terlalu lama memendam. Ada yang sudah mencuba berkali-kali. Dan ada yang akhirnya sedar, meneruskan perkahwinan mungkin hanya akan membuat kedua-duanya semakin sakit.
5. Saya teringat dua orang kawan baik saya. Mereka berpisah ketika masing-masing berumur 50an tahun, selepas bertahun-tahun hidup sebagai suami isteri. Keduanya kawan baik saya. Mereka kata masih ada rasa. Masih ada rindu. Masih ada sayang. Tetapi setiap kali cuba memperbaiki hubungan, mereka seperti berjalan di atas kaca. Tersalah langkah sedikit, dua-dua luka. Hendak berpatah balik pun sakit. Hendak terus berjalan pun berdarah. Pada usia itu, mereka bukan lagi hendak mencari siapa yang menang atau siapa yang kalah. Mereka cuma mahu sedikit ketenangan dalam hidup yang masih berbaki. Mahu tenang-damai.
6. Akhirnya mereka berdiri di tengah-tengah dan bertanya, “Kita sebenarnya hendak ke mana selepas ini?” Mungkin mereka sudah sampai pada satu titik di mana cinta sahaja tidak lagi cukup untuk menyelesaikan segala masalah. Bukan kerana cinta sudah mati, tetapi kerana cinta yang sama sudah terlalu banyak melalui kecewa, pertengkaran, salah faham dan luka yang tidak sempat dirawat. Ada masa, perpisahan bukan berlaku kerana seseorang berhenti menyayangi. Ia berlaku kerana seseorang sudah tidak tahu bagaimana hendak terus menyayangi tanpa menyakiti dirinya sendiri.
7. Dan akhirnya mereka berpisah. Bukan kerana sudah tidak sayang. Mungkin kerana mereka masih sayang, mereka memilih untuk berhenti saling menyakiti. Inilah bahagian yang paling menyedihkan tentang perceraian selepas puluhan tahun berkahwin. Kita bukan sekadar berpisah dengan seorang pasangan. Kita berpisah dengan rutin, rumah, kenangan, perancangan masa depan dan sebahagian daripada hidup kita sendiri. Tetapi mungkin ada ketika melepaskan bukan bermaksud semua yang pernah dilalui itu sia-sia. Mungkin 30 tahun bersama tetap mempunyai nilai, walaupun tahun ke-31 mereka memilih jalan yang berbeza. Kadang-kadang, orang yang paling lama kita sayang bukan orang yang akhirnya tinggal bersama kita sampai hujung usia. Dan itu tidak semestinya bermaksud cinta mereka dahulu adalah satu kesilapan…Haa
No comments:
Post a Comment