1. Tidak Semua Kawan Akan Kekal
Saya belajar bahawa tidak semua orang yang masuk dalam hidup kita akan kekal sampai akhir. Ada kawan yang hanya bersama kita untuk satu fasa kehidupan. Bila masing-masing membawa haluan sendiri, hubungan pun perlahan-lahan berubah. Dahulu selalu berjumpa, akhirnya setahun sekali pun belum tentu.
2. Kawan Tidak Semestinya Perlu Selalu Berjumpa
Persahabatan yang baik tidak semestinya memerlukan kita berjumpa setiap minggu atau setiap bulan. Ada kawan yang sudah bertahun-tahun tidak saya jumpa, tetapi apabila bertemu semula, rasanya seperti baru semalam berpisah. Tidak kekok. Tidak perlu banyak cerita. Sambung sahaja seperti biasa.
3. Jangan Paksa Orang Untuk Kekal
Saya belajar untuk tidak memaksa seseorang supaya terus menjadi kawan kita. Kalau dia mahu pergi, biarkan. Kita tidak boleh memegang orang terlalu kuat. Kadang-kadang semakin kita paksa, semakin hubungan itu menjadi tidak menyenangkan. Persahabatan sepatutnya berlaku kerana kedua-dua pihak mahu berada dalam hubungan itu.
4. Kawan Yang Baik Tidak Semestinya Yang Selalu Setuju
Dahulu saya mungkin fikir kawan yang baik ialah kawan yang menyokong apa sahaja yang kita buat. Sekarang saya fikir sebaliknya. Kadang-kadang kawan yang baik ialah orang yang berani mengatakan kita salah. Dia mungkin tidak sedap didengar pada masa itu, tetapi niatnya bukan untuk menjatuhkan kita.
5. Jangan Terlalu Banyak Berharap
Saya belajar jangan terlalu banyak berharap kepada kawan. Bukan kerana kawan itu tidak baik, tetapi kerana setiap orang mempunyai kehidupan, masalah dan keutamaan sendiri. Kalau kita terlalu berharap seseorang akan sentiasa ada untuk kita, kita sendiri yang mungkin kecewa.
6. Ada Kawan Untuk Bersenang-Senang, Ada Kawan Untuk Berkongsi Susah
Tidak semua kawan mempunyai peranan yang sama dalam hidup kita. Ada kawan yang kita jumpa untuk makan, minum kopi dan ketawa. Ada pula kawan yang kita cari apabila hati sedang berat. Kedua-duanya tetap kawan, cuma hubungan dan tempatnya dalam hidup kita berbeza.
7. Persahabatan Tidak Perlu Sempurna
Saya belajar bahawa dalam persahabatan, akan ada salah faham, terasa hati, perbezaan pendapat dan kadang-kadang bergaduh. Itu perkara biasa. Kita semua manusia. Yang penting bukan tidak pernah bergaduh, tetapi masih ada rasa hormat dan keinginan untuk memperbaiki hubungan.
8. Semakin Berusia, Semakin Kita Menghargai Kawan Lama
Bila usia semakin bertambah, saya mula menghargai kawan-kawan lama dengan cara yang berbeza. Mungkin dahulu saya anggap biasa sahaja apabila dapat berjumpa mereka. Sekarang, satu pertemuan pun terasa berharga. Kita sedar masa berjalan dan tidak semua orang yang pernah bersama kita dahulu masih ada dalam hidup kita hari ini.
9. Kenangan Lebih Berharga Daripada Kekerapan Berjumpa
Saya belajar bahawa yang membuat persahabatan itu bermakna bukan berapa kerap kita berjumpa, tetapi kenangan yang kita bina bersama. Kadang-kadang hanya satu malam makan bersama, satu perjalanan atau satu perbualan yang tidak seberapa pun boleh kita ingat bertahun-tahun kemudian.
10. Kita Juga Perlu Belajar Menjadi Kawan Yang Baik
Akhir sekali, saya belajar bahawa kita tidak boleh hanya mencari kawan yang baik. Kita sendiri perlu menjadi kawan yang baik. Jangan hanya mengharapkan orang memahami kita sedangkan kita tidak pernah cuba memahami orang lain. Jangan hanya mahu kawan mengingati kita ketika susah, sedangkan kita pula hilang ketika mereka memerlukan kita.
Kesimpulan
Selepas melalui pelbagai persahabatan dalam hidup, saya semakin sedar bahawa kita sebenarnya tidak memerlukan terlalu ramai kawan. Cukuplah beberapa orang yang ikhlas, yang boleh menerima kita seadanya dan yang masih boleh duduk bersama kita walaupun sudah lama tidak berjumpa.
Ada kawan yang datang sekejap, ada yang tinggal lama. Ada yang akhirnya menjadi kenangan, ada yang masih duduk di sebelah kita sampai hari ini. Semuanya mengajar sesuatu.
Persahabatan mengajar saya bahawa kawan bukan tentang berapa lama seseorang berada dalam hidup kita, tetapi tentang apa yang kita pelajari, apa yang kita lalui dan kenangan apa yang ditinggalkannya.
Gituew.
Pautan:
httpsplot-twist-persahabatan-di-tahun-akhir

No comments:
Post a Comment