1. Kos sara hidup masih terasa berat
Ini pada saya kelemahan yang paling mudah dirasai rakyat biasa. Pergilah ke pasar, kedai makan atau pasar raya, harga barang sudah tidak seperti dahulu. Gaji mungkin naik sedikit, tetapi kos kehidupan juga meningkat. Akhirnya rakyat tetap rasa duit tidak cukup.
Kerajaan memang memberikan pelbagai bantuan seperti STR dan SARA, tetapi bantuan dengan kos kehidupan adalah dua perkara berbeza. Kalau harga barang terus meningkat, bantuan yang diterima pun cepat habis.
Saya rasa rakyat sebenarnya boleh memahami usaha kerajaan memperbaiki kewangan negara. Tetapi mereka juga mahu merasai perubahan dalam kehidupan seharian sampai ke dapur mereka. Gaji cukup, barang tidak terlalu mahal dan setiap bulan tidak terlalu risau tentang duit. Akhirnya rakyat mahu tahu satu perkara: bila kehidupan kami hendak menjadi lebih senang?
2. Reformasi bergerak agak perlahan
Anwar Ibrahim dahulu sangat sinonim dengan perkataan reformasi. Ramai yang menyokong beliau berharap perubahan besar berlaku dalam sistem pentadbiran negara. Tetapi selepas beberapa tahun, masih ada reformasi yang belum selesai seperti pembaharuan institusi, kebebasan maklumat, pembiayaan politik dan pemisahan kuasa tertentu.
Saya faham kerajaan terdiri daripada banyak parti dan kepentingan politik perlu dipertimbangkan. Tetapi rakyat yang sudah lama menunggu reformasi tentu mahu melihat hasilnya. Mereka sudah lama mendengar tentang perubahan, jadi tidak hairanlah kalau akhirnya bertanya, “Bila lagi?” He he he.
3. Terlalu banyak kompromi politik
Kerajaan gabungan memang berdepan cabaran besar. Setiap kelompok masyarakat dan parti politik mempunyai kehendak serta agenda masing-masing. Sabah dan Sarawak pula mempunyai hak serta kepentingan tersendiri.
Apabila terlalu banyak perkara perlu dikompromikan, keputusan kerajaan kadang-kadang menjadi kurang tegas dan perubahan bergerak perlahan. Dalam politik, kompromi memang diperlukan, tetapi kerajaan juga perlu berani membuat keputusan yang jelas apabila melibatkan kepentingan negara.
Jangan sampai terlalu sibuk menjaga hati semua pihak, akhirnya rakyat sendiri tertanya-tanya “kerajaan ini sebenarnya hendak pergi ke mana?”
4. Subsidi bersasar menyebabkan rakyat rasa tertekan
Saya faham kenapa kerajaan mahu mengurangkan subsidi. Dari sudut ekonomi, subsidi sepatutnya lebih banyak membantu golongan yang benar-benar memerlukan. Tetapi bagi rakyat biasa, kesannya mungkin terus terasa.
Rakyat perlu isi minyak, bayar bil, beli barang dapur, bayar sewa dan yuran sekolah anak. Mereka tidak hidup dengan teori ekonomi. Jadi kalau subsidi bersasar dilaksanakan, kerajaan perlu menerangkan dengan jelas ke mana penjimatan itu disalurkan dan bagaimana rakyat akhirnya mendapat manfaat.
Kalau yang nampak hanya harga semakin naik dan kehidupan semakin sempit, janganlah hairan kalau rakyat mula mengeluh.
5. Hasil negara masih perlu diperkukuhkan
Kerajaan memerlukan wang untuk membina sekolah, membayar gaji guru, mengurus hospital, membina jalan raya dan membantu rakyat. Sebab itu hasil negara perlu diperkukuhkan.
Namun, jika terlalu banyak cukai dikenakan, rakyat pula terbeban. Jika hasil tidak mencukupi, kerajaan kurang ruang untuk melaksanakan program lain. Inilah dilema yang tidak mudah diselesaikan.
Pada saya, sebelum menambah cukai, kerajaan perlu menunjukkan usaha mengurangkan pembaziran dan ketirisan. Kalau rakyat nampak kerajaan berjimat dan wang negara diurus dengan baik, mereka mungkin lebih mudah menerima pengorbanan yang diperlukan.
Akhirnya rakyat mahu tahu: duit yang mereka bayar itu pergi ke mana dan apa yang mereka dapat kembali?
6. Janji reformasi menyebabkan rakyat mempunyai harapan tinggi
Anwar bukan datang sebagai Perdana Menteri biasa. Beliau datang dengan sejarah perjuangan reformasi yang panjang. Sebab itu penyokongnya mempunyai harapan yang tinggi.
Bila harapan tinggi, penilaian terhadap kerajaan juga menjadi tinggi. Apabila kerajaan melakukan sesuatu yang sama seperti kerajaan terdahulu, penyokong reformasi mungkin bertanya, “Bukankah dahulu kita mahukan perubahan?”
Cabaran Anwar bukan sekadar mentadbir negara, tetapi memenuhi harapan mereka yang selama ini percaya kepada perjuangannya. Rakyat bukan sekadar mahu mendengar cerita tentang perjuangan dahulu, tetapi mahu melihat perjuangan itu terasa dalam kehidupan hari ini.
7. Kerajaan perlu lebih pandai menjelaskan apa yang dibuat
Pada saya, ini antara kelemahan penting. Kerajaan banyak melakukan sesuatu, tetapi rakyat biasa kadang-kadang tidak memahami apa sebenarnya yang dilakukan.
Istilah seperti subsidi bersasar, reformasi fiskal dan konsolidasi fiskal mungkin mudah difahami oleh mereka yang mengikuti ekonomi. Tetapi bagi orang kampung yang cuma mahu tahu harga ikan, ayam, beras dan minyak, istilah tersebut mungkin tidak banyak maknanya.
Kerajaan perlu bercakap dalam bahasa rakyat. Jangan hanya kata defisit negara berkurang, tetapi terangkan apa maknanya kepada kehidupan rakyat. Jangan hanya kata subsidi disasarkan, tetapi jelaskan berapa banyak wang dijimatkan dan digunakan untuk apa.
Rakyat sebenarnya mahu tahu satu perkara mudah: “Apa semua ini akan beri kepada kehidupan saya?”
Kesimpulan
Saya tidak menulis semua ini kerana membenci kerajaan Anwar Ibrahim. Tidak. Saya cuma fikir kerajaan perlu dikritik. Kerajaan yang kuat bukan kerajaan yang semua orang puji, tetapi kerajaan yang mampu menerima kritikan dan memperbaiki kelemahannya.
Saya tidak berharap semua masalah Malaysia selesai dalam beberapa tahun. Masalah negara sudah lama terkumpul — hutang, subsidi, birokrasi, politik kaum, pendidikan, kesihatan, gaji dan kos sara hidup. Tidak mungkin semuanya selesai dalam satu penggal.
Tetapi rakyat mahu melihat arah yang jelas. Mereka mahu hidup lebih baik, anak-anak mendapat pendidikan yang baik, gaji sesuai dengan kos kehidupan, kerajaan yang bersih dan, paling penting, mereka mahu kembali percaya kepada kerajaan.
Kalau kerajaan dapat memberikan semua itu sedikit demi sedikit, saya rasa rakyat boleh bersabar. Sebab rakyat Malaysia sebenarnya tidak meminta banyak pun.
Jangan susahkan kami. Itu sahaja. He he he.
No comments:
Post a Comment