"Sukar untuk seorang isteri membuat suami mereka HANYA akan sayang kepada mereka sahaja untuk SELAMAnya. Terutamanya yang sudah hilang `semangat cinta' dek sibuk dengan urusan rumahtangga. Percayalah saya..."
- Abang Jan, Jun 2014
DUA orang rakan pensyarah perempuan yang telah berkawin, dan beranak pinak datang bertandang ke bilik saya petang semalam. Kami berbual dan kemudiannya terkeluar topik suami kawin lagi. Kata mereka, mereka membacanya dari akhbar. Pasal tajuk `reunion musnahkan rumahtangga kami".
Saya menyatakan kepada mereka `orang perempuan semakin berumur semakin hodoh, dari bentuk fizikal sehinggalah kemulusan kulit. Tidak perlu awak semua nafikan. Terutama yang tidak menjaga atau membelai diri, cepatlah proses kehodohan itu berlaku. Kalau kita sentiasa menjaga kecantikan luar dan dalam, ia dapat meminimakan kesan penuaan dan setidaknya badan sihat". Itulah antara butir kata saya kepada kawan perempuan saya tersebut. Bak pakar motivasi yang suka memperli.
"Orang lelaki ni, jatuh kasih sayang pada mata mereka. Orang perempuan pula dek telinga mereka yang mahu mendengar something nice. Dan sebab itulah perempuan selalu ditipu, he he he" Tambah saya. Perkawinan adalah satu lakonan pentas. Saya menambah lagi.
"Rumahtangga ni perjudian yang halal, kita tidak tahu untung nasib kita tahun depan ke, tahun depan lagi ke, lima tahun lagi kae dan bila-bila pun..." Saya menambah kata tanpa henti. Macamlah saya dah kawin 10 kali. He he he.
"Orang lelaki tidak kisah pada pengorbanan atau budi ihsan isteri mereka. Kalau ada pun lelaki jenis ini, bak mencari bara dalam air...tapi saya jenis setia..." Saya menambah lagi sambil sempat promote diri setia konon, he he he.
Tapi memang saya setia...
Kita kembali kepada topik posting, saya tidak mahu komen apa-apa lagi sebab kalau mampu dan halal mereka boleh kawin dan sah walaupun tanpa persetujuan bini tua, perempuan janganlah beremosi sangat dalam bab ini sebab mereka juga ada pilihan.
Sukar untuk seorang isteri membuat suami mereka HANYA akan sayang kepada mereka sahaja untuk SELAMAnya. Terutamanya yang sudah hilang `semangat cinta' dek sibuk dengan urusan rumahtangga. Percayalah saya.
Perempuan yang paling beruntung adalah mendapat suami yang setia. Dan pastilah ini jarang berlaku. He he he.
Dan selepas itu kawan saya emailkan penulisan tersbut untuk saya baca:
Reunion
musnahkan rumah tangga kami
Sembang-sembang
Oleh Normala Hamzah
Oleh Normala Hamzah
Tidak semua pertemuan semula (reunion) menggembirakan. Ada juga
yang membawa derita dan memutuskan ikatan perkahwinan. Namun jika itu takdir
Allah, apa lagi yang mampu dilakukan, terimalah dengan reda dan mohon Allah
beri petunjuk agar hidup lebih bermakna.
Tidak dinafikan reunion menjadi fenomena pada masa ini. Di
mana-mana sahaja orang bercakap tentang reunion, tidak kiralah sama ada dengan
kawan sekolah, jiran, universiti atau pejabat.
Memang ada baiknya reunion, sekurang-kurangnya ia dapat menemukan
rakan-rakan yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak ditemui dan mengeratkan
silaturahim. Tetapi reunion juga boleh memusnahkan sebuah perhubungan.
Inilah kisah yang saya paparkan minggu ini, kisah reunion yang
meninggalkan titik hitam dalam hidup Nora (bukan nama sebenar) dan pasangannya
Nasri (bukan nama sebenar).
Mahu tidak mahu Nora terpaksa menerima kenyataan yang suaminya
kini telah kembali kepada bekas kekasih lamanya setelah menghadiri majlis
reunion bekas pelajar universiti tempat mereka belajar.
Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Nora.
"Saya telah bernikah dengan Nasri sejak lapan tahun lalu
setelah setahun bercinta. Pertemuan semasa menghadiri satu seminar anjuran
tempat kerja menemukan saya dan dia. Kami dikurniakan seorang anak lelaki
berusia tiga tahun.
"Saya bekerja di sebuah syarikat swasta dan suami penjawat
awam. Sepanjang lapan tahun, tidak ada masalah yang berlaku dalam hubungan
kami. Nasri seorang suami yang baik dan penyayang.
"Setiap tahun, kami selalu melancong ke luar negara dan juga
menghabiskan masa bercuti dalam negara bila ada kelapangan. Pendek kata
keharmonian rumah tangga kami sangat menyerlah.
"Sehinggalah hujung tahun lalu, kebahagiaan itu tergugat
apabila suami bertemu semua dengan bekas kekasihnya pada zaman universiti
dahulu. Ini semua gara-gara reunion rakan universiti yang dihadirinya.
"Saya tak kisah suami mahu ke majlis itu sebab saya percaya
dengan kesetiaannya. Sebelum ini, saya tidak pernah cemburu atau buruk sangka
dengan suami, sebab tahu dia ikhlas dalam perhubungan kami.
"Selesai majlis itu, saya nampak perubahan dalam dirinya.
Tingkah laku, tutur kata dan sikapnya jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dia
tidak berenggang dengan telefon bimbitnya. Setiap saat, telefon bimbit ada
dalam genggamannya terutama pada waktu malam.
"Di rumah pun sama, dia tidak pernah letak telefon. Ke mana
sahaja pergi mesti dipegangnya telefon. Kalau anak kami nak pinjam main game,
dia akan marah-marah. Sebelum ini, suami tidak pernah meninggikan suara dengan
anak.
"Pada hujung minggu, dia selalu menghabiskan masa di luar.
Tidak seperti biasa membawa saya dan anak keluar bersiar-siar atau makan-makan.
Jika tidak pun menemani saya dan anak di rumah.
"Tidak cukup dengan keluar di hujung minggu, dia mula out
station, kononnya untuk berjumpa kawan-kawan lama selepas reunion tersebut. Itu
pun saya masih tidak syak apa-apa sebab masih percayakan dia.
"Satu hari, dia memberitahu saya untuk out station selama
tiga hari. Alasannya untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang stafnya.
Saya tidak tanya banyak kerana saya tahu dia tidak bohong, malah saya tidak
nampak tanda-tanda dia berbohong dengan saya.
"Sehinggalah semua rahsianya terbongkar, tiga bulan kemudian
apabila saya terjumpa resit sewa hotel di dalam beg pakaiannya. Berderau darah
saya melihat resit tersebut, makan minum untuk dua orang dan resit pembelian di
sebuah kompleks membeli-belah di luar negara.
"Sehari suntuk saya menangis dan hati berdebar-debar.
Perasaan saya mula tidak tenang. Saya mula syak yang bukan-bukan dan berdoa
semoga apa yang saya syak tidak akan menjadi kenyataan.
"Tapi Tuhan tahu apa yang ingin diujinya untuk saya. Melalui
seorang teman pejabat, saya dimaklumkan yang suami saya sudah bernikah lagi dengan
kekasih lamanya di seberang.
"Lalu saya teringat permintaan dia untuk out station tiga
bulan lalu. Saya yakin itulah masanya dia bernikah dengan kekasih lamanya itu.
Saya tidak menangis. Saya tidak mahu jadi bodoh memikirkan kecurangan seorang
lelaki bernama suami.
"Saya mahu buat penyelesaian dengan lelaki yang kononnya
setia kepada saya tetapi beralih kasih.
"Mencari masa yang sesuai, saya bersemuka dengan suami. Saya
tunjukkan sekali resit hotel dan pembelian yang saya jumpa. Juga saya beritahu
dia yang rahsianya sudah terbongkar.
"Tanpa rasa sedih, saya ucap selamat pengantin baru
kepadanya. Tanpa memberi dia peluang untuk bercakap, saya sudahkan kata-kata
saya dengan, "saya nak abang bebaskan saya!"
Berulang kali saya sebut perkara itu.
"Saya tidak mahu lagi memberi dia peluang. Sekali kepercayaan
saya hilang, saya tidak akan memberi peluang kedua kepadanya. Saya kecewa dan
kesal dengan perbuatannya.
"Melihat saya menyerangnya bertubi-tubi, dia akhirnya
mengalah. Dia mula berterus-terang dengan saya, menceritakan apa yang
sebenarnya berlaku. Dia mengaku telah menikahi perempuan itu secara rahsia di
negara jiran.
"Kononnya, dia menerima perempuan itu kerana kasihan sebab
sampai sekarang dia belum berkahwin kerana kecewa ditinggalkan dahulu.
Mudahnya lelaki menyusun kata.
"Dalam sekelip mata, dia terlupa kepada saya yang sudah lapan
tahun berkorban untuknya. Menjaga makan, pakai, sakit demamnya. Hanya kerana
jumpa semula bekas kekasih, sanggup dia bernikah lagi.
" Saya ralat kerana dia bertindak tanpa meminta izin saya,
ajak saya berbincang sedangkan saya tahu, perbuatannya itu dalam keadaan tidak
sedar sebab terkejut dengan kehadiran semula wanita itu dalam hidupnya. Mudah
sungguh bagi lelaki.
"Apa pun semuanya sudah terlambat. Hati saya sudah terluka,
pedih dan tidak mungkin akan terubat lagi. Saya kecewa yang amat sangat. Saya
tidak mahu lagi hidup bersamanya kerana kecurangannya itu.
"Saya tidak menolak takdir. Saya reda tetapi saya kecewa
dengan perbuatannya yang tidak berfikir panjang dan tidak mempedulikan perasaan
saya sebagai isteri.
"Sanggup pula berbohong untuk menghadiri majlis perkahwinan
staf, sedangkan dia sendiri yang bernikah. Perlukah lagi saya menghormatinya
sebagai suami setelah apa yang dia lakukan ini?
"Keluarga menentang keras keputusan saya terutama sebelah
mentua. Tetapi saya nekad. Saya ada hak saya sendiri sebagai isteri. Saya tidak
mahu selama-lamanya diperbodohkan. Jika dia sanggup menipu saya untuk bernikah
lagi, tidak mustahil sepanjang perkahwinan kami nanti dia akan berbohong lagi
untuk menyelamatkan dirinya untuk berpoligami.
"Walaupun saya sedih sebab anak terpaksa hilang kasih sayang
ayah untuk tinggal sebumbung tetapi saya berjanji akan menjaga anak saya dengan
sebaik-baik mungkin. Saya tidak kisah untuk berbaik-baik dengan dia demi anak.
"Saya harap permohonan saya untuk berpisah diterima. Saya
tidak mahu lagi hidup bersamanya. Hati saya telah hancur dan jiwa saya telah
lama hilang lenyap bersama kepercayaan saya kepadanya.
"Saya minta maaf kepada keluarga kerana tidak menerima
nasihat mereka. Saya tahu apa yang terbaik untuk masa depan saya. Orang hanya
memandang, yang menanggungnya saya. Saya benar-benar terluka hati. Hanya Allah
sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ini.
"Saya nasihatkan para isteri di luar sana, hati-hati apabila
suami anda menghadiri majlis reunion. Jika diajak, jangan lupa ikut sama.
Jangan biarkan mereka pergi seorang diri. Banyak drama yang akan berlaku dalam
majlis itu terutama apabila bertemu semula dengan rakan lama yang satu ketika
pernah singgah di hati mereka.
"Semoga Allah lindungi saya dan anak untuk hari-hari
mendatang dengan rahmat dan nikmatnya di dunia dan akhirat. Amin.’’ Nora
menamatkan ceritanya.
Saya turut simpati dengan apa yang Nora lalui. Memang betul apa
yang Nora katakan, sekali terguris hati selamanya hati akan tercalar. Siapa
yang pernah melaluinya akan merasa peritnya apabila suami diambil orang.
Saya ucap syabas dan tahniah kepada Nora kerana berani bersemuka
dengan suaminya secara berhemah. Jarang isteri bersikap terbuka tentang perkara
orang ketiga dalam rumah tangga. Namun, Nora mengambil pendekatan berbeza
setelah mendapatkan bukti-bukti yang sah.
Saya setuju dengan Nora bahawa reunion jika tidak digunakan dengan
cara betul akan membawa masalah. Seelok-eloknya bawa pasangan masing-masing
untuk dikenalkan kepada rakan-rakan lama agar tidak timbul perkara negatif di
kemudian hari.
Apa pun semuanya terpulang kepada hati. Tepuk dada tanya selera.
Jika nawaitu kita positif, maka akan positif juga akhirnya tetapi jika
sebaliknya, hanya Allah jadi penentu.
Semoga Nora dan anaknya sentiasa dalam rahmat Allah dan tabah
menghadapi hidup.
Menamatkan coretan, pesanan saya, jangan berputus asa dengan apa
yang hilang daripadamu dan jangan terlalu bahagia dengan apa yang bakal datang
kepadamu kerana segala-galanya hanya sementara.
Abang Jan: Kata salah seorang rakan pensyarah saya, suami biasanya keberatan bawak isteri ke reunion kalau isteri mereka tak cantik. Mereka akan buat alasan `orang rumah sibuk dengan anak-anak". Betul ke?
Begitu pulak yea?
No comments:
Post a Comment