Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Friday, July 28, 2023

INDIANA JONES 5 (2023) DAN SUKIMAN ISHAK (edisi edit)

 



1. 42 tahun yang lepas saya menonton filem pertama Indiana Jones, Raiders of the Lost Ark dengan Dr Cristopher di Kuala Lumpur. 

2. Masa tu saya darjah lima (1981), masih budak-budak tetapi saya sudah pandai jaga perangai di pawagam... Mungkin juga sebab sebelum sekolah rendah, saya sudah dibawa ayah ke panggung wayang.

3. Sampai termimpi-mimpi saya, setelah tengok cerita tersebut. Saya mimpi dikejar bola api seperti dalam filem tersebut. Filem orang putih memang seperti 'real'. Benar-benar kejadian.

4. Dalam kehidupan sebenar pun saya dikejar. Dikejar bayang-bayang.

5. Dunia ini berputar dengan cepatnya. Sabtu lalu saya diajak sahabat menonton filem Indiana Jones 5. Filem terakhir khabarnya.

6. Tentulah saya tidak lepaskan peluang. Dalam hati...jangan la filem ni jadi macam Indiana Jones 4, tak sedap. 1,2 dan 3 sedap macam kek lapis pandan (beli yang mahal ya).

7. Saya bagi 9/10. Saya puashati walaupun tiketnya RM22. Rasa berbaloi. Saya tak bagi 10/10 sebab itu rating untuk filem lakonan saya sahaja.

8. Saya tidak rasa masa berlalu 2 jam setengah. Uniknya filem ini...ia beritahu bahawa masa itu berlalu dan mengubah fizikal kita. Kita tua...dunia di sekeliling berubah. Jadi ketuaan kita itu melalui proses di mana dunia berubah.

9. Filem ini bukan pasal aksi sahaja, filem ini juga ajar kita kejahatan itu sebenarnya tidaklah berbentuk bulat-bulat jahat. Dan orang yang baik juga bukannya bulat-bulat jahat. Ini bukan cerita orang yang P Ramlee selalu gambarkan. Lama menanti barulah kita tahu watak itu pun adalah jahat, cuma kita ada sedikit simpati. Orang yang baik pun ada jahatnya.

10. Pelakon semuanya saya suka, dalam Indiana Jones 4 saya tak suka hero muda tersebut iaitu anak Indiana Jones. 

11. Plot cerita menarik dan dalam diam ajar kita banyak perkara. Antaranya iman tak boleh diwarisi, ayah ahli akademik  pensyarah prof gitu, tapi anak pencuri.

12. Seperti biasa saya suka sangat apabila penjahat dapat balasan yang sadis. Saya rasa puas. Saya tak suka kalau watak jahat bertaubat atau minta doa depan kaabah, atau mula bersedekah. Itulah saya.

13. Pernah ada perempuan cantik (kurus, putih, rambut panjang, bibir limau seulas, pipi pauh dilayang) beritahu "Encik Sukiman ni sebenarnya jahat". Saya tersenyum melirik sahaja. Sebanarnya saya taklah totoly baik, kadang-kadang saya nakal. Saya masih lagi lelaki.

14. Saya tidak pasti akan adakah Indiana Jones yang ke 6?. Harisson Ford dah berumur 80 tahun. Kalau ada, saya bertekad akan tengok. Atau Indiana Jones 6 ada, saya pula tak ada.

15. Kita hidup di dunia ini tidak lama, tidak perlulah kita susahkan orang. Lagipun tanpa niat pun kita sudah menyusahkan orang dengan perangai semulajadi kita yang buruk.

Semoga kita diampunkan dosa oleh manusia...terlebih dahulu.

Wednesday, July 26, 2023

Mata menceritakan cerita-cerita yang empunya badan lalui...

 


INSIDIOUS: RED DOOR (2023)

 INSIDIOUS: RED DOOR (2023)



1. Minggu lepas saya  ke Megamoll Kuantan, tengok Insidious yang ke 5. Pembikinan kelima-lima filem ini kosnya tak sampai pun $50 million, tapi kutipan hampir $700 million dah...

2. Panggong wayang ini baru dibuka, setelah sekian lama ditutup sepi. Dan saya lihat Megamoll juga sepi sebab banyak kedai masih tutup.

3. Di kaunter, saya cuba membayar minuman dan makanan guna duit token dobi, tetapi pemuda wayang tersebut menolak. Saya tak paksa pun...

4. Saya rasa filem sebelumnya (yang ke 4)  lebih menakutkan dan meresahkan.

5. Kali ini filem berkisah Dalton dah besar panjang dan masuk kolej. Tapi hantu saka tu masih ikut dia. (Hantu masuk kolej...)

6. Opah Dalton dah mati. Ayah dan mak Dalton pula bercerai. Yalah tak boleh nak salahkan isterinya...bukan senang nak hadap suami tak centre.

7. Filem ni sambungan filem yang ke 2 dulu...masa tu  Dalton kanak-kanak.

8. Cerita ini ok-ok jea (3.5*). Saya lebih suka lihat filem sebelunnya...Insidious: The last key (4.7*)

9. Pengajaran yang saya dapat;

a) Remaja suka membrontak, mereka tak peka kemungkinan ibubapa mereka juga berjuang hempas pulas untuk kehidupan. Sabar jealah kita sebagai ibubapa. Jangan kita naik gila juga.

b) Masih ada lagi remaja perempuan di dunia ini tidak biroh bila lihat lelaki handsome. Dia hanya kawan sahaja...

c) Duit token mendobi tidak laku di panggung wayang...jangan buat drama di kaunter.

d) Walaupun kita sudah dewasa, kita kena dengar nasihat terutama dari orang yang sayangi kita. Tidak semestinya kita dewasa...automatik jadi matang gitu. P Ramlee pernah kata 'dah besar pun bodoh'.

e) Sediakan lampu picit 2, 3 biji jika takut kegelapan. Lilin jangan lupa.

f) Dalam hidup ini kita akan jumpa dengan orang yang pelik-pelik. Walaupun mereka pelik, tidak semestinya kita lebih normal daripada mereka. Tak kan orang kena jadi macam kita baru kita rasa mereka normal. Haaa...

g) Kasih sayang ibu adalah kasih sayang sejati dan suci. Sayangilah ibu, mereka buat apa saja utk kita selamat walaupun kita dah besar panjang. Ibu tak akan tinggalkan kita.  Ibu tak boleh dicari, diganti atau ditambah. Isteri boleh.

Sekian...

Thursday, July 20, 2023

Malu tidak sesekali, cuma rindu...


 

Kisah cinta sekeping hati...

 


Hampir tamat sudah
Perjalanan ini...

Adakah memang tuhan tidak memberi?
Apa yang kita paling mahu. 

Namun kasih sayang ini ini sesegar embun pagi 
yang segar selamanya, yang kekal dan abadi

(Tetapi terikat dengan takdir yang perit...)

Thursday, May 25, 2023

KEPERLUAN DOBI, LUPA DAN KETUAAN

Saya malas jemur baju. Kenapa baju mesti jemur? Sudah bertahun saya menjemur baju, sejak di bangku sekolah rendah. Tak kanlah sampai dah hujung nak bersara pun masih menjemur.
Jadi bila wujud kedai dobi, saya ambil peluang menggunakannya. Hidup ni jangan kufur nikmat. Biasanya saya ambil masa dalam 24 minit atau setengah jam untuk keringkan kain. Kalau pakaian berat seperti seluar jin, saya keringkan lama sedikit, tambah token. Kalau pakaian dan seluar manusia 24 minit sahaja.
Pernah sesampai saya di kedai dobi, saya buka pintu kereta belakang, saya dapati bakul pakaian tiada!. Rupanya saya lupa masukan bakul tersebut ke dalam kereta. Bakul tersebut sekadar sampai di pintu ruang tamu sahaja.
Dan semalam rekod saya telah diperbaharui, saya tertinggal bakul dan baju di kedai dobi. Biasanya selepas magrib saya akan mendobi. Saya akan cari dobi di mana tidak ada rakan sekerja turut mendobi. Bila nampak tiada orang yang dikenali, baru saya berhentikan kereta, keluarkan bakul. Saya tidak suka bincang pasal kerja di kedai dobi. Melampau...
Semalam saya mengidam mee sup, kebetulan ada gerai buka depan kedai dobi. Sambil tunggu kain kering eloklah saya makan. Saya bukannya makan lambat, saya bukan siput, saya telan jea (saya mungkin ular sawa). Jadi sempat sangatlah habiskan mee sup tersebut sebelum kain kering.
Semasa makan, saya selain berfikir pasal menteri kewangan yang suram dan rindukan mak saya, saya juga terfikir hal pelajar-pelajar. Sekarang saya tengah menanda kertas. Tertanya-tanya juga kenapa ada pelajar yang tidak dapat menjawab soalan peperiksaan akhir semester dengan baik, adakah saya tidak pandai mengajar? Tapi ramai juga yang banyak betul jawapan mereka yang betul. Adakah saya pandai mengajar? Haaa...
Selepas makan mee sup (yang masih boleh dipertingkatkan kesedapannya itu), saya terus ke meja pembayaran. Selepas itu saya ke kereta, start kereta dan balik ke rumah.
Rumah dekat sahaja dalam 5-6 minit. Sampai rumah saya buka pintu ruang tamu. Saya berpatah balik ke kereta dan buka pintu belakang. Saya dapati tiada bakul pakaian!
Saya start kereta dan pandu dengan lajunya (60km sejam) untuk pergi dapatkan bakul pakaian tersebut semula. Saya kena cepat, saya tak mahu ada orang luar keluarkan pakaian saya dari mesen pengering itu. Manalah tahu sebelum tu dia korek hidung...
Haaa...

Thursday, March 30, 2023

KITAR SEMULA, BAJU MENGECIL DAN SEBUAH HATI

Minggu lepas tempat kerja saya buat pogram kitar semula. Saya sedarinya apabila saya mahu parking kereta, saya lihat ada khemah kitar semula di tempat parking tersebut.

Saya berpatah balik, balik rumah semula, ambik minyak masak terpakai.
Masa saya muda belia, saya buang sahaja minyak masak yang dipakai. Bila kita agak tua, perangai kita berubah, kita lebih menjadi manusia. Kita sayang nak buang-buang barang. Malah bekas plastik tipuware pun kita kumpul...
Saya dapat RM20. Lumayan juga. Satu kilo harga tukaran adalah RM2.
Saya juga berikan baju-baju saya yang tidak boleh dipakai lagi. Bukannya baju tersebut buruk tetapi baju-baju itu mengecil. Entahlah...mungkin materialnya murah. Baju tidak ada tukaran duit ringgit. Kira kita bagi begitu jea...bagi free.
Pogram kitar semula ini bagus. Ia boleh meminimakan risiko kemusnahan alam semulajadi. Bolehlah kita ada harapan untuk masa depan.
Kalaulah sebuah hati yang remuk boleh dikitar semula...







Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home