*Eksekusif, perbualan saya dengan pengikut Ayah Pin.
" Laaa...rugi la awak, dah dekat sangat, sedaerah. Kita orang Besut, kenapa tidak pergi jenguk tempat Ayah Pin?" Katanya. Memang tadi saya bersalaman sopan sebelum duduk. Biarpun rupagaya saya nampak ala USA, saya tetap jaga kesantunan tamadum Melayu senusantara.. Saya pandang raut mukanya, raut muka yang amat jernih dan tenang. Mungkin dalam umur lingkungan akhir 40an. Malu pulak timbul di hati kerana pada masa tersebut saya hanya berseluar jeans dan berT'shirt macam Maya Karim. Nasib baik saya cepat-cepat tanggalkan gelang kulit saya dan simpan dalam kocek. (Hipokrit, he he he).
Letak perkampungan Ayah Pin adalah di Batu 13, Mukin Tenang, Hulu Besut. Memang 15 tahun dulu saya pernah sampai ke tempat tersebut semasa pergi rumah pelajar saya (semasa menjadi guru sekolah, pergi pujuk pelajar datang sekolah. Dia liat sangat nak datang sekolah)). Pada masa tersebut saya tidak tertarik untuk mengetahui ajaran Ayah Pin. Ya, pada masa tersebut saya masih muda belia, tidak tertarik sangat pada sesuatu yang terlalu agama. He he he.
" Saya dah masuk banyak pertubuhan kumpulan agama, termasuk Al Alqam. Tetapi hati saya tidak dapat jadi setenang dan sedamai saya berada dengan kumpulan Ayah Pin. Hidup ini kenalah damai" Katanya bercerita. Matanya jernih sangat. Macam tidak ada masalah. Maklumlah tak ada kad kredit dan iPod. Atau bininya bukanlah jenis meminta-minta (kerana fokos utama nak dapat payung emas di syurga bunkan nak langsir baru tiap raya).
Saya menganguk-angguk, kononnya faham dan insaf. Saya tahu dia mesti akan mempengaruhi saya. Tetapi saya bukan jenis orang yang yang senang dipengaruhi oleh agama. Namun saya bersikap bijaksana, saya menolak dengan alasan `sekarang agama yang saya ada pun dah tak terikut akan ajarannya... He he he. Teruk kan saya. Jahaaat.
Namun saya lahirkan juga kehairanan saya. Saya bertanya kenapa Ayah Pin ada ramai pengikut yang pelbagai bangsa, agama, dan pelbagai kedudukan masyarakat. Mesti Ayah Pin pandai memanipulasikan orang. Dengan kehidupan yang sudah terlalu bobrok ini masyarakat mahukan sesuatu. Maka agama boleh memenuhi vakum tersebut. Dan apatah lagi golongan yang suka akan sesuatu yang `baru'.
" Ayah Pin tu utusan tuhan. Dia tahu banyak perkara. Dia boleh berada di mana-mana" Kata pak cik tersebut. Dia melihat tajam ke raut muka saya. Seolah dia dapat melihat telus ke jiwa saya. kalau dia dapat menelanjangi jiwa saya tentu dia tahu betapa seksanya saya menghitung hari yang berlalu... Saya rasa dia tahu...
"Alamak, lebih hebat berbanding dengan superman" Terlintas di hati saya. Mungkin Ayah Pin ada kelebihan supernatural. Kalau tidak tak kanlah yang datang tersebut terus percaya dan yakin. Tapi saya tidak mahu bertanya banyak soalan lagi. Takut dia tersinggung. Lagipun saya tidak tahu apa ajaran yang dibawa oleh Ayah Pin sebab setahu saya Ayah Pin tidak mendakwa dia adalah tok guru. Dan saya tidak tahu bahagian mana yang dikata sesatnya. Yang setahu saya, selepas nabi kita sudah tidak ada utusan sebagai nabi (tetapi pakcik itu tidak kata pulak Ayah Pin itu nabi atau wali). Dan setahu saya ajaran Ayah pin dikatogerikan sebagai ajaran sesat oleh Majlis Agama Terengganu.
Dia terus bercerita bagaimana powernya Ayah Pin yang membuatkan saya rasa sangat magical. Antara ceritanya, seorang orang putih yang sedang lemas berenang terkapai-kapai di lautan dalam (tak kan lemas kat daratan...) di dekat dalam laut terumbu karang Australia (sila rujuk geografi muka bumi Australia). Dalam keadaan cemas tersebut tiba-tiba dia dipimpin ke muka lautan oleh seseorang. Dan juga cerita seorang Afriken yang ditegah oleh seseorang supaya jangan naik keretapi tersebut. Dan kemudiannya kereta api tersebut berlangar ramai yang mati sadis (ala siri filem Final Distination). Dan apabila mereka jumpa Ayah Pin barulah mereka ingat yang orang yang selamatkan adalah Ayah Pin!. Haaa. Magik kan? Haa.
" Power juga Ayah Pin ni" Kata saya, memuji. Saya tidak banyak bercakap dan menyampuk sebab dia beria bercakap pasal kelebihan Ayah Pin. Saya pula berat mulut untuk bertanya rupa bentuk ajarannya. Lagipun kalau sama-sama rancak nak bercakap, siapa yang nak mendengar?
Dan semasa saya angkat punggung (minta diri) hendak berpisah dia berpesan kepada saya " Kalu idop kito, kito lebih sayea ke benda/orea lebih dari tuhea, susohlah sokmo kito, ati sakit" (terjemahan = Dalam kehidupan kita ini, jika kita bersikap lebih menyanyangi sesutu perkara/orang berbanding tuhan, maka hidup kita akan selalu susah dan hati tidak tenang...)
Saya terasa benar kata-kata tersebut memang khas ditujukan kepada saya, mungkin dia tahu kisah hidup saya...sisi lara saya.
Saya kekosongan...
Jan: Bersambung...
1 comment:
mcm biasa.. aku suka penyampaian kisah dlm tulisan en.pensyarah..
byk buat yg buat aku tersengih tapi ada juga yg buat aku terhiris.. dan sekali sekala buat aku insaf.. :)
*hebatnya ayah pin tu... aku pun tertanya2 juga. apa bentuk ajarannya? kata last dr pakcik tu memang rasanya tampar muka aku juga. duniawi sukar di imbangi.. aku mudah terpesong dgn melebihkan duniawi..
Post a Comment