Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Thursday, November 24, 2011

Lelaki yang paling saya sayang...

Setelah hampir 7 jam meredahi hujan renyai di sepanjang perjalanan, saya tiba jua di kampung. Memandu dari Kuantan ke Besut dalam renyaian hujan dengan hati yang basah bukanlah sesuatu kebiasaan...
Ketika sampai di rumah, kelihatan emak berada di anjung rumah. Hanya ada emak dan ayah sahaja di rumah. Tanpa mengangkat beg pakaian dan barang-barang, saya terus masuk rumah. Saya ke ruang tamu. Kelihatan ayah terbaring di katil di tengah ruang tamu. Saya terus memeluk ayah. Saya lihat wajah ayah.
Wajahnya cekung. pipinya labuh dan nampak lehernya panjang. Badan ayah telah susut. Dia kelihatan lesu. Wajah ayah seperti wajah datuk saya yang telah lama meninggal. Ayah kelihatan kurus, tidak bermaya dan rambutnya juga tidak kemas. Dia tidak berbaju dan hanya berkain pelikat. Saya terus rasa sedih melihat ayah. Cepat-cepat saya masuk dalam bilik, saya tidak mahu ayah dan mak nampak air mata saya...
Saya kembali semula ke ruang tamu, barulah saya sedar keadaan di ruang tamu berselerak. Ada tilam juga di ruang tamu. Tilam yang emak saya guna untuk dia menemani ayah tidor. Saya lihat juga ada bekas sampah dan bekas minuman dan makanan yang sudah digunakan. Mungkin emak tidak sempat berkemas kerana asyik melayan karenah ayah. Sebelum ini emak ada sms beritahu letih menjaga ayah dan ayah asyik marah-marah bila dia sakit... Saya tahu tidak ada orang lain yang sanggup dan mampu melayah ayah kecuali emak. Ya, hanya mak tahu kenapa dia sayangkan ayah...
Saya tatap kembali wajah ayah saya dan fikiran tentang sesuatu menjelma lagi. Namun itu lumrah hidup... Saya tatap lagi muka ayah saya, muka seorang lelaki yang paling saya sayangi, yang paling patut saya sayangi... Baru sekarang saya bertambah sedar ayah sudah tua. Dia tidak lagi segagah dulu. Sukar menerima keadaan ini kerana ayah biasanya aktif dan seingat saya, ayah selalu berseluar jeans kerana dia lasak. Teringat dulu setiap kali ayah datang ke mesyuarat PIGB sekolah, ayah selalu pakai jeans dan baju yang santai. Ayah orang lain pakai pakaian yang seperti mahu ke pejabat. Ayah sangat aktif dalam PIGB sekolah, sehinggakan saya juga terpaksa aktif belajar supaya ayah tidak malu (hakikatnya pada masa itu saya bukannya suka sangat belajar, terutama matematik).
Ayah tidak berdaya memegang gelas. Saya terpaksa memegang gelas dan membiarkannya minum perlahan-lahan. Saya juga pegang gelas dengan perlahan dan dekatkan di bibirnya biar paras air dalam gelas senada dengan tegukan ayah. Jika tidak air akan mengalir keluar dari mulutnya.... Selepas itu saya juga ada melihat adik saya menyuap air nasi. Ayah tidak dapat menelan makanan keras.
Saya masih tidak puas untuk bersama ayah. Namun saya sendiri sudah semakin tua...maknanya ayah akan semakin tua. Saya terlintas juga sebagai seorang anak, saya gagal memenuhi banyak cita-cita dan harapan dia. Terlalu banyak yang ayah harapkan sebab dia seorang optimis dan positif. Berbeza benar dengan saya yang banyak pesimis dan negatif dalam hidup. Lantas saya teringat ayah mahu benar melihat saya menerima PHD. Ayah pernah kata sekali belajar biarlah sampai habis... Sedangkan saya tidak sabar hendak bersara dan bina sebuah taman yang indah.
Saya kembali ke bilik saya semula. Saya perlu rehat dan tidor sekejap...Saya perlu meredakan tekanan darah tinggi saya...
" Mengapa tuhan buat manusia tidak tahan lama?" Terbaring di katil, saya teringat minggu lepas itulah soalan pertama yang saya lontarkan sebaik sahaja masuk ke dewan kuliah. Para pelajar terpinga sebab biasanya soalan yang dilontarkan berbentuk ekonomi...
Jan: Manusia memang tidak tahan lama tetapi kasih sayang yang suci tidak akan mati...tidak akan boleh dijual beli walaupun dengan sebuah kereta Perdana...

1 comment:

M said...

saya rindukan ayah jugak, tapi saya belum dapat lupa kejadian setengah tahun lalu..kali terakhir kami bercakap semasa dia membatalkan majlis saya...dan saya bercakap ketika itu dengan linangan air mata, rasanya sangat teruk kerana saya perlu masuk ke office 30 minit selepas itu dan berpura pura seperti tidak ada apa apa yang berlaku....kalau lah saya dapat undur waktu pasti saya tidak akan menyuarakan hasrat saya itu dulu....dan mesti hari ini kami masih bercakap...walaupun selalunya dia tidak suka hampir semua pendapat saya...

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home