Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Tuesday, August 4, 2026

Menuju Usia Emas: Tua Itu Pasti, Cuma Kelajuannya Berbeza!

 



Saya memang belum tua... cuma badan saya sudah mula menghantar "notis awal". Dahulu naik tangga dua tingkat di kampus macam berlari di taman. Sekarang naik tangga dua tingkat, sampai atas terus rasa macam baru habis menebas. 

Saya terlihat satu gambar di internet tentang klasifikasi usia. Bila tengok angka-angkanya, saya tersenyum sendiri. Beberapa tahun lagi, umur saya akan mencecah 60 tahun. Betullah orang kata, masa berlalu macam kilat. Rasanya baru semalam sibuk cari kerja, hari ini beberapa tahun lagi dah tak bekerja. 

Saya percaya, tua itu memang akan datang kepada semua orang. Bezanya cuma ada yang sampai dengan gaya "ekspres", ada yang datang secara perlahan. Tiba tetap tiba.

Oleh sebab saya belum pernah menjadi orang tua, jadi saya belum layak menulis buku bertajuk "Rahsia Kehidupan Warga Emas". Mungkin tunggu edisi umur 75 nanti. 

Namun, satu perkara yang saya yakin. Apabila usia semakin meningkat, dua perkara menjadi semakin bernilai: duit dan kasih sayang. Duit penting untuk menjaga kesihatan dan keselesaan. Kasih sayang pula menjadi ubat yang tidak dijual di farmasi.

Jadi, sementara lutut masih boleh berunding dan mata masih belum selalu mencari cermin, marilah kita hargai kesihatan, kumpul sedikit simpanan, dan yang paling penting, kumpul sebanyak mungkin kasih sayang. Apabila tua nanti, itulah "pelaburan" yang memberi pulangan paling lumayan. 


Saturday, August 1, 2026

https://jankaulu.blogspot.com/

 Alhamdulillah, selepas sekian lama "tertidur", blog saya akhirnya dapat dihidupkan semula dengan bantuan anak saudara. Bukan saya berhenti menulis, cuma saya sudah lama tidak dapat mengakses blog untuk membuat catatan baharu.

Ada rakan-rakan yang bertanya mengapa saya menghilang. Sebenarnya, minat untuk menulis tidak pernah padam. Kini, insya-Allah saya boleh kembali berkongsi cerita.

Blog ini hanyalah catatan ringkas tentang pengalaman hidup, kisah diri dan sedikit pandangan mengenai masyarakat sekeliling. Tiada agenda, sekadar berkongsi apa yang terlintas di fikiran dan apa yang saya lalui.

Mungkin tidak semua orang akan menyukainya, dan itu perkara biasa. Terima kasih kepada yang masih sudi singgah dan membaca. Semoga perkongsian yang sederhana ini ada manfaatnya.https://jankaulu.blogspot.com/

Tentang kehidupan dan kematian

Sudah lama saya tidak menulis. Bila membuka semula blog ini, saya jadi tertanya-tanya hendak menulis tentang apa. Sebenarnya, sepanjang saya menyepi, banyak perkara telah berlaku. Begitulah kehidupan. Setiap hari membawa pengalaman dan pengajaran yang baharu.

Sejak kebelakangan ini, saya sering terfikir tentang kehidupan dan kematian. Mungkin kerana usia yang semakin bertambah, atau kerana semakin ramai insan yang saya kenal telah pergi. Ia membuatkan saya lebih banyak muhasabah diri. Saya sedar saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, sama ada melalui perbuatan atau kata-kata.

Apabila mengenangkan semua itu, kadang-kadang hati terasa sayu. Namun saya percaya, setiap manusia pernah melakukan kesilapan. Yang penting ialah kita sentiasa belajar, memperbaiki diri, memohon keampunan daripada Allah, dan berusaha menjadi insan yang lebih baik.

Selagi masih diberi peluang untuk hidup, selagi itulah
masih ada harapan. Semoga setiap hari membawa kita lebih dekat kepada kebaikan dan menjadikan kita insan yang lebih bersyukur.


Monday, November 24, 2025

Umur Makin Tua, Tapi Saya Masih Belajar AI

Saya semakin hampir kepada persaraan

Beberapa tahun lagi saya akan bersara.

Saya mula mengajar di sekolah, kemudian di kolej dan akhirnya di universiti. Tiga lokasi pekerjaan yang berbeza tetapi menghadap pelanggan yang sama, iaitu pelajar.

Walaupun sudah lama dalam bidang ini, saya masih suka mengajar dan berada bersama pelajar. Suasana di menara gading sangat sesuai dan membahagiakan bagi pensyarah biasa seperti saya. Kalau jadi profesor, tak tahulah bahagia atau tidak. Banyak tanggungjawab besar selain mengajar.

Namun, semakin tahun, semakin mencabar bentuk kerja. Adakalanya kerja kerja pengurusan yang melibatkan hal perkeranian membuatkan saya rasa give up. Dengan tuntutan supaya sentiasa berupaya menyesuaikan diri dengan pelbagai sistem dan kecanggihan teknologi, kadang kadang saya rasa lemas dan lemah.

Daripada sekolah ke kolej dan universiti

Pernah saya perlahan lahan mengundur kaki ke belakang dan hilang lesap apabila melihat demo sukarela seorang kawan tentang cara mengendalikan mesin kerja yang sophisticated, bagi saya, tentulah.

Dalam hati saya berkata,

“Nanti aku belajar dengan Adnan atau Ja.”

Pernah juga saya meminta bantuan daripada seorang pensyarah baru. Saya minta tunjuk ajar. Dia terus bercakap cakap di depan saya dan pergi. Saya tidak sempat memahami arahannya.

Saya terpinga pinga.

Kelakar juga kalau difikirkan semula. Kalaulah saya boleh melihat muka saya ketika itu, dengan mulut yang mungkin ternganga. Saya ingatkan dia akan berada di sebelah saya untuk mengajar bagaimana hendak membuatnya di komputer tersebut.

Semua aplikasi somehow saya dibuat oleh Adnan dan anak anak saudara saya. Tetapi saya tahu saya kena berada dalam arus perubahan.

Dunia sudah berubah.

Pernah saya terkebil kebil melihat pelajar membayar di kafe menggunakan telefon bimbit. Tayang sahaja telefon dan selesai pembayaran.

Dalam satu peristiwa pula, semasa pergi berjumpa doktor pakar di KMC, saya tidak dapat bersarapan di kafenya kerana tidak reti. Saya harus scan menu di atas meja.

Saya scan, pilih makanan dan air. Kemudian, apabila hendak membuat bayaran, saya gagal menghalakannya ke akaun Maybank saya.

Tidak berjaya.

Jadi saya berjalan kaki hampir satu kilometer mencari tempat makan. Selepas makan, saya datang semula ke KMC untuk mengetahui keputusan doktor.

Saya juga terkebil kebil melihat kawan kawan bercerita mereka membeli barang melalui Shopee dan TikTok.

Lama kelamaan saya berfikir,

“Dunia sudah mahu meninggalkan saya sebelum saya meninggalkan dunia.”

Jadi saya pun belajarlah.

Takkan selamanya tidak tahu. Saya mungkin hidup lama lagi.

Sekarang saya sudah boleh bayar menggunakan imbasan telefon, sambil bergaya. Siap saya buat pernyataan kepada kawan saya yang berumur 63 tahun:

“Ini kurun ke 21. Takkan kita nak guna duit lagi untuk membayar?”

Dia tiada Facebook, Instagram, TikTok dan Netflix.

Dan saya sudah boleh membeli di Shopee.

Dan berhutang juga.

He he he.

Paling terbaru, saya sudah dapat membeli perabot jati dari Indonesia. Saya lihat di TikTok, perabot jati dari Indonesia sangat cantik. Walaupun tidak ada satu pun ukiran, ia tetap nampak class gituew.

Saya tidak suka ukiran.

Saya bukan tinggal di istana.

Kemudian saya kenal AI

Kini saya sangat tertarik dengan AI.

Kebanyakan yang saya gunakan adalah untuk tujuan hiburan semata mata. Saya minta kawan kawan buat gambar saya bergerak dan mereka turuti sahaja.

Bagus kawan kawan saya.

Di TikTok pun ada aplikasi yang kita letakkan gambar kita, kemudian TikTok buat kita nampak lebih muda.

Saya juga mula menggunakan ChatGPT.

Saya dalam proses membaiki modul modul lama. Dahulu, 100 peratus modul itu dibuat dengan saya menaipnya sendiri semula daripada modul yang saya hasilkan semasa mengajar di ShahPutra Pekan.

Sekarang saya cuba menggunakan teknologi yang ada untuk membantu saya memperbaiki dan mengemas kini bahan bahan lama tersebut.

Saya cuba guna

Saya tahu saya tidak hebat. Yang hebat mungkin ialah rasa ingin terus belajar sesuatu yang baru. Saya tidak menggunakan AI untuk perkara yang terlalu hebat pun. Saya masih belajar perlahan-lahan. Saya gunakan ChatGPT untuk membantu melihat semula modul lama, memperbaiki ayat, menyusun idea dan mendapatkan bantuan apabila saya tidak tahu hendak bermula dari mana. Bagi saya, itu pun sudah cukup membantu.

Insya-Allah, sedikit demi sedikit saya akan belajar, dengan kadar yang sangat perlahan. Saya dah jadi slow learner, tetapi tidak mengapa. Jangan jadi no learner at all. Saya percaya orang yang sudah berusia juga masih boleh belajar. Cuma cara belajar kita mungkin tidak sama dengan orang muda.

Orang muda mungkin sekali tunjuk sudah faham. Saya mungkin perlu ditunjukkan tiga kali. Atau lima kali. Atau saya akan berkata, “Nanti aku belajar dengan Adnan.” Yang penting, saya masih mahu belajar.

Perlukah orang berusia belajar AI?

Saya rasa perlu. Bukan kerana kita perlu menjadi pakar AI atau mengejar anak-anak muda sehingga menjadi sehebat mereka, tetapi kerana teknologi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Kalau kita tidak mahu belajar langsung, banyak perkara dalam kehidupan seharian mungkin menjadi semakin susah. Saya tidak mahu menjadi orang yang hanya melihat orang lain menggunakan teknologi sedangkan saya hanya terkebil-kebil.

Saya tidak perlu tahu 100 peratus. Kalau dapat 25 peratus pun, saya sudah bersyukur. Sedikit-sedikit pun tidak mengapa. Yang penting, jangan berhenti belajar.

Teknologi belum sampai penghujungnya

Saya percaya zaman kecanggihan teknologi belum sampai ke maksimumnya. Jadi, bolehlah saya belajar. Walaupun hanya 25 peratus yang mampu saya kuasai, tidak mengapa.

Saya tidak perlu menjadi pakar. Cukuplah saya tahu menggunakan teknologi yang boleh memudahkan kehidupan.

70 kepada 80, kepada 90, kepada 2000, kepada 2010, kepada 2020 dan sekarang kepada 2030.

Dunia sentiasa berubah.

Mungkin tahun 2040 nanti saya masih ada di muka bumi ini. Bayangkan kalau ketika itu saya masih tidak tahu teknologi. Buka TV pun tidak pandai, hendak membayar pun tidak tahu, hendak berkomunikasi atau menggunakan AI pun tidak tahu.

Sebab itu saya rasa lebih baik saya belajar sedikit demi sedikit dari sekarang.

Tidak perlu mengejar orang muda dan tidak perlu memahami semuanya sekaligus.

Perlahan lahan pun tidak mengapa.

Yang penting, saya masih berada dalam arus perubahan.

Saya mungkin slow learner, tetapi saya tidak mahu menjadi no learner at all.

Dan mungkin itulah yang mahu saya bawa sehingga bersara nanti, bukan berapa banyak teknologi yang saya kuasai, tetapi keinginan untuk terus belajar walaupun saya sudah tidak semuda dahulu.





Wednesday, October 1, 2025

RM100 banyak ke?



1. Saya dapat juga RM100 dalam kad pengenalan.

2. Sehingga saya menulis posting ini, saya masih tidak guna RM100 tersebut. Tapi saya ada cuba guna kad pengenalan mak untuk beli milo, maggie dan tepung jepuk adabi. Tapi maggie saya beri kepada budak-budak yang lalu depan rumah. Anak-anak jiran.

3. Banyakah RMN100 tersebut? Saya rasa ia bergantung kepada individu. Pembersih muka Clinique face Wash for men dah RM125. Tak campur dengan toner, pelembak dan pelindung matahari... 

4. Kita bukannya nak handsome, tapi tak naklah dah tak handsum kulit kodok. 

5. Saya percaya RM100 tersebut banyak dan boleh menolong bagi sesetengah orang sebab boleh beli beras, milo dan barang-barang kegunaan harian yang lain.

6. Tentulah duit dalam nilai sedikit pun ia adalah rezeki. Kita tidak pertikai, cuma kaedahnya...Haaa. Kaedahnya.

7. Selalu orang tanya saya, suruh beri komen tentang RM100 ini. Saya jawab PM kita dah belanja RM600Billion sehingga kini. Tapi pertumbuhan ekonomi masih lemah dan lembap. Sukuan KDNK yang tak rancak, (selow jea macam lagu tradisional "Ratapan Kamrulzaman". Lagu lama). RM100 itu juga la suntik ke dalam ekonomi.

8. Mungkin jawapan itu tidak memuaskan, tapi jawapan dan penulisan saya biasanya bukan untuk semua otak orang. Otak berbeza. Komen berbeza. Pandangan hati dan mata berbeza. Sebab tu ada yang tak lawa, ada orang nak juga. Ajak kawin.

9. Jadi RM100 tu banyak dan sedikit bergantung kepada kita. Haaaa. Yang penting beralhamdulilahlah. Tak ada tiba-tiba orang nak beri kita RM100 wahima RM10 tanpa muslihat/tujuan.

10. Banyak atau sikit, terima kasih dan syukur.





Monday, June 23, 2025

“Mengapa bumper saya warna hitam?”

 


81.   “Mengapa bumper saya warna hitam?”

 

20 November 2013

 

“Orang dalam percintaan rasa bahagia dan khayal seperti tidur indah yang tidak mahu jaga-jaga. Jika terjaga juga, mungkin ia akan menderita selamanya.”

 

Semua bermula bila saya NAMPAK pintu pagar rumah sudah terbuka. Saya pun dengan yakinnya terus bagi Sisijay (Myvi kesayangan saya) belok masuk ke porch, tanpa rasa curiga, tanpa rasa sangsi… dan (tanpa buka pintu pagar). Lalu… BAMM!

 

Sisijay cium pagar dengan penuh emosi.

 

Saya terlompat dalam kereta. Ya Allah, terkejutnya saya! Bunyi dia bukan biasa-biasa. Macam babak letupan kecil dalam filem aksi bajet rendah. Pagar terus terpelanting ke tepi, senget macam leher orang tersalah bantal. Nasib baik tak langgar pasu putih yang besar tersebut. Pasu itu RM270 satu. Kalau langgar dua?

 

Saya keluar, muka pucat macam baru tengok slip gaji tinggal dua angka. Bumper depan belah kiri dah terkopak, retak dan koyak rabak. Sisijay kelihatan trauma. Saya pula? Lagi trauma. Saya sempat Nampak jiran-jiran keluar meninjau, kemudian masuk semula ke dalam rumah mereka. Pelik. Ini bukan New York!

 

Saya angkat pagar yang dah tak rupa pagar. Bentuk asal empat segi. Sekarang? Lima segi ikut suka hati dia. Saya terduduk di kerusi batu, renung langit minta jawapan. Tak turun hujan, tapi hati saya ribut. Saya kena tarik nafas panjang-panjang.

 

Lebih malang, pintu kereta sebelah pemandu pula tersekat. Tak boleh buka. Agaknya sebab impak hentaman kuat tadi.

 

Yang buat saya pelik, kenapa saya nampak pagar tu terbuka?. Mata saya letih ke?, Mungkin saya mengelamun. Mungkin saya terlalu penat. Atau… mungkin saya terlalu menghayati lagu Allycats masa tu.

 

Ya. Lagu Allycats.

 

Sebenarnya sebelum kejadian, saya baru balik dari Giant. Beli CD Nada Pesona—kompilasi lagu-lagu power artis Malaysia. Saya pilih Sharifah Aini dan Sudirman. Tengah memandu balik, tiba-tiba radio putar lagu Allycats. Hati saya terus digasak emosi.

 

“Berarak mendung kelabu… mengekori langkahku… sepanjang kehidupan… penuh dugaan…”

 

Saya `masuk’ dalam lagu tu. Bukan setakat masuk hati, saya siap duduk bersila dalam bait lirik dia. Lagu tu macam tahu semua kisah silam saya. Seolah pegang bahu saya dan bisik, "Sedih tu milik kau, bukan orang lain."

 

Saya pun layan…

 

Kenangan silam datang bertubi-tubi macam flashback dalam drama bersiri. Semua luka lama keluar balik. Yang kecil, yang besar, yang tak penting pun nak menyelit. Semua muncul bawa sepanduk, "Ingat aku?"

“Saya tak boleh hidup tanpa awak, saya mampu bertahan 3 hari sahaja”, “Tidak aka nada lagi episode duka dalam hidup awak”…dan lain-lain kata-kata jiwang bila kita `mabuk’ bercinta. Demi Allah saya ingats emua tu.

Saya pernah meraung dalam hujan. Betul-betul meraung, bukan setakat ‘eh eh mata masuk habuk’. Saya berdiri tengah-tengah hujan, tepi jalan ke Romping. Macam macam pelakon sinetron—cuma versi bajet. Rambut leper, baju lepek, muka lelah. Kalau ada pengarah filem tengok saya waktu itu, mungkin dia terus rekrut saya jadi watak sedih tetap. Selamat tinggal dunia kepensyarahan.

 

Saya pernah hilang kepercayaan, pada cinta, pada orang, malah pada kucing sendiri. Semua rasa menghampakan. Bila orang tanya, "Awak okey?" saya jawab, "Tak pasti." Standard jawapan orang yang terlebih drama. Tapi dalam hati, saya tidak akan menyanyangi lagi walaupun seekor kucing. Kerana perpisahan sangat tajam.

 

Dan klimaksnya, ketika lagu sedih tengah menusuk kalbu, saya pun langgar pagar rumah sendiri.

 

Saya duduk masa atas kerusi batu, bukan sebab sedih sangat. Tapi lebih kepada rasa bodoh yang datang sebab tidak focus dan serah diri pada pahitnya kenangan.

 

Saya buka WhatsApp, hantar gambar bumper kepada kawan-kawan. Minta pendapat dan sokongan moral.

 

Nasihat mereka:

 

"Kena tukar bumper baru.""Tu bukan boleh tampal dah."

 

Akhirnya saya telefon Dr Amy. Mujur dia tak gelak dulu. Dia suruh saya bawa kereta ke rumahnya, nanti mekanik datang ambil. Dia juga tawarkan tumpang kereta ke tempat kerja. God bless her soul. Tapi saya mulai serabut, bukan sebab tak ada bantuan, tapi sebab otak saya dah mula kira bajet. Bumper satu, pagar satu. Belum masuk emosi saya yang koyak. Bumper berapa ribu?

 

Salah satu cara saya naikan semangat saya, saya kenang dan terus hargai apa yang saya ada. Bukan apa yang saya hilang. Jadi saya bersyukur, walaupun umur dah 46, saya masih sihat. Masih ada emak dan ayah, adik-beradik yang caring, dan kawan-kawan yang standby bila perlu. Tahun lepas saya menang anugerah pensyarah paling popular. Kiranya, hidup saya bukan malang sangat. Cuma… bumper je yang hitam.

 

Saya ingatkan diri jangan terlalu hanyut dalam kenangan. Lagu sedih tu tak salah. Dia cuma jalankan tugas dia. Yang terlebih masuk jiwa tu… saya. Sayalah bersalah, Dj memilih lagu tidak bersalah.

 

Dan untuk menjawab soalan paling penting hari ini:

 

“Kenapa bumper saya warna hitam?”Jawapannya mudah: kerana warna asalnya bukan hitam, tapi kenangan yang menghentam buat dia berubah jadi hitam.

 

Begitulah hidup. Kadang-kadang kita pun kena hentam juga sebelum kita ‘berubah’. Tak salah pun. Asal kita belajar dan tak ulang lagi.

 

Nasihat ikhlas dari pemandu bermelankolia:

 

Bila memandu, tolonglah fokus. Jangan jadi macam saya, lebih banyak fokus pada bait lagu daripada brake pedal. Ingat, bumper boleh ditukar. Tapi nyawa? Tiada versi gantian.Jangan biar emosi jadi pemandu gantian. Dia belum ambil lesen.

 

Kepada X-yz, awak tidak akan bahagia selagi saya terluka. Titik.


Monday, May 26, 2025

“Antara Kereta Lama dan Kereta Baru”

      “Antara Kereta Lama dan Kereta Baru”

  29 November 2011

 

“"Dalam dunia penuh pilihan, kadangkala yang terbaik adalah yang sudah lama di sisi."”

             

Saya rasa saya sangat bertuah. Ya, bertuah kerana berjaya menyekat nafsu liar saya... nafsu berkereta. Nafsu ini bukan calang-calang. Ia halus dan licik. Selama bertahun memandu Sisijay, Myvi putih kesayangan saya, tipulah kalau saya kata saya tak pernah terbayang memandu kereta lain yang lebih selesa, lebih bergaya, dan lebih “macam orang berjaya”.

Tapi alhamdulillah, saya cepat tarik handbrake angan-angan tersebut. Saya berpijak di bumi nyata. Kadang-kadang berpijak dengan sebelah kaki pun cukup, janji tak melayang ke awan. Sisijay tetap gagah membawa saya ke hulu ke hilir, tak pernah merungut, tak pernah merajuk (kecuali bila penyaman udara buat perangai).

Tipulah juga kalau saya kata tak pernah terdetik rasa nak ada kereta baru. Sama juga macam lelaki berkahwin yang bersumpah tak pernah terlintas nak berpoligami, tipu tu! Bukan sebab niat jahat, tapi kerana lumrah manusia: suka benda baru. Mata suka tengok, hati mula terusik. Walaupun tak buat, lintasan itu tetap muncul. Takut bini itu pasti. Tapi nafsu? Licik sungguh dia merayap.

Saya teringat satu hari, ketika masih bergelar guru, saya duduk minum di bilik guru dengan Cikgu Amira. Guru cantik, kurus, berpelajaran tinggi, masakan sedap, pendek kata pakej lengkap. Tapi sayangnya… suaminya kahwin lain.

Saya tanya dia, “Kenapa dia nak ke perempuan lain? Apa kurangnya akak?”

Waktu itu saya jujur bertanya. Tak sangka soalan saya membuka luka lama yang dah 12 tahun berlalu. Saya sangka dia dah move on, tapi rupa-rupanya tidak semua luka sembuh ikut kalendar. Air mata yang menitis perlahan itu seolah-olah keluar dari tangki yang tersimpan rapi.

Saya pandang Cikgu Zaidi di sebelah. Dia geleng kepala tengok saya. Mungkin dalam hatinya berkata, ‘Apa la bodohnya mamat ni, tanya soalan begitu.’ Tapi manalah saya tahu luka itu masih berdarah. Saya ingat dah kering.

Cikgu Amira sambung perlahan. “Dia tak pernah jawab soalan tu pada akak. Tapi akak dapat tahu jawapan tu daripada kawan-kawan dia…”

Saya tak sabar. “Apa dia cakap?”

Katanya kepada kawan-kawannya, “‘Antara kereta lama dan kereta baru, mestilah pilih kereta baru!’”

Saya terkedu. Samakan isteri dengan kereta? Teruk betul. Macam wanita ni tak lebih dari alat tukar suka-suka. Bila dah bosan, boleh trade-in. Bila ada duit lebih, terus tukar model baru. Kenapa tak berpoligami…?

Kalau ikut logik tu, saya sendiri patut dah lama buang Sisijay. Dah 15 tahun. Dah mula ada retak di dahi, penyaman udara pun kadang sejuk, kadang marah. Tapi selalunya rasa macam duduk dalam oven la. Tapi tengok, saya masih setia! Mungkin sebab tak ada duit? Atau mungkin sebab saya tahu nilai sentimental itu tak boleh dibayar ansuran. Dan sekali lagi, mungkin lelaki tidak berduit lebih setia?

Kalau perempuan dikira macam kereta, maka perkahwinan adalah showroom. Bila pertama kali masuk, semua model nampak menarik. Tapi bila dah pakai satu, lama-lama kita kenal perangainya. Ada yang kuat makan minyak. Ada yang selalu minta ‘servis’. Ada pula yang tak tahan panas, naik sikit suhu terus meletup, he he he.

Tapi ada juga yang, walaupun dah lama, masih boleh diharap. Jenis yang, bila kita susah, dia tak tinggal kita tepi jalan. Kadang-kadang, kereta lama kalau dijaga elok, lagi tahan lama daripada kereta baru yang dikejar sebab nafsu…


Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home