*Dipetik daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tan Sri Dr. Jamaluddin Mohd Jarjis merupakan ahli politik
Malaysia dari Rompin, Pahang. Beliau dilahirkan pada 25 Mei 1951 di Pekan,
Pahang dan meninggal dunia pada 4 April 2015. Kemuncak kerjaya politik beliau
apabila dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Pada 4 Ogos
2009, beliau dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Pendidikan
Beliau memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan
Ahmad, Pekan pada tahun 1958 dan menyambung pendidikan menengah di Sekolah
Menengah Ahmad pada tahun 1964 dan Sekolah Menengah Abu Bakar, Kuantan pada
tahun 1967. Selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), beliau melanjutkan pelajaran ke University
Of Manchester, United Kingdom pada tahun 1971 dan berjaya memperolehi Ijazah
Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal pada tahun 1974.
Kerjaya
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai
pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1974. Keinginan untuk
meningkatkan pencapaian akademik telah mendorong beliau melanjutkan pelajaran
peringkat Sarjana Kejuruteraan Elektikal (Sistem Tenaga) di University of
Manitoba, Kanada pada tahun 1976. Beliau akhirnya melengkapkan pencapaian
akademiknya pada tahun 1980 setelah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah
Kejuruteraan Elektrikal dari University of McGill, Kanada.
Tahun 1984 meletakkan jawatan dari UiTM untuk memberi
tumpuan kepada perkhidmatan perundingan kejuruteraan melalui syarikat yang
diasaskannya secara bersama, J & A Associates.
Beliau dilantik menerajui syarikat utiliti negara,sebagai
pengerusi Tenaga Nasional Bhd antara Ogos 2000 - 2002 kerana pengetahuan dan
pengalaman serta kepakaran beliau dalam bidang elektrik.
Kerja sosial
Jamaluddin Jarjis bergiat aktif dalam aktiviti berpersatuan.
Pada tahun 2002 beliau dilantik sebagai Penaung Persatuan Pengilang-pengilang
Bumiputra Malaysia. Selain itu, beliau juga dipilih sebagai Presiden, Persatuan
Kebajikan Anak Pahang pada tahun 2004 serta Presiden, Persatuan Ekuistrian
Malaysia dan Presiden, Majlis Equin Malaysia masing-masing pada tahun 2002 dan
2004.
Politik
Karier politik Y.B. Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dalam UMNO
bermula di Cawangan Kampung Mengkasar, Pekan. Sepanjang penglibatannya, beliau
dipilih sebagai Ketua Pemuda Bahagian Pekan pada tahun 1983 dan Timbalan Ketua
Bahagian Rompin selain diberi kepercayaan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO
serta Timbalan Pengurusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
Terpilih menjadi Presiden Kelab Penyokong Kerajaan pada
1999, Pembantu Whip Barisan Nasional bagi Parlimen ke-10 dan Pengerusi Jawatankuasa
Kira-Kira Awam (PAC) pada 1994.
Beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO 2000-2003 setelah
undi kelapan terbanyak dengan 1,268 undi.
Kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua pada 21
November 2002. Berikutan rombakan kecil kabinet pada bulan Januari 2004, Tan
Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan
Hal Ehwal Pengguna sebelum dikekalkan dengan jawatan yang sama selepas Pilihan
Raya Umum ke-11. Beliau diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah
Ahmad Badawi, untuk menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada 30
Mac 2004.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau menang kerusi
parlimen Rompin, Pahang .Beliau menang dengan mendapat undi sebanyak 21308.
Calon lawan ialah Mazlan Bin Mohamed Yasin dari PAS mendapat 10,629 undi -
Kalah . Peratus pengundi yang keluar ialah 79%. Undi rosak sebanyak 824.
Jamaluddin Jarjis (JJ) digugurkan dari jawatan Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi .
Angkasawan Malaysia
Beliau telah menjayakan projek Angkasawan Malaysia pada 2007
dengan kerjasama kerajaan Russia. Bual bicara secara langsung telah disiarkan
dari Kosmodrom Baikonur, Kazakhstan. Datuk JJ sendiri berada di Russia dan
Kazakhstan bagi memastikannya berjalan lancar.
Program angkasawan Malaysia ini merupakan hasil 'barter
trade' dengan pembelian jet pejuang super sonic dari Russia. Dr. Sheikh
Muszaphar Shukor pergi dengan Soyuz TMA-11 ke ISS, 333 kilometer dari muka bumi
pada 10 Oktober 2007. Beliau pulang dari stesen angkasa lepas antarabangsa ISS
dengan kapsul Soyuz TMA-10 . Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia
(MOSTI) sedang mengkaji kemungkinan membeli kapal angkasa Soyuz dan dipamerkan
di Muzium Negara bagi membangkitkan minat generasi muda.
Keluarga
Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis telah mendirikan rumahtangga
bersama Datin Sri Dr. Kalsom Ismail. Beliau yang amat meminati sukan berkuda
dan polo.
Duta ke Amerika Syarikat
Pada 4 Ogos 2009, Datuk JJ menerima watikah perlantikan
sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku
Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.Beliau menggantikan Datuk Rajmah
Hussain.September 2009 beliau akan ke Washington mewngunjungi Presiden Amerika
Syarikat Barack Obama di White House untuk mendapatkan watikah penuh .
Nahas Helikopter
Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas
helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4 April 2015 yang
mengorbankan kesemua lima lagi mangsa yang lain. Jenazah telah selamat
dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur pada 5 April 2015.
No comments:
Post a Comment