CEMBURU tidak seerti dengan dengki. Sangat berbeza bak daun dengan bunga. Pendapat saya cemburu lebih kepada kesakitan yang ada elemen kasih dan sayang. Dengki lebih kepada kesakitan hati berlandaskan hasad yang ada pada diri dan ada unsur pertandingan. ` Dia seorang yang cemburu tidak sama dengan ayat `Dia seorang yang dengki'.
Saya katogerikan emak saya sebagai seorang yang cemburu. Semenjak kecil hinggalah saat saya menulis blog ini mak saya tetap cemburu. Cemburunya terhadap ayah saya, saya gambarkannya sebesar dunia. Maya persada ini. Saya akui emak saya `melindungi' haknya dengan agrasif. Terkadang nampak melampau sikit.
Tidak tenteram, tidak tenang...
Saya dapati daripada saya kecil emak saya cemburu kepada ayah saya pada tahap `first degree'. Kini walaupun ayah saya dah berumur 70 tahun (sudah tidak bergaya sangat) emak saya masih lagi cemburu, dan dapat saya katakan dia semakin cemburu apabila semakin tua .
Pernah saya beritahu tidak elok kita sayangi seseorang melebihi daripada tuhan kerana ia akan membuatkan kita tidak tenteram. Dan saya pernah beritahu tidak elok kita tidak mempercayai pasangan kita. Namun emak saya tidak memberikan sebarang komen. Mungkin dia fikir saya masih mentah.
Resah bila berjauhan
Saya dapati semenjak emak saya berada di rumah saya (menjaga saya akibat darah tinggi), tiap-tiap hari dia risau akan ada perempuan yang akan menggoda ayah saya. Dia terkadang keluh resah dan malam-malam merayau depan padang permainan di hadapan rumah saya, persis macam orang pertama kali bercinta.
Untuk mententeramkan hatinya, saya beritahu ayah tu bukannya handsome tetapi dah tua. Segala sikap negatif ayah saya saya keluarkan untuk menggambarkan bahawa ayah saya sudah tidak ada `market' lagi, he heh he.
Namun emak saya memberikan hujahnya yang saya sebagai pensyarah tidak dapat mematahkannya. Emak saya beritahu perempuan nak kan duit ayah saya, bukannya mahukan ayah saya (pulak dah). Saya beritahu ayah manalah ada duit dan mak saya jawab balik ayah saya kelihatan seperti seorang yang banyak duit. Pening kepala jika bercakap dengan mak saya soal ni
Pasang spy!
Sepanjang mak saya berada di Muadzam, saya tahu emak saya pasang spy untuk mengintip gerak-geri ayah saya. Dia tetap mahu tahu di mana ayah saya berada pada waktu pagi, petang dan malam. Dan mak saya selalu tanya spynya, ayah saya sedang buat apa dan dengan sapa. Bayangkanlah penanggunan mak saya...
Kadang-kadang saya kesian ke emak saya sebab dia tidak dapat fokuskan kepada sesuatu perkara dengan lama dan tenteram. Sepatutnya dia sibuk mengaji al quran sahaja dan tenangkan diri tetapi hatinya selalu resah dan gelisah bila ingatkan ayah saya. Kadang-kadang dia tanya ayah saya makan apa ya? sedangkan dia tahu ayah saya makan kat kedai betul-betul sebelah umah di kampung, kedai adik dia...
Cemburu mega.
Saya dapati cemburu mak saya bukan setakat cemburu di mulut sahaja. Cemburu mak saya bukan main-main tetapi dizahirkan dalam bentuk action. contohnya pernah di zaman 80 an pernah suatu kejadian emak saya melanggar pintu pagar rumah hingga terpelenting pintu pagar besi tersebut. dia sengaja bawak kereta dengan laju dan melanggar pagar tersebut dengan kuat dan berani. Pintu pagar tu terpelenting terbuka.
Rupa-rupanya ada orang kampung beritahu kepada emak saya yang ayah saya bawak perempuan dalam kereta. Sebenarnya perempuan itu kakak saya yang ayah saya jemput balik daripada tuisyen, he he he.
Dalam hati seorang isteri, saya tak tahu...
Ayah saya pernah menyatakan, kawan-kawan baik mak saya semuanya bermadu, mungkin sebab itu mak saya jadi begitu. Namun saya tidak dapat menerima alasan tersebut bulat-bulat kerana saya tahu emak saya memang jenis cemburu mega.
Emak saya beritahu kepada saya tidak adalah suatu yang paling kecewa dalam kehidupan seorang perempauan selain bermadu. Emak saya pernah memberitahu jika duduk di istana dan `gelang mas sekerat lenggang' pun tidak bererti. Saya tidak faham sangat...
Pisau dalam beg.
Pernah emak saya membawa pisau dalam beg dan bertujuan untuk menikam perempuan yang digosipkan dengan ayah saya. Peristiwa ini ramai orang kampung tahu, dan mereka tidak hairan. Sehingga perempuan yang diragui itu bertahu berita itu kepada ayah saya, dia bimbang mak saya akan menikam dia daripada belakang. Dan ayah saya jawab mestilah perempuan bawa pisau sebab nak `siang' ikan, he he he.
Adakah kerana kita sayang sangat kepada seseorang itu kita tidak boleh berkongsi kasih? dan tak dapat berfikir dengan waras? Tidak kah bila kita sayang ke orang kita akan bahagia melihat orang itu bahagia walaupun tidak bersama kita? (amboi sedapnya soalan...he he he?)
Pinggang mangkuk mahal
Terbaru mak saya beritahu jika dia sakit tenat, dia suruh saya dan adik saya ambik semua pinggang mangkuk berjenama mahal di dapur. Dia juga beritahu kami berhentilah hadiahkannya pinggang mangkuk yang mahal. Saya tanya kenapa? Mak saya jawab, dia bimbang apabila dia mati ayah saya kahwin lain dan bawa perempuan itu tinggal di rumah, perempuan itu akan guna pinggang mangkuk mak saya. Ya allah!.
Saya beritahu secara berseloroh tak kan bila mak sakit saya sibuk mengangkat barang-barang pulak. Dan saya beritahu mak saya bila dia dah mati tak payahlah bimbang atau fikir lagi apa yang akan terjadi di dunia ini, he he he?
Pandangan mak saya tentang perangai lelaki
Namun saya kagum juga kepada emak saya kerana banyak kontraktor yang saya kenal dan ketahui kawin lebih daripada satu. Tentulah sepanjang hidup emak saya dia sentiasa resah sahaja. Dahulu setiap kali ayah saya dapat duit project emak saya selalu bimbang dan tak tenteram, takut ayah saya kahwin lain.
`Orang lelaki ni bila dah ada duit nampaklah perangai dia yang sebenar, kalau tak ada duit rela susah dengan kita' Itulah kata-kata mak saya yang apa bila saya cerminkan dan padankan dengan situasi sebenar dan isu terkini... ada kebenarannya! he he he. Laju je mak saya buat pernyataan itu tanpa buat kajian terperinci atau guna SPSS...Emak saya bimbang ayah saya jatuh hati kepada orang lain. Emak saya pernah beritahu `Perempuanlah yang sebenarnya buat orang perempuan susah" (pulak dah), mulanya saya tidak faham tetapi lama-kelamaan saya guna otak.
Saya ada berseloroh dengan mak saya, jika ayah mati dan ada perempuan yang lalu depan kubur ayah saya tentu mak saya akan marah atau setidaknya tidak sedap hati, he he he. Mak saya mahu ayah saya milik dia seorang.
SMS dalam handphone
Namun saya dapat baca juga sayang mak saya kepada ayah saya. Bila malam-malam saya buka hp secara curi-curi dan saya rasa geli pulak bila baca sms antara mereka sebab ada `i love u', dan `i miss u' dan lain-lain yang saya tak sanggup saya tulis di sini, he he he. Mungkin mak saya mencintai ayah saya selamanya.
Saya tahu jika ayah saya pergi dulu mak saya akan merana dengan dasyatnya...(tetapi saya akan jaga emak saya dengan baik, kalau saya ada isteri belum tentu dia sayang kepada emak saya sebab mak saya cerewet juga orangnya, contoh kalau makanan tak sedap dia tidak telan! )
Cinta sejati zaman terkini...
Saya tahu cinta sejati sangat sukar ada, cinta zaman sekarang pun baru tak sampai 5 tahun dah ada gempa buminya, sepanjang 40 tahun lebih perkahwinannya tentu banyak air mata mak saya mengalir kerana menjaga hak dia (ayah saya). Cinta dan air mata tak boleh dipisahkan.
Saya tahu benar kita akan banyak menangis dan susah hati bukan kerana musuh kita, tetapi datangnya daripada orang yang kita sayangi (kawan saya beritahu).
DNA cemburu?
Nasib baiklah saya tidak cemburu orangnya. DNA cemburu mak saya, saya tak mewarisinya. Dalam satu-satu hubungan saya percaya tidak perlu cemburu kerana saya percaya kepada kesetiaan. Kepercayaan atas kesetiaan adalah nadi kasih sayang. Buat apalah kita resah dan gelisah cemburukan seseorang padahal kita percayakannya kan kan?.
Tetapi saya ada sedikit kelemahannya iaitu bila kesetiaan dan kepercayaan itu dikhianati saya tidak redha. Saya tidak rela, dan saya tidak akan memaafkannya sampai akhirat. Dan saya tidak akan berpatah balik, saya akan maki, saya akan sumpah laknat tiap-tiap hari sehingga hari-hari terakhir saya berhenti bernafas!... Saya sumpah celaka dia tiap-tiap hari. Tiap-tiap hari !
Jan: Mana lebih teruk ya, mak saya ke saya? he he he.
1 comment:
wah..mcm bc artikel lam mjlh plak..best2 hehhe..ni kalo en.sukimang post lam mjlh wanita nih konpem xde wanita yg takkan bc hehe..
Post a Comment