Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Tuesday, October 6, 2020

Selamat tahun baru 2020

 

1Selamat tahun baru 2020

 

 

1 Januari 2020

 

Hidup adalah satu perjuangan dalam menyusuri arus perubahan… Jika kita tidak berjuang dan berubah, kita sebenarnya mati sebelum mati. kita tidak boleh letih dengan kehidupan...walaupun kita sangat pemalas"

  

Tiba-tiba tahun 2020, meninggalkan jauh tahun 1970. Sekelip mata sahaja rasanya umur injak 50 tahun. Umur 50 sudah tidak dikira sebagai tahap remaja, ia sudah mencapai tahap dewasa. Jika pada tahap umur sebegini pemikiran dan perbuatan masih lagi tidak melambangkan kedewasaan, maka ia perlu diubah lagi!

Pada kebiasaan manusia yang berumur 50, mereka sudah mempunyai anak. Malah kawan saya yang berumur 50 sudah mempunyai menantu. Mereka juga biasanya sudah stabil kehidupannya.

Perubahan berlaku melalui masa. Kampung tempat tinggal saya sudah jauh berubah. Paling ketara sudah ada lampu lalulintas dan pasaraya di Kampung Raja. Sesuatu yang tidak pernah diimpikan. Lebih ramai orang bukan asal dari kampong raja sudah menetap di sini. Penduduk semakin ramai. Dan kita tidak lagi mengenali antara satu sama lain. Kita hanya kenal kelompok kita sahaja.

Juga tempat saya bekerja, bangunan baru dan pertambahan dewan-dewan kuliah menyebabkan kawasan kampus semakin sesak. Dan kerja yang harus dilakukan juga semakin bertambah. Membuatkan volume kehidupan bergerak pantas. Tiada masa yang tenang untuk berehat pada waktu kerja. Walaupun tengahari ada waktu rehat tetapi oleh hambatan kerja, makan tengahari tersebut dilakukan dengan tergesa-gesa. Dunia sekarang memerlukan pergerakan yang pantas, jika tidak kita akan ketinggalan dan tidak maju.

Fizikal saya juga berubah. Kini saya lebih gemuk, berkedut. Bertambah ngeri saya teringat dalam satu filem, antara dialognya `bila kita tua kita bukan kelihatan semakin menarik, tetapi hodoh”. Namun saya percaya ketuaan bawa juga sifat positif,kebijaksanaan saya ada sedikit meningkat melalui masa. Sikit saja tau…

Duduk-duduk melihat album lama semasa di universiti rasa sayu. Sayu mengenangkan zaman susah (sekarang ini bukannya senang juga, tetapi ok lah), juga sayu melihat bentuk badan yang tinggi lampai. Malah dalam beberapa keping gambar, saya jatuh cinta dengan diri saya (dan tidak membenarkan orang lain untuk jatuh cinta kepada saya).

Saya beli Sisijay pada tahun 2009, jadi tahun ini tahun ke 13 saya bersama Sisisjay. (Tidak seperti kawan-kawan saya yang lain, saya masih lagi membawa Sisijay selepas 9 tahun di mana segala ansuran telah habis dibayar). Bukannya kedekut tetapi melalui masa, komitmen juga bertambah sedikit sebanyak. Saya akan gunakan Sisijay untuk beberapa tahun lagi.

 Kalau manusia umur 13 mereka berada dalam tingkatan satu, masih mentah dan budak lagi. Tetapi tidak kereta, umur 13 sudah dianggap tua. Itu kesimpulan yang saya dapat apabila menanyakan kawan-kawan saya di pejabat,  "CCJ 8824 saya sudah bergelar kerata lama atau tidak?"

"Kalau lebih dari 5 tahun sudah dikatakan kereta lama." Kata Aida. Salah seorang rakan sekerja saya. Dia juga memandu Myvi untuk ke tempat kerja.

"9 tahun sebab masa tu dah habis bayar." Kata Ayie. Dia datang kerja dengan motor, dan kadang-kadang dengan kereta. Saya tidak tanya pula apakah pertimbangan yang dibuat untuk dia putuskan hari ini sama ada kena pakai motor atau kereta.

"Kalau muncul model baru, barulah kereta tersebut dikatakan kereta lama." Ada juga yang jawab begitu.

Saya tidak puashati dengan penerangan mereka tersebut. He he he.

Kembali kepada tajuk. Saya menjalani hari pertama dengan bersemangat, meninggalkan tahun 2019 dengan tenang. Saya hanya menambah beberapa azam baru (selain beberapa azam yang saya bawa ke hadapan dari tahun-tahun lepas. He he he). Saya tidak sedih dan menyesal atas ketidakjayaan azam tersebut. Malah saya rasa lucu pula.

“Some people are smart, but make all sorts of mistakes in their lives…” dok gitu?

Saya dapati setiap tahun kehidupan saya menjadi semakin mencabar dari segi fizikal dan mental. Fizikal - Mungkin kerana badan saya semakin berusia namun aktiviti fizikal harian saya tidak bertambah perlahan. Kadarnya sama sahaja dengan semasa saya muda. Saya masih lagi lakukan kerja yang sama, naik tanga turun tanga, berlari, berkebun dan mengangkat barang berat. Kata orang apabila sudah tua kita mesti berhenti daripada mengankut barang yang berat. Berapa kilo pula sesuatu barang itu dikatakan berat? Melebihi lima kilo? atau lebih 10 kilo?

Mental – Harus kuat kerana perkara yang dulu dipandang biasa-biasa sahaja tetapi kini memberi kesan pada perasaan. Contohnya dulu apabila lihat orang tua selamba sahaja hati. Kini apabila melihat orang tua teringat emak dan ayah, teringat mak cik kantin, dan teringat suatu hari nanti tentu kita juga tua…(50 tahun tak tua lagi ke? He he he). Juga hambatan rasa berdosa atas kesilapan yang telah dilakukan sepanjang kehidupan ini...

Saya juga merasa janggal apabila membaca apa yang tertulis di MukaBuku. Kadang-kadang saya rasa penulisnya sudah rosak fikiran, dan bodoh. Bodoh kerana memaparkan kebodohan secara besar-besaran. Mereka menulis ikut sedap kata hati sahaja. Tiada lagi adat sopan dan tutur kata yang manis. Saya rasa adat ketimuran kita sudah hilang. Mungkin hanya tinggal segolongan sahaja masih beradap, contohnya mak cik-mak cik dan pak cik - pak cik.. Kadang-kadang mahu sahaja saya membalas komen di MukaBuku tersebut tetapi nanti saya juga akan setaraf dengan mereka jika hilang kawalan fikiran.

Sisijay? Cabaran membawa kereta sentiasa saya hadapi. Seperti kita yang berusia akan menghadapi perubahan fizikal, begitu jugalah kereta. Kereta juga mengalami susutnilai. Sedangkan robot tidak boleh melepasi umur tentertu, inilah pula kereta. Namun setakat ini Sisijay masih boelh berkhidmat dengan baik. Rosak sana sini itu biasalah sebab ia sudah berusia.

Antara azam saya yang penting pada tahun ini ialah untuk mendapatkan lebih rasa tenang dalam diri. Mempunyai keseimbangan yang tinggi apabila berhadapan dengan cabaran. Hidup bukannya mudah… saya sudah tidak mahu terkejar-kejar tetapi dalam masa yang sama masih berada dalam arus perubahan. Bolehkah saya lakukan?

"Hidup adalah satu perjuangan dalam menyusuri arus perubahan… Jika kita tidak berjuang dan berubah, kita sebenarnya mati sebelum mati. kita tidak boleh letih dengan kehidupan..." Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya. Beliau menasihati saya apabila saya rasa down dan rasa nak terjun telaga ha ha ha. Hidup ini memang ada pasang surutnya.

Akhir kata, saya ucapkan `Selamat tahun baru 2020’ kepada pengunjung blog saya ini, sama ada pengunjung tetap atau pun tersalah kunjung, he he he. Semoga tahun 2020 memberikan kebahagiaan dan kesihatan kepada kita, keluarga kita, saudara-saudara kita, dan sahabat-sahabat. Juga hendaknya dimurahkan rezeki dan diberkati olehNya.

Apa pun cabaran mendatang, semoga kita tabah hadapinya. Amin.

No comments:

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home