Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Monday, October 5, 2020

RM1.20 DUIT BELANJA, RM8.75 HARGA KASET SHARIFAH AINI: BEGINI SAYA MEMBESAR PADA TAHUN 1980-AN

 Album Sharifah Aini Tahun 1984

Kulit depan album:  He Is Beautiful To Me


Lagu-lagu:

1. I Don't Care What The People Say       

2. Hello

3. You Know What To Do             

4. I Only Have Eyes For You         

5. You And I       

6. Why Me         

7. He Is Beautiful To Me               

8. Let Me Take You In My Arms

9. With You I'm Born Again          

10.Casablanca   

 Album Sharifah Aini ini dikeluarkan pada tahun 1984, masa saya tingkatan dua.

 Sekolah Menengah Tengku Mahmud

Saya masih ingat macam mana saya ternampak kaset ini di sebuah kedai Cina, kedai sederet yang terletak di sebelah sekolah saya, Sekolah Menengah Tengku Mahmud. Sekolah saya betul-betul di tepi simpang empat. Pintu masuk utama menghadap jalan besar ke bandar Jerteh, dan menghadap juga Masjid Alor Lintang. Jalan sebelah kiri pula menuju ke Sekolah Menengah Nasaruddin Shah. Ada kedai runcit, kedai jahit dan kedai makan di situ.

Kedai Cina Itu Sebenarnya Kedai Runcit

Kedai Cina yang saya maksudkan itu sebenarnya kedai runcit, bukannya kedai kaset. Di situlah juga budak-budak sekolah selalu berkumpul sementara menunggu bas sekolah. Zaman itu kami naik bas sekolah. Tak perlu emak ayah hantar sampai ke pintu pagar. Cukup sekadar buat sesak depan sekolah.

Zaman 80-an Yang Lebih Simple

Tahun 80-an, bagi saya, hidup masih terasa normal. Belum banyak benda yang diperkosa atas nama pembangunan. Hidup jauh lebih simple. Orang tidak terkejar-kejar ke sana sini kerana KPI, mesyuarat, target dan macam-macam benda yang kita sendiri kadang-kadang tidak tahu kenapa perlu dikejar. Waktu itu kami balik bersama cikgu, ada yang menunggu bas atau kereta sewa bersama cikgu.

Ternampak Album Sharifah Aini Dalam Almari Kaca

Pada suatu hari, semasa saya hendak membayar aiskrim di kaunter, mata saya terpandang sebuah almari kaca besar di belakang kedai. Biasanya album-album baru diletakkan di situ. Dan dalam almari itu ada album Sharifah Aini. Saya terus gembira. Dalam kepala sudah mula memasang angan-angan macam mana hendak memilikinya.

Pada zaman itu, nama Sharifah Aini memang besar. Era gemilangnya memang tahun 1970-an, tetapi pada awal 1980-an pun suara Kak Pah masih ada tempat yang sangat istimewa di telinga orang kita. Semua orang dengar lagu Sharifah Aini. Radio ialah medium utama, selain televisyen. Kak Pah pula tidaklah kerap muncul di TV. Jadi radio memang sangat penting.

Belum Ada CD, Kasetlah Segalanya

Bagi yang mampu membeli kaset, kaset itu akan dimainkan pada radio yang ada kaset player. CD belum wujud dalam kehidupan kami... Masalahnya sekarang ialah harga. Emak beri saya RM1.20 sehari. Tambang pergi sekolah 30 sen, balik sekolah 30 sen. Jadi tambang sahaja sudah makan 60 sen. Baki 60 sen itulah untuk makan. Saya bukan makhluk asing. Saya perlu makan juga. Takkanlah dari pukul 2 sampai 5.30 petang saya hendak berlapar di sekolah? Sekolah petang masa tu. Harga kaset Sharifah Aini itu pula RM8.75. Itu harga kaset original keluaran EMI, syarikat rakaman antarabangsa. Saya bertekad hendak beli.

Ikat Perut Demi Kaset Sharifah Aini

Maka bermulalah kehidupan seorang budak sekolah yang polos mengumpul duit untuk membeli kaset Sharifah Aini. Bayangkan, setiap hari ikat perut. He he he. Kadang-kadang seminggu baru dapat kumpul 80 sen. Dalam masa yang sama, ada satu lagi kebimbangan besar, takut orang lain sambar dulu kaset itu. Tapi tidak apa, album bahasa Inggeris payah nak laku. Kan? Hendak minta duit lebih daripada emak pun kita tahu itu bukan keperluan seorang pelajar. Keluarga kami bukannya orang kaya. Sampai sekarang pun... he he he. Jadi saya kumpul sedikit demi sedikit. RM8.75. Sikit lagi. Sikit lagi. Sampailah akhirnya kaset itu berada dalam genggaman.

Tuhan sahajalah tahu betapa berbunga hati saya ketika berjalan keluar dari kedai Cina tersebut. Rasa macam hendak terbang terus balik rumah dan pasang kaset. Masa itu saya rasa bas sekolah lambat sangat hendak ambil saya.

Lagu-Lagu Yang Melekat Dalam Ingatan

Album itu memang ada banyak lagu yang saya suka. Walaupun masa itu saya belum mengenal erti cinta, jauh sekali memahami akibatnya, saya paling suka lagu “Hello”, “With You I'm Born Again” dan “Casablanca”. Itulah antara kenangan kecil yang sampai hari ini masih melekat.

Malangnya, kaset itu akhirnya hilang daripada simpanan saya ketika saya belajar di UM. Balik bercuti, saya dapati beberapa kaset Sharifah Aini saya sudah hilang. Jebon mana yang pinjam, tak tahulah. He he he. Sayangnya, He Is Beautiful To Me (1984) merupakan album Inggeris terakhir Kak Pah, sekurang-kurangnya dalam deretan album Inggerisnya yang saya ingat. Selepas itu, sekitar 1985, 1986 dan 1987, pendengar kita semakin mengalih selera kepada muzik Barat. Memang waktu itu muzik Barat kembali rapat dengan telinga masyarakat kita, macam zaman 60-an dahulu. Kemudian meletup pula nama-nama seperti Madonna, Michael Jackson dan ramai lagi. Dunia muzik berubah. Selera berubah. Tetapi Sharifah Aini tetap berdiri gagah.

Dari Kaset Lama Ke Down Memory Lane

Pada tahun 2009 pula muncul album kompilasi lagu-lagu Inggeris Sharifah Aini, Datuk Sharifah Aini in Down Memory Lane. Yang itu saya terus sambar. Kali ini saya mampu kerana sudah bekerja. Kulit album: Datuk Sharifah Aini in Down Memory Lane.

Namun, sampai hari ini saya masih berharap He Is Beautiful To Me (1984) dikeluarkan semula dalam bentuk CD. Hampir mustahil agaknya, tetapi saya masih berharap. Sebab kadang-kadang yang kita mahu bukan sekadar sebuah CD. Kita mahu kembali memegang semula sesuatu yang pernah membuat seorang budak tingkatan dua, dengan duit belanja RM1.20 sehari, sanggup ikat perut berhari-hari semata-mata hendak memiliki suara Sharifah Aini.


Kulit album: Datuk Sharifah Aini in Down Memory Lane

RM1.20 Sehari, Kaset RM8.75

Itulah zaman kita kan?. Simple. RM1.20 sehari. Kaset RM8.75. Hari ini mungkin jumlah itu nampak kecil, tetapi pada seorang budak sekolah tahun 1984, RM8.75 bukanlah duit kecil. Ia memerlukan kesabaran, berjimat, ikat perut dan menunggu sedikit demi sedikit sehingga cukup. Dan apabila akhirnya kaset itu berada dalam tangan, rasa bahagianya tidak boleh dibeli dengan harga apa pun. Itulah mungkin bezanya zaman dahulu dengan zaman sekarang. Dulu, untuk mendapatkan sesuatu yang kita suka, kita perlu menunggu. Dan kerana perlu menunggu itulah, apabila sudah dapat, hati terasa cukup bahagia.


No comments:

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home