SELAMAT hari raya, bila nak kawin…? Pertanyaan seperti inilah yang membuahkan perasaan tidak selesa, serba salah dan tidak senang duduk pada hari raya nan lalu, namun saya hanya mampu tersenyum (sambil dalam hati menyumpah kepada pihak yang bertanya). Kemudiannya barulah saya mula menjawab soalan itu sebaik mungkin, secermat mungkin dan sesopan mungkin. Saya sedar pertanyaan tersebut kerapkali hanyalah sekadar gurauan, sekadar satu gurauan yang mahu menimbulkan suasana ceria di khalayak ramai, (gurauan yang saya rasa tidak patut…).
Bukanlah menjadi suatu kesalahan hakiki apabila bertanyakan soalan tersebut jika benar-benar mahu mengetahui dengan ikhlas, namun daripada raut muka dapat diketahui majoritinya sekadar berbentuk pertanyaan semata-mata.
Bagai badut sarkes...
Suasana pada hari raya nan lalu paling mencabar, dah lima tahun tak balik beraya di kampung halaman. Bayangkan apabila semua keluarga jauh dekat sudah berkumpul, pak saudara, mak saudara, anak sepupu sepapat, laki kepada mak saudara, bini kepada pak saudara dan sewaktu dengannya. Mereka akan bertanyakan `bila lagi nak kahwin? Seolah-olah terdesak sangat saya wajib menamatkan zaman bujang. Mereka berkumpul di ruang tamu memanggil saya, memeluk mesra saya sambil bertanyakan bila lagi saya nak kahwin.
Walaupun saya tidak kahwin, saya juga manusia biasa yang ada perasaan malu. Saya malu dan tidak senang bila diajukan soalan peribadi itu di hadapan ramai orang (rasa macam dalam sarkas). Namun saya tersenyum (senyuman yang dibuat-buat…tak kan nak tarik muka 14 kan…he he he)
Daripada pagi hingga ke petang, hinggalah ke malam terpaksa menjawab soalan ini berkali-kali pada setiap rombongan raya yang bertandang. Maknanya pihak yang belum habis beraya di rumah saya akan dapat mendengar dan membandingkan jawapan yang saya berikan kepada mereka adakah sama atau tidak dengan jawapan yang telah diberikan sebelumnya. Biasanya saya sudah menyediakan skrip, dan dialog terlebih awal, bersama intonasi dan ekspresi muka. Namun bagi soalan cepu emas ini jawapan yang saya berikan kepada sanak saudara tidak pernah dapat memuaskan hati mereka. Hampir 99% tetap menyalahkan sikap saya yang menyebabkan saya tidak `laku’, he he he.
Ada juga yang menasihati supaya jangan memilih, terimalah sesiapa sahaja kerana faktor umur. Lagipun kata mereka saya ni bukannya ada rupa sangat (huh!). Ada juga yang beria-ia mahu menolong mencarikan pasangan, dan ada juga yang berkhutbah panjang lebar mengenai segala kebaikan berumahtangga pada pagi raya yang syahdu, maka benar-benar syahdulah raya saya. Hampeh…!
Bertandang ke rumah jiran? (biar dok pong…)
Perkara yang sama juga berlaku apabila saya menziarah ke rumah jiran tetangga dan sanak saudara pada hari raya (sebab itulah saya tak bertandang ke rumah mereka, padam muka, he he he). Mereka juga bertanya hal itu dan lebih parah lagi di sana terdapat ramai orang yang kita tidak kenali turut sama tertarik dan menunggu jawapan mengapa kita tidak berkahwin? Orang yang tidak mengetahui status kita akan secara automatik akan mengetahuinya.
Dan saya serba salah, hanya tuhan dan orang berstatus macam saya jelah yang tahu bagaimana perasaan saya apabila mata-mata merenungi saya semasa menunggu jawapannya (macam dalam mahkamah pulak). Perkara itu bukanlah satu kesusahan besar namun ia menikam hati.
Malaslah nak jumpa kawan lama…
Berjumpa kawan lama pada hari raya juga menyesakkan nafas dan ianya merupakan satu perkara yang tidak menggembirakan, memandangkan rakan sebaya biasanya semua telah berumahtangga. Selain bertanya khabar mengenai kerjaya masing-masing, topik seterusnya pasti mengenai keluarga. Hakikatnya fokus perbincangan lebih terarah kepada hal keluarga daripada hal kerjaya dan pencapaian akademik saya (mungkin pencapaian akademik tidak sepenting pencapaian dalam berkahwin (dapat kawin) kot dalam masyarakat kita, he he he.
Dan seperti perkara wajib, topik perkahwinan itu akan dipecah-pecahkan lagi kepada sub topik yang lebih kecil dan sensitif (setidaknya kepada telinga saya). Topik kecil yang tidak pernah mereka tinggalkan ialah khutbah mengenai kerugian tidak berkahwin.
Perjumpaan sekejap dengan kawan-kawan lama dan sanak saudara pada hari raya yang seharusnya menggembirakan meninggalkan kesan yang tidak selesa ke dalam diri, terasa sangat kehidupan yang dilalui ini `tidak betul’, serba kekurangan, atau `tidak sihat’.
Perbincangan hal peribadi itulah di antara beberapa sebab utama mengapa saya terpaksa memulaukan projek `reunion’ yang kawan-kawan adakan pada saban tahun. Tentulah normal manusia menjauhi `kawasan-kawasan’ yang mereka berasa akan mendukakan mereka, kan.
Lain pula gelagat kawan-kawan lama yang sudah beranak pinak. Mereka tanpa disuruh-suruh dan tanpa dipaksa-paksa menceritakan kehebatan dan kelebihan anak-anak mereka kepada saya. Saya akan `buat-buat’ tertarik mendengar cerita mereka, saya juga akan buat-buat mesra kepada anak-anak mereka. Saya akan menyentuh dagu atau mengusap kepala mereka. Namun jauh di sudut hati mahu saja saya menempeleng budak-budak itu (kerana menyebabkan saya ini rasa kekurangan). Saya juga akan berkata `comelnya budak ni’ walaupun hakikatnya saya berasa diri saya lebih comel dan bulat dari anak mereka tu, he he he.
Jan: Aku bagai badut...
2 comments:
hehehe..biasalah tu mang..soalan pasal kawin ni tak famous kat aku...soalan yg famous kat aku skang pasal anak...hehehe..takde anak lagi ke?merancang ke?dah brape tahun kawin?anak dah brape?
hehehe..soalan yg patut dijawab ngan pelempang kot..hahahah...
sabo jelah...nok wat guane...usaha jelah..pastu doa...setiap manusia ada dugaannya masing2...tak sama setiap dugaan tu...
Sesungguhnya Allah tahu apa yg hambanya tak tahu...
salam...selamat bertugas...chow
maaf kalau tulisan tu emo... tapi tulah, aku kdg2 tension bkn krn tak kawin tapi krn org sekeliling...he he he.
patutnya sama-sama beri semangat (utk tempuhi dan mengisi hidup ni...)
Post a Comment