26 Kenapa saya bercerita kisah SISIJAY?
23 Jun 2010
“Kata
orang, jika ada buku yang kita mahu baca, dan belum ada orang yang menulisnya.
Kitalah orang yang paling tepat untuk menulisnya…”
Saya
menamakan kereta saya Sisijay kerana nombor platnya CCJ.
Saya bukanlah pandai menulis dan mampu bercerita dengan terperinci mengenai
sebuah kereta. Namun saya tetap juga menulisnya. Mungkin secara tidak langsung,
saya belajar mengenai kereta sedikit sebanyak melalui penulisan saya.
Sisijay adalah antara perkara yang terpenting dalam hidup saya. Walaupun
tidak bernyawa, ia amat bermakna. Amat mempengaruhi kehidupan saya. Contohnya, apabila
kita sudah miliki kereta dan pandai membawanya, maka kita semakin berdikari. Dan hidup kita semakin sunyi...
Saya tidak tahu mengenai pembentukan ayat yang betul, atau ayat yang cantik. Kata orang,
ayat yang berestika. Namun saya gagahi juga menulis kisah ini sebagai rujukan
bagi diri saya, dan mungkin kepada seorang dua yang mendapat impak daripada
penulisan ini.
Hanya orang yang takut membawa keretalah yang tahu dan rasai apa yang orang takut bawa kereta rasai.
Saya tiada pengetahuan penulisan sastera, namun sekali lagi saya atasi
`ketiadaan’ pengetahuan itu sebagai cabaran. Saya dapati ramai juga manusia
lain yang rajin menulis walaupun mereka tidak ada latar belakang penulisan. Mereka tetap menulis
kerana mereka percaya ada sesetengah pengalaman hidup memang boleh ditulis dan
disebarkan. Diceritakan.
Saya pernah berniat suatu hari nanti saya akan bukukan segala kisah
hubungan saya dengan Sisijay. Saya berpendapat tidak sukar untuk saya mencari
bahannya kerana beberapa peristiwa yang terjadi memang saya menulisnya di blog
saya. Blog saya kadang-kadang aktif, kadang-kadang sebaliknya. Namun saya menulis setiap hari.
Sebenarnya walaupun saya tidak pandai menulis, saya selalu berangan
untuk menghasilkan sebuah novel cinta yang luarbiasa. Saya benci novel cinta
yang berada di pasaran sekarang. Ia berkisahkan
perasaan cinta pasangan semata. Kurang unsur mendidik. namun akhirnya saya akur, kisah cinta saya sama seperti kisah cinta orang lain yang terputus di tengah jalan. Curang adalah musuh cinta, setia adalah nafas cinta. Kalau tidak setia, matilah cinta...
Saya mahu menulis novel yang mempunyai tema dan persoalan mengenai
kasih sayang dan pengorbanan dalam cinta. Saya mahu nyatakan cinta itu tetap
ada walaupun tidak bersatu, cinta sejati tidak semestinya bersatu. Ya, ia dari
kisah percintaan saya yang tidak kesampaian. Namun mungkin saya akan membukukan
cerita saya dengan CCJ 8824 terlebih dahulu. Menulis atau bercakap pasal cinta membuatkan saya rasa geli, dan sakit perut. he he he.
Saya berpendapat untuk membuat novel bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Bercerita melalui penulisan bukanlah
suatu perkara yang senang. Harus punyai disiplin, kreatif dan yang paling
penting jujur dengan diri. Jika tidak kita mungkin menipu pembaca, membawa pembaca
ke daerah yang tidak penting dalam hidup mereka. Ini berdosa kerana membuang
masa orang lain. He he he.
Penulisan yang tidak hebat itu berlaku kerana tidak ada jujur dalam diri.
Apabila membaca novel ini, saya berharap insan seperti saya, yang takut bawa kereta, yang saya
percaya kebanyakannya adalah perempuan mengambil langkah berani untuk memandu. Saya
tiada sebarang petua atau rahsia. Tiada magik sebenarnya, semua adalah faktor saya
harus berfikiran positif.
Saya tiada pilihan. saya wajib bawa kereta...
Cerita Sisijay bukannya cerita motivasi secara langsung. Sehingga kini, saya masih lagi takut bawa kereta. cerita Sisijay juga bukannya mahu mengajar bagaimana kita harus positif
atau langkah-langkah untuk positif. Buku ini hanya bercerita tentang kehidupan manusia
biasa seperti saya, bagaimana saya berhadapan dengan ketakutan untuk memandu
kereta.
Jujur kata, sehingga sekarang saya masih lagi tidak dapat mengatasi rasa
ketakutan apabila membawa kereta. Namun saya rasa ketakutan itu adalah sesuatu
yang positif kerana ia memjadikan kita untuk sentiasa
berhati-hati dan mengikuti peraturan di jalan raya. Orang yang tidak takut dan
beranilah yang selalunya terlibat dengan kemalangan. Itu pendapat saya. Saya
positifkan ketakutan saya. He he he.
Kemalangan tetap berlaku kerana ia nya `kemalangan’. Namun kita cuba
untuk mengelakannya. Kita wajib untuk elakannya.
Hingga kini juga saya masih tidak tahu banyak pasal kereta, dan sekali
lagi faktor ini tidak boleh menghalang saya daripada memandu. Saya belajar
dengan perlahan. Sangat perlahan sebenarnya.
Saya berpendapat tiada cara mudah untuk menambahkan keberanian dalam
diri kerana setiap orang mempunyai kehidupan yang berbeza, fikiran berbeza dan
cabaran yang berbeza. Setiap orang harus mencari sebab yang paling utama
(walaupun sebab itu mungkin mencabar atau remeh untuk orang lain) untuk kita
memandu kereta. Sebab yang hebat!
Dunia semakin pesat berubah. Sudah sekian lama sebuah kereta menjadi
barang keperluan selain tempat tinggal, makanan dan pakaian. Mungkin pernyataan
ini agak melampau tetapi itulah pandangan saya. Kini baru saya sedar.
Saya tahu ramai yang takut bawa kereta. Di kampung saya ada yang miliki
kereta tapi hanya disimpan dalam garaj sahaja. Kisahnya pelik tetapi itulah yang
terjadi.
Saya mengambil keputusan untuk membeli kereta dan membawa kereta pada
umur yang telah lanjut. Saya tidak sesalinya tetapi sesekali sebagai manusia
biasa, saya terfikir juga apa jenis corak kehidupan saya sekarang jika saya
miliki kereta lebih awal.
Dalam buku ini saya ceritakan kisah saya yang `kosong’ dalam bab-bab yang
bersabitan dengan kereta. Banyak lagi kisah yang saya tidak tulis. Kesukaran
hidup saya pada awal memiliki kereta adalah cubaan yang besar kepada saya sebab
saya tidak minat kereta. Namun seperti yang saya katakan tadi ada beberapa perkara dalam hidup, kita
tempuhinya… walaupun hati kita gusar.
No comments:
Post a Comment